Seluruh umat Melayu di negara ini sedang merasai kehangatan dan kemeriahan Perhimpunan Agung Umno. Debaran pemilihan sampai ke kemuncaknya esok dan lusa. Seramai 212 calon bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi, pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri. Untung nasib mereka kini di tangan para perwakilan, bukan lagi ditangan ahli-ahli Umno.

Namun begitu di dalam kemeriahan dan keghairahan mengikuti perhimpunan dan pemilihan itu ada seorang pemimpin Umno yang terpaksa berkorban. Beliau bukan sahaja tidak dapat menghadiri perhimpunan itu, malah terlepas peluang berkempen di saat-saat akhir.

Ketika ini semua calon yang bertanding sedang ghairah mengedar kad pengenalan diri masing-masing kepada para perwakilan, si polan ini pula terpaksa terbang jauh ke New York bagi mewakili negara di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Apo nak dikato", begitulah nasib apabila menjadi Menteri Luar. Terpaksalah Datuk Seri Syed Hamid Albar meninggalkan agenda besar dalam Umno itu kerana tugas negara mengatasi kepentingan dan cita-cita politik peribadi. Beliau terpaksa pergi kerana dia bukan calang-calang Menteri Luar.

Syed Hamid bukan sahaja mewakili Malaysia tetapi memikul tanggungjawab sebagai wakil Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) kerana Malaysia merupakan Pengerusi kepada kedua-dua pertubuhan itu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu Syed Hamid memikulnya. Tentunya berat hati beliau untuk meninggalkan negara kali ini ketika orang lain giat berkempen dan melobi. Sekali lagi pemimpin dari Johor yang turut merebut jawatan MT itu terpaksa berkorban dan pasrah. Ini bukan pilihan beliau tetapi satu kebetulan yang tidak dapat dielakkan lagi.

Pengorbanan

Sebenarnya ini bukan kali pertama Syed Hamid terpaksa "menghilangkan" diri ketika Perhimpunan Agung Umno. Pernah sewaktu menjelang pemilihan parti satu ketika dulu, beliau terpaksa melalui pengalaman yang sama. Selaku Menteri Luar, beliau terpaksa menghadiri satu persidangan penting di Bangkok. Ketika itu beliau menawarkan diri menjadi ahli MT.

Seorang sumber yang rapat dengan Syed Hamid bercerita, Menteri Luar itu telah bertanya kepada Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlukah beliau pergi ketika pemilihan berlangsung? Dan Dr Mahathir menjawab lebih kurang begini; " Habib (nama panggilan Syed Hamid), kalau nak menang, sama ada you di Bangkok atau di manapun, akan menang jugak. Kalau nak kalah, walaupun you berada di sini, kalah jugak."

Mendengar jawapan ketuanya itu, dengan berat hati beliau melangkah ke Bangkok. Namun benar seperti Dr.Mahathir, kalau ada rezeki, di mana-mana pun Syed Hamid berada, beliau boleh menang. Pengorbanannya dihargai oleh para perwakilan dan Syed Hamid menang dengan mendapat undi ketiga tertinggi dalam MT.

Adakah nasib akan menyebelahi beliau sekali lagi? Apakah beliau akan terpilih memenangi kerusi MT kali ini? Kalau dilihat pada prestasi kerjanya dan jika para perwakilan menghargai semangat perjuangan anak Singa Umno itu, Syed Hamid akan menang.

Namun ini adalah politik, kadangkala wang ringgit, konsesi balak, projek dan saham lebih berpengaruh daripada rekod kerja dan idelisme perjuangan. Kita tunggu keputusannya pada Khamis ini.

Itu kisah nasib "malang" Syed Hamid. Bagaimana pula dengan peluang calon-calon lain. Pastinya fokus ahli-ahli Umno akan tertumpu pada calon-calon Naib Presiden yang terdiri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri Ali Rustam, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Datuk Shahrir Samad.

Kejutan

Siapa yang akan terpilih? Tinjauan di lobi-lobi hotel dan di tempat-tempat perjumpaan para perwakilan di ibunegara menunjukkan Tan Sri Muhyiddin dan "Mike Tyson" berada di depan. Ini diikuti rapat oleh Ali Rustam dan Isa Samad.

Tiga dari empat calon "favourite" itu dikatakan bakal membarisi kerusi nombor tiga dalam Umno itu. Tok Pa dan Tok Nan dikatakan sekadar memanaskan kerusi sahaja! Shahrir pula dilihat sebagai "underdog" yang mungkin boleh membuat kejutan.

Namun "rating" di saat-saat akhir berubah. Tukang kempen bagi semua calon belum berputus asa. Masing-masing sedang sibuk menjaja nama bos masing-masing hingga ke peringkat menjual nama Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Seorang perwakilan dari Selangor memberitahu, ada wakil calon Naib Presiden yang datang ke rumahnya dan meminta mengundi bos mereka dengan alasan kononnya Pak Lah mahukan si polan. Kononnya calon berkenaan orang kanan Pak Lah.

Malah ada perwakilan memberitahu ada pihak tertentu sedang berusaha keras untuk memastikan calon berwibawa, Ali Rustam tersingkir. Selain itu taktik terakhir yang dikesan sehingga petang Isnin lalu ialah adanya tukang kempen yang menyerahkan senarai calon-calon yang kononnya direstui oleh Pak Lah dan Tun Mahathir.

Di samping itu, sumber dari bilik gerakan seorang calon Naib Presiden mendedahkan terdapatnya usaha-usaha untuk mendapat undi secara blok dari Badan Perhubungan Umno negeri. Taktik ini katanya, amat menguntungkan calon-calon berkenaan jika badan perhubungan dan ketua-ketua bahagian menyetujuinya.

Namun ia amat berbahaya bagi calon-calon yang tidak tersenarai dalam pakej berkenaan. Kata sumber itu, jika para perwakilan patuh pada undian secara blok itu, peluang Shahrir, Tok Pa dan Tok Nan akan menjadi semakin tipis.

Itulah senario peluang calon-calon Naib Presiden ketika rencana ini ditulis. Namun carta nasib mereka sentiasa berubah-ubah hingga ke saat akhir. Tiada calon yang boleh duduk diam walaupun jumlah pencalonan mereka sangat besar jumlahnya.

Sejarah Umno membuktikan jumlah pencalonan tidak semestinya mencerminkan hasrat sebenar para perwakilan. Namun walau apa keputusannya kelak, rakyat berharap proses kempen, pengundian dan pengiraan undi akan berjalan dengan bersih, telus dan lancar. Semoga politik wang tidak menguasai keputusan para perwakilan.

Akhir sekali, kepada para perwakilan, selamat bersidang dan mengundilah dengan bijak dan penuh tanggungjawab. Tangan anda akan mencorakkan masa depan kepimpinan Umno!