Seramai 84 rakyat Thai mati dibunuh oleh tentera mereka sendiri. Kebanyakan mereka mati akibat sesak nafas dan dipijak ketika berasak-asak di dalam trak yang sempit sewaktu dalam perjalanan untuk dibawa ke kem tahanan tentera.

Kejadian ini sepatutnya menjadi peringatan kepada semua rakyat negara Asean. Di Thailand, sepertimana di kebanyakan tempat di Asean, kita sedang menyaksikan kemunculan semula fahaman fasis (Fasisme) di dalam sistem pentadbiran.

Pembunuhan kejam rakyat Thai beragama Islam itu, telah mengingatkan kita kepada pembunuhan kejam berpuluh-puluh aktivis pro-demokrasi pada tahun 1988 di Burma. Mereka ini dimasukkan beramai-ramai ke dalam lori-lori tertutup, manakala paip ekzosnya dihala ke dalam kenderaan tersebut.

Mereka mati akibat sesak nafas selepas tersedut asap lori yang bertoksik. Mungkinkah ianya merupakan satu lagi kes regim zalim di Asean yang meneladani regim zalim Asean yang lain? Ia juga bukti yang menunjukkan usaha untuk membentuk negara demokrasi di Asean masih jauh dari mencapai matlamatnya.

Dan ia juga menjadi bukti bahawa dasar 'tidak campurtangan' atau dasar pintu tertutup yang diamalkan dalam urusan dalaman sesebuah negara, menjadi cara termudah bagi negara-negara ini membiarkan kerajaan masing-masing menzalimi rakyat mereka sendiri.

Pembunuhan yang sungguh kasual ini berlaku di Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra. Ini menunjukkan betapa beliau tidak memperduli dan menghormati nilai-nilai kehidupan dan hak-hak asasi manusia.

Lidah pengarang akhbar Thailand, The Nation telah membuat kesimpulan yang tepat sekali tentang ketiadaan moral di negara itu, apabila ia menyatakan: "Tindakannya (Thaksin) yang tidak memperdulikan hak-hak kemanusiaan telah mengakibatkan pelbagai tragedi peribadi yang ditutup dengan pengisytiharan tentang kejayaan kerajaannya memerangi dadah. Tetapi kini, kecacatan kepimpinannya itu, telah mengakibatkan negara diancam perpecahan teruk antara rakyat dan negara".

Tetapi semua ini bukanlah suatu kejutan kerana apabila Left-Kol (B) Dr Thaksin Shinawatra memegang kuasa, ia secara tidak langsung menjadi petunjuk mengenai kejatuhan projek demokrasi di Thailand dan kembalinya pemerintahan autoritarian untuk menguasai semula negara itu.

Disokong pihak tentera

Pergerakan pro-demokrasi dan pro-reformasi di Thailand bergerak aktif sejak awal abad ke-20 lagi, yang dipimpin oleh reformis-modenis seperti Pridi Banomyong dan seterusnya diambil alih pada 1960-an oleh golongan intelektual berhaluan kiri seperti Jit Pumisak.

Suasana demokrasi itu wujud sekejap di Thailand selepas peristiwa kebangkitan kaum pelajar pada Oktober 1973. Bagaimanapun, ia ditamatkan tiga tahun kemudiannya (Oktober 1976) oleh golongan anti-reformasi yang dipimpin oleh elemen ekstremis berhaluan kanan yang disokong oleh pihak tentera.

Pergerakan pro-demokrasi ini pada mulanya disokong oleh sesetengah golongan elit Thailand, termasuk keluarga Diraja Thailand. Tetapi, disebabkan penistaan terhadap golongan berhaluan kiri ketika Perang Dingin, maka golongan demokrat berhaluan kiri ini dituduh mendapat simpati golongan pro-Komunis dan dianggap menjadi ancaman kepada golongan pemerintah elit serta kepentingan pelabur asing (terutamanya Amerika dan Jepun).

Oleh kerana Thailand merupakan negara barisan hadapan dalam peperangan menentang Komunis yang dilancarkan oleh Amerika di Vietnam, maka Amerika dan negara kuasa besar barat membantu rampasan kuasa oleh golongan melampau sayap kanan yang anti-reformasi, termasuklah keluarga diraja, pihak tentera, malah para sami Buddha.

Penyingkiran golongan demokrat berhaluan kiri pada 1976 mengingatkan kita kembali kepada pembunuhan kejam beribu-ribu golongan berhaluan kiri di Indonesia pada 1965 dan penaklukan Timor Timur pada 1974 di bawah pengawasan 'Uncle Sam' yang lebih mengutamakan kepentingan politiknya daripada soal hak asasi manusia.

Meskipun begitu, eksperimen demokratik antara tahun 1973-1976 (yang menyaksikan kerajaan yang benar-benar mengamalkan demokrasi di era pasca peperangan), tetap meninggalkan kesan terhadap penekanan nilai-nilai demokrasi dan reformasi dalam masyarakat Thailand.

Selepas itu, pada Oktober 1977, puak sederhana dalam pasukan tentera Thailand telah melancarkan kudeta untuk memegang kuasa, dan sekaligus meningkatkan lagi unsur-unsur kesederhanaan dalam sistem politik Thailand ((yang masih banyak dikuasai oleh tentera yang disokong oleh Barat).

Ketiadaan fungsi pembangkang demokratik, telah menyumbangkan kepada wujudnya golongan elit yang mementingkan harta. Mereka selalunya berpakat dengan tentera dan polis untuk menggunakan ruang demokratik sivil yang terhad itu, untuk melebarkan jaringan pelindung-klien mereka sendiri dan pada masa yang sama, terlibat secara lansung dalam ekonomi 'pasaran gelap bawah tanah'.

Pertimbangan jangka panjang

Budaya elektokrasi (electocracy) semakin berkembang kerana ahli politik Thai menganggap negara itu milik peribadi mereka yang boleh diperlakukan sesuka hati manakala rakyatnya dianggap sebagai wakil yang boleh dibeli.

Tahun 1970-an dan 1980-an pula menyaksikan pertumbuhan 'politik-pelanggan' di mana perbezaan ideologi politik menjadi perkara kedua, manakala perbalahan politik sudah menjadi satu lumrah. Akibatnya, kerajaan-kerajaan campuran yang memerintah selepas itu, menjadi tidak stabil. Fungsi utama Perdana Menterinya ialah untuk memenuhi permintaan ahli politik yang menguasai sokongan akar umbi, tanpa menghiraukan pertimbangan jangka panjang ekonomi mikro.

Negara telah menjadi alat dalam muslihat perbalahan politik, dan sebagai akibatnya, garis pemisah antara politik dan perniagaan menjadi semakin samar. Thailand juga mengadakan pilihanraya terbanyak, berbanding negara lain di Asean dan ia selalunya diiringi keganasan berunsurkan politik. Kejatuhan negara ini hanya dihentikan buat sementara berikutan rampasan kuasa oleh Majlis Keamanan Negara, yang ditunjangi oleh pihak tentera.

Bagaimanapun, pada 1992, golongan pertengahan yang mempunyai hubungan politik, menjadi semakin kuat dan pada Mei 1992, golongan kelas pertengahan Thai, telah menerajui rampasan kuasa yang membawa kepada perletakan jawatan Perdana Menteri Jeneral Suchinda Kraprayoon.

Mei 1992 pula merupakan tahun penting kerana ia menyaksikan berakhirnya campurtangan secara terus pihak tentera dalam politik Thailand. Ramai pemerhati politik di dalam dan luar negeri yang mengharapkan agar ia membawa kepada pemulihan sepenuhnya masyarakat madani dan amalan demokrasi di negara itu serta penerusan semula projek reformasi yang tertangguh.

Namun, tempoh 1992-1997, menyaksikan kebangkitan golongan elit perniagaan kota yang yang mengamalkan fahaman liberal-kapitalis. Mereka kembali kepada politik-klientelisme dan politik naungan.

Ekonomi Thailand meningkat secara mendadak akibat perluasan kredit secara sewenang-wenangnya, pelaksanaan pelbagai projek mega, kemasukan tidak terkawal Thailand ke pasaran global dan jumlah besar pelaburan asing di negara itu.

Bagaimanpun, ledakan ekonomi itu berakhir pada 1997 dengan kejatuhan nilai matawang Thai akibat krisis matawang yang melanda Asia Timur pada 1997-1998. Berikutan krisis tersebut, hampir 65 peratus pemodal di Thailand jatuh muflis.

Sistem autoritarian

Selepas berlakunya krisis matawang tersebut, masyarakat Thai mula bermusabah diri, begitu dengan masyarakat pertengahannya, yang lebih bersikap mempertahankan hak sendiri. Kegagalan kerajaan Perdana Menteri Chauvalit untuk menyekat kejatuhan berterusan nilai matawang Baht mengakibatkan berlakunya krisis kepercayaan terhadapnya dan campurtangan kuasa besar diperlukan untuk menghentikan krisis ekonomi daripada menjadi semakin parah.

Gerakan pro-demokrasi dan pro-reformasi pula menerima tamparan hebat apabila golongan elit perniagaan kota mengalihkan sokongan mereka kepada pemimpin politik yang kuat yang mencadangkan supaya model negara yang bersifat sentris dan kuat, malah autoritarian, diwujudkan di Thailand.

Dan ketika itulah, Thaksin Shinawatra mula terkenal. Beliau adalah bekas komander pasukan keselamatan berpangkat Leftenan Kolonel dalam pasukan Polis Thailand. Dengan latarbelakang pendidikan sama seperti pemimpin kanan tentera dan pasukan keselamatan Thailand, beliau mendapat penghormatan dan sokongan dari tentera serta pasukan keselamatan.

Beliau kemudiannya menceburi dunia perniagaan dan berjaya menjadi peneraju utama dalam bidang telekomunikasi. Kedudukannya yang teguh dalam bidang perniagaan dan hubungan rapat dengan pihak tentera, serta mempunyai sumber kewangan sendiri, beliau telah menubuh parti Thai Rak Thai (Thai cintakan Thai) dan berjaya memerintah dengan sokongan kuat golongan pertengahan dan masyarakat perniagaan (dan sokongan kapitalis asing).

Kejayaan Thaksin itu berkebetulan dengan pengisytiharan Perlembagaan Thailand pada 1997 yang pada zahirnya dilihat seperti membawa pembaharuan tetapi pada realitinya, ia lebih menjuruskan kepada pengukuhan kuasa badan Ekskutif (Perdana Menteri) terhadap badan perundangan dan badan-badan lain dalam kerajaan.

Bekerja di dalam parameter Perlembagaan 1997 yang menyebelahi Eksekutif, Thaksin merintis siri pembaharuan untuk memulihkan kuasa dan kedudukan golongan elit perniagaan serta memenuhi keperluan modal di dalam dan dari luar negeri.

Berikutannya berlaku demonstrasi dan tindakan mogok pekerja pada 1997 yang tidak pernah berlaku sebelumnya (1,200 pada 1997, berbanding 754 pada 1995), Thaksin dan para penyokongnya dari kalangan ahli perniagaan, mahu menubuhkan sebuah parti politik dan kerajaan yang dapat melindungi kepentingan pelaburan mereka dan pada masa yang sama,

memulihkan ketenteraman awam.

Sebahagian daripada projek Thaksin itu ialah 'perjanjian sosial baru' dengan rakyat Thailand, yang menjanjikan pemulihan ketenteraman awam, walau apa cara sekali pun. Di bawah kepimpinan Thaksin, rakyat Thailand selalu disogokkan dengan propaganda tentang ancaman dalam negeri dari kumpulan pengedar dadah sehinggalah kepada kumpulan militan Islam di Selatan Thailand.

Kekejaman

Berikutan serangan pengganas pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan serangan yang juga didakwa dilakukan pengganas di Indonesia pada 2001, Thaksin 'peperangan menentang keganasan' sebagai alasan untuk memperkukuhkan kuasanya dan memberi lebih kuasa kepada pihak keselamatan Thailand.

Malah, Perdana Menteri Thailand itu cuba menunjukkan kepada rakyat Thailand dan masyarakat antarabangsaa bahawa konflik yang berlaku di wilayah masyarakat Islam di Selatan negara itu adalah sebahagian daripada trend 'keganasan Islam' yang perlu ditangani dengan keras, walaupun kadangkalanya dilihat kejam.

Pendekatan angkuh Thaksin ini dituruti dengan pelantikan Jeneral Panlop Pinmanee seorang bekas pegawai askar upahan di Laos dan ketua Skuad Anti-Komunis Berani Mati di dalam pasukan tentera Thailand ke jawatan Timbalan Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (asalnya sebuah unit anti-Komunis yang diberi nama Operasi Penghapusan Komunis).

Seperti rakan sejawatan di Indonesianya Jeneral (B) A. M. Hendropriyono (yang ditugaskan oleh Presiden Megawati Sukarnoputri menjadi ketua kepada unit Anti-Keganasan di Jakarta), Jeneral Panlop Pinmanee terkenal dengan taktik-taktik kejamnya dan rekodnya mengenai pelanggaran hak asasi manusia, sepertimana kekejamannya sewaktu kempennya menentang kumpulan pengedar dadah di Thailand yang menyaksikan pembunuhan kejam kira-kira 2,000 orang.

Seperti juga Indonesia dan Malaysia, Thailand bangga kerana mempunyai pusat anti-keganasan antarabangsa yang berpusat di selatan negara itu. Dan sepertimana pusat-pusat anti-keganasan lain di Asean, pusat-pusat anti-keganasan Thailand diberi sokongan padu oleh negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Jeneral Pinmanee dan unit Operasi Keselamatan Dalam Negeri, bersama-sama dengan agensi perisikan Thailand NIA) dan tentera Thailand ke-4 pimpinan Leftenan Jeneral Pisarn Wattanawongkeree, telah ditugaskan ke wilayah Islam di selatan Thai di Pattani, Jala, Narathiwat dan Satun. Dan ini merupakan jawatan pertama yang pernah disandang oleh Jeneral Beneral Pisarn di luar kota Bangkok.

Pendekatan konfrantasi Jeneral Pinmanee telah membawa kepada berlakunya peristiwa 28 April 2004 apabila tentera Thai menyerbu masuk ke Masjid Keresek di Pattani, dan membunuh kesemua mereka yang berlindung di dalam masjis tersebut kerana didakwa sebagai pejuang pemisah Islam (para saksi mendakwa askar-askar telah mencemar kesucian masjid itu kerana bertempur di situ).

Thaksin menggunakan pendekatan 'keras dan lembut' dalam menyelesaikan pergolakan di selatan Thailand. Beliau membenarkan komander kanan dalam pasukan militan Thai untuk bertindak sesuka hati dan pada masa yang sama, kerajaannya menjanjikan projek pelaburan bernilai 300 juta Baht untuk wilayah tersebut, termasuk janji untuk membaiki kerosakan di Masjid Keresek.

Kebencian

Bagaimanapun, menurut pemimpin-pemimpin Islam di Pattani, tawaran dan janji-janji Thaksin itu tidak akan dapat menghapuskan masalah rasuah dan tindakan semberono pasukan tentera dan polis di wilayah itu. Pengkritik tempatan juga sependapat bahawa janji-janji Thaksin itu tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Masalah sebenarnya ialah Bangkok tidak memahami dan tidak menghargai keperluan dan kehendak masyarakat Islam Patani yang terdiri daripada bangsa Melayu yang bencikan cengkaman kuasa Bangkok yang mahu menjadikan wilayah mereka sebuah wilayah yang beridentitikan Thailand.

Telah berkurun-kurun lamanya masyarakat di selatan Thailand cuba mempertahankan identiti mereka sebagai sebuah negeri Melayu yang mempunyai budaya dan sejarah yang tersendiri dan mereka bencikan cubaan berterusan pemimpin Thai (seperti Jeneral Phibun Songkram) yang mahu menukarkan identiti mereka agar menyamai identiti rakyat di wilayah lain Thailand, yang berbeza dengan mereka, dari segi etnik, budaya, bahasa dan agama.

Berbeza dengan imej Thaksin sebagai ahli politik awam sepertima yang diwar-warkan oleh para penyokongnya, beliau sendiri terus mengekalkan hubungan rapatnya dengan pihak tentera dan agensi-agensi keselamatan Thailand. Beliau mempolitikkan pasukan tersebut melalui campurtangannya dalam rombakan bagi jawatan kanan dalam pasukan tentera.

Malah,vThaksin telah melantik salah seorang anggota keluarganya sebagai Penglima Tentera Thai. Jeneral Pisarn mempunyai hubungan yang rapat dengan Thaksin (melalui sepupunya, Chaksin) dan keluarga Diraja Thai (dia dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Maharani). Jeneral ini telah diberi lampu hijau untuk mencapai objektifnya dengan menggunakan kaedah dan caranya yang tersendiri.

Dengan pendekatan Laissez-faire di dalam bidang politik dan kerajaan, maka tidaklah mengejutkan jika nilai nyawa manusia di Thailand kini begitu murah sekali dan keganasan pula semakin meningkat.

Tanggungjawab terhadap beban yang memalukan ini sepatutnya ditanggung oleh kerajaan negara-negara Asean yang tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk membantu menyelesaikan pergolakan di Patani sebelum ini. Selagi pemimpin Asean terus menutup mata dan telinga mereka terhadap realiti yang berlaku di depan mata mereka sendiri.

Sesungguhkan pilihan yang ada sekarang tidak semudah seperti sebelum ini: Kerana sikap mereka itu, maka bumi Patani kini dibasahi darah mereka yang tidak berdosa. Dan turut terkubur di bumi tersebut ialah harapan kita terhadap demokrasi di Asean dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat Asean.


Artikel ini merupakan terjemahan bebas UmmahOnline Team daripada artikel asal - Thaksin Shinawatra: From Securocrat to Telecoms Moghul to Prime Minister - A profile of modern-day authoritarianism in Asean.