Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Adalah menjadi satu tugas untuk saya menerangkan kepada orang ramai tentang tanda dan makna Deklarasi Rakyat Jumaat 4 Mac 2016.

Tujuan saya memberi penerangan ini ialah untuk memberi kefahaman yang tuntas dan mendalam tentang apa yang telah berlaku. Saya ingin menerangkan Deklarasi Rakyat ini kepada anak semua bangsa dan bangsa semua agama. Penerangan ini boleh dikongsi dan dihujah juga dipanjangkan oleh badan politik semua jalur.

Bagi saya, penerangan ini adalah projek perkongsian dan pendemokrasian maklumat. Saya amat yakin pendemokrasian ni akan memperkasa keupayaan anak semua bangsa untuk berfikir lebih kritikal. Warga yang berfikrah perkasa akan berupaya memahami politik lebih mendalam. Bukan politik pinggiran, bukan politik kulitan tapi realpolitik.

Perebutan politik ialah perebutan kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut dan memiliki punca-punca ekonomi. Ketika suasana aman kuasa direbut melalui pilihan raya. Manakala perang juga ialah manifestasi merebut kuasa dan punca-punca ekonomi dalam suasana yang tidak aman.

Dalam masa yang sama untuk memahami politik dengan tuntas kita juga wajib memahami apa itu taktik dan apa itu strategi. Tanpa memahami apa itu taktik dan apa itu strategi kerja politik yang kita lakukan akan gagal. Jika taktik salah kerja politik akan gagal. Jika strategi salah kerja politik juga akan gagal. Jika taktik dan strategi salah maka semua kerja politik kita akan lingkup. Ini hakikat dan hukum politik di mana saja dan siapa sahaja yang berpolitik.

Pada 24 Februari 2015 tahun lalu saya telah menulis tentang teori: Barisan Bersatu - United Fron t . Apa yang telah saya lakar hanya sejarah yang mana taktik barisan bersatu telah digunakan sebagai strategi berjangka panjang untuk mencapai matlamat. Dalam tulisan itu saya mencadangkan jika kita mahu memecah ‘botol’ yang mengikat dan memenjarakan 30 juta warga Malaysia, maka perlu digalang satu perserikatan yang maha luas.

Biar saya terangkan apakah makna perserikatan yang maha luas. Dan dari mana saya pungut konsep ini. Dari celah mana pula konsep ini muncul. Untuk memahami konsep ini saya membawa pembaca kembali kepada sejarah.

Hakikatnya perjuangan yang sedang kita lakukan pada ketika ini bukan perjuangan yang baru. Perjuangan ini adalah sambungan dari perjuangan yang telah diteroka oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Indera, Chin Peng, Abdulah Sidi, Rashid Maidin,Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ibrahim Yaacob, Bung Boestamam, Pak Sako, Dr Burhanuddin Helmi dan ribuan nama yang terukir dalam sejarah perjuangan untuk mendirikan sebuah negara bangsa yang merdeka.

Perlembagaan Rakyat 1947

Kita juga tidak akan melupakan pemimpin kaum buruh SA Ganapathy yang telah digantung penjajah British pada 4 Mei 1949. Juga ingatan kita kepada ribuan anak semua bangsa yang telah gugur mengangkat senjata melawan Belanda, Portugis, Jepun dan British.

Kita adalah anak cucuk cicit mereka. Kita menyambung perjuangan suci mereka untuk mendirikan Tanah Melayu yang bebas dan merdeka.

Kita sambung perjuangan mereka kerana semenjak malapetaka 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah diambil alih oleh parti politik yang didokong dan dipersenjatai oleh penjajah British. Parti politik yang bernama United Malays National Organisation - yang namanya masih nama Inggeris - telah bertelur, dieram dan menetas dalam tapak tangan British. Parti politik yang berteraskan ‘ketuanan Melayu ini’ telah membawa malapetaka dan porak peranda kepada anak semua bangsa.

Apa yang saya tulis ini adalah fakta sejarah bukan tohmah atau fitnah media sosial.

Deklarasi Rakyat yang ditanda tangani pada Jumaat 4 Mac lalu hanya langkah permulaan dalam usaha yang kompak dan jitu dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih demokratik. Sayugia diberi ingatan, dokumen Deklarasi Rakyat bukanlah perkara baru. Bukan sesuatu yang tiba-tiba muncul dalam badan politik Malaysia.

Untuk ini saya membawa para pembaca melihat kembali sejarah dengan lebih teliti. Untuk memahami apa yang sedang berlaku hari ini kita wajib melihat apa yang telah berlaku terdahulu dari kita. Babak-babak sejarah kita dijadikan ilmu panduan.

Mari kita rujuk babak sejarah Perlembagaan Rakyat 1947. Sejarah ini bermula bila mana Pusat Tenaga Rakyat bersama All Malay Council Joint Action - atau dikenali sebagai PUTERA-AMCJA - telah bersama-sama melakar Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Perlembagaan Rakyat 1947 itu adalah manifestasi kesediaan anak semua bangsa di Tanah Melayu pada ketika itu untuk bersatu bersama bangun menentang penjajah British.

Perlembagaan Rakyat 1947 adalah manifestasi galang setiakawan dan kerjasama anak semua bangsa yang amat luas dari pelbagai jalur politik, dari pelbagai pandangan agama, dari pelbagai jalur ideologi. Mereka disatukan dengan satu cita-cita: menyingkirkan British.

Menyingkirkan British dari bumi Tanah Melayu pada ketika itu adalah tali ikatan yang mengikat setiakawan. Menyingkirkan British menjadi agenda induk yang menjadi benteng dan payung tuntutan PUTERA-AMCJA.

Kenduri menjarah Malaya

Kesediaan Kesatuan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) untuk bersetiakawan dengan Malayan Democratic Union (MDU), dengan Parti Komunis Malaya (PKM) juga bersama pelbagai kesatuan buruh dan ladang dan juga bersama NGO yang wujud ketika itu.

Semua parti politik, kesatuan sekerja dan NGO telah bersetiakawan. Badan-badan ini telah mengenepikan perbezaan politik, mengenepikan agenda pinggiran, mengenepikan perkara remeh-temeh. Dengan sebulat suara melaungkan slogan: singkirkan British Malaya merdeka. Justeru Perlembagaan Rakyat 1947 adalah bukti setiakawan itu.

Berpandukan Perlembagaan Rakyat sebagai dokumen induk satu gelombang rakyat yang amat besar muncul. PUTERA-AMCJA berkempen memberi penerangan ke seluruh Tanah Melayu. Kempen dijalankan untuk memperkukuh agenda induk dan menyedarkan anak semua bangsa dalam satu perserikatan yang maha luas. Anak semua bangsa diajak bersama dalam satu saf bangun berjuang untuk menyingkirkan British.

Pada 20 Jun 1948 Tanah Melayu telah diisytiharkan sebagai wilayah darurat oleh penjajah British. Projek singkir British telah digagalkan.

Kegagalan projek Tanah Melayu merdeka bawah Perlembagaan Rakyat 1947 telah menjerumuskan anak semua bangsa ke ruang tohor yang menyesakkan nafas politik. Melayu dimelayukan. Cina dicinakan. India diindiakan.

Kesedaran setiakawan anak semua bangsa dan cita cita Perlembagaan Rakyat 1947 dilupus. Cita-cita untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Melayu gagal. Kita mula terpisah-pisah. Kita mula berbangsa-bangsa. Kita mula berpayung dibawa lambang kaum. Parti politik mula membawa agenda kaum bukan agenda singkir British.

Babak-babak sejarah yang saya paparkan di sini amatlah penting. Pada hemat saya Deklarasi Rakyat 2016 adalah penerusan konsep dan akidah Perlembagaan Rakyat 1947 yang telah dipesong, digagalkan oleh penjajah British melalui darurat 1948.

Pasti ramai akan bertanya, jadi di mana kita sekarang?

Perlembagaan Rakyat 1947 digagalkan oleh British. Dari tarikh itu United Malays National Organisation telah memerintah Tanah Melayu, yang menjadi Malaya, yang kemudiannya menjadi Malaysia. Semenjak gagalnya Perlembagaan Rakyat 1947, United Malays National Organisation telah berpesta dan berkenduri menjarah Tanah Melayu hingga ke hari ini.

Bukan sekadar suami Rosmah

Justeru, ada apa dengan Deklarasi Rakyat 2016?

Jawabnya cukup senang. Perjalanan 1,000 batu dimulai dengan langkah pertama. Tanpa langkah pertama kita tidak akan ke mana-mana. Justeru untuk saya Deklarasi Rakyat 2016 adalah langkah pertama. Langkah yang membolehkan pelbagai parti politik, pelbagai jalur pemikiran dan badan NGO untuk duduk sebaris.

Ketika ini Malaysia dalam keadaan sakit yang maha sangat. Malaysia sedang diserang dua bencana. Pertama Malaysia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi. Malaysia yang telah memasuki pasaran dunia tidak akan dapat melarikan diri dari krisis yang akan meledak ini.

Kedua, Malaysia sedang berhadapan dengan krisis keyakinan. Ini sakit yang lebih parah. Warga Malaysia telah hilang keyakinan terhadap lembaga daulah. Hilang kepercayaan terhadap pemimpin negara. Rakyat yang hilang kepercayaan menjadi semakin sinikal terhadap apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin negara. Malah kaum kapitalis antara bangsa juga telah hilang keyakinan terhadap keupayaan lembaga daulah untuk berlaku adil jika mereka melabur atau berniaga di Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia pada ketika ini ialah Najib. Justeru Muhamad Najib Abdul Razak ini bukan hanya suami kepada Rosmah Mansor. Najib lebih dari itu. Sosok Najib ini adalah pengkristilan semua porak-peranda yang sedang berlaku pada ketika ini.

Jangan silap faham, yang kita tentang bukan Najib kerana dia Najib suami Rosmah. Yang kita tentang ialah sosok Najib yang mewakili penjarahan yang sedang berlaku sekarang. Kes-kes pembunuhan, kes kes rasuah, kes kes salah guna kuasa - yang berkait atau melibatkan Najib dimuncul dan dihebohkan untuk mengolah persetujuan agar orang ramai akan memahami siapa dia Najib ini. Dan apa yang diwakili oleh Najib.

PUTERA-AMCJA telah diikat dalam setiakawan berjuang untuk menyingkirkan British. Pada Jumaat 4 Mac 2016, seramai 56 sosok telah bersetiakawan untuk menyingkirkan Najib.

Pada tahun 1947 melalui Perlembagaan rakyat, agenda induk anak semua bangsa di Tanah Melayu ialah penyingkiran penjajah British. Pada tahun 2016 melalui Deklarasi Rakyat agenda induk anak semua bangsa ialah menyingkirkan penjarah Najib.

Lihat Komen
ADS