Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu lalu saya telah memulakan pencerahan tentang  ISIS. Pasti masih ramai yang tertanya-tanya adakah apa yang saya paparkan itu benar. Pasti ada juga yang menyangkal apabila saya nyatakan bahawa ISIS ini bertelur, menetas dan dieramkan oleh CIA – badan perisik Amerika.

 

Pasti ada yang berkata, mustahil satu gerakan Islam yang berjuang untuk mendirikan sistem khalifah diwujudkan oleh lembaga kafir. Mustahil ini berlaku. Semua ini fitnah dan tohmah oleh sosok-sosok yang anti-Islam.

 

Untuk menjawab semua kesangsian ini  saya hanya mengajukan satu soalan sahaja: Kenapa hingga ke hari ini ISIS tidak pernah menyerang Zionis Israel?

 

ISIS telah melintas Jordan, melintas  Mesir dan melintas Libya – masuk ke Tunisia untuk menyerang Hotel Marhaba di Tunisia. ISIS melintas Israel untuk ke Sinai dan menyerang Mesir. ISIS menerobos ke Selatan Iraq  ntuk menyerang Masjid Imam Sadiq di Kuwait. ISIS masuk ke utara untuk menyerang Syria.

 

Pelik tetapi benar negara Zionis Israel tidak pernah diganggu-gugat walaupun ISIS heboh dengan retorika menghancurkan Zionis dan  kaffir. Justeru siapa sebenarnya Islamic State of Iraq dan al-Sham ini?

 

Untuk memahami politik dunia bukan satu yang susah. Kita tak perlu belajar Sains Politik di Universiti  Yale atau Havard atau Westminster Universiti London.

Yang wajib kita ketahui dalam politik adalah ekonomi. Perebutan politik adalah perebutan kuasa. Merebut kuasa politik bertujuan untuk merebut ekonomi.

 

Pilihan raya, siapa jadi presiden atau siapa jadi Perdana Menteri, atau di mana ada rampasan kuasa, ada perang berlaku, ada kumpulan pengganas, ada gerila mahu jatuhkan kerajaan – semua ini adalah bentuk-bentuk perebutan kuasa. Merebut kuasa untuk merebut punca-punca ekonomi.

 

Kuasa politik dunia hari ini didominasi oleh kuasa imperial Amerika Syarikat. Inilah kuasa bala tentera yang terkuat dalam dunia. Inilah kuasa hegemoni yang mencatur politik dan ekonomi dunia hari ini.

 

Ekonomi dunia hari ini mengamalkan dua sistem ekonomi. Satu ekonomi sosialis dan satu lagi ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis dikepalai oleh Amerika Syarikat. Sistem ekonomi sosialis diguna pakai di Korea Utara, Cuba, Venezuela. Musuh sistem ekonomi kapitalis ialah sistem ekonomi sosialis.

 

Pertempuran politik dunia hari ini hakikatnya ialah pertempuran sistem ekonomi kapitalis yang mahu menundukkan sistem ekonomi sosialis. Kaum pemodal kapitalis mahu menghalang negara-negara dalam dunia dari mengamalkan sistem ekonomi sosialis.

 

Sistem kapitalis berkiblatkan keuntungan maksimum untuk individu. Sistem sosialis berkiblatkan keadilan dan kesejahteraan ramai lebih penting dari keuntungan maksimum individu. Dua sistem ekonomi ini bertentangan iman dan akidah.

 

Perang Dingin antara blok Soviet dengan blok Amerika ialah pertempuran dua ideologi, dua pendekatan dalam usaha untuk menyusun masyarakat. Sistem ekonomi kapitalis tidak akan membenarkan sistem sosialis muncul kerana lawannya itu mengajukan kebajikan ramai.

 

Sistem ekonomi sosialis akan menghalang niat cita-cita kaum kapitalis untuk mendominasi punca-punca ekonomi dunia. Sistem ekonomi sosialis akan melawan dan menghapuskan kaum kapitalis yang memerah tenaga kerja kaum buruh untuk keuntungan maksima.

 

Perang Dingin yang dikatakan telah tamat setelah Tembok Berlin runtuh kini kembali bermula. Apa yang kita lihat hari ini adalah sambungan Perang Dingin antara Amerika Syarikat dengan Rusia. Apa yang sedang berlaku dalam politik dunia hari ini ialah perlawanan  dua sistem ekonomi ini.

 

Maka timbul persoalan – apa sangkut paut semua ini dengan ISIS?

 

Jawabnya senang sahaja. ISIS adalah salah satu peluru yang digunakan oleh Amerika sebagai senjata untuk menewaskan Rusia. ISIS menjadi senjata perang Amerika untuk membantai sesiapa sahaja yang cuba menjatuhkan sistem ekonomi kapitalis.

 

Perang Dunia Pertama berpunca dari perebutan wilayah. Perang Dunia Kedua berpunca dari perebutan wilayah, bahan mentah dan pasaran. Perang Dunia Kedua kalau dikaji rapi akan terbukti tidak pernah tamat hingga ke hari ini.

Perang Dunia Kedua berpindah ke Korea, ke Vietnam, ke Afghanistan, ke Bosnia, ke Kesovo, ke Iraq, ke Syria dan kini baru bermula di Ukraine.

 

Kuasa imperialis Anglo-Amerika masih lagi meneruskan perang untuk merebut bahan mentah dan pasaran. Bahan mentah yang sedang menjadi rebutan utama ialah bahan bakar petroleum. Bahan mentah ini masih banyak tersimpan dalam perut bumi di Saudi, Iraq dan Iran. Telaga minyak dan pancutan gas berselirat dalam negara ini.

 

Pada tahap ini dilihat jelas bahawa kaum pemodal Anglo-Amerika telah berjaya menggunakan ISIS. Agenda utama ISIS ialah mengharu-birukan bumi Arab.

ISIS hanya paku dan punat dalam satu strategi jangka panjang kaum Zionis yang didokong oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Pemikir Zionis  telah melakar satu rancangan untuk memecah-belahkan negara di bumi Arab.

 

Strategi yang di panggil Yinon Plan atau Rancangan Yilon. Mengikut perancangan ini, Iraq akan pecah tiga – Iraq Sunni, Iraq Syiah dan Iraq Kurdish.

Syria juga akan terpecah dengan wujudnya Republik Kurdistan. Rancangan memecahkan negara-negara ini bukan satu yang baru.

 

Kuasa  imperialis Anglo-Amerika telah berjaya memecahkan negara di Eropah Timur. Negara saperti Czechoslovakia pecah menjadi Republik Czech dan Slovakia. Negara Yugoslavia hancur. Yang dimunculkan negara-negara kecil saperti Bosnia, Mercedonia, Montenegro dan Kosovo. Ini taktik pecah dan perintah. Negara kecil senang dikawal dan akan menurut kata.

 

Apakah dia Yinon Plan atau Ya’alon Strategy atau Rancangan Yinon ini?

 

Apabila kita membincangkan Timur Tengah dan Negara Arab ada dua perkara akan muncul: Minyak dan Israel. Israel dan minyak ini kait-berkait. Sistem ekonomi kapitalis perlukan minyak untuk bernafas. Manakala Israel pula menjadi soldadu yang setia untuk menjaga dan mengawal telaga minyak di wilayah Arab.

 

Dalam Yinon Plan, (1) Jika Israel mahu terus wujud, Israel wajib menjadi kuasa regional di wilayah Timur Tengah, (2) negara-negara Arab yang sedia ada wajib dipecah-pecahkan.

 

Dua perkara ini adalah induk dalam strategi pertahanan jangka panjang untuk keselamatan Zionis Israel. Maka dari sinilah dimunculkan ISIS untuk membuat kacau. ISIS menetas dari sarang CIA, dilatih untuk mengadu domba antara Sunni dengan Syiah. Antara Arab dengan Kurdish. Perbezaan mazhab dan suku kaum sedang digunakan untuk memastikan negara Arab terus berpecah dan lemah.

 

Iraq satu-satunya negara Arab yang besar, kaya dan membangun di bawah kerajaan yang mengamalkan ciri-ciri ekonomi sosialis telah diserang sebanyak dua kali. Pertama tahun 1990-1991. Kali kedua tahun 2003-2011. Sebelum Iraq diserang, selama lapan tahun Iraq dan Iran berperang.

 

Tujuan perang Iraq-Iran cukup jelas – untuk melemahkan dua negara yang menjadi musuh kepada Israel. Dua negara ini memiliki keupayaan tentera dan ekonomi untuk menyerang Israel.

 

Perang Iraq-Iran – September 1980 hingga Ogos 1988 – ini adalah sebahagian dari perancangan tersusun kaum Zionis-Anglo-Amerika.

 

Pada ketika ini rancangan untuk memecahkan Iraq sedang berjalan lancar. Di bahagian utara Iraq kini menjadi wilayah Kurdish di mana sentimen mahu berpisah dari Iraq semakin kuat. Sentimen ini diyakinkan dengan jumlah telaga minyak yang ditemui dalam wilayah Kirkuk Kurdistan. Kuasa Baghdad ke atas wilayah Kurdish semakin berkurangan.

 

Manakala dalam kota Baghdad, daerah dan mukim yang diduduki oleh warga Sunni telah diambil alih oleh warga Shiah. Warga Sunni tesepit antara wilayah Kurdish di utara dan wilayah Syiah di selatan. Iraq jelas terbahagi tiga. Ini adalah Rancangan Yilon. Ini tidak pernah difikirkan akan berlaku ketika Iraq di bawah Saddam Hussein. Iraq di bawah Saddam adalah Iraq bersatu.

 

Gaduh sana, bom sini, pancung sana, ledakan sini, bunuh sana  dan bunuh sini – apa makna semua ini?

 

Jumlah warga yang gugur di Pakistan, Afghanistan, Iraq dan Syria saban hari bertambah. Setiapa hari puluhan kematian warga negara-negara ini tidak akan kita ketahui. Saban hari bom meledak di Kabul, di Bahgdad, di Ramadi, di Mosul, di Allepo atau di Damas – tidak akan menjadi ‘news’ kepada media Barat.

 

Hakikatnya perang sedang berlangsung. Perang berjalan bukan di tepi rumah kita maka kita tidak tahu dan kita tidak ambil pot. Bagaimana pula dengan negara Arab dan negara Islam yang lain?

 

Bila soalan ini ditanyakan maka saya akan sahihkan bahawa politik ini tidak ada sangkut paut dengan agama, dengan bangsa atau dengan bahasa. Politik ialah ekonomi. Bangsa, agama dan bahasa ini hanyalah alat untuk mengolah persetujuan dalam usaha merebut ekonomi.

 

Dunia menjadi takut dan loya apabila membaca atau melihat keganasan yang dilakukan oleh ISIS. Keganasan atas nama Islam ini tidak mungkin dapat dijalankan tanpa senjata dan dana.  Sekiranya Saudi , Qatar, Kuwait, Negara Teluk dan Turki tidak memberi dana, mustahil ISIS dapat membeli senjata.

 

Membeli senjata dari mana? Tanpa persetujuan Amerika dan Israel mustahil senjata dapat dibeli. Pusing punya pusing kita sampai kembali kepada punca segala punca – Amerika dan Israel.Pusing punya pusing kita hanya bahan mainan yang telah dirancang oleh kuasa imperial Zionis-Anglo-Amerika.

 

Pusing punya pusing kita wajib bertanya kepada ISIS – kenapa Zionis Israel tidak pernah diserang?

Lihat Komen
ADS