Ia baru satu cadangan. Satu cadangan yang amat menakutkan. Bagaimana kalau ia diterima pakai? Pastinya dari suatu yang menakutkan ia akan bertukar menjadi "pembunuh" !

Begitulah sifat cadangan terbaru Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Perbadanan itu mahu menuntut bayaran balik pinjaman dua bulan selepas peminjam memulakan pengajian. Rasionalnya untuk memupuk budaya membayar balik pinjaman di kalangan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Mungkin ada pihak menganggap masih terlalu awal untuk mengulas atau mengkritik cadangan atau strategi baru PTPTN itu kerana ia masih di peringkat cadangan. Masih dalam kocek ahli lembaga pengarahnya. Belumpun dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi.

Namun sebenarnya di peringkat inilah seelok-eloknya cadangan itu dibincangkan atau dibahaskan. Ketika ia belum menjadi satu peraturan atau undang-undang, wajarlah ia dihalusi oleh semua pihak dengan mengambilkira kepentingan para pelajar dan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Langkah PTPTN kali ini dilihat sebagai melulu, tidak berfikir panjang. Kerana marahkan 81 peratus peminjamnya yang culas membayar balik pinjaman, ia mahu menyusahkan beribu-ribu pelajar lain yang memerlukan bantuan kewangan pada masa depan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail harus sedar, cadangan terbaru itu bakal mengundang celaka. Ia akan menyebabkan para ibu bapa marah dan para pelajar kecewa. Ia membebankan golongan berpendapatan rendah!

Kerja sambilan

Bagaimana seorang pelajar yang baru memasuki IPT mahu membayar hutang-hutang pengajiannya? Mereka sedang belajar, bukan bekerja! Dan ibu bapa yang meminjam dengan tabung ini pula tentunya mereka yang kurang berkemampuan. Kalau mereka mampu, tentu mereka tidak akan berhutang dengan PTPTN!

Jadi bagaimana para pelajar dan ibu bapa yang kurang berkemampuan itu mahu membayar hutang selepas dua bulan pengajian dimulakan? Adakah kita mahu melihat anak-anak kita belajar pada siang hari dan bekerja di restoran makanan segera atau menjadi pembasuh kereta pada sebelah malamnya?

Tujuan kerajaan memberikan pinjaman, biasiswa atau dermasiswa ialah untuk mengurangkan beban kewangan pelajar dan keluarga. Untuk memberi keselesaan pada mereka menuntut ilmu di IPT. Kita mahu mereka memberi tumpuan sepenuhnya pada pengajian supaya muncul sebagai pelajar yang cemerlang dan terbilang.

Tetapi jika pada masa yang sama, mereka perlu bertungkus lumus belajar dan bekerja, dibimbangi kualiti tinggi yang diharapkan dari para pelajar tidak dapat diraih.

Cuba bayangkan, baru melangkah kaki ke kampus, masih terkial-kial menyesuaikan diri, masih terasa asing dengan suasana di pusat pengajian di luar negara, tiba-tiba anak-anak kita perlu mencari kerja sambilan untuk membayar balik hutang PTPTN.

Ibubapa yang baru berasa lega anaknya berjaya ke IPT, tiba-tiba dibebani ansuran pinjaman pendidikan. Mereka meminjam untuk melanjutkan pelajaran, bukannya untuk berniaga atau berfoya-foya. Tidakkah ini satu ketidakadilan dan pengainyayaan?

Sifat toleransi

Sebenarnya menghukum para peminjam baru ekoran dari kesilapan para peminjam lama adalah satu strategi yang kurang cerdik. Sepatutnya PTPTN memburu semua si peminjam yang culas itu. Perbadanan itu sepatutnya bertindak tegas daripada awal lagi.

Tunjukkan taring dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas semua peminjam yang sudah bekerja tetapi enggan melunaskan hutang piutang mereka. Contohi jejak institusi kewangan, kenakan tindakan muflis jika mereka terus enggan. Bukannya menghukum para peminjam baru yang tidak berdosa.

Isu ini pastinya akan menjadi satu polemik yang panas. Banyak pihak yang menentang syor PTPTN itu. Tindakan PTPTN itu jelas sekali bertentangan dengan sifat toleransi dan perihatin yang diamalkan oleh kerajaan sekarang.

Justeru Datuk Razali dan rakan-rakannya eloklah memikirkan alternatif atau cara lain untuk menerapkan budaya membayar hutang di kalangan para pelajar. Mungkin pendekatan yang lebih lembut seperti mentarbiyah para peminjam tentang tanggungjawab mereka sebagai si pemiutang perlu dilakukan sebelum pinjaman disalurkan.

Jika cara diplomasi itu kurang berkesan, maka bolehlah ditunjukkan ketegasan. Saman kaki-kaki culas itu. Siarkan nama mereka di akhbar-akhbar nasional dari masa ke semasa. Sudah menjadi sifat manusia apabila nama baik mereka hendak dicemar, mereka akan bingkas membayar hutang.

Kalau PTPTN bertegas, dipercayai semua peminjam akan membayar hutang mereka sebaik sahaja mereka mendapat pekerjaan.

Menurut kelemahan

Kesimpulan, kelembapan kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN selama ini adalah kerana ketidakberkesanan pengurusannya. Sejak awal penubuhannya, seluruh negara operasi PTPTN tidak efisyen. Kelewatan menyalurkan dana kepada pelajar dan IPT sudah sinonim dengan PTPTN sejak tahun 1997 lagi.

Kita juga tahu pengurusan tabung ini tidak bertegas dalam tindak tanduknya. Mungkin bahagian mengutip hutang PTPTN perlu dikemaskini dan dipertingkatkan daya saingnya.

Atau kalau PTPTN sendiri tidak mampu mengendalikan kes-kes hutang tertunggaknya itu, boleh sahaja diswastakan kerja-kerja mengutip hutang tersebut.

Janganlah terlalu mudah menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan dan kesilapan sendiri. PTPTN harus sedar tanggungjawabnya untuk membantu para pelajar dan ibu bapa yang kurang mampu, bukannya membebankan mereka.

Tidak dapat tanduk, telinga dipulas. PTPTN yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat yang dicarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Pencen tidak boleh berperangai begitu.

Jangan menjadi seperti "Along"!