Untung rugi calon Naib Presiden
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) yang akan dinobatkan sebagai Presiden Umno tidak lama lagi, telah mengingatkan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan agung parti itu bulan depan, supaya jangan menjadikan pilihanraya kecil Kuala Berang sebagai medan berkempen.
Beliau mahu mereka fokus pada usaha memenangkan calon Barisan Nasional, Mohd Zawawi Ismail. Perdana Menteri tidak mahu ahli-ahli Umno terlalu yakin untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Datuk Seri Najib Tun Razak juga bercakap perkara yang sama. Timbalan Perdana Menteri itu mengingatkan para penyokong Umno bahawa "mood" pengundi dalam pilihanraya kecil tidak sama dengan selera semasa pilihanraya umum.
Ahli-ahli Umno yang bercita-cita tinggi dan ghairah mengejar kerusi Exco Pemuda, Wanita, Majlis Tertinggi (MT) dan Naib Presiden, perlu mendengar dan mematuhi peringatan Pak Lah itu. Mereka perlu ingat, kepimpinan tertinggi Umno telah memberi peluang kepada mereka untuk berkempen di medan yang lain.
Kini mereka dibenarkan bercakap dan berkempen melalui media asalkan tidak menjejaskan peribadi dan kedudukan calon-calon lain. Kelonggaran itu adalah suatu yang tidak dapat mereka nikmati pada era Tun Dr Mahathir Mohamad. Maka, sewajarnyalah mereka memanfaatkan peluang dan ruang tersebut.

Tidak dinafikan ramai calon semakin tertekan kerana hari pemilihan semakin hampir. Khabarnya, ada calon Naib Presiden dan MT yang kini berkampung di Kuala Lumpur. Kalau tidak batang tubuh sendiri ada di ibunegara, sekurang-kurang wakil atau tukang kempen mereka berkeliaran dari satu majlis ke satu majlis dan dari satu hotel ke satu hotel untuk mempromosi "bos" masing-masing.
Malah, khabarnya, ada yang menonjolkan diri kepada pihak akhbar, minta diwawancara setelah akhbar-akhbar arus perdana mengadakan ruangan khas untuk memperkenalkan calon-calon MT dan Naib Presiden. Tidak cukup dengan akhbar arus perdana, akhbar-akhbar "nyamuk" turut dihimpit oleh-oleh calon-calon yang bercita-cita tinggi itu.
Dasar baru
Suhu kempen semakin hari semakin panas. Calon-calon yang mempunyai jawatan dalam kerajaan semakin "rajin" berkerja. Setiap hari, ada sahaja majlis atau lawatan dilakukan. Di setiap acara, ada sahaja yang diperkatakan, ditegur dan dicadangkan. Wawasan, agenda dan dasar baru cuba diketengahkan untuk menunjukkan keberkesanan perkhidmatan masing-masing.
Calon yang paling beruntung ialah mereka yang berjawatan di peringkat pusat. Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen, bebas berkempen menerusi kerja dan bidangkuasa masing-masing.
Para Menteri Besar dan Ketua Menteri juga bernasib baik, kerana mempunyai platform untuk bercakap dan didengari. Namun calon Naib Presiden, Datuk Adnan Yaakob (Tok Nan) masih menganggap dirinya malang kerana hanya boleh bercakap dalam lingkungan negeri Pahang sahaja.
Tak mengapa Tok Nan, sambutan peringkat kebangsaan hari kemerdekaan ke-47 akan berlangsung di Kuantan. Gunakan sepenuhnya peluang itu untuk menonjolkan diri!
Berbanding dengan calon-calon Naib Presiden yang lain, Tok Nan nampaknya lebih tertekan. Beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya serius bertanding jawatan berkenaan, dan bukan sekadar melawak atau main-main mengejar publisiti murah.
Agenda beliau, apabila terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden, ialah untuk duduk dalam Jawatankuasa Pengurusan Umno. Dari situ, beliau mahu mengubah atau memperbetulkan haluan perjuangan parti.
Sebenarnya, kalau dibandingkan dengan Tok Nan, ramai calon lain yang lebih malang lagi, umpamanya Datuk Shahrir Samad. Beliau hanya Ahli Parlimen Johor Bahru, merangkap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen. Platformnya sangat kecil, namun beliau tetap tenang dan yakin.
Konsep terbuka
Dengan bermodalkan kedudukannya sebagai calon "bebas" kerana tidak terikat dengan kerajaan, beliau menawarkan diri sebagai calon akar umbi. Shahrir mahu mengetengahkan konsep terbuka dalam pucuk pimpinan parti.
Beliau mahu bersuara lantang bagi pihak orang Melayu. Bekas anak didik Tan Sri Musa Hitam itu menyifatkan Umno adalah Parlimen orang Melayu!
Idea abstrak Shahrir itu mungkin disokong oleh akar umbi Umno. Namun, bagaimana pula penerimaan para perwakilan Umno? Kita tunggu September depan untuk melihat sama ada sikap terbuka Shahrir itu dihargai oleh perwakilan Umno atau tidak.
Naib-Presiden Umno yang mempertahankan jawatannya, Tan Sri Muhammad Mohd Taib bagaimanapun lebih bernasib baik daripada Shahrir. Walaupun tiada jawatan dalam kerajaan, namun kedudukannya sebagai orang nombor tiga dalam parti memberinya lebih banyak ruang untuk bercakap. Tambahan pula beliau telah dilantik sebagai Penyelaras Pilihanraya Kecil Kuala Berang.
Perlantikan itu dibaca oleh para perwakilan sebagai "perkenan" pucuk pimpinan tertinggi parti terhadap pencalonan beliau sebagai calon Naib Presiden. Sekaligus perlantikan itu memberi peluang kepada bekas Menteri Besar Selangor itu berada di barisan depan.
Ramai pemerhati Umno berpendapat Pak Lah sengaja memberi peluang kepada Muhd Taib walaupun Datuk Idris Jusoh lebih sesuai untuk memikul tugas di Kuala Berang itu. Kejayaan mempertahankan kerusi Kuala Berang, lebih-lebih lagi jika majoriti undi meningkat, pastinya akan melonjakkan saham Muhd Taib.
Jangan cemburu calon-calon Naib Presiden yang lain...tuah ayam nampak di kaki, tuah "Mike Tyson" mungkin di Kuala Berang!
Akar umbi
Namun, dalam keghairahan merebut jawatan tertinggi parti, kita harus angkat topi kepada tokoh-tokoh yang bersedia memberi laluan kepda calon lain. Menteri Besar Perak, Datuk Tajol Rosli misalnya, menarik diri dari perebutan jawatan MT walaupun beliau mempunyai peluang cerah untuk menang.
Beliau mengundurkan diri kerana mahu memberi peluang kepada orang lain, di samping memberi tumpuan pada negeri Perak. Menteri Besar lain yang turut bertanding jawatan berkenaan sewajarnya mencontohi pendirian Tajol Rosli itu kerana tradisi Umno menetapkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari parti itu, dilantik secara automatik menganggotai MT sekalipun tidak terpilih dalam pemilihan.
Begitulah, semakin hampir bulan September, semakin galak calon-calon berkempen menerusi pelbagai cara dan strategi. Malah surat layang juga khabarnya sudah mula berterbangan. Kita tengok siapa yang kecundang dan siapa yang akan dijulang.
Namun penulis rasa terkilan kerana keputusan pemilihan pada bulan depan hanya mencerminkan hasrat para perwakilan, bukannya aspirasi akar umbi. Sebagaimana kata Tok Nan, dalam pencalonan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan MT, perwakilan bahagian tidak memainkan banyak peranan, sebaliknya lebih mematuhi kehendak ketua bahagian.
Dan senario itu akan berulang di perhimpunan agung Umno, perwakilan akan lebih mematuhi kehendak Ketua Perhubungan Umno Negeri atau MBnya! Malah lebih menyedihkan kalau ada perwakilan yang tunduk pada amalan politik wang!
Ke mana perginya suara akar umbi, apatah lagi kalau orang seperti Shahrir kecundang!

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.