Kebelakangan ini, kita lihat bagaimana sesetengah individu dan gerakan Islamis begitu ghairah apabila menuduh satu sama lain 'kafir' dan/atau 'munafik'. Walaupun sikap dan taktik Takfir (menuduh Muslimin lain itu kafir) yang jijik dan dikeji ini, telah dibidas dan dikritik habis-habisan oleh cendiakiawan dan sarjana Muslim lain dari Muhammad Iqbal, Fazlur Rehman ke Sheikh Yusuf al-Qaradawi (1).

Malangnya praktik ini masih berluas-luasan dan diamalkan oleh mereka yang kononnya menganggap diri mereka itu 'Muslimin tulen'. Dalam perlumbaan mereka untuk mencari Islam yang autentik dan murni, mereka telah melanggar segala batasan etika dan lunas-lunas peradaban Islam itu sendiri!

Kecondrongan kepada praktik takfir ini, dapat kita fahami apabila kita sedar bahawa kebanyakan dari mereka yang mengamalkannya itu telah menghayati logik dualisme yang kita telah bincang dalam bahagian IV siri ini.

Kecondrongan kepada logik dialektik bermusuhan (oppositional dialectics) yang sebenarnya bercanggah dengan prinsip Tauhid (yang menekankan kesatuan Tuhan dan alam semesta) ialah satu daripada akibat hegemoni ideologi Barat dan lumpuhnya mentalitas kaum yang ditindas dan dijajah secara sempurna dan menyeluruh.

Inilah bukti konkrit bahawa umat Islam dewasa ini telah meresap dan menghayati nilai-nilai dan ide-ide Barat, walaupun mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka telah menjadi wadah bagi ideologi dan mentalitas Occidentalis itu.

Seperti yang dikatakan oleh pakar sejarah dan sosiologi-politik Ibn Khaldun 500 tahun lalu, ruang mentalitas suatu kaum itulah batasan terakhir sebelum kaum itu dijajah secara menyeluruh:

Apabila ahli-ahli kaum itu mula berfikir menggunakan logik kaum penjajah, maknanya mereka telah benar-benar tewas dan dijajah secara komprehensif.

Struktur-struktur Kekufuran dan Agenda Islamisme Progresif

Dalam konteks politik dunia semasa, satu cabaran yang dihadapi oleh pemimpin, ideolog dan anggota gerakan Islamisme progresif ialah bagaimana mereka dapat melahirkan suatu interpretasi konsep kafir/kekufuran yang relevan bagi kehendak zaman ini. Setakat ini, gerakan Islamis sedunia hanya berjaya menyatupadukan umat Islam sedunia di bawah sepanduk Pan-Islamisme dan dengan menyuarakan slogan emotif 'Islam Dicabar'. (Kadangkala juga kedengaran slogan 'Islam Dihina' atau 'Islam Terancam'.)

Mangsa prejudis

Slogan-slogan ini, sepertimana kita telah terangkan dalam bahagian III dan IV siri ini sebelumnya, telah melahirkan suatu generasi Muslim yang terasa mereka itu senentiasa terancam,

dijadikan mangsa prejudis dan diskriminasi, dizalimi dan dianyai.

Ia juga telah memperkuatkan lagi siratul rahim antara Muslimin sedunia, atas rasa simpati yang tidak mengenal sempadan politik sehingga penderitaan Muslimin di Palestin, Kashmir, Chechnya, Aceh dan Mindanao bisa dirasai oleh Muslimin yang hidup di negara lain yang suasananya lebih enak, cocok dan damai.

Malangnya, seperti kita telah terangkan dalam bahagian III dan IV, sikap prihatin dan kepedulian antara Muslimin ini juga telah memulaukan mereka, sehingga dewasa ini umat Islam sedunia dianggap suatu komuni minoriti, yang terpencil dan dipinggirkan.

'Bonding capital' yang begitu berkesan untuk menyatupadukan umat Islam, telah juga memulaukan mereka dari arus perdana masyarakat antarabangsa, dan akhirnya menjadi batasan yang tidak dapat diatasi secara berkesan oleh kerana ketidak-adanya 'bridging capital' yang dapat menjambatani jurang-jurang budaya, etnik dan ras itu.

Satu lagi akibat negatif praktik ini ialah ia telah menutupkan mata Muslimin sedunia apabila mereka berdepan dengan realiti kezaliman, kekerasan dan keburukan dalam masyarakat Muslim itu sendiri. Aktivis-aktivis Islamis begitu prihatin dan peduli kepada kezaliman yang dikenakan ke atas Muslim di negara-negara lain, tetapi mereka patut sedar bahawa ancaman kepada umat Islam umumnya datang juga dari dalam, iaitu dari kalangan pemimpin dan kerajaan mereka sendiri.

Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan Zionis Israel yang bersikap Facis dan militaris itu telah melakukan begitu banyak kesalahan dan kezaliman terhadap masyarakat Palestin. Tetapi janganlah pula kita lupa bahawa rakyat Palestin telah dizalimi, diperalati, dimanipulasikan oleh kerajaan-kerajaan Arab Saudi, Jordan, Mesir, Syria dan lain-lain negara Arab juga.

Model Muslim Tulen

Dan jangan pula kita lupakan bahawa ummat Muslimin itu bukan semuanya yang baik. Bahlol, pelesit dan goblok-goblok jahil dan tidak berpendidikan yang menjadi anggota tentera Taliban itu, telah sanggup berkerjasama dengan kerajaan Amerika Syarikat dan pihak inteligens Amerika, Israel dan negara-negara Barat; yang telah menggunakan Taliban sebagai boneka mereka untuk menghancurkan kerajaan Mujahideen Afghanistan agar kompeni-kompeni minyak dan gas Barat bisa mendirikan sistem paip untuk minyak dan gas di Asia Tengah. Mustahil dikatakan bahawa hantu-hantu begini bisa dianggap 'model Muslim tulen'!

Dalam konteks pergolakan politik yang begitu rumit dan kompleks sebegini, kita mesti bermula dari soalan yang paling penting: Apakah itu kekufuran, dan siapa/apakah itu 'kafir' yang sebenar?

Kekufuran dari aspek struktur politik-ekonomi

Dalam Tafsir Surah Hud, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah memperingati kita bahawa perkataan 'kafir' itu berasal dari suatu istilah agrarian, iaitu suatu istilah yang digunakan oleh kaum tani. Akar etimologinya ialah perkataan 'kufr', yang bermakna 'mengambusi atau menutup lubang yang digali untuk menanam sebiji benih'.

Bagaimanakah perkataan 'kufr' (istilah agrarian) ini menjadi suatu istilah teologis/keagamaan? Inilah proses diakronisma (diachronic) yang membuktikan bahawa bahasa dan wacana (discourse) itu bersifat plastik, iaitu ia bisa berubah mengikut konteks apabila istilah-istilah dan perkataan-perkataan digunakan dalam konteks berbeda (multiple contexts).

Seseorang yang dikatakan 'kafir' itu ialah individu yang menutup matahatinya apaila berdepan dengan hakikat kesatuan alam dan kewujudan Tuhan yang satu dan yang maha esa. Ia dikatakan 'kafir' kerana ia melakukan kekufuran, kerana menutup mata hati dan tidak menerima realitas yang terbukti jelas.

Apakah realitas yang dinafikan itu? Inilah realitas konsep Tauhid, yang menekankan kesatuan alam dan kesama-rataan antara segala makhluk yang diwujudkan Tuhan. (2)

Kekufuran bukan semata-mata suatu aksi sepihak, yang dilakukan dengan sengaja oleh individu atas sebab-sebab subjektif. Memang nyata bahawa dalam kasus-kasus individu tertentu, sikap kekufuran itu mungkin wujud oleh kerana prejudis dan mentalitas individu itu sendiri. Mereka yang bersikap racis, yang bersikap prejudis terhadap golongan atau kaum lain atas alasan mereka itu adalah bangsa/ras/gender yang rendah, dan lain-lain ini adalah contoh kekufuran pada tahap individual.

Struktur kekufuran

Manusia yang racis, atau bersikap prejudis atas perbedaan warna kulit, bahasa, ethnis/ras bukan saja bersikap tidak-rasional, tetapi lebih menghuatirkan lagi, menunjukkan sikap anti-Tauhid apabila mereka menafikan hakikat bahawa semua umat manusia itu sama-rata, dan datang dari Tuhan yang sama.

Tetapi kekufuran juga disebabkan oleh struktur-struktur ekonomi, politik dan sosial yang wujud merata-rata, dan malangnya tidak dipedulikan ramai. Apakah stuktur-struktur kekufuran ini? Inilah struktur-struktur ekonomi-politik yang menyenangkan proses eksploitasi dan memperalatkan manusia, sehingga insan manusia yang diberikan Tuhan daya berfikir, agensi rasional, status dan keperibadian unik direndahkan kepada status suatu mesin atau alat perkakas dalam jentera ekonomi Kapitalis itu, tenaganya hanya diperah dan digunakan habis-habisan.

Kapitalisme dan Kekufuran

Sistem ekonomi-politik Liberal-Kapitalisme itulah struktur kekufuran yang paling zalim, merbahaya dan menonjol pada zaman kita ini. Segala bencana dan musibah yang melanda ummat manusia sedunia dari kadar pengangguran yang melambong di Barat, ke kemunduran ekonomi di Afrika, ke keadaan huru-hara di Iraq semuanya disebabkan oleh dominasi hegemonik sistem kapitalis global yang telah membawa bencana.

Peperangan di Afghanistan dan Iraq itu tidak ada kena-mengena dengan alasan 'perang anti-terror', tetapi didorong oleh rasa tamak haloba golongan kapitalis sedunia untuk memerah hasil alam semulajadi, khususnya minyak dan gas, dari negara-negara yang diserang dan dijajah itu. Pemuda-pemudi Amerika dan negara-negara sekutunya dihantar ke Iraq untuk melawan dan menjajah suatu masyarakat yang tidak berdosa.

Tragedinya ialah anak-anak muda Amerika itu kebanyakannya datang dari keluarga miskin dan tidak berpendidikan tinggi. Mereka pula dihantar ke Iraq untuk mati ditangan tentera guerilla Iraq, yang juga datang dari golongan miskin.

Hakikatnya anak-anak muda Amerika itu sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan anak-anak muda Iraq, manakala golongan elit Amerika termasuk pengecut dan penipu nombor satu George Bush dan kroni-kroninya tinggal secara aman dan enak di istana-istana mewah yang dikelilingi pengawal mereka! Nampaknya seakan zalam kolonial yang pahit itu, telah kembali menghantui kita semua...

Sistem ekonomi

Malah dari abad ke-17 lagi, politik kolonialisme dan imperialisme Barat memang tidak ada apa-apa kaitan dengan aspirasi murni seperti menyebar nilai dan ide ketamadunan Occidental, tetapi hanya untuk merampas kekayaan negara-negara lain dan melumpuhkan sistem ekonomi lokal di Asia, Amerika Selatan, Afrika dan negara-negara Arab.

Manakala sistem ekonomi Islamis (iaitu sistem ekonomi yang diwarnai dan diatur mengikut nilai-nilai Islami) bertujuan untuk menyatupadukan umat manusia secara menyeluruh (dan bukan umat Islam saja, ingat!), sistem ekonomi Liberal-Kapitalis mempunyai tujuan yang sebaliknya: Iaitu untuk mewujudkan jurang-jurang perbedaan kelas antara kaum miskin dan kaum kaya; kaum lemah dan kaum berkuasa; kaum yang dieksploitasikan dan kaum yang mengeksploitasikan.

Tetapi konsep kelas (seperti juga konsep 'ras/ethnis') ini merupakan konsep tidak-semulajadi (unnatural) dan tidak rasional (irrational), malah anti-rasional. Baik dari segi teologis dan segi epistemik, 'kelas' merupakan suatu konsep yang tidak ada asas dalam peraturan alam semulajadi (natural order). Ia merupakan suatu rekaan manusia, dan suatu fenomena yang bid'ah dari segi hukum shariat alam. Perbedaan kelas sosial wujud dari praktik ekonomik yang tidak seimbang dan tidak adil semata-mata.

Seseorang Muslimin itu mesti ingat bahawa dari sudut pandangan Tuhan yang maha Esa, umat manusia itu merupakan suatu umat yang sama-rata, dengan taraf/status yang sama. Kita semua insan manusia, dan status ke-insanan kita itu bergantung kepada ciri-ciri kemanusiaan kita, yang termasuk sifat simpati, kasih-sayang, empathy, perikemanusiaan, kepedulian dan lain-lain. Tidak ada perbedaan ras atau perkauman dari sudut pandangan Tuhan, apatahlagi perbedaan kelas yang diwujudkan semata-mata oleh sistem ekonomi yang tidak seimbang dan menguntungkan hanya suatu kelompok minoriti yang berkuasa.

Stuktur ekonomi-politik yang membelah-bagi ummat manusia yang satu kepada puak-puak yang berbeda ini patut difahami dan dikenali sebagai suatu struktur kekufuran, yang menafikan kesatuan dan persamaan antara umat manusia, malah memecah-belah danmemperkotak-kotakkan umat manusia yang satu. Oleh kerana sistem ekonomi kapitalis yang tidak seimbang inilah wujudnya kemiskinan dan kemunduran.

'Kemiskinan' bukan suatu bencana yang wujud secara semulajadi, ataupun jatuh dari langit tetapi diperbuatkan secara sengaja oleh praktik sistem kapitalis yang secara sistematis mengeksploitasikan warga miskin dan memerah tenaga mereka untuk kehendak mencari keuntungan yang maksima (profit maximisation). Jadi 'kemiskinan' itu sebenarnya suatu gejala sosial buatan manusia, suatu fenomena yang bid'ah menyeleweng hukum shariat alam, dan juga suatu pembuatan yang berdosa.

Isu konkrit

Jikalau gerakan Islamisme progresif ingin membuktikan relevensinya dan sikap kepeduliannya terhadap isu-isu sosial semasa, maka masalah struktur ekonomi-sosial-politik inilah mesti dijadikan objektif politik unggulnya. Seperti saya telah sebut dalam bahagian-bahagian sebelumnya, saya masih yakin bahawa gerakan Islamisme global mempunyai daya upaya untuk

melahirkan suatu wacana alternatif yang pragmatis, effektif dan konstruktif agar bisa menangani masalah globalisasi zaman ini.

Tetapi jikalau gerakan Islamisme progresif ini hendak berjaya, maka pemimpin, ideolog dan anggota aliran ini mestilah berfikir tentang isu-isu konkrit seperti struktur ekonomi global sedunia. Gerakan Islamisme sedunia telah berjaya menggerakkan tenaga manusia secara besar-besaran, tetapi kritiknya terhadap struktur-struktur kekufuran dan kezaliman era semasa begitu lemah kerana banyak dikalangan kelompok ini yang curiga kepada konsep-konsep seperti persoalan kelas dan struktur ekonomi.

Pada era Perang Dingin, gerakan Islamisme progresif dibelakangi oleh aliran Islamisme konservatif yang lebih kuat bersuara. Atas alasan takut dituduh 'Marxist' atau 'komunis', golongan ilmuan Islamis progresif berasa was-was apabila menyebut tentang persoalan kelas dan struktur ekonomi. Hanya beberapa individu yang berani menjalankan sistesis konstruktif dengan menggunakan ide-ide politik aliran kiri, antaranya Ali Shariati.

Tetapi sikap ketidak-pedulian terhadap isu-isu struktur inilah yang dewasa ini melemahkan gerakan Islamisme progresif, sehingga bisa dikatakan kebanyakkan antara mereka yang mengaku dirinya Muslim progresif itu hanya 'harimau tua tidak bergigi taring'!

Waktu ini kita yang mengaku diri kita Islamis progresif tidak boleh lagi berdolak-dalih dan mencari alasan sang pengecut. Jangan usah membuang masa berdiskusi tentang persoalan esoterik, seperti ada atau tidak-adanya jin dan hantu, halal atau tidaknya internet, dan lain-lain lagi. Kalau nak sibuk sangat mencari 'kafir', nah, buka mata dan lihat kekufuran yang menonjol di depan batang hidung sendiri: Kapitalisme yang memecah-belah umat manusia itulah kekufuran yang paling jelas waktu ini.

Soalannya, bisakah kita membina suatu sistem ekonomi-politik yang dapat menyatupadukan umat manusia pula? Selagi soalan ini tidak dapat dijawab, janganlah harap Islam progresif

itu bisa berjaya!

Notakaki:

(1) Lihat: Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Islamic Awakening: Between Rejection and Extremism. Diterbit kali pertama dalam bahasa Arab, 1981. Diterbit kembali dalam bahasa Inggeris oleh International Institute of Islamic Thought (IIIT), Cairo. 1991; dan dalam Charles Kurzman (redaktur), Liberal Islam: A Sourcebook. Oxford University Press, Oxford. 1998.

(2) Walaupun patut ditekankan bahawa kesatuan alam tidak semestinya bermakna bahawa semua yang ada dalam alam semesta yang diwujudkan Tuhan itu sama belaka. Jelas terbukti bahawa manusia merupakan spesis haiwan yang lebih kompleks dari objek yang lain, oleh kerana manusia mempunyai daya fikiran dan fakulti kognatif yang dapat memahami peranan, makna dan sebab-musabab kewujudannya di dunia, berbanding dengan haiwan dan tumbuhan, apatah lagi objek tanpa ruh seperti batu, air, cahaya, dll.