Bagaimana rakyat dan negara selepas 47 tahun merdeka?
Pada 31 haribulan Ogos ini, negara dengan rasmi menyambut ulang tahun ke-47 Merdeka, walaupun ramai di Sabah dan Sarawak menganggap mereka mencapai kemerdekaan hanya selepas meyertai Malaysia 41 tahun lalu (pada 1963).
Sekali lagi sambutan besar-besaran diadakan, kali ini di Kuantan. Tetapi, adakah Merdeka sudah menyelesaikan masalah-masalah pokok yang dihadapi negara dan rakyat? Cuba kita tumpu kepada dua masalah pokok dalam bidang politik dan ekonomi.
Di zaman penjajahan, British telah membentuk masyarakat majmuk di Malaysia (ketika itu Malaya) dengan menggalakkan kemasukan buruh serta golongan lain terutama dari China, India dan Indonesia. Mereka ini boleh dikata melakukan aktiviti-aktiviti ekonomi yang berasingan, meneruskan budaya, agama serta bahasa yang berbeza, dan hidup dalam kawasan atau komunti berlainan. Dengan ini mudah penjajah Inggeris melanjutkan penjajahan mereka dengan melaksanakan dasar "pecah dan perintah"
Sekarang, setelah merdeka, dasar sama masih dijalankan. Sungguhpun berlaku sepanjang masa, ia dijelmakan dengan sangat terbuka sebelum tiap-tiap pilihanraya umum. Ketika itu, isu kaum dan agama dibakar melalui alat-alat pemerintah dan media yang mereka kuasai untuk menimbulkan ketakutan olehkerana ancaman sekatan, ketegangan, bahkan pergaduhan kaum, yang kononnya boleh berlaku dalam negara dan di kalangan rakyat seandainya pemerintahan BN jatuh.

Institusi-institusi penting masih diasing-asing dan dipetak-petakkan mengikut kaum dan agama. Tidak ada penentuan dasar dan galakan rancangan untuk memastikan keseimbangan yang lebih rasional dari segi bilangan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi serta industri kecil dan sederhana, dan bilangan orang bukan Melayu dalam bidang pentadbiran awam.
Walaupun melalui sistem pendidikan, pemberian biasiswa dan penentuan kuota, bilangan Melayu dalam pelbagai profesyen (seperti doktor, jurutera, akauntan dll) sudah bertambah, tetapi ia masih dianggap belum mencukupi. Lagi pula, malangnya soal biasiswa dan kuota itu memburukkan lagi hubungan kaum dan tidak membantu proses perpaduan kaum.
Tanda-tanda keretakan
Tidak wujud keazaman politik, terutama di kalangan pemerintah, untuk mendirikan parti-parti politik yang mempunyai anggota dan dasar yang tidak perkauman; bahkan hampir semua parti dalam Barisan Nasional terbatas hanya pada satu kaum dan menyuarakan lebih banyak tuntutan untuk kepentingan kaumnya saja.
Setelah begitu lama merdeka sepatutnya parti dan politik perkauman tidak digalakkan lagi. Seterusnya, tidak ada dorongan serta motivasi yang cukup untuk membuka pintu angkatan tentera dan pasukan polis dan menarik kaum bukan Melayu memasukinya. Memang benar orang Cina tidak suka memasuki askar atau polis, tetapi adakah usaha dan galakan yang cukup telah dibuat untuk menarik mereka?
Malangnya, sekarang ini pemecahan dan pengasingan institusi penting bukan saja semakin ketara, bahkan bertambah buruk. Dalam sistem pendidikan, dari sekolah rendah sampai ke peringkat universiti, tanda-tanda keretakan semakin jelas dan teruk. Sistem ini menimbulkan pemisahan dari segi bahasa pengantar bahkan juga latar belakang kaum serta ekonomi penuntut atau pelajarnya.
Dari segi kesihatan pula, semakin banyak hospital swasta dibina di samping hospital awam, yang secara kebetulan menarik pesakit-pesakit dari golongan yang berbeza kemampuan dan juga kaum. Selain itu, semakin bertambah pula bilangan hospital yang didirikan oleh kaum tertentu, yang sudah tentu menumpukan pelanggan dari kaum itu juga.
Bukanlah maksud di sini untuk menyekat sama sekali kebebasan mendirikan sekolah, universiti dan hospital bukan kerajaan. Yang hendak ditekankan ialah, malangnya pemerintah tidak mempunyai visi, dasar dan program yang boleh mengawal berbagai-bagai pengasingan dan perbezaan yang berlaku daripada membawa masyarakat hanyut ke gelora pertentangan dan perpecahan kaum, sehingga tidak boleh dibaiki lagi.
Yang bahaya sekarang ini ialah sekolah, universiti atau hospital yang didirikan di luar sistem pemerintahan ialah akibat dari rasa tidak puas hati, terpinggir atau terasing di kalangan mereka yang mendirikannya. Hal ini merupakan satu jenis penentangan di kalangan sebahagian rakyat.
Sama juga seperti kengganan sesetengah pemuda menyertai khidmat negara menjelmakan penentangan mereka terhadap berbagai-bagai perkara yang mereka anggap tidak adil. Mereka merasa terpinggir dan dinafikan hak sebagai rakyat sehingga sanggup menentang tanpa mengira apa risikonya.
Kegiatan yang tak produktif
Punca asas segala masalah ini perlu dikaji, dikenalpasti dan diatasi.
Jikalau tidak, masalah membina perpaduan bangsa dan negara akan terus gagal, walaupun berapa kali lagi kita merayakan ulang tahun kemerdekaan, beribu jalur gemilang dikibar dan pucuk pimpinan menyeru kepada perpaduan, patriotisme dan sebagainya.
Apabila rakyat, terutama sekali rakyat keturunan Melayu berjuang untuk kemerdekaan, mereka berharap akan dapat mencapai perubahan yang besar dalam nasib atau taraf hidup mereka. Negara ini mempunyai banyak sumber kekayaan.
Malangnya, di bawah penjajahan sebahagian besar rakyat Melayu terperangkap dalam kegiatan-kegiatan ekonomi tradisional yang tidak begitu produktif.
Ramai di antara mereka hidup dalam kemiskinan, dan kurang mendapat kemudahan pendidikan, kesihatan serta perumahan yang baik.
Memang diakui bahwa selepas 47 tahun merdeka, banyak perubahan sudah berlaku dan taraf hidup orang Melayu kelihatan bertambah baik. Kadar kemiskinan sudah menurun dari hampir 60 peratus kepada kira-kira 10 peratus. Sungguhpun kemiskinan "teras" (hardcore) berkurangan, akan tetapi sebenarnya kemiskinan perbandingan bertambah buruk.
Maksudnya, secara perbandingan jurang di antara golongan kaya-miskin atau berada-tak berada semakin melebar, kerana kekayaan tertumpu di tangan segelintir orang yang mudah mendapat peluang sebab mereka rapat dengan pihak yang memonopoli kuasa.
Sering disuarakan tentang jurang yang semakin melebar di antara orang Melayu dengan bukan Melayu (khususnya Cina) dan di antara kampung dengan bandar. Akan tetapi, tidak kurang seriusnya ialah melebarnya jurang di antara segelintir Melayu yang paling kaya dan bilangan besar Melayu yang miskin atau sederhana hidup mereka.
Walaupun pada umumnya pendapatan golongan bawahan dan pertengahan yang miskin dan sederhana ini bertambah baik, tetapi oleh kerana kenaikan harga barang-barang keperluan dan juga kemudahan perkhidmatan sosial, seperti kesihatan, pendidikan dan perumahan, kehidupan mereka bertambah sempit.
Agenda Melayu
Dalam beberapa minggu lalu ramai sekali pemimpin Umno dan juga media berbahasa Melayu yang menimbulkan soal Agenda Melayu. Mereka mengeluh kemajuan orang Melayu adalah lebih pada kulit daripada isi. Mereka merungut bahwa orang Melayu masih ketinggalan, berbanding dengan bukan Melayu.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) lebih banyak menekan kepada penciptaan kumpulan korporat kroni besar dalam bidang perniagaan dan perindustrian. Mereka pun tidak begitu berjaya. Walaupun mereka sendiri menjadi kaya raya, namun syarikat-syarikat besar yang diamanahkan kepada mereka hampir lingkup.
Semakin dekat perayaan merdeka dan semakin hampir Perhimpunan Agung Umno, semakin kuat lagi keluhan dan rungutan mereka tentang nasib orang Melayu. Jikalau benar rungutan dan keluhan mereka, apakah yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin utama kerajaan sejak merdeka? Janganlah hendaknya kita menang sorak saja!
Dr SYED HUSIN ALI adalah naib presiden Parti Keadilan Rakyat. Artikel ini adalah penerbitan semula dari akhbar SUARA PRM terbaru.

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.