Berita kemenangan parti Kongres pimpinan balu Rajiv Gandhi kelahiran Itali, Sonia Gandhi mengingatkan saya tentang seorang lagi ikon politik di rantau ini. Tetapi ketika Sonia sedang merayakan kemenangan mengejut parti ini, wanita genit ini masih lagi dalam tahanan kerajaan diktator negaranya.

Jika Sonia dikritik kerana darah Italinya, wanita ini dikata tidak patriotik kerana suaminya seorang warganera Britain. Tetapi beliau juga anak bapa kemerdekaan negara tersebut dan seperti Sonia rakyat tidak membeli kritikan-kritikan terhadap wanita ini. Mereka menyanjungnya. Mereka menyayanginya. Mereka mahukan wanita ini bebas.

Wanita tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Aung San Suu Kyi, yang kini ditahan di rumahnya sejak setahun lepas. Tetapi secara keseluruhannya, beliau menjadi tahanan politik sejak 1990 lagi dibebaskan untuk tempoh-tempoh yang pendek sebelum ditahan semula.

Yang menariknya, Aung San Suu Kyi memilih untuk menunaikan tanggungjawabnya terhadap tanahair, meskipun mempunyai keluarga dan kehidupan yang stabil di Britain. Suu Kyi menyedari, statusnya sebagai anak seorang wira negara menuntut beliau untuk menabur bakti untuk kemerdekaan kedua negaranya.

Bapanya, Aung San, cukup istimewa di hati rakyat Burma, sebagai tokoh yang memerdekakan bekas jajahan Britain tersebut. Semangat Aung San untuk memerdekakan Burma cukup mendalam beliau mula-mula memilih jalan yang cukup lazim bagi pejuang-pejuang zamannya, dengan mengambil kesempatan penaklukan Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Apabila menyedari beliau telah ditipu, Aung San menubuhkan Liga Kebebasan Rakyat Anti-Fasis (AFPFL). Menerusi gerakan ketenteraan, beliau berjaya menawan semula sedikit demi sedikit negara tersebut, serentak dengan penaklukan semula Burma oleh tentera berikat.

Ditembak mati

Dalam persiapan Burma untuk merdeka, Aung San yang masih muda menjadi ikon yang dilihat-lihat sebagai bakal memimpin Burma merdeka. Tetapi takdir menentukan sebaliknya. Pada 19 Julai 1947, segerombolan lelaki berpakaian seragam memecah masuk sewaktu mesyuarat majlis eksekutif Burma dan menembak mati Aung San serta enam lagi ahli majlis tersebut.

Penembak-penembak tersebut diupah oleh bekas perdana menteri, Saw, yang berharap untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Burma. Saw kemudian dibicarakan dan dihukum bunuh.

Awal tahun 1948, Burma mencapai kemerdekaan, dan warisan Aung San menjadi kebanggaan rakyat negara tersebut hampir lebih sedekad. Pada tahun 1962, sebuah revolusi militer dilancarkan oleh panglima tinggi Ne Win, bagi menjatuhkan kerajaan demokratik U Nu. Tarikh tersebut menandakan berakhirnya demokrasi di Burma.

Selepas kematian bapanya ketika beliau masih kecil, Aung San Suu Kyi pula banyak membesar di India - ibunya menjadi seorang diplomat yang bertugas di India. Suu Kyi kemudian ke Universiti Oxford dan di sana beliau bertemu Michael Aris. Mereka berkahwin tidak lama kemudian.

Suu Kyi terus bertugas di luar negara, tetapi beliau pernah memberitahu suaminya ketika awal perhubungan mereka: "Yang aku pintakan hanya satu: jika rakyatku memerlukan diriku, engkau akan membantu aku untuk menunaikan kewajipan aku kepada mereka."

Kata-kata tersebut menjadi realiti tidak sampai dua dekad kemudian. Seperti yang sering terjadi dalam kehidupannya sendiri, sekali lagi tanggungjawab kepada keluarganya berlatarbelakang keperluan rakyat. Beliau mendapat panggilan untuk pulang ke tanahair berikutan ibunya yang nazak pada 1988. Pada waktu yang sama, timbulnya protes dan kebangkitan rakyat di Burma yang menuntut reformasi dan keterbukaan.

Demonstrasi

Sebagai anak tunggal Aung San, rakyat mula meletak harapan di atas bahu wanita tersebut, dan tidak lama beliau muncul sebagai individu utama dalam gerakan rakyat Burma. Pemerintah tentera yang menubuhkan Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Keamanan Negara (SLORC) berjanji untuk meneruskan rancangan mengadakan pilihanraya bebas dan adil; pada masa yang sama, sebagaimana dikatakan oleh Michael Aris, mereka meleraikan demonstrasi dengan tembakan peluru hidup.

Suu Kyi dan rakan-rakannya menubuhkan Liga Demokrasi Nasional (NLD) tetapi tidak lama selepas menjelajah seluruh negara untuk membina sokongan untuk partinya; beliau mendapat perintah tahanan di rumah.

Sebenarnya, SLORC meneruskan rancangan untuk mengadakan pilihanraya dengan andaian bahawa pihak pemerintah akan menang besar, seperti BJP yang tersilap langkah mengumumkan pilihanraya awal, SLORC telah silap membaca hati rakyat NLD menang besar, meskipun Suu Kyi dilarang bertanding. Berbeza dengan BJP SLORC membatalkan pilihanraya, dan terus menahan Suu Kyi.

Vaclav Havel, pemimpin anti komunis Czechoslovakia yang mencadangkan nama Suu Kyi untuk Anugerah Keamanan Nobel, berkata: "Dengan memberikan kehidupannya untuk perjuangan di atas nama hak asasi dan demokrasi di Burma, Aung San Suu Kyi tidak sahaja bersuara untuk keadilan di negaranya sendiri, tetapi untuk semua yang mahu bebas memilih kehidupan mereka." Suu Kyi menerima anugerah tersebut pada 1991.

Pada 1997, Malaysia dan beberapa negara lagi giat berkempen agar Burma (atau Myanmar, sebagaimana pemerintah tentera negara tersebut memanggil negara mereka) diterima menyertai Asean untuk memberi "kritikan dan tekanan diplomasi secara konstruktif" tetapi SLORC terus berkuasa, dan Suu Kyi ditahan semula.

Suami Aung San yang menjaga keluarganya di Britain, kemudian menderita barah prostate, tetapi rayuannya untuk dibenarkan menemui Suu Kyi tidak dilayan SLORC. Suu Kyi kini mengorbankan kepentingan keluarganya, demi pendiriannya untuk rakyat. Beliau boleh meninggalkan Burma, tetapi beliau risau SLORC akan menghalangnya untuk pulang bersama rakyat.

Michael Aris meninggal dunia pada 1999 dengan isterinya di Burma dan kata-kata Suu Kyi pada awal perhubungan mereka menjadi realiti. Michael telah membantu Suu Kyi untuk menunaikan kewajipannya kepada rakyat Burma.

Ubah fikiran

Ironi bahawa bapanya seorang pemimpin tentera; dan kini Suu Kyi menuntut pembebasan Burma dari pemerintah militer, jelas buat Suu Kyi, tetapi beliau memetik kata-kata bapanya: "Pihak tentera mestilah rakyat akan menghormatinya, mendapat perlindungan daripadanya dan menaruh harapan padanya." Aung San turut mengkritik pandangan bahawa patriotisme hanyalah di kalangan tentera.

"Ada pihak lain juga yang telah mengharungi cabaran dan berkorban untuk negara mereka Anda mesti mengubah pemikiran bahawa hanya tentera yang penting."

Ironis juga apabila Aung San Suu Kyi memperjuangkan "kemerdekaan kedua" Burma menerusi prinsip Satyagraha Mahatma Gandhi dan "civil disobedience" Martin Luther King yang mementingkan pendekatan keamananan dan anti-keganasan; sedangkan pilihan militerlah yang diambil bapanya. Tetapi perkiraan Aung San ialah pragmatis terbukti apabila beliau sanggup berunding dengan British dan memimpin kerajaan peralihan.

Apabila menyedari kepopularan Suu Kyi, pemerintah Burma menggunakan taktik menyebarkan poster-poster lucah yang memaparkan dirinya. Beliau dituduh sebagai seorang yang mencemari ajaran Buddha dan tidak patriotik fitnah yang jelas sekiranya anda membaca tulisan-tulisannya di dalam Freedom from Fear di mana beliau secara konsisten menggambarkan sifat dirinya yang cukup menyayangi bapanya, ajaran Buddha (beliau menuduh SLORC melakukan dua kesalahan besar dalam ajaran Buddha membunuh dan menipu), negaranya dan paling penting sekali, rakyat Burma.

Merenungi kehidupan dan prinsip Aung San Suu Kyi, anda akan mendapati wirawati demokrasi Asia Tenggara, yang membuktikan perjuangan demokrasi sesuai di mana sahaja. Timur ataupun Barat. Ketika dunia merayakan kemenangan Sonia Gandhi di demokrasi terbesar dunia, usah kita lupakan Suu Kyi.


NIK NAZMI NIK AHMAD seorang penulis, pengulas dan aktivis. Beliau menyumbang antara lainnya untuk Malaysiakini, Asia Times dan BBC World Service. Laman webnya di http://www.niknazmi.com