"Usaha hendak memburukkan nama saya nampak berterusan. Satu demi satu dikeluarkan. Kadang-kadang tak sebut nama tapi implikasi sama juga. Itu saya sedih. Jadi biarlah saya bersara. Jangan kacau saya, kalau tidak saya terpaksalah mempertahankan diri saya."

Demikianlah bantahan keras bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bila diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia (sila merujuk Mingguan Malaysia , 13 Februari 2005) selepas beliau dituduh media asing ( The Asian Wall Street Journal ) mencampuri pengurusan Proton Holdings Bhd selaku Penasihat Proton, sehingga "memeningkan kepala" Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mencetuskan perletakan jawatan Datuk Abu Hassan Kendut sebagai Pengerusi Proton.

Gesaan agar 'biarlah beliau bersara' agak ganjil sedikit, jika ianya merujuk kepada jawatan Perdana Menteri, kerana beliau telah bersara lebih daripada setahun. Ataupun jika ianya merujuk kepada jawatan Penasihat kepada Proton (dan juga Petronas) kerana beliau telah menegaskan pendiriannya tidak akan meletakkan jawatan tersebut.

Kata beliau: "Kalau saya ambil langkah yang sama (tidak tahan dan meletak jawatan), nampak sangatlah saya bersalah. Kalau saya buat salah, tunjukkan di mana salah saya. Apa yang saya buat sehingga merosakkan atau memeningkan kepala. Dalam hal Tengku Mahaleel, saya tidak setuju dia dibuang dan saya ada hak memberi pandangan. "

Mungkinkah mana-mana Penasihat Proton dapat mengekalkan Ketua Pegawai Eksekutif terbabit dengan alasan ianya tidak bersalah, sungguhpun selaku penasihat, beliau memang berhak memberi pandangan peribadinya?

Mempertahankan diri

Pada masa yang sama, tindakan memecat seseorang Penasihat Korporat Kerajaan tentu dianggap sebagai perkara yang remeh, kerana tindakan memecat menteri, malah timbalan perdana menteri sekalipun, sudah diakur oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai hak istimewa Perdana Menteri. Sebab itu, sudah barang tentu tiada siapa yang berani bertanya 'apakah salah saya'. Sekalipun membantah, ia tentunya sia-sia juga!

Hanya manusia yang amat berpengaruh, seumpama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad saja, yang berupaya untuk mengekalkan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang hendak dipecatkan, sehingga menyebabkan Pengerusi Proton Datuk Abu Hassan Kendut berundur.

Malah, setelah memenangi pusingan awal ini, beliau mampu memberi amaran kepada pihak-pihak terbabit agar jangan kacau beliau, jika tidak, beliau terpaksa mempertahankan dirinya!

Jika Perdana Menteri Abdullah, justeru pihak yang ingin melakukan penstrukturan semula organisasi dan dasar Proton seperti anggapan media asing terbabit seorang Perdana Menteri yang berkuasa, maka sanggupkah beliau terus membisu dan hanya menari mengikut rentak langkah bekas PM kita?

Atau tuduhan media asing itu memang berasas, iaitu bekas PM telah memeningkan PM kita sekarang kerana, selaku penasihatnya, masih berpengaruh dalam urusan Proton, sehingga mampu menggagalkan segala rancangan dan tindakan penstrukturan semula itu?

Kehadiran syarikat Temasek

Bagaimanapun, rakyat Malaysia berhak mengetahui hakikat yang sebenarnya. Rasanya pihak-pihak terbabit wajib menjelaskan beberapa permasalahan yang ditimbulkan dalam wawancara berkaitan, antara lain:

1. Benarkah bekas PM telah memeningkan kepala PM kita sekarang seperti yang dilaporkan oleh media asing itu?

2. Benarkah penstrukturan semula Proton sedang berjalan? Jika benar, apakah punca dan matlamatnya?

3. Temasek milik kerajaan Singapura telah membeli lima peratus saham Proton. Kalau ada syarikat lain membeli kurang daripada lima peratus, mereka tidak perlu isytihar. Oleh itu, menurut bekas PM, mungkin Proton bukan lagi milik kita, mana kita tahu? Adakah kekhuatiran beliau ini berasas?

4. Adakah keputusan untuk membeli kepentingan dalam Lotus Plc (Lotus) yang merupakan pengeluar kereta sport, dan syarikat pengeluar motosikal MV Agusta dari Itali yang dikatakan mahal harganya keputusan bekas PM yang salah seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu?

5. Adakah model-model seperti Tiara dan Juara dikatakan gagal kerana ia bukan dibuat berdasarkan permintaan, tetapi atas arahan Dr Mahathir, seperti yang dikemukakan oleh wartawan?

Dr Mahathir sudah membuat bantahan dan pembelaan atas segala tuduhan berkaitan. Rakyat Malaysia juga tentunya berminat untuk mendengar cerita dari satu pihak lagi sebelum membuat kesimpulan sendiri mengenai hakikat sebenarnya walaupun ianya memang sukar diketahui dalam persekitaran tanpa media yang bebas dan ketandusan budaya telus dan bertanggungjawab.

Sebagai printis industri automotif di negara kita dan Penasihat Proton, usaha Dr Mahathir untuk membela keputusan-keputusan dan dasar-dasar Proton yang lalu dan masakini, mudah difahami.

Dan tidak dapat dinafikan, seperti yang dibanggakan oleh Dr Mahathir: "Masa saya kecil dahulu, sebagai orang Melayu pada masa itu, kita rasa hendak buat gores api pun susah, tapi sekarang ini kita dapat buat kereta, malah kapal terbang !"

Dilema Proton

Tetapi kejayaan ini saja tidak mencukupi jika industri automotif kita tidak mampu bersaing dalam pasaran dunia, malah pasaran tempatan pun, dengan harga yang kompetitif, kualiti yang setanding dan teknologi yang unggul tanpa perlindungan negara yang amat sangat dan berterusan.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir sendiri gagal mengemukakan strategi yang dapat dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan Proton sekarang, melainkan menaruh harapan kepada "kebolehan dan kesetiaan" (agak abstrak) rakyat yang sayang kepada Proton!

Umpamanya, beliau mengaku tidak berdaya untuk menangani cabaran lambakan kereta murah. Malah, beliau merasa hairan macam mana ada negara yang boleh keluarkan kereta yang begitu murah - "landed price" hanya RM11,000 saja!

Dr Mahathir juga tidak dapat menafikan penguasaan pasaran Proton merosot daripada 80 peratus kepada 40 peratus sungguhpun jumlah kereta yang dijual mungkin tidak kurang dari dahulu padahal, beliau sudah mengetahui punca kurang kompetitif kereta keluaran Proton.

Menurut beliau: "Proton mengeluarkan lebih 200,000 buah kereta setahun dan firma automotif gergasi mengeluarkan jutaan kereta setahun, sementara kos untuk mengeluarkan sesebuah model adalah cukup tinggi antara RM500 juta hingga RM1 bilion merangkumi rekabentuk, enjin dan platform."

Bila ditanya apa kata kalau Proton gagal bersaing? Jawapan beliau ialah kalaupun kita gagal bersaing, kebolehan kejuruteraan kita masih ada. Kita faham macam mana membuat sesuatu. Macam-macam perkara lain kita boleh buat.

Pergelutan kuasa dan pengaruh dalam Proton masih berterusan, namun suatu fakta yang pasti ialah industri automotif negara kita sedang menghadapi cabaran lambakan kereta murah dan kekurangan dayasaing yang merupakan dilema Proton...dan sekaligus dilema Tun Dr Mahathir Mohamad!