"Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno semalam menegaskan pendirian mereka menolak penderhaka untuk menyertai semula parti itu. Pendirian itu ditegaskan oleh ketua ketiga-tiga pergerakan berkenaan ketika mereka menyampaikan ucapan dasar pada persidangan perwakilan masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini." ( Berita Harian, 23 September 2004)

"Tanpa menyebut nama, Rafidah berkata: 'Faham-faham sahajalah siapa yang saya maksudkan '

( Bernama, Rabu 22 September 2004)

Saya pernah diberitahu oleh seorang bekas pemuda Umno bahawa untuk menguruskan ahli Umno ini bukanlah sesuatu yang rumit. Umno menurut kawan saya ini adalah sebuah parti berstuktur feudal. Kalau Presiden Umno kata lembu maka lembulah jawapan ahlinya. Ini bukan cakap saya tetapi pengalaman dari seorang bekas 'tokoh' pemuda Umno yang telah 'bertaubat' tidak mahu lagi menjadi lembu.

Pekara yang sama juga selalu di jual oleh tukang-tukang lawak Parti Keadilan Rakyat - Saudara Zahid Mat Ariff dan Saudara Roslan Kassim.

Opps!!! Maaf. Mereka bukan lagi pelawak dari PKR. Kendati pun, mengikut cerita mulut pelawak bekas PKR ini, orang-orang Umno ini macam itik serati - kepala selalu terhangguk-hangguk bila hendak diberi makan.

Wow! Indah sungguh metapora bidalan ini. Hanya tukang lawak yang berpengalaman sahaja yang dapat melakarkan pandangan seperti ini.

Kalau sayalah tukang lawak ini pasti saya akan patenkan metapora ini agar tidak dapat dicuri dan dibukukan oleh Gabriel Garcia Marquez atau didokumentarikan oleh Micheal Moore.

Sayangnya metapora itik serati ini sudah menjadi seluar bell bottom - telah ketinggalan zaman. Ahli Umno bukan lagi itik serati atau lembu ditindik hidung. Telah berlaku satu letupan mendadak yang membawa perubahan yang amat besar di dalam Umno. Ahli-ahli Umno telah berRevolusi Mental lebih awal dari saranan presiden parti. Dari itik serati ahli-ahli Umno telah menjadi kerbau bala yang degil dan amat payah untuk dikandangkan.

Si-anu- yang-tidak-boleh-disebut-namanya

Ini dibuktikan dengan jelas dari apa yang berlaku pada perhimpunan Umno tahun 2004 ini. Dua minggu sebelum perhimpunan, Presiden Umno telah menyatakan secara jelas bahawa ada si-anu- yang-tidak-boleh-disebut-namanya telah tidak di benarkan menjadi ahli Umno. Kenyataan yang sama telah ditokok tambah pula oleh Timbalan Presiden Umno agar dapat dihalang si-anu-yang-tidak-boleh-di-sebut-namanya ini dari dibincangkan didalam perhimpunan agung.

Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Bahagian telah diberitahu bahawa agenda perhimpunan tahun ini hanya akan membincangkan hal Papua Nugini, konsert Scorpion dan video Mat Datin Terlampau. Bakal-bakal perwakilan juga telah diberi ingatan bahawa si-anu-yang-tidak-boleh-disebut-namanya itu tidak boleh dibincangkan.

Jika saya seorang ahli Umno, semua saranan ini amat jelas. Musthil saya tidak menyedarinya. Saranan dan ingatan ini telah disiarkan secara meluas di akhbar-akhbar dalam dan luar negara. Kenya Times , Zimbawbe Chronicle , Straits Times , Swaziland Daily , Uganda Today dan Utusan Malaysia telah melaporkan dengan panjang lebar tentang saranan dan harapan bakal Presiden Umno ini. Hanya CNN , Washington Post , The Age , International Herald Tribune dan BBC London sahaja yang agak degil dan tidak memberi apa-apa laporan.

Tetapi sikap media luar negara yang menjadi ajen asing ini memang telah lama diduga. Perkara ini telah beberapa kali dikupas dengan panjang lebar lagi bijak bistari oleh wartawan-wartawan dan pengamal media yang unggul seperti Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Kadir Jassin, Huzz, Datuk Johan Jaafar , Datuk Chamil Wiraya, Juwie dan Rejab Arbie. Justeru kita semua telah memahami 'ajenda media asing' ini. Khalas.

Arahan boss tidak dipedulikan

Tetiba di perhimpunan Wanita, Puteri dan Pemuda, si-anu-yang-tidak-boleh-disebut-namanya itu telah dijadikan agenda.

Ucapan-ucapan pembukaan dari pemimpin kerabat pergerakan Umno ini telah menyebut-nyebut tentang wujudnya si-anu-yang-tidak-boleh-disebut-namanya yang ingin berjuang kembali bersama Umno. Rasa saya ini satu pembaharuan dalam politik Umno. Bingkai feudal Umno telah pecah. Saranan bakal Presiden dan bakal Timbalan Presiden telah dihampaikan ke luar jendela. Arahan dari boss telah tidak dipedulikan.

Ini satu perkembangan baru yang cukup sihat. Ahli-ahli Umno kini telah mula berani bersuara dan tidak mahu lagi menjadi tukang angguk aka itik serati. Atau apakah saya sendiri yang tersalah tafsir dan salah baca. Ini kerana pengamatan fikrah saya telah tidak lagi bermaya kerana tidak mendapat suntikan gian dari Sure Heboh dan Afundi.

Sebenarnya saya merenung lama dan cuba mentafsirkan ucapan dari Ketua Pemuda Umno ini. Saya memasang telinga rapat ke peti tv bukan kerana si Ketua ini ditakdirkan berlidah kontot dan bunyi sebutan kata-kata yang cuba dipidatokan terhambur bersimpang siur. Tidak. Saya memasang telinga kerana ingin tahu siapakah yang dimaksudkan sebagai si anu pengkhianat dan

memalukan Umno ini.

Dalam hal khianat mengkhianati ini saya agak kurang arif. Saya menanya diri, si anu manakah yang dimaksudkan? Adakah si anu bekas seorang Ketua Menteri yang pernah dituduh berehem ehem dahulu. Kalau cerita ehem ini betul, memang amat memalukan. Tetapi semua itu hanyalah khabar angin.

Berita ehem ehem ini tidak dianggap saheh kerana protoganisnya tidak pernah diwawancara oleh Tim Sebastian, opps!!! maaf oleh Kamil Singh Wiraya.

Atau si anu yang dimaksudkan memalukan Umno ini ialah susuk seorang bekas Menteri Besar yang gagal mengisi borang kastam di luar negara yang menggunakan Bahasa Inggeris. Untuk saya episod ini tidak memalukan Umno atau memalukan nusa, bangsa dan agama. Ini kerana di zaman persekolahan Menteri Besar ini subjek Maths dan Science tidak diajar dalam Bahasa Inggeris. Anak-anak sekolah di zaman itu dididik dalam bahasa Mendiling.

Jadi si anu mana pula yang dimaksudkan sebagai mengemis meminta pertolongan dari kuasa luar ini. Apakah yang dimaksudkan oleh Ketua Pemuda ini ialah Allawi Perdana Menteri sementara kerajaan Iraq yang pergi meminta bantuan dari Amerika. Jika si Allawi ini yang dimaksudkan maka saya rasa si Ketua Pemuda ini telah melintasi ruang skop kerja beliau. Hal-hal Rumah Putih adalah bidang kerja Menteri Luar dan tidak ada sangkutan dengan agihan kontrek penjualan komputer di sekolah-sekolah.

Kompleks Oedipus

Atau si anu yang di anggap pengkhianat yang meminta bantuan luar ini ialah Menteri-menteri dan ahli-ahli perniagaan kita yang selalu keluar negara untuk menjual bond-bond murah sambil mencari-cari Foreign Direct Investments. Tidak mungkin kerana dari apa yang saya difahamkan Ketua Pemuda ini bukanlah seorang yang rajin membaca apatah lagi dapat memahami isi buku-buku ekonomi yang tebal-tebal.

Apakah si anu yang dimaksudkan sebagai pengkhianat kerana mengemis bantuan luar ialah Menteri Pertahanan kita yang telah membuat 'deal' membeli kereta kebal dari Poland. Saya rasa ini juga tidak mungkin. Kereta kebal dari Poland ini amat diperlukan kerana saya telah mendengar desas desus bahawa Brickfields dan Sentul telah mengancam untuk mendirikan sebuah republik yang merdeka. Ini terbukti dengan wujudnya sebuah kugiran 'underground' yang memanggil diri mereka Republic of Brickfields. Lebih baik kita bersedia dengan kereta kebal Poland dari melihat Sentul dan Brickfields menjadi republik.

Atau memang saheh desas desus yang sering berkeliaran yang menganggap Ketua Pemuda Umno kita ini telah dihinggapi oleh Kompleks Oedipus. Dan si anu yang di anggapnya sebagai pengkhianat dan musuh itu ialah ayahandanya sendiri Tun Hussein Onn. Ini kerana Tun Hussein telah meninggalkan Umno pada tahun 1988 dan terus menentang Umno hingga ke akhir hayatnya. Jika si anu inilah yang tersirat dalam ucapan Ketua Pemuda maka kita tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya kita mendoakan agar Ketua Pemuda Umno ini tidak akan menggarpu matanya seperti Kassim Selamat

Apabila Ketua Wanita Umno Rafidah Aziz berkata - faham-faham sajalah siapa yang saya maksudkan - saya tidak perlu berfikir panjang. Saya faham betul siapa si anu yang dimaksudkan ini. Si anu yang dimaksudkan ini memang saya kenal baik. Bukan sahaja nama orang ini saya boleh eja malah saiz seluar si anu ini pun saya tahu. Ini kerana si anu yang dimaksudkan oleh Puan Rafidah ini pernah dipanggil 2503 dan saya pula dipanggil 2504. Ini bukan angka bil permohonan saham bumiputera kami. Ini ialah number tahanan kami di Kamunting.

Si anu tuan empunya susuk 2503 ini memang tidak diminati oleh Cik Puan Rafidah. Saya amat faham dan bersimpati dengan pendirian Ketua Wanita ini.

Si anu kawan saya ini memang wajib dibenci, wajib dikutuk dan di tohmah sebagai pengkhianat. Saya bersetuju dengan Puan Rafidah bahawa si anu ini memang pengkhianat besar kerana si anu ini telah membocorkan rahsia pemberian saham Puan Rafidah kepada menantunya.

Si anu kawan saya ini ialah seorang jantan yang pasti tidak memahami hati sanubari seorang ibu mithali yang ingin berkorban untuk mendapatkan saham bumiputera kepada menantunya. Si anu 2503 ini masih muda lagi dan belum tahu betapa susahnya perjuangan untuk mendapatkan pink form dan lesen mengimport kereta.

Justeru saya bersetuju untuk menerima hakikat bahawa si anu ini seharusnya dicap sebagai pengkhianat kerana dia masih menyorokkan lima kotak bahan-bahan rashia dan bahan bukti sulit yang pasti akan menyulitkan dan memalukan Umno. Si anu ini samalah seperti seorang penyamun yang telah khianat kerana membuat laporan polis tentang beberapa rompakan yang telah dilakukan.

Tutup mulut pengkhianat

Justeru, saya tidak hairan dengan sikap Puan Rafidah yang berkeras menentang si anu kawan saya ini dari menghampiri Umno. Jika saya sendiri pun diperlakukan sedemikian pasti saya tidak mahu menerima manusia seperti ini memasuki gerombolan saya. Orang macam si anu 2503 ini bukan sahaja 'telah pecah lobang' malah memiliki bahan-bahan bukti yang saheh.

Kerana 'pecah lobang' inilah si anu kawan saya ini telah di hantar ke penjara untuk menutup mulutnya dari terus mengharu birukan kestabilan rumah tangga dan kaum keluarga Puan Rafidah.

Atau semua andaian saya ini salah. Mustahil saya telah tersilap. Dari apa yang saya baca dan difahamkan si-anu-yang-tidak-boleh-disebut-namanya itu tidak pernah melamar untuk memasuki gerombolan Puan Rafidah.

Si anu ini juga tidak pernah menyatakan niatnya untuk memasuki parti Umno. Jadi dari mana susur galur dan punca datangnya si anu yang dituduh sebagai pengkhianat ini.

Saya tidak melihat hidung Puan Azlina dan Puan Rafidah itu mancung. Tidak ada juga pipi Puteri Umno yang tersorong-sorong. Guruh tidak kilat pun tidak tetapi bagaimana kaduk boleh naik junjung. Ini amat menghairankan. Begitu menghairankan sekali sehinggakan seluruh persidangan Umno tahun 2004 ini agendanya utamanya telah berkiblatkan kepada si anu yang di Munich.

Agak pelik dan ganjil kesah persidangan Umno tahun 2004 ini. Si anu-yang-namanya-tidak-boleh-disebut itu telah jelas menerangkan bahawa dia tidak ada niat dan minat untuk merujuk ke Umno. Ertinya si anu ini tidak gila talak. Saya mengakui bahawa saya tidak berupaya untuk mengenal pasti siapakah si anu yang dianggap pengkhianat dan ingin memasuki Umno ini.

Saya hanya sanggup berjani untuk berhubung dengan ajen Mulder dan ajen Scully untuk menyiasat kes ini. Biarlah saya dianggap ajen asing dan pengkhianat bangsa asalkan saya dapat mengetahui secara saheh siapakah sebenarnya si-anu pengkhianat ini.