"MB: Gugurkan Tuntutan Saman." Begitulah tajuk satu berita baru-baru ini (Utusan Malaysia, Jumaat 4 Mac 2005). Dalam satu lagi berita dalam akhbar lain, ada disebut Menteri Besar Negeri Sembilan berkata: "Jika ada tindakan saman walaupun seorang peneroka, kita tidak akan dapat jalankan skim ini."

Kata-kata Datuk Seri Mohamad Hassan memperlihatkan bahawa tidak ada keikhlasan dan kesungguhan untuk menyelesaikan isu Felda Sendayan. Dengan meletakkan syarat sedemikian, maka ia dengan sendirinya menggagalkan usaha ini sedari mula lagi.

Ini kerana semua orang tahu dan menteri besar juga patut tahu bahawa sudah pasti, bukan hanya seorang tetapi berpuluh-puluh peneroka yang celik hak, tidak akan menggugurkan saman mereka.

Tajuk berita dan kata-kata ini sudah cukup menggambarkan adanya unsur-unsur ugutan dalam bentuk katadua diberikan ke atas peneroka.

Tiada langsung perundingan antara pembeli, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan (PKNNS) yang mungkir janji, dengan penjual (peneroka) yang berhak bukan sahaja mendapatkan bayaran 90 peratus tunggakan, tetapi juga pampasan kerana kehilangan mata pencarian.

Sepatutnya, penjuallah yang lebih layak memberi katadua kepada Menteri Besar Negeri Sembilan: "Bayar baki wang kami atau pulangkan geran tanah kami."

Pada 11 Mac lalu, saya bersama dua pemberita Harakah telah bertemu dengan sekumpulan peneroka Felda Sendayan di rumah Pengerusi, Jawatankuasa Penyelaras Penyertaan Pembangunan Masyarakat Felda Sendayan, Haji Jamlus Said. Ramai peneroka yang hadir. Haji Jamlus mempengerusikan majlis.

Maudhu' muzakarah kita kali ini berkisar sekitar tawaran terkini MB Negeri Sembilan untuk menyelesaikan isu Felda Sendayan. Haji Jamlus memberi kepada saya satu keratan akhbar. Saya baca seketika, kemudian mengucapkan tahniah kepada peneroka yang hadir kerana mereka bakal menjadi jutawan.

Tetapi Haji Jamlus nampaknya tidak selesa dengan ucapan tahniah itu. Beliau terus menjawab: "Tunggu dulu, kami tidak tahu tentang perkembangan terakhir ini kerana kami belum dimaklumkan secara hitam putih. Kami dapat tahu daripada berita akhbar. Tanpa melihat tawaran berkenaan secara hitam putih dan terperinci berapa, bila, macam mana wang tertunggak hendak dibayar dan bagaimana caranya kerajaan hendak mempastikan kepentingan kami dan generasi kami terpelihara kami tidak yakin mengenai berita itu."

Beliau menyambung: "Bagaimana mereka boleh mendakwa akan menjaga kepentingan kami apabila kami tidak diajak berunding. Kalau kerajaan berunding dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) sahaja seperti dulu, kami tidak terima kerana dia tiada hak untuk mewakili kami. Lagipun, pengerusi JKK bukan berunding, dia ikut sahaja, macam kerbau dicucuk hidung."

Satu dekad berjuang

Saya yakin Haji Jamlus lebih arif mengenai isu Felda Sendayan ini kerana sudah hampir satu dekad berjuang mempertahankan hak peneroka. Beliau tentunya telah masak dengan segala tipu muslihatnya? Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Dato' Seri Isa Samad dahulu, tidak menghiraukan langsung cadangan peneroka. Beliau menyuruh peneroka "telan" sahaja apa yang kerajaan negeri cadangkan, iaitu jual sahaja tanah mereka pada harga RM3 sekaki persegi.

Peneroka dinafikan hak untuk memegang saham dalam syarikat pemaju. Yang dapat saham percuma 30 peratus walaupun ianya tidak memiliki barang seinci tanah pun dalam Felda Sendayan ialah PKNNS. Peneroka telah mengemukakan cadangan balas kepada Menteri Besar, Menteri Tanah dan Galian serta perdana menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad), tetapi tiada diambil peduli.

Apabila status Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) dimasuhkan dan Felda Sendayan diwartakan sebagai kawasan pembangunan komersil, maka di bawah perjanjian jual-beli di antara PKNNS (pembeli) dan penjual (peneroka), baki 90 peratus harga tanah hendaklah dibayar kepada peneroka dalam masa tidak melebihi dua tahun.

PKNNS telah mungkir janji, kononnya pihak ketiga (pemaju swasta) yang berjanji membeli dan memajukan tanah itu sudah kehabisan wang. Yang membeli adalah PKNNS, jadi apa ada kena mengena dengan pihak ketiga?

Sepanjang tempoh 1996-97, tempat peneroka bergantung hidup itu, telah menjadi tanah terbiar. Felda lepas tangan. Risda pun lepas tangan. Peneroka telah hilang sumber pendapatan. Sudahlah wang penjualan tidak dibayar, tanah pula sudah tidak dapat diusahakan. Peneroka tiada pilihan. Kerana itulah mereka menyaman PKNNS dan kerajaan, menuntut supaya dibayar pampasan kerana kehilangan mata pencarian.

Terdapat 513 peneroka Felda Sendayan terbabit, dengan milikan tanah seluas 1,600 hektar. Seramai 460 menandatangani perjanjian jual-beli dengan PKNNS pada 14 November 1996 dan mendapat bayaran pendahuluan 10 peratus.

Seramai 53 peneroka enggan menjual tanah mereka kepada PKNNS tetapi akhirnya tanah mereka telah diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan dengan menggunakan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Mereka ini (53 peneroka) belum dibayar sesen pun lagi oleh kerajaan.

Seramai 125 peneroka telah menyaman kerajaan 45 dari kumpulan yang tanah mereka telah diambilalih oleh kerajaan mengikut APT 1960 dan 80 lagi yang telah menandatangani perjanjian jual-beli dengan PKNNS.

Manakala baki 388 peneroka 380 yang menandatangani perjanjian jual-beli dengan PKNNS dan lapan peneroka yang tanah mereka diambil mengikut APT 1960 tidak terlibat dengan tindakan menyaman kerajaan itu. Mereka ini dikatakan telah ditakut-takutkan dan terpaksa tunduk kepada pelbagai ugutan dari pihak berkuasa.

Dua jenis saman difailkan di mahkamah tinggi Seremban. Pertama, saman di bawah APT 1960 di mana peneroka yang tanah mereka diambilalih oleh kerajaan mengikut akta tersebut, menunutut gantirugi di atas kehilangan mata pencarian akibat pengambilalihan itu dan kegagalan kerajaan membereskan pampasan dalam tempoh dua tahun selepas pengambilalihan.

Kumpulan peneroka ini juga menuntut bayaran bantuan tanam semula yang sepatutnya mereka berhak, andaikata status tanah masih tanah pertanian.

Menuntut pampasan

Seramai 45 peneroka telah mengemukakan tuntutan kehilangan mata pencarian berjumlah sekitar RM14 juta. Mereka melantik jurunilai bertauliah untuk menyediakan jumlah tuntutan ini.

Kedua, peneroka yang menandatangani perjanjian jualbeli, menyaman kerajaan dengan menuntut pampasan di atas kehilangan mata pencarian, bantuan tanam semula yang telah terlepas, pemulangan hak milik tanah serta geran dan kadar feadah lapan peratus setahun ke atas baki harga tanah yang belum dibayar, sehinggalah geran dipulangkan atau tunggakan dibayar sepenuhnya.

Menurut Haji Jamlus, sudah bertahun lamanya mereka naik turun mahkamah. Dalam sidangnya yang terkini pada 22 Februari 2005, mahkamah telah memutuskan supaya tuntutan dibenarkan. Perbicaraan untuk memutuskan jumlah tuntutan dijadualkan pada 24 April 2005.

Perjuangan menuntut hak oleh peneroka berkenaan sudah menampakkan kejayaan. Kemungkinan besarnya, jika tidak ada aral melintang, peneroka akan melihat hak mereka dikembalikan.

Persoalannya, kenapa baru sekarang Menteri Besar Negeri Sembilan mahu bergegas-gegas mendesak peneroka supaya menggugurkan saman mereka dan meletakkan syarat, hanya setelah saman digugurkan, barulah beliau akan membentangkan skim khas bagi menyelesaikan masalah tersebut?

Dan semalam, Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan membayar baki 40 peratus kepada peneroka yang sudah menerima bayaran 10 peratus sebelum ini.

Manakala 50 peratus lagi akan dibayar dalam bentuk lain iaitu memberi sebuah rumah teres dua tingkat yang berharga lebih RM200,000 dan tanah seluas 0.405 hektar yang bernilai lebih RM300,000 kepada setiap peneroka terbabit.

Menurut laporan media, Mohamad berkata, pada keseluruhannya, setiap peneroka masing-masing akan menerima kira-kira RM1.1 juta.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, keputusan tersebut hanya boleh dilaksanakan dengan syarat semua tindakan undang-undang yang dibuat oleh peneroka atau orang perseorangan ataupun pihak syarikat yang berkepentingan di Felda Sendayan, digugurkan.

Hampir sedekad berlalu dan peneroka yang berusaha memperjuangkan hak mereka telah berkorban wang ringgit, harta benda, tenaga dan masa, maka apakah wajar setelah hampir tiba di garisan penamat, mereka mahu menggugurkan tuntutan tersebut.

Oleh itu, Haji Jamlus mengajak anak buah beliau supaya jangan terburu-buru membuat keputusan. Biar isu selesai satu persatu. Ambillah iktibar dari pengalaman selama satu dekad yang lalu.

Tawaran hitam putih

Secara terperinci, Haji Jamlus mengajak peneroka memikirkan perkara berikut. Pertama, tunggu tawaran hitam putih daripada pihak berkuasa negeri. Laporan akhbar mengenainya tidak dapat ditentukan kesahihannya dan tanpa surat tawaran yang khusus, laporan itu boleh dinafikan oleh pihak berkuasa kemudian kelak.

Kedua, peneroka perlu mendapat penjelasan, antara lain, mengenai isu-isu berikut: Adakah bayaran baki itu akan dibayar sekaligus kepada peneroka yang telah menandatangi perjanjian itu atau dibayar secara berjadual?

Apakah kerajaan akan memberi pampasan kepada peneroka yang kehilangan punca pencarian kerana perjanjian jual-beli telah dimungkiri oleh pihak PKNNS? Oleh kerana perjanjian jual-beli itu telah terbatal akibat kemungkiran pihak pembeli, apakah perjanjian jual-beli baru akan dibuat? Kalau perjanjian jual-beli baru dibuat, apakah harga tanah akan dipinda mengikut harga semasa? Kalau perjanjian lama dikekalkan, bila pembayaran baki itu akan dibuat?

Selanjutnya peneroka perlu mendapat penjelasan mengenai isu berikut: Kalau saman digugurkan, apakah kerajaan akan menolong menampung kos perundangan yang telah ditanggung oleh peneroka? Dan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab.

Pokoknya, yang menanggung kerugian selama ini ialah peneroka tanah mereka diambil di bawah harga pasaran, wangnya tidak dapat dan mereka telah hilang mata pencarian 1996, sepertimana yang terkandung dalam aduan mereka kepada Perdana Menteri, yang bertarikh 25 November 1996.

Oleh itu, diharap Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang berundinglah dengan para peneroka terbabit secara terbuka, dan bukan dengan laungan jarak jauh di muka akhbar!


Dr ROSLI YAAKOP, adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan. Beliau adalah lulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Universiti Wisconsin.