Onn Jaafar, Tunku dan Ayad Alawi
'Di satu tempat rahsia' Christiane Amanpour, Ketua Wartawan Antarabangsa CNN memberi laporan langsung dari kota Baghdad pada pagi Isnin 28 June 2004.
'Warga Iraq semuanya gembira' Temubual Christiane Amanpour dengan Al- Tamimi Datuk Bandar Banghdad di CNN pada pagi Isnin 28 Jun 2004.
'Pengganas asing ini akan ditumpaskan' Isi kata dari ucapan Ayad Allawi, Perdana Menteri Iraq melalui siaran langsung CNN pada pagi Isnin 28 June 2004.
'Kuasa datang dari laras senapang' Mao Zedong Dari koleksi fikiran Mao.
Lipas kudung dan anjing bercawat ekor adalah dua pepatah Melayu yang mungkin tepat untuk menggambarkan apa yang terjadi pada pada hari Isnin 28 Jun 2004 yang lalu. Di satu tempat rahsia dalam kota Baghdad, pada jam 10.26 pagi, telah berlaku apa yang dipanggil upacara 'penyerahan' kuasa dari Paul Bremer kepada Ayad Allawi.
Setelah 15 bulan menjadi Pentadbir Tertinggi Tentera Bersekutu (baca: Pegawai Daerah Green Zone, satu kawasan selamat dalam kota Baghdad), Paul Bremer telah membacakan satu perenggan pendek yang menyatakan bahawa kedaulatan negara Iraq kini telah dikembalikan kepada rakyat Iraq.
'Di satu tempat rahsia' Christiane Amanpour, Ketua Wartawan Antarabangsa CNN memberi laporan langsung dari kota Baghdad pada pagi Isnin 28 June 2004.
'Warga Iraq semuanya gembira' Temubual Christiane Amanpour dengan Al- Tamimi Datuk Bandar Banghdad di CNN pada pagi Isnin 28 Jun 2004.
'Pengganas asing ini akan ditumpaskan' Isi kata dari ucapan Ayad Allawi, Perdana Menteri Iraq melalui siaran langsung CNN pada pagi Isnin 28 June 2004.
'Kuasa datang dari laras senapang' Mao Zedong Dari koleksi fikiran Mao.
Lipas kudung dan anjing bercawat ekor adalah dua pepatah Melayu yang mungkin tepat untuk menggambarkan apa yang terjadi pada pada hari Isnin 28 Jun 2004 yang lalu. Di satu tempat rahsia dalam kota Baghdad, pada jam 10.26 pagi, telah berlaku apa yang dipanggil upacara 'penyerahan' kuasa dari Paul Bremer kepada Ayad Allawi.
Setelah 15 bulan menjadi Pentadbir Tertinggi Tentera Bersekutu (baca: Pegawai Daerah Green Zone, satu kawasan selamat dalam kota Baghdad), Paul Bremer telah membacakan satu perenggan pendek yang menyatakan bahawa kedaulatan negara Iraq kini telah dikembalikan kepada rakyat Iraq.
Yang menerima kembali 'kedaulatan ' ini ialah Ayad Allawi yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Iraq oleh Bremer sendiri. (Untuk murid-murid yang akan mengambil SPM, perkataan kunci di sini ialah 'dilantik' dan bukan perkataan 'dipilih' ).
Yang bercawat ekor itu ialah Paul Bremer yang mewakili kuasa tentera Amerika. Upacara penyerahan kedaulatan ini telah dijalankan dua hari lebih awal dari tarikh yang telah diwar-warkan. Peralihan tarikh ke satu tempat yang dirahsiakan, telah dilakukan kerana pentabiran tentera Amerika merasa takut.
Laporan sulit
Kumpulan gerila anti-Amerika kelihatan semakin tersusun dan besar kemungkina mereka akan menyerang Green Zone untuk menyatakan 'Allahbulkhir dan syukran jazilan' mereka kepada Bremer.
Justeru tidak ramai 'gedebe-gedebe' Iraq yang hadir untuk merayakan upacara ini. Tidak juga kelihatan muka kaki-kaki bodek yang selama ini sering berkeliaran memberi laporan-laporan 'sulit' tentang Saddam kepada Washington dan Pantagon.
Paul Bremer juga menjadi lipas kudung. Selepas saja upacara
yang tidak dihadiri ramai orang ini, Bremer telah bergegas keluar macam lipas
kudung untuk meninggalkan bangunan rahsia ini. Bremer kelihatan menuju ke
helikopter dan kemudian diberitakan telah menaiki kapal terbang tentera C150
untuk terus meninggalkan Iraq. Tidak kelihatan pun seekor anjing atau pun seekor
lipas yang menangis sedih kerana Bremer telah meninggalkan Iraq.
Secara tidak dirancang, saya telah terserempak dengan upacara ini. Saya bukan menyusup sekali lagi ke Baghdad. Saya menonton upacara ini secara terus menerus melalui CNN. Saya mengagakkan upacara 'peralihan kuasa' ini akan diadakan pada hari Rabu dan bukan Isnin. Dalam congak politik saya, pastilah satu upacara 'sejarah' seperti ini akan dirancang oleh bomoh-bomoh media Bush untuk dijadikan satu 'media event' dalam usaha meraih undi.
Upacara 'gah' seperti ini pasti akan membantu Bush dalam pilihanraya Amerika yang akan berlangsung dalam masa empat bulan lagi. Pasti ramai Tun, Tan Sri dan Datuk-Datuk yang akan dijemput untuk meraikan Ayad Allawi yang telah menerima 'kedaulatan' Iraq.
Mutaqdar Saddar dan tentera Mehdinya pasti tidak akan dijemput tetapi sekurang-kurangnya, akan tercokok juga seorang berdua Ayatollah atau Imam Muda dari Masjid Khadamiah, dijemput untuk membaca doa kesyukuran. Semuanya meleset. Satu serban pun tidak kelihatan. Sejarah telah tidak bersama dengan sang anjing dan sang lipas.
Gerakan gerila
Putar kebelakang - 1946, bala tentera British telah datang kembali untuk mengambil alih Tanah Melayu sesudah Perang Dunia Kedua. Rakyat di Peseketuan Tanah Melayu telah bangun untuk menentang kuasa penjajah British. Gerakan Rakyat Malaya Anti Tentera Jepun ( MPAJA) di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya kelihatan semakin padu dan tersusun. Oraganisasi massa dan pelbagai kesatuan buruh telah turut sama dalam upaya mendobrak kuasa tentera British.
Pada 20 Jun 1948, Darurat diistiharkan. Dengan serta merta
Tanah Melayu tertakluk di bawah kuasa tentera - martial law. Abdullah Sidi,
Shamsiah Fakeh, Rashid Mydin, Chin Peng serta ribuan lagi para patriot, telah
mengundur diri untuk melancarkan gerakan gerila menentang penjajah British.
Perang Pebebasan Rakyat Malaya bermula.
Apa yang dilakukan oleh kuasa penjajah British? Soldadu-soldadu upahan didatangkan dari Fiji, Nigeria, India, Bengal, Borneo, Nepal, Australia, New Zealand - semuanya atas nama Tentera Negara Commonwealth. Induk kepada semua bala tentera ini ialah pentabiran kuasa tentera British.
Dengan licik, British telah mengadudomba rakyat Tanah Melayu. Gerakan gerila antipenjajah dari semua bangsa telah dicap sebagai pengganas komunis. Komunis telah disinonimkan dengan orang berbangsa Cina. Untuk memperkukuhkan strategi adudomba bangsa-bangsa ini, anak-anak muda Melayu dari kampung, telah direkrut untuk menjadi Special Constable (SC) - bekerja sebagai tentera upahan British. Benih naluri rasisme perkauman telah disemai dan disuburkan.
Semua ini adalah taktik dan strategi untuk mematahkan gerakan nasionalis rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang ingin menghalau kuasa penjajah.
Kembali hari ini ke Iraq - tentera-tentera bersekutu dari Poland, Korea, British, Australia, Itali dan lain-lain, sedang menduduki Iraq. Induk kepada semua soldadu ini ialah 150,000 tentera darat Amerika Syarikat. Jadi, tidak ada banyak pebezaan dari apa yang telah terjadi di Tanah Melayu pada tahun 1948 dengan apa yang sedang berlaku hari ini di Iraq.
Strategi licik
Kalau British berjaya mengadudomba Melayu dan Cina semasa perang pembebasan Tanah Melayu, di Iraq pula yang akan diadudomba ialah penganut mazhab Sunni dengan mazhab Shia. Manakala orang Kurdish kelihatan seperti Orang India di Tanah Melayu. Ini mungkin satu perbandingan yang telah saya persenangkan.
Tetapi hakikat asasnya tidak tergelincir. Hukum asas penjajah/menjajah semenjak dari zaman Iskandar Zulkarnain lagi - ialah pecah dan perintah. Hanya dengan taktik ini sajalah empire dapat didirikan. Dan harta kekayaan tanah jajahan dapat dipunggah.
Sama seperti pengalaman British di Tanah Melayu dahulu, Amerika pasti akan memunculkan kumpulan dan parti-parti politik berjenis 'yes tuan no tuan'. Dengan strategi licik, untuk memadamkan pengaruh Parti Komunis Malaya dan sekutunya, kuasa pentabiran British telah menggalak dan menyokong kelahiran Umno, MCA dan MIC. Parti-parti politik genre 'yes tuan no tuan' ini pasti akan terus menjaga kepentingan penjajah.
Kuasa imperial Amerika tidak berkemungkinan untuk menumpaskan keampohan gerakan gerila anti-Amerika rakyat Iraq dengan cara ketenteraan. Bahasa, budaya dan hukum-hukum alam tidak akan menyebelahi tentera Amerika. Amerika perlu melahirkan secepat mungkin barua-barua baru untuk memadamkan semangat nasionalisma Arab/Islam Iraq.
Lalu timbul persoalan-persoalan siapa dia Chalabi itu? Dan
siapa pula dianya Ayad Allawi ini? Bila dua nama ini muncul, saya juga teringat
kepada dua nama - Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Ketika Perang Pembebasan
Rakyat Malaya sedang bergelora, Pentabiran British telah memasang dua kuda. Kuda
pertamanya ialah Sir Onn Jaafar. Kuda kedua British ialah Tunku Abdul
Rahman.
Untuk saya, sejarah Persekutuan Tanah Melayu setengah kurun dahulu boleh disamakan dengan pergolakan watak Chalabi dan Allawi. Pada satu ketika dahulu Chalabi adalah 'darling' kepada Amerika - diangkat dan dijunjung. Onn Jaafar juga pernah menjadi 'darling' British hinggakan diberi anugerah Sir.
(Untuk yang sangsi tentang fakta ini, sila rujuk kembali kepada majalah Economist tahun 1949 - saya secara tidak sengaja pernah terbaca satu artikel dalam majalah ini yang menunjukkan bagaimana Onn Jaafar pada awalnya pernah menjadi 'harapan' kepada British ). Jangan lupa, Onn Jaafar adalah pengasas parti 'yes tuan no tuan'.
Kumpulan perisik
Chalabi dan Allawi ini kedua-duanya adalah barua Amerika. Tunku sekurang-kurangnya hanya dicap oleh Sukarno sebagai boneka British. Boneka statusnya lebih tinggi dari barua. Sebagai barua, Chalabi dan Allawi tanpa menyorok, berselindung atau berahsia, telah mengakui menjadi aparachik CIA.
Malah Ayad Allawi sendiri mengakui pada satu sidang akhbar awal tahun ini bahawa dia bekerja untuk CIA, MI6 dan 12 lagi kumpulan perisik, pasti termasuk Mossad - (tapi mungkin tidak termasuk kumpulan perisik Jeli yang sedang merisik untuk mencari affadavit PAS yang telah dilaporkan dalam malaysiakini).
Dalam laporan terus menerus CNN dari Baghdad ini, ada satu temubual dengan Datuk Bandar Baghdad. Saya tidak tahu apakah si Al-Tamimi ini keturunan badut. Ini kerana ucapannya amat menggelikan hati sesiapa sahaja yang sedang gundah-gulana.
'Semua rakyat Iraq gembira' Berani si Mamat ini
mengeluarkan kenyataan sedemikian. Atau mungkin Tok Bandar ini juga tinggal
dalam wilayah Green Zone, maka dia boleh becakap sesuka hatinya dengan selamat.
(Belum pun kering lidahnya bercakap sebuah humvee Amerika telah meledak di
pinggir kota Baghdad ).
Tetapi lawak yang paling sinis datangnya dari Ayad Allawi, Perdana Menteri Iraq yang tidak dipilih rakyat Iraq. Mengikut Allawi 'penganas-pengganas asing akan ditumpaskan'.
Mula-mulanya saya agakkan pengganas asing yang dimaksudkan ialah bala tentera Amerika yang
sedang menjarah Iraq. Bukan. Saya salah. Pengganas asing ini ialah kumpulan Al-Qaeda yang diheboh-hebohkan oleh media. Menurut beritanya, pengganas ini sedang bersarang di Falujjah. Kebaruaan PM baru ini cukup menyerlah.
Ular tempatan
Pada tahun 60-an dahulu, semasa Perang Vietnam, Amerika telah menjalankan dasar yang dipanggil Vietnamization. Ini berlaku di zaman Richard Milhouse Nixon yang juga dari Parti Republican. Dasar ini ialah menyusun, mendirikan, mengupah dan memberi senjata kepada rakyat Vietnam untuk membunuh rakyat Vietnam sendiri.
Apa yang berlaku sekarang di Iraq saya panggil 'Iraqification' memberi senjata, memberi duit dan mengupah rakyat Iraq untuk membunuh rakyat Iraq sendiri. Semua ini dilakukan dengan bertopengkan 'mendirikan bala tentera Iraq, memperbanyakkan polis Iraq dan memulakan kembali jaringan mukhabarat (SB) Iraq'. Kalau dulu mukhabarat ini setia kepada Saddam, mukhabarat baru ini akan taat setia kepada CIA.
Perang anti-British yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya telah melumpuhkan kuasa imperial Britain. Hingga ke hari ini, kita akan temui bertaburan kubur-kubur soldadu Komanwel Commonwealth di Tanah Melayu. Dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan lombong bijih timah dan ladang getah, pihak pentabiran tentera British telah menjanjikan pilihanraya pada 1955 dan Merdeka pada tahun 1957.
Janji yang sama telah dibuat oleh Paul Bremer - satu pilihanraya untuk rakyat Iraq akan diadakan pada bulan Mei 2005. Janji ini dilafazkan untuk menyelamatkan telaga-telaga minyak, loji-loji gas dan kontrak-kontrak yang berbilion dollar harganya. Sebuah kerajaan yang berkiblat kepada Amerika wajib diwujudkan di Iraq. Sandiwara pilihanraya perlu diadakan agar rakyat Iraq mendapat demokrasi dan Amerika mendapat minyak.
Di Perseketuan Tanah Melayu parti ' yes tuan no tuan' diangkat ke takhta pada tahun 1957. Hasilnya tidak perlu saya tuliskan kerana kita sama-sama mengalami kesesakan nafas hari ini. Vietnamization gagal pada tahun 70-an.
Pada tahun 1974, soldadu-soldadu Amerika, seperti anjing
bercawat ekor telah lari lintang pukang meninggalkan Saigon. Sebuah helikopter
datang ke kedutaan Amerika di Saigon untuk membawa Duta Besar Amerika lari ke
kapal laut yang sedang menunggu.
'Iraqification' juga akan gagal. Ini kerana hukum alam. Memang betul bala tentera Amerika cukup moden dan canggih. Memiliki pelbagai kelengkapan perang. Tetapi naga yang mundar-mandir dari kampung ke kampung, pasti akan dialahkan oleh ular tempatan.
Fallujah dan Najaf hanyalah permulaan dalam satu pentas perang rakyat berjangka panjang. Kalau di Vietanam dulu, anak-anak muda Amerika gugur tewas dalam sawah padi, kini mereka akan terkubur di padang pasir. Kuasa mengikut pandangan Mao hanya muncul dari laras senapang dan bukan diterima dari Paul Bremer.

