Pak Lah Presiden, Ku Li terus putih mata
Nampaknya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Pak Lah) memang dilahirkan untuk menjadi Presiden Umno. Manakala Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li ) ditakdirkan untuk menjadi "gurkha" parti.
Tanpa perlu bersusah payah, walaupun pernah dipinggirkan daripada kerajaan satu ketika dulu, bintang politik Pak Lah terus menyinar.
Kini beliau disahkan menang tanpa bertanding sebagai ketua parti setelah mendapat 173 pencalonan daripada 174 bahagian Umno yang telah bermesyuarat. Hanya tinggal 16 bahagian sahaja yang belum membuat pencalonan mereka. Dengan berbekalkan sikap lemah lembut, rendah diri, ketegasan dan imej bersihnya, Pak Lah berjaya memenangi hati ahli-ahli Umno.
Kini segala kesangsian terhadap kemampuan Pak Lah menerajui parti dan kerajaan sudah lenyap. Kata-kata sumbang yang dulunya mengatakan beliau akan terus berada di bawah bayang-bayang Tun Dr Mahathir Mohamad tidak muncul lagi.
Nampaknya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Pak Lah) memang dilahirkan untuk menjadi Presiden Umno. Manakala Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li ) ditakdirkan untuk menjadi "gurkha" parti.
Tanpa perlu bersusah payah, walaupun pernah dipinggirkan daripada kerajaan satu ketika dulu, bintang politik Pak Lah terus menyinar.
Kini beliau disahkan menang tanpa bertanding sebagai ketua parti setelah mendapat 173 pencalonan daripada 174 bahagian Umno yang telah bermesyuarat. Hanya tinggal 16 bahagian sahaja yang belum membuat pencalonan mereka. Dengan berbekalkan sikap lemah lembut, rendah diri, ketegasan dan imej bersihnya, Pak Lah berjaya memenangi hati ahli-ahli Umno.
Kini segala kesangsian terhadap kemampuan Pak Lah menerajui parti dan kerajaan sudah lenyap. Kata-kata sumbang yang dulunya mengatakan beliau akan terus berada di bawah bayang-bayang Tun Dr Mahathir Mohamad tidak muncul lagi.
Ramalan yang menyangka Umno akan hancur di bawah Pak Lah kerana akan berlaku perebutan kuasa dan jawatan antara beliau dengan Datuk Seri Najib Tun Razak juga jauh meleset. Sebaliknya kedua-dua pemimpin ini menunjukkan mereka adalah satu gandingan yang mantap.
Oleh itu diucapkan syabas kepada Pak Lah dan Najib, namun satu amanah dan tanggungjawab besar berada di atas bahu anda berdua. Perjuangan orang Melayu dan Umno masih belum selesai! Masih banyak ranjau dan duri akan merentanginya kerana di dalam politik tiada yang pasti. Perkara luar biasa dan yang tidak diduga-duga boleh berlaku pada bila-bila masa.
Impak Ku Li
Bagi Ku Li pula, mungkin perhimpunan kali ini adalah nokhtah baginya dalam mengejar cita-cita untuk menerajui Umno. Jelas sekali beliau telah ditolak oleh pemimpin dan ahli-ahli Umno yang rata-rata dikuasai oleh generasi baru itu. Ku Li perlu menerima hakikat bahawa dalam Umno sekarang tiada masa untuk nostalgia.
Namun sekalung bunga harus diberikan kepada beliau dan para penyokongnya di Gua Musang kerana berani dan bersungguh-sungguh cuba menyelamatkan dan mahu menyuburkan kembali demokrasi di dalam Umno.
Sekurang-kurangnya kita tahu masih ada seorang pemimpin Umno dan sekumpulan ahlinya di selatan negeri Kelantan yang tidak menjadi lembu dicucuk hidung.
Ku Li dan ahli Umno Gua Musang membuktikan mereka mempunyai pendirian dan sikap sendiri. Mereka bukan Pak Turut. Mereka tidak boleh dimarahi atau di pandang serong semata-mata kerana kerana mahu mempraktikkan hak demokrasi mereka.
Dan Umno Gua Musang tidak perlu merasa bersalah atau rendah diri atau malu apabila menghadiri perhimpunan agung di PWTC pada September depan. Sebaliknya mereka harus memasuki dewan Merdeka itu dengan penuh kredibiliti dan kebanggaan kerana berani meningkah arus.
Walaupun Ku Li berputih mata namun beliau telah meninggalkan impak yang besar di dalam Umno!
Dinasti Pak Lah
Satu lagi perkara yang menarik dalam proses demokrasi bersyarat yang sedang berlangung dalam Umno sekarang ialah gagal percubaan untuk memanjangkan jejak politik Tun Dr Mahathir di dalam Umno. Anak beliau gagal dalam pertandingan Ketua Pemuda Kubang Pasu.
Kegagalan Mukhriz Mahathir itu benar-benar mengesahkan bahawa era Dr Mahathir sudah berlalu. Pak Lah benar-benar berdiri di atas kakinya sendiri.
Kemenangan mudah Khairy Jamaluddin, menantu Presiden Umno sebagai Naib Ketua Pemuda Umno mengukuhkan betapa besar pengaruh Pak Lah di dalam Umno sekarang.
Walaupun kemenangan Khairy cuba dipisahkan dari faktor bapa mertuanya, namun tiada siapa di dalam dan di luar Umno boleh menerimanya. Kerana apa? Kerana sebelum Pak Lah menjadi Perdana Menteri, tidak ramai yang mengenali Khairy. Walaupun cuba dinafikan, namun hakikat bahawa dinasti Pak Lah sedang dibina di dalam Umno tidak mudah ditolak begitu sahaja.
Selepas ini segala tindak tanduk Khairy akan diperhatikan. Sejauh mana kebolehan beliau bersama Datuk Hishammuddin Tun Hussein menerajui generasi baru Umno akan dinilai. Dan sejauh mana berkesannya Khairy menjadi "jambatan" antara Pemuda Umno dengan Seri Perdana akan sentiasa dipantau.
Walaupun Khairy mendapat laluan yang sangat mudah untuk menduduki kerusi nombor dua dalam sayap Pemuda itu namun jalan untuknya selepas ini lebih sukar.
Beliau bukan sekadar Naib Ketua Pemuda Umno tetapi sebagai menantu Perdana Menteri. Khairy memikul dua tanggungjawab dan beban yang amat besar. Tindak tanduknya tidak sahaja melibatkan dirinya malah akan dikaitkan dengan Pak Lah.
Pelbagai spekulasi, kontroversi, tahmahan dan cabaran menantinya. Sebelum inipun beliau sudah dicop sebagai pemuda berusia 28 tahun yang paling berpengaruh di Malaysia! Dan segala label dan prasangka itu tidak berakhir di sini. Laluan untuk Khairy selepas ini lebih berliku dan memenatkan.
Khairy perlu membuktikannya keberkesananya memimpin Pemuda Umno sebelum mengambil alih jawatan nombor satu dari Hishammuddin pada pemilihan yang akan datang.
Awas Shahrizat
Bagi perebutan dalam Wanita Umno pula, ada kalangan Umno berpendapat perhimpunan kali ini mungkin yang terakhir bagi Datuk Seri Rafidah Aziz menerajui sayap kaum ibu itu. Beliau mungkin sudah bersedia untuk berundur pada pemilihan akan datang bagi memberi laluan kepada Timbalannya, Datuk Shahrizat Jalil.
Walaupun belum cukup tua usia, Rafidah mungkin merasakan sudah sampai masa untuk berehat .
Shahrizat pula dirasakan sudah cukup matang untuk nenerajui Wanita. Namun beliau dirasakan tidak akan mendapat laluan mudah. Jika ada kekosongan bagi jawatan Ketua Wanita pada perhimpunan akan datang, satu pertandingan sengit dijangka akan berlaku.
Tetapi siapakah yang berani menentang Shahrizat nanti?
Kalangan Umno meramalkan tokohnya tidak lain dan tidak bukan, Datuk Azalina Othman Said.
Beliau kini dilihati sebagai calon pelapis generasi baru Wanita Umno. Ramai bekas ahli-ahli Puteri Umno yang kini menyertai Wanita Umno mahu melihat Azalina menjadi salah seorang pemimpin utama Wanita. Mereka merasakan sudah tiba masanya Azalina diterima oleh Wanita Umno selepas pemilihan 2004 ini.
Walaupun jalannya masih jauh, tiga tahun lagi, namun keghairahan bekas ahli Puteri bertanding jawatan ketua wanita bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian dilihat sebagai langkah awal Azalina untuk menerajui Wanita selepas ini. Nampaknya Shahrizat perlu berkerja keras dalam tempoh dua tiga tahun akan datang.
Publisiti murahan
Bagi perebutan jawatan Naib Presiden pula, tujuh tokoh sudah sah layak bertanding. Peluang besar untuk menang berada dalam tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ali Rustam.
Persaingan sengit untuk satu lagi kekosongan akan berlaku antara Datuk Mustapa Mohamed, Tan Seri Muhammad Mohd Taib dan Datuk Shahrir Samad. Tan Seri Mohamad Isa Samad dan Datuk Adnan Yaakob sekadar memeriahkan perlumbaan.
Datuk Sri Syed Hamid dijangka akan melepasi kuota kelayakan pada hujung minggu ini namun peluang untuk menang adalah terlalu tipis. Mungkin lebih baik beliau mengikut jejak Datuk Abdul Ghani Othman kerana calon dari Johor sudah ramai. Datuk Zaid Ibrahim pula tidak perlu mencuba lagi pada masa akan datang.
Calon-calon Naib-Presiden dan ahli Majlis Tertinggi harus mengukur baju di badan sendiri. Jangan membuang masa, tenaga dan wang. Pemilihan Umno bukan "mega sale" untuk mencari publisiti murahan.

