Ketika rakyat negara ini bersesak-sesak beli-belah untuk menyambut Aidil Fitri dan Deepavali di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India, nun di utara tanahair, ada manusia yang sedang lemas dalam kekejaman.

Kita sedang ghairah menunggu hari kebesaran pada 14 November ini, namun mereka sedang bersedih dan berang menyambut satu demi satu plastik mayat adik beradik, sanak saudara dan kawan taulan yang terkorban oleh keganasan pasukan keselamatan mereka sendiri.

Kejadian itu tidak jauh dari kita, bukan di Burma atau Afghanistan atau Iraq. Juga bukan di Sudan atau Colombia, ianya di Tak Bai, Selatan Thailand, negara yang dikatakan kaya dengan senyuman dan kelembutan!

Seramai 85 orang disahkan mati, 78 daripadanya kerana sesak nafas dan terhimpit. Sebahagian besar anak muda yang sedang berpuasa, dihumban ke dalam trak yang penuh sesak dan dibawa merentasi perjalanan sejauh 120 kilometer selama 6 jam. Sungguh kejam!

Satu demi satu penindasan dilakukan ke atas penganut Islam di wilayah selatannya. Masih segar dalam ingatan kita tragedi serangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh para komando Thailand di Masjid Kersik, Pattani beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian itu, berpuluh-puluh pemuda yang bersenjatakan lastik, terkorban kerana ditembak dan dilanyak oleh tentera Thailand yang bersenjatakan mesingan, pelancar roket dan bom tangan.

Keganasan dan kekejaman itu sedikit sebanyak menjentik perasaan kita. Timbul juga rasa marah kepada Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. Sejak beliau menerajui Thailand pada awal dekad ini, kekejaman bukan perkara baru di negara jiran kita itu. Dua tahun lalu, ketika Thaksin memerangi pengedar dadah, lebih 2,000 rakyatnya telah menjadi korban.

Hilang kepercayaan

Nampaknya, kekejaman dan penderaan bukan sahaja berlaku di Guatanamao Bay atau penjara Abu Gharib, tetapi di sisi kita. Adakah klon Saddam Hussein atau George W Bush sudah muncul di Asia Tenggara?

Imej Thaksin dan Thailand sudah dipalit keaiban. Kini bukan sahaja rakyatnya sendiri tidak percaya pada pasukan keselamatannya, malah seluruh dunia, terutama negara-negara Islam memarahi pemimpin dan negara itu.

Thailand bukan lagi syurga dunia. Kini ia bergolak dengan dendam, serangan bom dan serangan hendap. Pekan Golok dan Hadyai bukan lagi tempat berhibur, sebaliknya bertukar menjadi bandar yang menakutkan. Beberapa siri letupan bom beberapa hari lalu telah menjauhkan pelancong dari bandar-bandar tersebut.

Ancaman balas dendam ini dijangka menular ke Bangkok, Phuket dan Chengmai sedikit masa lagi. Pertubuhan Bersatu Pembebasan Pattani (Pulo) telah berikrar menjadikan Bangkok bermandi darah.

Namun Thaksin nampaknya terus tidak serius untuk menangani masalah di selatan Thailand ini. Beliau sebaliknya memuji tindakan pihak berkuasa negaranya menangani demonstrasi di hadapan balai polis Tak Bai itu dengan menyifatkanya sebagai satu 'pendekatan lembut'.

Lebih menyakitkan hati apabila dia merumuskan kematian 78 pemuda di Tak Bai itu kerana lemah akibat berpuasa. Satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab!

Kekejaman terbaru di Tak Bai ini melenyapkan segala harapan untuk memulihkan hubungan antara wilayah itu dengan Bangkok. Penduduk Islam di Yala, Narathiwat dan Pattani, kini semakin curiga dengan kerajaan mereka.

Cari isu baru

Polis dan tentera Thailand tidak lagi dilihat sebagai tempat berlindung, sebaliknya dipandang sebagai algojo yang ganas.Hasrat pihak ketiga, terutamanya Malaysia untuk menjernihkan hubungan yang selalu tegang antara Bangkok dan selatan Thailand, pastinya menjadi semakin sukar.

Inisiatif Kuala Lumpur untuk membantu memulihkan dan membangunkan wilayah yang mundur itu, sebagaimana dipersetujui oleh Thaksin dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan di Phuket bulan lalu, kini menghadapi cabaran besar.

Kini Thaksin perlu lebih jujur, bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk memulihkan konflik ini. Beliau tidak boleh bersandiwara lagi. Thaksin dan seluruh rakyat bukan Islam Thailand perlu berhenti menganggap penduduk Islam di selatan Thailand ini sebagai 'pendatang dan pengacau'.

Jutawan telekomunikasi yang juga salah seorang orang terkaya di Thailand itu perlu berhenti menganggap orang Islam sebagai pengganas. Beliau perlu bersikap lebih terbuka dan peka terhadap penduduk Selatan Thailand serta negara-negara jiran dan dunia Islam keseluruhannya.

Dengan kejadian terbaru ini, tiada siapapun akan percaya pada kata-kata Thaksin bahawa kerajaannya tidak pernah menjadikan penganut Islam sebagai sasaran. Kita tahu Thailand akan menghadapi pilihanraya tahun depan dan parti pimpinan Thaksin telah tewas dalam satu pilihanraya tempatan di Bangkok beberapa bulan lalu.

Dengan pentadbirannya dicemari oleh isu rasuah dan penyelewengan, kedudukan Thaksin mungkin tergugat. Beliau sedang mencari isu baru untuk dianggap sebagai hero oleh para pengundinya.

Setelah usaha untuk meraih populariti melalui percubaan membeli kelab bolasepak Liverpool gagal, kini Thaksin cuba menjadikan isu 'keganasan di selatan Thailand' sebagai modal politiknya.

Namun beliau sebenarnya tersilap langkah, dalam diam bukan sahaja rakyat di Selatan Thailand berdoa mahukan Perdana Menteri yang baru, malah pengundi di wilayah lain juga sudah muak dengan tindak-tanduknya yang menguruskan Thailand bagaikan syarikat miliknya sendiri.