Semoga pertolongan Allah mengiringi perjalanan ini...
Tepat jam 5.45 petang Sabtu 12 Jun 2004, saya menerima panggilan dari ASP Arif yang mengatakan tempoh tahanan suami saya, Mat Sah telah di lanjutkan dua tahun lagi. Saya sempat bertanya adakah Mat Sah sendiri sudah melihat surat itu.
Dan jawapan yang diberikan ialah tahanan sendiri sudah menandatangani surat lanjutan tersebut. ASP Arif juga memberitahu saya boleh membuat temujanji pada hari Isnin supaya dapat melawat tahanan berkenaan.
Saya bertanya, boleh tidak jika saya membuat temujanji pada masa itu juga, tetapi segera dijawab ASP itu, supaya menelefon pada hari Isnin seperti yang diarahkan. Tidak lama selepas itu, saya di hubungi beberapa wartawan yang membuat liputan di Bukit Aman pada sebelah paginya.
Kesemua mereka meminta komen saya mengenai pelanjutan penahanan tersebut, terutamanya apakah perasaan saya sendiri sebagai isteri kepada tahanan terlibat.
Tepat jam 5.45 petang Sabtu 12 Jun 2004, saya menerima panggilan dari ASP Arif yang mengatakan tempoh tahanan suami saya, Mat Sah telah di lanjutkan dua tahun lagi. Saya sempat bertanya adakah Mat Sah sendiri sudah melihat surat itu.
Dan jawapan yang diberikan ialah tahanan sendiri sudah menandatangani surat lanjutan tersebut. ASP Arif juga memberitahu saya boleh membuat temujanji pada hari Isnin supaya dapat melawat tahanan berkenaan.
Saya bertanya, boleh tidak jika saya membuat temujanji pada masa itu juga, tetapi segera dijawab ASP itu, supaya menelefon pada hari Isnin seperti yang diarahkan. Tidak lama selepas itu, saya di hubungi beberapa wartawan yang membuat liputan di Bukit Aman pada sebelah paginya.
Kesemua mereka meminta komen saya mengenai pelanjutan penahanan tersebut, terutamanya apakah perasaan saya sendiri sebagai isteri kepada tahanan terlibat.
Saya hanya menegaskan saya sangat kesal kerana selepas dua tahun (ditahan), kerajaan masih gagal membuktikan di mahkamah, apakah kesalahan suami saya. Sebaliknya, dengan begitu mudah, terus saja menuduh beliau sebagai orang yang masih menjadi ancaman kepada negara, seolah-olah Malaysia ini sebuah negara mundur yang tidak ada mahkamah di dalamnya.
Saya juga amat yakin Menteri Dalam Negeri sememangnya berniat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka sememangnya berkuasa dan mampu berbuat apa saja terhadap individu yang telah dipilih dijadikan mangsa olehnya.
Tidak diberitahu
Selepas itu, saya menghantar pesanan ringkas (SMS) mengenai pelanjutan tersebut kepada semua kawan-kawan yang senasib dan juga kepada mereka yang amat prihatin terhadap isu ini, terutamanya kawan-kawan di GMI (Gerakan Mansuh ISA).Tidak kurang juga panggilan telefon yang bertali arus bagi mengetahui kedudukan perkara sebenarnya.
Dari SMS yang diterima, baru diketahui bahawa dua isteri tahanan dari Johor iaitu Puan Zanariah dan Puan Nurul Ain, masih belum mengetahui kedudukan suami mereka. Saya memberikan nombor telefon ASP Arif supaya mereka dapat hubungi bagi mendapat kepastian mengenai status suami mereka pada hari Isnin nanti. Rupa-rupanya, ASP itu hanya menghubungi kami bertiga, iaitu isteri-isteri yang telah pergi ke Bukit Aman, pada sebelah paginya.
Saya juga dihubungi Puan Dura, isteri kepada tahanan ISA Samsudin Sulaiman yang tidak tahu menahu langsung yang suaminya berada di Kuala Lumpur. Beliau mengetahui hal tersebut apabila menelefon kem (tahanan) kerana sudah dua bulan tidak menziarahi suaminya di Kem Kemunting, dan berhasrat menziarahi Samsudin pada hari terakhir tempoh penahanannya.
Lepas Maghrib, barulah saya menghubungi adik-beradik suami saya dan keluarga saya sendiri. Mereka memberi reaksi yang berbagai. Tetapi perkataan 'SABAR JE LAH' tidak pernah tertinggal dari SMS yang dihantar kepada saya. Namun, tidak kurang juga yang mengatakan kerana saya selalu membangkitkan isu ini di media Barisan Alternatif, telah menyebabkan penahanan suami saya telah dilanjutkan.
Kemudian, saya menbuat perbincangan 'hati-ke-hati' dengan Suhaib, anak tunggal saya. Saya cuba menerangkan keadaan secara keseluruhan dan meminta pendapatnya sendiri apakah langkah-langkah yang sepatutnya diambil selepas ini. Dari perkiraan yang dibuat, ayahnya akan habis tempoh tahanan pada tahun 2006 ketika dia sepatutnya sudah berada di tingkatan satu,
Lenangan airmata
Dia juga berjanji untuk bersikap lebih matang dalam setiap tindakannya. Tetapi buat masa ini, dia meminta izin untuk menonton televisyen lebih lama kerana ingin menyaksikan perlawanan Bola Euro 2004.
Saya hanya tersenyum kerana nampaknya bijak juga dia mengambil kesempatan untuk menghilangkan kerungsingan dengan keadaan bapanya yang terpaksa melalui dua tahun lagi merengkok di kem tahanan.
Secara luaran, mungkin ada yang beranggapan saya seorang yang 'keras hati' kerana saya rasa belum pernah lagi saya mengalirkan airmata di sebarang peristiwa yang menyedihkan. Contohnya, semasa di Mess pegawai di Bukit Aman pagi tadi, anak Puan Fatimah menangis apabila mendengar kata-kata dua pegawai SB yang ayahnya belum tentu akan dibebaskan.
Sebenarnya saya merasakan terlalu sebak di dada kerana menahan airmata agar tidak tumpah di hadapan musuh kami itu. Pagi itu, saya bersama dua lagi isteri tahanan ISA, dengan diringi jawatankuasa kerja GMI, telah ke Bukit Aman untuk mendapat kepastian tentang suami kami yang telah dibawa dari Kem Kamunting ke Kuala Lumpur, sehari sebelum tamat tempoh tahanan mereka.
Bagaimanapun, selepas mengetahui suami saya akan ditahan dua tahun lagi, amat sukar bagi saya untuk mengawal perasaan. Airmata mengalir terlalu deras dan susah pula hendak berhenti. Saya buka SMS di inbox telefon bimbit saya, dan hati rasa terusik dengan kata-kata: "Seorang pejuang tak kenal erti kecewa dan putus asa. We will continue fighting together" dan "Bacalah Surah Muhammad ayat 1- 4".
Saya renungkan kembali semasa suami ditahan dua tahun yang lalu dan dibandingkan keadaan saya sekarang. Dua tahun lalu, saya hanyalah seorang isteri tahanan ISA yang sangat naf dan tidak tahu apa-apa. Memandu kereta pun tidak berani walaupun sudah lama mempunyai lesen memandu.
Dimanjakan suami
Pada masa itu, terasa sangat kesusahan itu kerana selama ini, segala urusan dari pergi ke pasar, membayar bil, urusan bank dan selalunya urusan di rumah pun semuanya dilakukan oleh suami saya. Suami terlalu memanjakan saya.
Tetapi, setelah dua tahun menjadi 'ibu tunggal', kini saya rasa lebih matang, berdikari dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan saya mengurus kehidupan. Lebih menggembirakan, saya kini mempunyai ramai kawan baru terdiri daripada peguam, wakil rakyat, aktivis sosial, NGO dan juga wartawan, yang telah menyedarkan saya mengenai tingginya nilai hak individu seseorang.
Saya juga rasa gembira kerana dapat menyumbangkan sedikit masa dan tenaga untuk bersama-sama mereka di GMI bagi menentang kezaliman ISA, undang-undang haram yang sedang di kenakan ke atas suami saya. Saya pasti berada di landasan yang betul untuk mengetengahkan isu penahanan tanpa bicara yang melibatkan suami saya serta puluhan tahanan ISA lain.
Saya berharap, biarlah pelanjutan (tempoh tahanan) ini akan lebih memberikan kesedaran kepada semua tahanan ISA supaya berfikiran lebih waras dan tidak mengikut kehendak SB semata. Tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri ke atas mereka itu amat berat dari sudut pandangan Islam kerana didakwa menjadi anggota Jemaah Islamiah yang telah berjanji menjaga agama dan keimanan mereka sehingga sanggup mati syahid.
Bukankah sungguh murni cita-cita tersebut? Tetapi mengapa mereka kini seolah-olah ingin mengelak dan tidak sanggup mengakui perkara tersebut, sedangkan apa yang mereka lakukan itu adalah hak mereka yang sememangnya sah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bukankah semua rakyat Malaysia berhak mempraktikkan agama masing-masing? Betulkah mereka ini anggota JI seperti yang dicanangkan di seluruh negara?
Saya membuat kesimpulan bahawa mereka ini bukanlah anggota JI yang sebenar kerana setelah dua tahun ditahan, mereka tidak berusaha pun untuk mempertahankan agama mereka, melainkan sentiasa menurut kata-kata SB. Mereka ditahan kerana kononnya, pada tahun 2002 dahulu, terdapat 200 orang pengganas di Malaysia. Penahanan mereka hanyalah untuk mencukupkan bilangan tersebut.
Kes Jamaludin
Lebih-lebih lagi, sepanjang dua tahun ditahan, Menteri Dalam Negeri tidak pernah sekalipun membawa mereka ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan. Kesian sungguh ahli keluarga mereka kerana menjadi mangsa utama terhadap penahanan yang tidak tahu bila penghujungnya.
Saya juga terpanggil untuk berkongsi pengalaman mengenai kes mahkamah Jamaludin Othman @ Joshua melawan Kerajaan Malaysia. Jamaludin pada asalnya ialah seorang Islam yang kemudian menukarkan pegangan agamanya kepada Kristian. Beliau kemudian ditahan di bawah ISA kerana didakwa banyak mempengaruhi rakyat Malaysia supaya menganut Kristian.
Beliau telah memohon habeas corpus untuk membuktikan yang penahanannya tidak sah kerana sebagai rakyat Malaysia, beliau berhak mempraktikkan agama barunya mengikut hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau menang kes tersebut.
Ini adalah salah satu kes yang disebutkan oleh peguam Edmund Bon yang mewakili suami saya, dalam perbicaraan habeas corpus nya pada awal tahun ini.
Siapakah yang akan memperjuangkan hak mereka (tahanan ISA) jika bukan mereka sendiri yang sedang menjadi mangsa akta zalim ini? Bukankah memperjuangkan hak untuk mengamalkan ajaran Islam itu sama nilainya dengan memperjuangkan Islam sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad dahulu?
Di atas segala-galanya, saya masih berharap suami saya dan tujuh tahanan ISA yang lain, yang kini masih berada di satu tempat rahsia di Kuala Lumpur, tidak akan menerima yang nasib sama seperti lima pelajar Pakistan yang ditahan di bawah ISA akhir tahun lalu. Suami saya pernah memberitahu bahawa keadaan di PRC, jika dibandingkan suasana di Kem Kamunting, umpama langit dengan bumi.
Sesi soalsiasat
Hati manusia manakah yang akan senang bila mengenangkan orang yang disayangi dipaksa tinggal di bilik sempit yang kotor, panas, tiada tingkap jauh sekali kipas angin, dengan lampu yang terpasang 24 jam. Bukan setakat itu sahaja, mereka terpaksa menjalani sesi soal-siasat yang lama, sehingga sukar untuk mengingati kitaran waktu malam atau siang.
Adakalanya saya seperti mengalami mimpi ngeri apabila mengenangkan anak saya terpaksa membesar dua tahun lagi tanpa ayahnya, sedangkan ayahnya masih hidup tetapi keadaan ayahnya seperti orang yang sudah tiada lagi di dunia ini.
Suami saya dijadikan seperti mumia yang disimpan di tempat berkaca,di mana dia masih wujud, boleh diziarahi dan disentuh, tetapi tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya sepertimana manusia normal lain yang masih bernyawa.
Selama dua tahun yang lepas, sayalah ibu dan bapa kepada anak saya. Keadaan ini telah ditambah dua tahun lagi oleh Menteri Dalam Negeri dan saya tidak tahu bilakah ianya akan berakhir.
Walau apa pun yang berlaku, yang pastinya, perjuangan yang telah dimulakan, mesti diteruskan. Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa pertolongan Allah akan sentiasa mengiringi perjalanan ini. Pepatah Inggeris ada mengatakan 'in difficulties, there is opportunity'. Saya yakin, suami saya akan kembali juga ke pangkuan kami kelak.
NORLAILA OTHMAN ialah isteri bekas juruteknik Mat Sah Mohd Satray yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2002.

