Dalam politik segalanya mungkin. Yang tidak diduga boleh berlaku dan yang dijangka-jangkakan sering meleset. Lebih-lebih lagi dalam konteks politik Umno. Sejarah membuktikan tiada yang pasti di dalam parti Melayu terbesar ini.

Dalam Umno, tiada siapa boleh mendabik dada mendakwa dia bakal memimpin parti itu. Tiada siapa boleh bercakap besar dan sombong, serta boleh menungkat langit menerajui Umno. Kuasa sebenarnya terletak di tangan ahli di akar umbi dan juga wang.

Namun pengaruh wang hanya sementara. Apabila ahli sudah muak dengan tingkah laku seseorang pemimpin itu, mereka akan kembali kepada asas.

Orang Melayu, walaupun sudah semakin materialistik, namun sedikit sebanyak nilai-nilai, moral dan budaya luhur masih didukung terutamanya apabila "survival" mereka diancam. Begitulah senarionya dalam proses pemilihan teraju kepimpinan Umno September depan. Tiada yang pasti, kecuali bagi beberapa tokoh yang telah menang tanpa bertanding.

Setakat ini, hanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Shahrizat Jalil, Datuk HishammuddinTun Hussein dan Khairy Jamaluddin sahaja yang sudah boleh tidur lena.

Seorang lagi pemimpin Umno yang boleh berehat panjang ialah Tengku Razaleigh Hamzah. (Ku Li). Selepas ini beliau tidak perlu pening kepala dan berpenat lagi setelah mengakui kekalahannya dan berikrar tidak akan mencuba lagi merebut jawatan presiden Umno pada masa depan. Syabas Ku Li kerana menjadi lelaki Umno terakhir yang masih berjiwa merdeka!

Antara ahli Umno yang tidak boleh lena ketika ini ialah lapan calon naib presiden. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mohd Ali Rustam, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Mustapha Mohamed kini berdebar-debar menunggu bulan September.

Begitu juga Datuk Shahrir Samad, Datuk Adnan Yaakob, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Datuk Seri Syed Hamid Albar. Mereka kini dibuai mimpi indah dan mimpi ngeri.

Selera perwakilan

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Nasib mereka kini terletak di tangan lebih 2,000 perwakilan Umno. Kira-kira tiga juta ahli bukan lagi penentu masa depan politik mereka, sebaliknya segelintir perwakilan yang akan memastikannya.

Sekalipun ada di antara calon itu telah memperolehi jumlah pencalonan yang besar dan selesa, namun mereka masih belum boleh mendabik dada.

Sejarah Umno menunjukkan bahawa jumlah pencalonan tidak mencerminkan keadaan sebenarnya. Jumlah pencalonan boleh mengelirukan dan silap haribulan, mungkin menjadi satu perangkap.

Ini terbukti pada pemilihan tahun 1987 dulu di mana Ku Li hanya memperoleh pencalonan minimum dua pencalonan sahaja untuk jawatan presiden Umno. Tetapi dalam pemilihan sebenar, beliau hampir-hampir menewaskan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (ketika itu belum bergelar Tun). Dr Mahathir yang mendapat jumlah pencalonan yang sangat besar hanya menang dengan majoriti 41 undi!

Oleh itu, walaupun Muhyiddin mendapat 157 pencalonan, Mohd Ali memperolehi 112 dan Muhd Taib pula mengumpul 88 pencalonan, namun mereka belum pasti akan menang.

Ketiga-tiga tokoh ini tidak boleh terlalu yakin kerana kejutan mungkin berlaku pada hari pemilihan nanti. Mustapha dan Shahrir masih boleh memberi saingan kuat. Begitu juga dengan Adnan, Isa dan Syed Hamid, mereka juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Di atas kertas, tidak dinafikan Muhyiddin dan Mohd Ali nampak begitu gah dan gagah. Peluang mereka seperti sukar digugat. Muhd Taib juga masih mampu mengekalkan popularitinya walaupun sudah agak lama tidak berada dalam kerajaan.

Tetapi itu hanya pencalonan yang diputuskan oleh perwakilan di mesyuarat bahagian. Perwakilan di perhimpunan nanti lain orangnya dan lain pula ceritanya.

Perwakilan yang terpilih ke perhimpunan mungkin tidak sama selera dengan perwakilan di akar umbi. Mereka mungkin penyokong Shahrir, Mustapha atau Syed Hamid. Pendirian mereka mungkin tidak sama dengan keputusan Ketua Bahagian atau pengerusi perhubungan Umno negeri.

Guna media

Tambahan pula, hari pemilihan Umno masih jauh. Ada lebih sebulan lagi dan sepanjang tempoh itu, pelbagai isu dan perkara boleh berlaku. Tidak kurang juga pelbagai tohmahan, spekulasi, kontroversi dan surat layang boleh timbul. Semua ini akan menentukan turun naik saham calon-calon berkenaan.

Memang semua orang tahu calon-calon dilarang berkempen. Namun larangan itu hanya tertakluk kepada kempen secara langsung, terutamanya menerusi media dan menganjurkan majlis-majlis berbaur kempen. Tetapi kempen secara tidak langsung sukar disekat. Calon-calon masih membuat kenyataan akhbar atau muncul di kaca TV menerusi tugas-tugas rasmi.

Ini merupakan kelebihan bagi calon yang berada dalam kerajaan tetapi suatu yang malang bagi bekas Menteri Besar Selangor yang cuba mempertahankan jawatan naib presidennya bagi penggal ketiga. Bagi Shahrir, sekurang-kurangnya beliau masih mempunyai platform sebgai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan dan ahli Parlimen Johor Bharu.

Oleh itu, tempoh lebih sebulan ini merupakan cabaran dan peluang untuk calon yang berada dalam kerajaan untuk menggunakan sepenuh semua majlis rasmi untuk menonjolkan diri. Inilah masanya untuk menunjukkan kepada rakyat atau lebih tepat lebih 2,000 perwakilan ke perhimpunan agung bahawa mereka boleh berkerja.

Selain kempen secara tidak rasmi itu, tidak dinafikan kempen senyap-senyap oleh agen atau penyokong para calon sedang giat berlangsung. Di tangan setiap pengurus kempen kini ada senarai lengkap para perwakilan. Nama, alamat dan nombor telefon sudah berada dalam simpanan. Para penyokong inilah yang akan sibuk ke sana ke mari dalam tempoh sebulan lebih ini bagi melobi untuk "boss" masing-masing.

Pelbagai perjumpaan di kafe, coffee house dan hotel, akan diatur. Kempen secara elektronik menerusi e-mel dan SMS sedang diatur. Selain itu, surat-surat layang juga sudah siap untuk dilayangkan.

Dalam keghairahan untuk merebut jawatan itu, tidak mengejutkan jika timbul semula gejala politik wang. Sedangkan dalam pemilihan di peringkat yang lebih kecil di cawangan dan bahagian gejala itu didakwa banyak berlaku, apa lagi untuk merebut jawatan yang lebih penting di peringkat pusat.

Oleh itu, calon-calon perlu berhati-hati, pastikan sokong tidak membawa rebah. Kesimpulannya: tiada calon naib presiden yang boleh tidur lena sepanjang tempoh lebih sebulan ini.

Masing-masing pastinya memasang angan-angan untuk meraih undi terbanyak untuk menjadi orang nombor tiga paling kanan dalam parti. Naib presiden paling kanan, secara tradisinya adalah calon timbalan perdana menteri!