US Encouraged by Vietnam Vote: Officials Cite 83% Turnout Despite Vietcong Terror

WASHINGTON, Sept. 3 - United States officials were surprised and heartened today at the size of turnout in South Vietnam's presidential election despite a Vietcong terrorist campaign to disrupt the voting.

According to reports from Saigon, 83 per cent of the 5.85 million registered voters cast their ballots yesterday. Many of them risked reprisals threatened by the Vietcong.

The size of the popular vote and the inability of the Vietcong to destroy the election machinery were the two salient facts in a preliminary assessment of the nation election based on the incomplete returns reaching here.

Pending more detailed reports, neither the State Department nor the White House would comment on the balloting or the victory of the military candidates, Lieut. Gen. Nguyen Van Thieu, who was running for president, and Premier Nguyen Cao Ky, the candidate for vice president.

A successful election has long been seen as the keystone in President Johnson's policy of encouraging the growth of constitutional processes in South Vietnam. The election was the culmination of a constitutional development that began in January, 1966, to which President Johnson gave his personal commitment when hemet Premier Ky and

General Thieu, the chief of state, in Honolulu in February .

(Petikan laporan berita Peter Grose yang ditulis khas untuk the New York Times pada 9/4/1967 dahulu.)

Setelah membaca petikan berita diatas, sila gantikan nama Presiden Johnson kepada President Bush. Alihkan kota Saigon kepada kota Baghdad. Alihkan gerila Vietcong kepada gerila Baathist. Alihkan nama Nguen Van Thieu kepada Iyyad Alawi dan alihkan nama Nguyen Cao Ky kepada Sheikh Ghazi Al-Yawer. Kemudian gantikan tarikh pilihanraya dari 3 September 1967 kepada 30 Januari 2005. Apa yang terjadi? Bukan dj vu tetapi je vous ai dit - bukan telah dilihat tetapi telah saya katakan.

Di sini saya tidak ingin menjadi terlalu sinikal. Tetapi apa yang di hadapan saya ini memaksa saya terus berkisah tentang pilihanraya yang baru sahaja berlangsung di Iraq. Pengiraan undi masih berjalan dan entah bila keputusan akan dikeluarkan. Jadi agak terlalu awal untuk menyatakan siapa menjadi apa dan pasukan mana yang menang dan siapa yang tewas.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa berjalannya pilihanraya bukan membawa erti wujudnya demokrasi atau wujudnya kebebasan. Pilihanraya diadakan kerana telah tersedia wujud kebebasan dan demokrasi. Pilihanraya ialah lambang kebebasan warga sesebuah negara memilih individu-individu untuk menjadi wakil mereka di parlimen, di dewan senat atau di majlis tempatan.

Pemilihan ini pula memerlukan ruang yang bebas di mana calon yang bertanding boleh bersuara. Bakal YB perlu menerangkan kepada bakal pengundi, garis parti, tujuan dan cita-cita yang ingin diperjuangan, sama ada melalui media, ceramah ataupun datang bercerita dari rumah ke rumah. Bakal-bakal YB ini pula dapat ditanya dan soal secara bebas dan terbuka oleh bakal pengundi. Ini barulah boleh dipanggil demokrasi.

Semua ini tidak berlaku di Iraq. Ada 275 kerusi yang dipertandingkan tetapi ramai calon yang bertanding, tidak dikenali batang hidung mereka. Muka dan nama mereka juga tidak pernah diperlihatkan di media. Ertinya bakal pengundi tidak tahu siapa yang akan jadi YB mereka. Nampaknya, kalau di Malaysia, kita memiliki pengundi hantu di Iraq pula pilihanraya telah naik setahap lagi mereka ada calon hantu.

Pilihanraya 2005 di Iraq berlatarbelakangkan kehadiran 160,000 tentera Amerika. Ini tidak termasuk bala tentera British dan segala macam sekutu Amerika, termasuk ratusan soldadu dari Singapura, Siam. Belanda, Poland, Australia, Korea Selatan, Jepun, Itali dan soldadu upahan dari seluruh dunia. Apakah ini satu pemilihan yang boleh dianggap bebas. Atau pilihanraya di muncung senapang.

Pemerhati bebas

Kerana semua ini, saya menganggap pilihanraya Iraq tidak boleh disamakan dengan apa yang telah berlaku di Afghanistan. Orang Minyak Hamid Karzai ini, walaupun sering dilawakkan sebagai Tok Bandar Kabul, tetapi pilihanraya Afghanistan lebih meluas dan ada memiliki ciri-ciri yang boleh diyakini. Di Afghanistan dahulu, hampir 200 pemerhati antarabangsa telah datang. Ini termasuk 12 rakyat Malaysia yang hadir sebagai pemerhati bebas.

Di Iraq, tidak ada satu habuk pemerhati bebas atau badan Ngo yang datang. Malah Carter Center, badan Ngo Amerika yang sering ke hulu ke hilir untuk memastikan pilihanraya di Dunia Ketiga akan diterima umum, telah enggan datang. Ini kerana Carter Center sendiri takut disewelkan jika badan ini hadir di Iraq. Bekas Presiden Jimmy Carter sedar, mengikut piagam pilihanraya antarabangsa semua pilihanraya dibawah kuasa tentera asing adalah tidak sah.

Untuk mencari jalan keluar, satu lembaga sama seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Malaysia telah ditubuhkan Independent Electoral Comission of Iraq (IECI). Sama juga seperti SPR di Malaysia, IECI ini bukanlah satu lembaga yang bebas. Jika di Malaysia, SPR kita ini bergerak di bawah telunjuk Umno, manakala IECI di Iraq duduk di bawah muncung senapang soldadu Amerika.

Beberapa jam selepas pilihanraya berlangsung, jurucakap IECI Adil-al-Lami telah berkata, hampir 75 peratus rakyat Iraq telah keluar mengundi. Dia membuat kenyataan dalam satu sidang akhbar di kota Baghdad. Bila ditekan tentang bagaimana dan apa asas peratus pengundian ini, si Mamat camca Amerika ini telah berkata " ini anggapan saya berdasarkan dari orang yang beratur yang saya lihat".

Lihatlah betapa cekapnya IECI ini. Hanya dengan melihat orang beratur, Adil-al-Lami telah dapat meneka betapa demokratiknya pilihanraya yang sedang berjalan. Umum tidak diberitahu hanya tiga kawasan peti undi sahaja yang boleh dilawati media antarabangsa dua di kawasan pinggir Baghdad yang bermajoritikan warga Shiah dan satu lagi di Basrah.

Bila ditanya kenapa tempat lain tidak dibenar dilawati jawapanya ialah keselamatan. Jikalau media luar negara tidak selamat mendekati kawasan peti undi, bagaimana pula dengan keselamatan rakyat Iraq yang turun mengundi. Jawapan keselamatan ini cukup meragukan saya.

Apabila terus ditanya tentang peratus pengundi yang keluar, maka dengan sekelip mata, jurucakap IECI ini berubah dari 75 peratus, ianya menurun ke 57 peratus. Dan angka peratusan ini bercanggah pula dengan angka 50 peratus yang diberikan oleh Mahadi al-Hafiz, Menteri Perancangan Iraq kepada wartawan stesen TV satelit Al-Iraqiyah yang dipetik oleh BBC pada 30 Januari lalu.

Saya tidak mahu mempertikaikan jumlah yang keluar mengundi di Iraq. Saya sanggup menerima bahawa 99.9 peratus rakyat Iraq telah mengundi. Tetapi saya ingin bertanya, kenapa pula dua juta rakyat Iraq yang tinggal di luar negara gagal turun mengundi. Ada lebih daripada empat juta warga Iraq yang menjadi penduduk tetap dipelbagai negara di dunia ini. Dari empat juta ini, dua juta rakyat telah didaftarkan sebagai bakal pegundi.

Sayangnya, hanya 265,000 orang sahaja yang keluar mengundi. Apa terjadi kepada mereka yang tinggal di Jordan, Syria, Lebanon, Amerika, Australia dan Britain. Kenapa mereka semua tidak datang mengundi. Apakah mereka yang di luar negara juga takut dengan serangan bom pengganas Zakarwi yang berkaki satu itu.

Memang betul, Ayatollah Sistani telah mengeluarkan fatwa bahawa sembahyang dan puasa boleh ditinggalkan tetapi bukan mengundi kali ini. Kerana itu berjuta warga Shia telah turun dengan anak pinak mereka untuk mengundi. Harus difahami bahawa warga Shiah tidak ingin lagi ditinggalkan dalam proses pembentukan masa depan Iraq.

Kita jangan tersilap faham mengikut laporan Robert Fisk, wartawan akhbar Independent kota London yang telah berkubang di Iraq warga Shiah memang berduyun-duyun turun mengundi. Mereka mahukan kebebasan, mereka memang berahikan demokrasi dan yang paling penting mereka juga mahukan bala tentera negara asing meninggalkan Iraq. Begitu juga dengan warga Kurdish. Mereka juga mahukan kebebasan, autonomi wilayah mereka dan mahukan semua bala tentera asing berundur.

Pertembungan Amerika-rakyat Iraq

Dalam perhitungan warga Iraq yang keluar mengundi Ahad lalu, sesudah pilihanraya dijalankan, semua tentera asing akan berundur dari bumi Iraq. Iraq akan kembali berdaulat dan merdeka. Pada saya, di sinilah akan mulanya berlaku bertembungan di antara projek empayar Amerika dengan rakyat Iraq warga Shiah. Harapan mereka, dengan apa yang akan terjadi nanti, adalah dua perkara yang berasingan.

Sebelum pertembungan ini berlaku, kita lihat bagaimana media Amerika telah berkenduri kendara dalam laporan mereka apabila selesai sahaja pilihanraya. Hampir semua media, telah mengalu-alukan 'kejayaan' pilihanraya di Iraq. Pilihanraya ini cuba digambarkan sama seperti keruntuhan Tembok Berlin, kejayaan Orange Revolution di Ukraine, kejayaan People Power di Filipina dan kejayaan Prague Spring di Czech Republik.

Bomoh dan dukun media telah cuba mengolah agar pilihanraya ini dilihat bukan sahaja sebagai kejayaan demokrasi di Iraq, malah ianya akan mempengaruhi seluruh Timur Tengah. Kerana itu berita kapal terbang pengangkutan jenis C150 milik tentera British yang terhempas pada petang pilihanraya itu, telah cuba diketepikan. Sepuluh pegawai SAS, anggota pasukan elit British yang terkorban, telah tidak dibenarkan mengganggu pesta demokrasi yang sedang berlangsung.

Sebab musabab pesawat itu terhempas, masih terus dalam siasatan walaupun telah hampir satu minggu. Satu kumpulan gerila Iraq telah mengakui bahawa mereka menembak pesawat itu dengan peluru berpandu. Kenyataan kumpulan gerila ini tidak pula dinafikan dan tidak juga disahkan. Kementerian pertahanan British terus bersilat lidah dalam usaha menafikan keupayaan gerila Iraq melancarkan serangan peluru berpandu.

Jika terbukti gerila ini telah berjaya meledakkan C150 ini, maka ianya adalah satu petanda yang amat buruk semasa perayaan pilihanraya berlangsung. Akhirnya kes pesawat C150 ini samalah seperti meletupnya helikopter dan terbunuhnya 30 soldadu Amerika dua minggu lalu. Yang terus dipersalahkan ialah enjin dan cuaca, bukannya serangan gerila.

Sehari sesudah pembuangan undi, Presiden Iraq Sheikh Al-Yawer telah menyatakan bahawa cakap-cakap yang meminta bala tentera asing berundur, adalah cakap-cakap yang tidak boleh diterima akal. Sebenarnya cakap-cakap tentang pengunduran ini telah dijadikan asas untuk menarik rakyat keluar mengundi. Hanya inilah satu-satunya besi berani yang dapat menjemput warga Iraq ke peti undi.

Tuntutan untuk mengundurkan bala tentera Amerika ini bukan hanya didengar di Baghdad, malah telah disuarakan dengan lantang oleh Senator Edward Kennedy dan telah mendapat puluhan sokongan dari para senator di Washington. Suara yang sama juga telah kedengaran di parlimen Westminster. Tony Blair bukan sahaja dituntut oleh parti lawan supaya menyediakan jadual pegunduran tentera British, malah dari dalam Parti Buruhnya sendiri. Tony Blair sedang mendapat tekanan.

Peristiwa Vietnam berulang?

Presiden Bush juga sedang meghadapi tekanan. Lebih 200 bilion dollar telah dibelanjakan semenjak Iraq diserang. Lebih 1,400 anak muda Amerika telah tewas di medan pertempuran. Lebih 15,000 soldadu Amerika telah cedera parah. Lebih 30,000 soldadu mendapat kecederaan ringan. Berbilion-bilion telah terhambur dan berpuluh ribu telah terkorban. Semua ini adalah harga yang sedang dibayar oleh Amerika untuk merealisasikan projek Iraq.

Dalam ucapannya rasminya State of the Union kepada rakyat Amerika kelmarin, Presiden Bush masih enggan memberi satu jadual waktu untuk bala tentera Amerika berundur. Malah, Bush telah menyebut Iran dan Syria sebagai mendalangi 'pengganas' di Iraq. Serangan ke atas Syria dan Iran pasti akan berlaku tidak lama lagi.Kita hanya menunggu masa.

Jika dua negara jiran Iraq ini diserang maka semua yang telah pernah berlaku di Vietnam dahulu, berulang lagi. Amerika menceroboh Vietnam kerana kes di Teluk Tonkin di mana kapal laut Amerika diberitakan telah diserang oleh tentera Vietnam Utara pada 2 Ogos 1964. Kejadian inilah yang dijadikan alasan sehinggakan 50 ribu soldadu Amerika terkorban dan berjuta rakyat Indo Cina menjadi mangsa. Akhirnya, terbukti kes Teluk Tonkin ini tidak benar. Bukankah ini sama sahaja dengan Weapon of Mass Destruction (WMD) yang telah dijadikan sebab untuk menyerang Iraq.

Semasa menyerang Vietnam dahulu, tentera Amerika mula pula menceroboh wilayah Kamboja dan Laos yang dikatakan menjadi pangkalan gerila Vietcong. Awalnya, pencerobohan berlaku secara senyap dan berahsia tetapi akhirnya Amerika menyerang Kamboja dan Laos secara terbuka. Nampaknya semuanya akan berulang sekali lagi. Laos dan Kamboja adalah Syria dan Iran.

Saya yang dewasa dan mendapat kesedaran politik di zaman perang Vietnam, tidak akan dapat melupakan nama Nguyen Cao Ky dan nama Nguyen Van Thieu. Nama-nama ini sering menjadi induk berita di tv, radio dan akhbar. Gambar mereka sering terpampang di majalah Far Eastern Economic Review, Times atau Newsweek. Kadangkala gambar-gambar mereka sering menjadi hiasan muka depan di pelbagai majalah.

Ini juga tidak berbeza dengan Iyyad Alawi dan Ghazi al-Yawer. Berita, kenyataan dan imej mereka hari ini berkeliaran di CNN, CNBC, BBC, Times , Newsweek dan sebagainya. Tetapi, saya ingin bertanya, tahukah di mana agaknya Nguyen Cao Ky dan Nguyen Van Thieu ini sekarang. Mereka hilang lenyap tanpa berita semenjak mereka dilihat berpusu-pusu lari memanjat atap kedutaan Amerika di Saigon pada tahun 1974 dahulu.

Jangan terperanjat apabila saya nyatakan bahawa mereka berdua ini sihat walafiat. Mereka selamat sampai ke California setelah diterbangkan dengan helikopter dari atap kedutaan Amerika itu. Sekarang mereka telah membuka restauran makanan Vietnam. Alhamdulillah.

Bila bercerita tentang kedutaan Amerika ini, maka saya ingin memberitahu bahawa kedutaan Amerika di Baghdad yang sedang dibina sekarang adalah yang terbesar di dunia. Kos pembinaannya ialah 1.5 bilion dollar yang baru sahaja diluluskan. Mungkin dalam bangunan kedutaan ini, bukan sahaja ada helipad, malah akan ada landasan untuk pesawat 747.

Sepuluh tahun lagi saya yakin Iyyad Alawi dan Ghazi al-Yawer tidak perlu memanjat atap untuk melarikan diri. Mereka akan sampai juga ke California. Jika mereka di sana nanti, saya akan singgah untuk merasa kebab jualan mereka.