Setiap kali menatap lembaran akhbar, kita dikejutkan dengan berita-berita gerun yang membayangkan seolah-olah negara kita sedang mengalami krisis sosial dan pemimpin-pemimpinnya pula tidak mampu lagi mengatasi masalah ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mempersoalkan situasi yang agak malang ini dan terus mempersoalkan apakah punca segala-galanya ini.

Ini termasuklah berita seperti kes kanak kanak dan orang dewasa dirogol; pembunuhan kejam, penculikan, pergaduhan antara golongan belia termasuk di sekolah, yang mengakibatkan kecacatan dan kematian.

Manakala peragut pula semakin ganas, penindasan dan penganiayaan berlaku terhadap pekerja asing dan tempatan, pembantu rumah didera ataupun pembantu rumah mencederakan kanak kanak; kes penagihan dan pengedaran dadah dan pelbagai lagi masalah sosial yang berlaku di negara kita yang tercinta ini.

Tidak kurang pula yang menuduh pengaruh TV yang mempamerkan adegan seks, keganasan dan jenayah yang canggih, salah asuhan oleh keluarga, sifat buruk dan tidak bermoral, mencari jalan pintas bagi mendapatkan wang yang banyak serta keganasan 'along' untuk mendapatkan kembali wang pinjaman.

Pihak polis pula dikatakan lembab dan lemah dalam menjalankan siasatan sehingga penjenayah terlepas daripada hukuman. Pihak polis juga didakwa lembab dalam menyambut panggilan cemas, manakala hukuman pula terlalu ringan terhadap penjenayah.

Maksiat

Faktor-faktor lain termasuklah tempat kediaman yang sempit dan ahli keluarga yang ramai serta tidak ada 'privacy', pergaulan rambang dan tiada peluang kerja. Manakala golongan berpendapatan rendah pula dituduh menjadi punca segala jenayah dan maksiat serta teladan menjijikkan oleh pihak atasan seperti perlakuan rasuah, nepotisme dan kronisme.

Peristiwa- peristiwa yang dipaparkan dalam akhbar sudahpun berlaku. Pelbagai ulalsan mengenainya juga mempunyai logik yang tersendiri. Kalau begitu, mengapa kita tidak mampu mengatasi masalah sosial ini? Adakah ulasan-ulasan ini tidak kena pada sasarannya. Apakah ada faktor-faktor lain yang belum ditemui ataupun memang tidak ada kesungguhan atau ketegasan politik bagi menangani masalah ini?

PSM berpendirian bahawa sebenarnya alasan-alasan yang disebutkan itu lebih bersifat gejala masalah sosial dan bukan punca sebenarnya. Seperti kata pepatah, kita bertungkus lumus cuba mengatasi gejala penyakit dan bukan puncanya!

Kalau dikaji semula keadaan ini, kita dapati, pada keseluruhannya, alasan-alasan ini berkisar (secara langsung dan tidak langsung) kepada tekanan ekonomi di mana seorang individu itu sanggup mengorbankan maruah, hargadiri dan nilai moral, asalkan mendapat wang bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

Analisa sosialis, dengan konsistennya, menuntut kita melihat keseluruhan sistem ekonomi kapitalis yang telah melacurkan kemanusiaan, agar segelintir kecil terus kaya dan bermaharajalela. Tekanan ekonomi bukan saja menimbulkan kemiskinan tetapi juga mewujudkan tekanan jiwa yang amat dahsyat, hingga melimpah ruah ke dalam keluarga dan masyarakat.

Tekanan jiwa ini menjelma dalam pelbagai bentuk, termasuklah melayan nafsu seks, penagihan dadah dan arak, bersikap antisosial, nekad, terburu-buru dan ganas terhadap rakan sekerja, ahli keluarga dan jiran; pecah belah dalam keluarga; meragut nyawa sendiri atau orang lain.

Fanatik

Ada yang menjadi fanatik (agama/gila) kerana cuba melupakan penderitaan kehidupan yang masih tidak dapat perhatian dan pembelaan dari mana-mana pihak. Lama kelamaan, kegiatan ini dibudayakan dan mempunyai ragamnya yang tersendiri. Malangnya, ada juga yang mencari jalan singkat dan menerima kesemuanya sebagai hukum alam dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Memandangkan kita sebagai manusia biasa yang bertanggungjawab, kita terpaksa bekerja untuk mendapat ganjaran bagi menampung keperluan keluarga sendiri. Malangnya, sistem kapitalis yang negara kita anuti, bertapak dan berkembang berasaskan kepada penindasan dan monopoli terhadap segala sektor ekonomi negara.

Dengan keuntungan daripada penindasan inilah, maka golongan kapitalis ini menjadi golongan yang terpengaruh dan menguasai segala galanya. Apabila kita ditindas di tempat kerja dan dianggap seperti jentera atau robot, maka kepuasan dan keseronokan untuk bekerja sudah tiada lagi.

Malahan, kita merasakan ditipu secara terang-terangan oleh majikan yang memberi ganjaran yang tidak setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Apabila wang tidak cukup, seluruh keluarga terpaksa dikerahkan untuk bekerja. Anak-a anakpun terbiar dan hubungan keluarga makin renggang.

Jelas bahawa bukan semua yang mengalami tekanan ini terjebak ke dalam kegiatan yang tidak diingini. Malangnya, manusia tidak sama dan kemampuan mereka juga serupa. Oleh itu, bukan semua orang berupaya melepaskan diri dari perangkap sosial yang bahaya ini. Golongan kapitalis pula tidak merasa bersalah dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap masalah tersebut.

Pemimpin politik pula tidak berwibawa untuk memaksa golongan kapitalis ini untuk berbuat demikian. Sebenarnya, pelbagai masalah sosial timbul di dalam masyarakat akibat penindasan di tempat kerja (atau sebaliknya tidak ada peluang pekerjaan).

Perketat undang-undang

Oleh itu, sekiranya kita benar-benar ingin menyelesaikan masalah tersebut, maka kita haruslah mempertikaikan penindasan ini di peringkat mikro (di tempat kerja), di samping menangani masalah sosial yang kian timbul di peringkat makro (di dalam masyarakat).

Justeru itu, selagi penyelesaian dua hala ini tidak diselaraskan dan kapitalisme tidak dipertikaikan, maka selagi itulah masalah sosial akan merebak seperti penyakit barah yang memakan dan membunuh tuannya.

PSM menyarankan tidak ada jalan singkat untuk kita menyelesaikan masalah sosial dan jenayah yang semakin berleluasa. Pemerintah nampaknya lebih seronok mengambil langkah memperketatkan undang-undang untuk mengatasi masalah ini. Namun masalah yang timbul adalah berlandaskan isu-isu ketidakadilan ekonomi, sosial dan politik.

Justeru itu, PSM menyarankan tujuh langkah jangkapendek untuk mengatasinya:

1. Kurangkan jurang perbezaan gaji antara mereka yang berpendapatan tinggi dan rendah. Ini boleh dilaksanakan dengan meningkatkan dan mengubal Akta Gaji Minima.

2. Pastikan semua institusi awam seperti sekolah, perubatan, pengangkutan dan sebagainya yang di bawah kawalan supaya memberi perkhidmatan yang cemerlang, berkesan dan murah. Ini akan mengurangkan beban masyarakat berpendapatan rendah.

3. Tabung khas untuk menampung mereka yang dibuang kerja atau yang menganggur.

4. Sistem pendidikan yang mewujudkan masyarakat yang berfikir dan penyayang, bukannya masyarakat yang pasif, mejadi pak turut dan yang berbudaya korparat.

5. Kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara

6. Kebebasan institusi awam seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Suhakam dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk memantau masalah dan mengambil tindakan tanpa rasa takut

7. Kurangkan perbelanjaan untuk tentera dan pertahanan dan tingkatkan perbelanjaan untuk membina institusi-institusi sosial bagi menangani masalah-masalah asas dalam masyarakat.


Dr Nasir Hashim adalah Pengerusi PSM.