Merayakan pilihanraya
Satu minggu setelah didirikan kerajaan sementara Iraq di bawah pimpinan Ayad Allawi, saya telah menulis bahawa pilihanraya di Iraq akan ditangguhkan. Apa yang saya tulis itu adalah salah dan tidak tepat. Pilihanraya di Iraq akan dijalankan pada akhir bulan Januari 2005 ini seperti yang telah dirancang.
Kalau rajin meneliti berita mengenai Timur Tengah, khususnya Iraq, kita akan dapat memahami bahawa pilihanraya ini adalah strategi serampang dua mata yang sedang disusun oleh kuasa tentera Anglo-Amerika. Empayar Amerika sama seperti empayar yang terdahulu empayar Napoleon, empayar Iskandar Zulkarnain atau empayar British - tidak akan mengundur diri secara sukarela. Sejarah telah memperlihatkan bahawa hanya dengan perlawanan sahaja, barulah
empayar-empayar ini dapat dilumpuh dan ditumpaskan.
Dua strategi yang saya maksudkan ini ialah pertama untuk menumpaskan gerakan pembebasan rakyat Iraq. Kedua, untuk memastikan tujuan asal rancangan penaklukan Iraq, masih di landasan yang tepat. Pilihanraya ini hanya satu daripada pelbagai taktik yang telah dan sedang dirancang untuk menghasilkan strategi ini.
Saya sering terbaca tentang wujudnya komuniti warga sunni dan shiah di Iraq. Setiapkali saya membaca berita Iraq yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita, saya diingatkan tentang majoriti 60 peratus warga Iraq bermazhab shiah. Bakinya adalah warga sunni yang terpecah kepada Arab, Kurds dan Turks. Bila saya membaca tambahan kata-kata sifat majoriti di setiap berita, maka saya merasa sangsi. Ini kerana dari satu segi Iraq dituduh sebagai tidak pernah sekalipun mengadakan pilihanraya.
Besar kemungkinan ini satu fakta yang tepat. Jadi, jikalau negara Iraq tidak pernah mengadakan pilihanraya, bila pula masanya kerajaan negara ini menjalankan bancian penduduk. Ini menimbulkan persoalan tentang 60 peratus warga shiah dan 40 peratus warga sunni. Adakah ini fakta saheh atau ini satu senkang yang boleh dipasak untuk menimbulkan perbalahan antara warga Iraq.
Satu minggu setelah didirikan kerajaan sementara Iraq di bawah pimpinan Ayad Allawi, saya telah menulis bahawa pilihanraya di Iraq akan ditangguhkan. Apa yang saya tulis itu adalah salah dan tidak tepat. Pilihanraya di Iraq akan dijalankan pada akhir bulan Januari 2005 ini seperti yang telah dirancang.
Kalau rajin meneliti berita mengenai Timur Tengah, khususnya Iraq, kita akan dapat memahami bahawa pilihanraya ini adalah strategi serampang dua mata yang sedang disusun oleh kuasa tentera Anglo-Amerika. Empayar Amerika sama seperti empayar yang terdahulu empayar Napoleon, empayar Iskandar Zulkarnain atau empayar British - tidak akan mengundur diri secara sukarela. Sejarah telah memperlihatkan bahawa hanya dengan perlawanan sahaja, barulah
empayar-empayar ini dapat dilumpuh dan ditumpaskan.
Dua strategi yang saya maksudkan ini ialah pertama untuk menumpaskan gerakan pembebasan rakyat Iraq. Kedua, untuk memastikan tujuan asal rancangan penaklukan Iraq, masih di landasan yang tepat. Pilihanraya ini hanya satu daripada pelbagai taktik yang telah dan sedang dirancang untuk menghasilkan strategi ini.
Saya sering terbaca tentang wujudnya komuniti warga sunni dan shiah di Iraq. Setiapkali saya membaca berita Iraq yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita, saya diingatkan tentang majoriti 60 peratus warga Iraq bermazhab shiah. Bakinya adalah warga sunni yang terpecah kepada Arab, Kurds dan Turks. Bila saya membaca tambahan kata-kata sifat majoriti di setiap berita, maka saya merasa sangsi. Ini kerana dari satu segi Iraq dituduh sebagai tidak pernah sekalipun mengadakan pilihanraya.
Besar kemungkinan ini satu fakta yang tepat. Jadi, jikalau negara Iraq tidak pernah mengadakan pilihanraya, bila pula masanya kerajaan negara ini menjalankan bancian penduduk. Ini menimbulkan persoalan tentang 60 peratus warga shiah dan 40 peratus warga sunni. Adakah ini fakta saheh atau ini satu senkang yang boleh dipasak untuk menimbulkan perbalahan antara warga Iraq.
Saya perhatikan, fakta 60 peratus warga shiah ini terus menerus dilaporkan sebagai 'hadis saheh'. Saya rasakan kata sifat ' the majority shiah population ' ini sedang dijadikan satu senjata untuk mengolah pandangan penduduk Iraq dan pandangan penduduk dunia agar bersedia menerima keputusan pilihanraya yang akan dijalankan nanti. Keputusan ini diharapkan tidak akan menimbulkan kesangsian. Kerana ini adalah keputusan pemilihan 60 peratus warga yang dikatakan menjadi majoriti di Iraq.
Kuasa imperialis
Kuasa imperialis Anglo-Amerika tidak pernah bersimpati kepada mazhab sunni mahupun shiah. Untuk mana-mana kuasa imperialis, tidak ada sunni dan tidak ada shiah. Untuk kaum pemodal, yang penting bukan mazhab agama. Yang diperlukan hanyalah sokongan tanpa mengira dari mazhab manapun asalkan dapat memperkukuhkan perlaksanaan projek imperialis mereka. Rakyat yang dijajah boleh bersembahyanglah tunggang-tunggit dengan cara apapun.
Ini tidak akan menjadi masaalah. Berdoalah hingga berbuih-buih mulut pasti tidak akan dihiraukan. Sembahlah patong tertidur, patong terlentang atau patong terngadah, kuasa imperialis tidak akan tidak akan ambil pusing. Tetapi jangan sesekali cuba menghalang pengembangan falsafah neo-konservatif dan projek globalisasi kabal zionist di Rumah Putih. Kabal zionist ini sedang mengajukan dua projek pertama keselamatan Isreal dan kedua, kabal ini sedang merangka, menjaring dan membolot pasaran minyak dunia.
Dua projek ini saling bantu-membantu. Iraq sedang menjadi anak bidak penyususunan projek kabal noe-konservatif dari Rumah Putih. Kerana itu, jika kita beri sedikit perhatian, pasti kita dapat melihat bagaimana warga shiah di Iraq dianggap sebagai 'rakan' manakala warga shiah di Iran dan di Syria dianggap musuh yang bakal menerima dentuman peluru berpandu Amerika. Ada warga shiah yang dianggap 'shiah baik' dan ada pula yang dicap sebagai 'shiah jahat'.
Semua kuasa imperialis telah dan akan menggunakan taktik pecah dan perintah. Kalau kuasa imperialis British dan Jepun dahulu semasa menjajah dan menakluk Tanah Melayu, telah mengadudombakan orang Melayu dengan orang Cina. Orang Melayu diwarwarkan sebagai majoriti bumiputera manakala orang Cina pula dianggap sebagai kaum pendatang yang mendalangi pengganas komunis.
Ini tidak berbeza dengan apa yang sedang berlaku di Iraq. Komuniti shiah dianggap sebagai pasak kestabilan. Manakala komuniti sunni dituduh sebagai wahabi, salafi, baathis, fundumentalis, terroris atau pengganas pendatang.
Pengganas berjenis salafi dan wahabi wujud di Iraq? Tunggu dahulu saya ingin bertanya bukankah keluarga Bush senior dan junior adalah sahabat baik kepada kepala segala wahabi dan salafi yang bersarang di Istana Riyadh. Bagaimana pula salafi dan wahabi yang di Riyadh boleh menjadi sahabat baik manakala salafi dan wahabi di Iraq wajib dikecaikan tubuh badan mereka. Soalan-soalan yang saya tanyakan ini tidak memerlukan ijazah sain politik untuk kita mendapat jawapannya.
Memboikot pilihanraya
Saya tidak hairan apabila media antarabangsa, termasuk media kita, sedang menghebohkan berita tentang potensi perang saudara akan meletus di Iraq. Berita disebarkan perang saudara ini akan meletus kerana komuniti sunni tidak mahu malah memboikot pilihanraya. Warga sunni di Iraq tidak cintakan demokrasi. Mereka lebih suka mengganas.
Perang saudara akan bermula? Saya menganggap sesiapa sahaja yang menimbulkan cerita potensi perang saudara ini, telah terperangkap dalam jaringan kabal neo-konservatif dari Rumah Putih. Atau jika ada si Mamat yang percaya tentang perang saudara ini akan meletus, maka si Mamat ini adalah Mat Bebal lagi buta politik. Tidak ada perang saudara yang akan meletus di Iraq. Yang saheh perang sedang berlaku sekarang. Dan bukan akan meletus sesudah pilihanraya ini.
Saya menjadi pelik kerana ada manusia dalam dunia ini yang rabun untuk mendengar bahawa rakyat Iraq sedang berperang, bergerila, bermandi darah melawan kuasa tentera imperialis Anglo-Amerika. Mati dibunuh, mati kena bom dari udara, tembak-menembak, mati di timbunan rumah runtuh atau letupan semua ini adalah perang namanya. Perang tidak pernah bersaudara, berculai atau ada anak menantu. Perang ialah pertempuran bunuh membunuh untuk merebut kuasa.
Pergilah ke Baghdad, Tikrit, Basrah atau Mosul dan sila tanya kepada orang-orang di sana. Apakah mereka akan memberi jawapan begini 'perang saudara akan bermula tepat pada jam 7 petang pada 2hb Februari 2005 ini kerana malaun si sunni ini tidak pergi mengundi'. Jika inilah jawapan yang diterima, rasa saya inilah satu-satunya tanda dunia kita ini telah hampir khiamat.
Bagi saya, tanda kiamat ini tidak akan disuarakan. Tanyalah sesiapa sahaja warga Iraq tentang apa yang sedang berlaku sekarang. Ajukan pertanyaan kepada sunni, shiah, kristian, Kurdish atau Turkmen. Dari pengalaman saya tinggal hampir satu tahun di Iraq, jawapan yang akan diberikan pasti 'yallah ya shabab ibni char murta Bush dan Sharon sedang berkonspirasi, sampai mati pun mereka tidak akan dapat minyak di Kirkuk.'
Saya akui warga di Iraq terbahagi kepada pelbagi bangsa, agama dan mazhab. Saya juga akui bahawa mereka memiliki perbezaan. Ini bukan sesuatu yang ganjil. Di dalam dunia ini tidak wujud satu negara bangsa yang 'homogenous'. Jepun dan Korea sering dikatakan sebagai contoh negara bangsa yang 'homogenous'. Ini juga tidak betul. Komuniti Buraku rakyat asli Jepun berbeza dari Jepun arus perdana. Di Korea pula ada warga Korea kristian ada warga Korea menganut shinto.
Taktik pecah dan perintah
Warga Islam pun boleh dibeza-bezakan antara mereka. Ada mazhab sunni dan mazhab shiah. Dalam mazhab sunni ada pula ada salafi, ada wahabi, ada pula sunnah wal jamaah. Kalau shiah ada pula Ismaili, ada Druze, ada Allawite. Dalam mana negara pun, pasti ada kepelbagaian budaya bangsa-bangsa ada Melayu, ada Cina, ada Tutsi, ada Hutu, ada Arab, ada Kurdish. Untuk mencari perbezaaan dalam kepelbagainan warga bangsa adalah satu yang enteng.
Hu ha hu ha tentang perang saudara kerana perbezaan mazhab ini, pada saya, adalah sebuah komedi seram. Komedi yang sedang dipentaskan sebagai satu taktik pecah dan perintah oleh kuasa imperialis. Ianya juga diwarwarkan untuk menutup hakikat kemusnahan dan kesengsaraan yang sedang dihempapkan ke atas rakyat Iraq akibat diserang oleh bala tentera kuasa imperialis
Anglo-Amerika.
Lawak ini bertambah seram apabila saya terbaca kenyataan seorang jeneral Rumah Putih yang berkata '.. Iraq bermasaalah kerana ramai pengganas asing yang telah memasuki Iraq.' Aha! Siapa sebenarnya pengganas asing ini. Pengikut Saddam dari wilayah Takrit ke, ahli parti Baath cawangan Adhamiah ke atau Abdel Halim Affeez penjual ikan di pasar borong Basrah?
Kenyataan soldadu Amerika yang menuduh 'pengganas asing ' sebagai punca bala petaka yang menimpa rakyat Iraq adalah contoh logik lucah yang telah ditunggang terbalikan. Pengganas asing itu tidak lain dan tidak bukan ialah bala tentera British dan Amerika sendiri. Merekalah makhluk asing yang datang dari negara yang beribu-ribu batu jauhnya dari Baghdad. Soldadu Amerika dan soldadu Britishlah yang telah membedil Ramadi, Tikrit, Mosul atau Nassiriyah. Garuda-garuda hitam merekalah yang telah menjadikan Falujjah padang jarak padang terkukur.
Tiga minggu yang lalu secara rasmi telah diwartakan bahawa telah tidak ditemui senjata pemusnah massa (WMD). Laporan ini hasil siasataan lebih dari satu tahun oleh satu pasukan tentera khas yang arahkan oleh Rumah Putih sendiri. Bila berita ini disambut media, Presiden Bush dan Perdana Menteri Tony Blair terseringai bersilat lidah cuba bertahan untuk menghalalkan serangan perang mereka ke atas Iraq.
WMD weapons of mass destruction dijadikan sebab utama untuk mengolah persetujuan rakyat dunia agar kita semua bersetuju untuk menyerang Iraq. Bahaya senjata ini dijadikan hantu polong yang menakut-nakutkan kita semua. Rasa takut yang dibungkus pula oleh suasana kelam kabut 9/11 membolehkan rakyat Amerika dan rakyat dunia menerima janji sebuah Iraq yang demokratik dan Timur Tengah yang aman bebas sejahtera.
Siasatan PBB diperlekehkan
Semua ini adalah bohong dan karut. Jangan kita terlupa bahawa fakta ketidakwujudaan senjata ini telah diberitahu lebih awal lagi sebelum Iraq diserang oleh Hans Blix ketua penyiasat WMD yang diarahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Apabila laporan awal dari diplomat PBB ini dihebohkan kepada media, kabal neo-konservatif dan zionis telah bertungkus lumus menggunakan media untuk memperlekeh hasil siasataan PBB ini. Kewibawaan diplomat ini dipetikaikan hinggakan seluar dalam Hans Blix yang koyak itu telah menjadi rashia umum.
Dari agenda menghapus WMD, kini agenda Iraq beralih pula kepada proses pilihanraya. Rakyat dunia kini didodoikan pula dengan lagu-lagu demokrasi, hak perwakilan Iraq, dan hak rakyat Iraq menentukan nasib mereka sendiri. Iraq ingin dijadikan contoh untuk membina demokrasi di seluruh Timur Tengah. Kail telah dipasang. Umpan sedang ditabur. Tetapi semua ini adalah hampeh belaka.
Jangan kita tersalah faham tentang makna pilihanraya dan demokrasi. Pilihanraya itu bukan demokrasi. Kita tak perlu pergi jauh untuk memahami hakikat ini. Di Malaysia ini kita ada menjalankan pilihanraya tetapi ini bukan bermakna Malaysia sebuah negara yang demokratik. Dengan wujudnya pilihanraya, bukan bermakna wujud demokrasi.
Jangan lupa Hitler di German juga menjalankan pilihanraya. Hitler juga ada memiliki parlimen. Hitler juga ada memiliki wakil rakyat yang dipanggil Yang Berhormat. Suharto, Pinochet, Mahathir, Mugabe semuanya mengadakan pilihanraya. Waspada, ditaktor juga boleh dipilih melalui pilihanraya. Hakikatnya, bukan pilihanraya yang mewujudkan demokrasi tetapi iklim demokrasi yang mengasak untuk melahirkan pilihanraya.
Perang saudara yang diheboh-hebohkan ini adalah persediaan awal tentera Amerika melatih rakyat Iraq untuk menjadi soldadu upahan. Meng-Iraqi-kan perang Iraq ini cukup penting. Tiga atau empat beg mayat sehari yang diterbangkan dari Baghdad ke lapangan terbang tentera di pelbagai wilayah di Amerika adalah satu hakikat yang tidak dapat diterima oleh rakyat Amerika.
Sepuluh hingga lima belas soldadu sehari diterbangkan ke German kerana cedera parah, adalah pukulan teruk ke atas kekuataan bala tentera Amerika.
Meng-Iraqi-kan perang inilah yang dihalwakan dengan nama perang saudara. Kalau di Tanah Melayu dahulu, anak-anak muda kampung dicari dan diupah oleh pentabiran British untuk menjadi Askar Melayu, Special Constables, Home Guard atau mata-mata. Strategi British ialah untuk mengagalkan kelahiran setiakawan Melayu/Cina/India yang boleh bersatu menentang kuasa imperialis British yang menjadi musuh mereka bersama.
Diharam menyimpan benih
Kabal neo-konservatif dan zionis di Amerika Syarikat sedang mengkaji cara yang terbaik untuk mentabir Iraq. Sebelum pentabiran Bremmer berundur dan memberi watikah kepada Allawi, pelbagai undang-udang dasar telah dicipta untuk memastikan Iraq akan terus menjadi koloni Amerika. Beratus-ratus perjanjian carigali minyak telah ditandatangani oleh Bremmer dengan pelbagai syarikat minyak Amerika.
Semua harta negara Iraq telah diswastakan. Tidak dibenarkan diwujudkan kembali syarikat-syarikat yang dimiliki oleh negara. Iraq akan menjadi negara contoh berdagang bebas yang dimimpi-mimpikan oleh kabal neo-konservatif di Washington. Dan jangan terperanjat jika saya memberitahu bahawa salah satu daripada rang undang-undang yang telah direka dan diwartakan oleh Bremmer ialah pengharaman kaum tani Iraq dari menyimpan-benih tanaman mereka.
Jika mereka ingin mendapatkan benih padi, gandum, jagung atau tanaman baru, maka kaum tani ini wajib membeli dari Mosanto syarikat pembekal benih. Untuk memastikan projek asal minyak dan keselamatan Isreal ini dilandasan yang tepat, Bremmer juga telah membenarkan Amerika mendirikan 14 pangkalan tentera. Ini pula akan dibantu oleh kedutaan Amerika di Baghdad sebuah kedutaan yang paling terbesar di dunia.
Minggu depan Iraq akan merayakan pilihanraya. Bila anak bulan Januari mula menghilang, maka seluruh Iraq akan diwartakan dalam keadaan darurat. Lapangan terbang akan ditutup. Kereta tidak dibenarkan bergerak dijalanraya. Jam 6 petang hingga 6 pagi, semua warga wajib berada di dalam rumah.
Sesiapa yang sakit perut dan cuba mencari air di Sungai Dajlah, besar kemungkian akan ditembak mati. Kalau bernasib baik boleh menjadi penari gelek di Kelab Malam bernama Abu Gharaib. Penduduk di Ramdi, Falujjah, Tikrit, Baghdad akan dikurung agar mereka semua dapat merayakan pilihanraya.
Bila pilihanraya Iraq ini berlaku, saya teringat di zaman Mao, Ho Chin Minh dan Brezhnev dahulu. Ketika itu saya ada terbaca berita tentang beberapa orang rakyat Cina Merah lari ke Taiwan, atau berita warga kota Havana melarikan diri ke Miami atau rakyat jerman merentas Tembok Berlin.
Maka akan heboh semua akhbar melaporkan bagaimana rakyat negara-negara sosialis ini telah mengundi dengan kaki they votes with their feet. Di zaman perang dingin, ayat ini menjadi bagitu klise sekali. Hari ini saya ingin menuliskan satu ayat pertama dan berharap ianya akan menjadi klise juga - mereka sedang mengundi dengan kalashnikov dan bukan dengan pen.

