Terjemahan "Ia adalah masa yang terbaik, ia adalah masa paling teruk, ia adalah zaman kebijaksanaan, ia adalah zaman kebodohan, ia adalah zaman meletakkan kepercayaan, ia adalah zaman tiada kepercayaan, ia adalah musim Cahaya, ia adalah musim Kegelapan, ia adalah sumber harapan, adalah saat putus asa, kita mempunyai segala-galanya di depan kita, dan kita tidak mempunyai apa-apa di depan kita, kita semua menuju terus ke Syurga, kita semua menuju terus ke jalan lain..."(Charles Dickens, A Tale of Two Cities ).

2005 merupakan tahun ulangtahun ke-60 tamatnya Perang Pasifik dan pembebasan Malaya. Saya telah menemui beberapa pemimpin tertinggi Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjadi orang penting dalam Tentera Anti-Jepun Malaya (MPAJA) ketika itu, untuk mengimbau kembali pengalaman, kenangan dan perasaan mereka pada detik-detik bersejarah negara ini.

Perjumpaan kami berlangsung pada 20 dan 21 Februari di Ban Chulabhorn 12 di Sukhirin, di Selatan Thai tempat tinggal sebahagian daripada hero dan srikandi Perang Pasifik di Semenanjung Malaysia, bersama anak cucu mereka. Kebanyakan mereka adalah Melayu-Islam, yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu tetapi juga fasih bertutur dalam bahasa Cina dan Thai.

Di kampung yang terletak jauh di dalam sebuah hutan itu, saya bertemu pengerusi PKM Abdullah CD, anggota jawatan pusatnya, Suriani Abdullah @ Eng Min Ching, Rashid Maidin ( foto atas ) dan Abdul Samah Mohd Kassim.

Cakera satelit

Ban Chulabhorn 12 pernah menjadi pangkalan utama Regimen ke-10 Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLA) yang mana majoriti anggotanya terdiri daripada orang Melayu. Walaupun Chulabhorn 12 nampaknya seperti terasing dari pusat-pusat bandar, tetapi ia mempunyai sebuah cakera satelit yang membolehkan pendudukannya mendapat siaran televisyen dari seluruh dunia tanpa sebarang sekatan.

Mereka juga membaca akhbar-akhbar Malaysia Utusan Malaysia, Berita Harian, Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau walaupun lewat satu dua hari. Malah, Suriani ( foto ) turut menyimpan salinan rencana kisah hidupnya yang disiarkan dalam akhbar Sin Chew Daily pada 22 Ogos 2003. Dalam rencana tersebut, dengan tajuknya dalam huruf tebal, dia digelarkan sebagai srikandi Malaysia.

Pada pagi 21 Februari, sebelum saya berangkat pulang, seorang juruelektrik muda bangsa Thai kelihatan sedang memasang talian telefon di rumah tempat Suriani dan suaminya tinggal seorang lagi pemimpin PKM, Abdullah CD.

Selain memiliki kemudahandan peralatan moden, kampung tersebut juga mempunyai sebuah masjid, sebuah sekolah rendah, muzium regimen berkenaan, dewan masyarakat, kawasan mainan kanak-kanan, rumah tetamu dan sebuah kantin.

Penduduk kampung itu, yang sebahagian besarnya berbangsa Melayu-Islam, boleh faham, malah lancar berbahasa Cina kerana sebahagian daripada mereka pernah mendapat pendidikan di China dari tahun 1960-an hingga awal tahun 1970-an.

Contohnya, menantu Abdullah CD sendiri berbangsa Melayu yang berasal dari Singapura yang dihantar oleh keluarganya yang menjadi ahli komunis, untuk tinggal dan mendapat pendidikan awal di China. Dia bercakap dalam bahasa Cina dengan begitu lancar dalam loghat penduduk Beijing.

Isterinya, anak perempuan Abdullah CD dan Suriani, pula pernah menjadi kakitangan bahagian penyiaran Suara Revolusi Malaya yang dipancarkan dari China pada tahun 1970-an.

Keempat-empat mereka Abdullah, Suriani, Rashid Maidin dan Abdul Samah masih sihat walaupun masing-masing sudah menjangkau umur 70-an dan 80-an. Misalnya, walaupun sudah berusia 81, tahun, pengalaman masa silamnya masih segar dalam ingatannya.

Masih jelas dalam ingatannya saat pertama kali dia bertemu dengan Abdullah CD, Rashid Maidin and R G Balan apabila mereka muncul dari bawah tanah sesetengahnya daripada bilik seksaan sebaik sahaja pembebasan Ipoh daripada pendudukan tentera Jepun pada hujung bulan Ogos dan awal September 1941.

Golongan kanak-kanak pula memanggil Suriani dengan panggilan 'Makchik Suriani'.

Rashid yang suka berjenaka

Manakala Rashid Maidin, 87, pula tidak putus-putus berjenaka, terutama mengenai "sikap bermegah-megah tetapi bodoh pegawai tentera British" yang meletakkan dalam tahanan selama empat tahun, dari tahun 1948 hingga 1952.

Menurutnya, beliau berhenti bermain biola selepas ada orang memberitahunya bahawa bermain alat muzik sama 'macam potong kepala sendiri'.

Rashid juga 'bersumpah' telah berhenti merokok, dan cerut apabila pada suatu hari, beberapa tahun yang lalu, dia tiba-tiba sahaja menyedari merokok itu 'merupakan satu perbuatan paling bodoh dalam hidupnya".

Isterinya, Selamah Abdullah, 76 juga berbangsa Cina seperti Suriani tersenyum mengakui kebenaran kata-kata suaminya itu.

Sesetengah dari generasi tua Cina di Perak akan mengakui Rashid menghisap cerut dan bermain biola pada tahun 1930-an dan pada awal 1940-an di Tanjung Tualang di mana dia bekerja sebagai seorang juruelektrik di kapal korek bijih timah milik British.

Bagaimanapun, wajahnya berubah menjadi serius apabila dia berkata: "Sebagai seorang budak miskin yang dilahirkan di kampung yang mundur pada tahun 1917 dan tanpa mendapat pendidikan formal, saya masih bersyukur kepada pihak parti telah menukar saya menjadi seorang lelaki yang tahu politik dan dunia yang kompleks, dan juga menaruh kepercayaan terhadap saya untuk sekian lamanya."

Rashid pula pernah menjadi wakil PKM di Persidangan Empayar Komunis (British) 1947 yang diadakan di London dan Rundingan Damai Baling, Kedah pada 1955 serta menjadi salah seorang yang menandatangani Perjanjian Damai 1989 dengan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, wajahnya menjadi muram apabila dia teringatkan Tu Lung Shan orang yang bertanggungjawab menrekrut Rashid sebagai anggota bawah tanah PKM pada 1941, sejurus sebelum pencerobohan tentera Jepun di Malaya. Lu mempunyai empat nama lain Du Lung San@ Li Fuk @ Lai Fook@ Lai Lai Fook. Tu juga menrekrut dan menjadi mentor kepada beberapa lagi pemimpin tinggi PKM, antaranya, Chin Peng dan Suriani.

Rashid masih ingat bagaimana dia secara bersembunyi, menangis terisak-isak apabila mendapat tahu dari sumber-sumber bawah tanah bahawa Tu telah dihukum mati dengan dipenggal kepalanya oleh tentara Jepun di Ipoh pada 1943 sewaktu berusia 21 tahun.

Tentera British terpaksa berundur

Manakala Abdullah CD, 81, ( foto bergambar dengan cucunya ) yang pernah menulis beberapa buku dan risalah mengenai sejarah PKM dan perjuangan orang Melayu menentang penjajahan British, pula bercakap bagaikan seorang pensyarah sejarah.

Abdullah menyertai Tentera Anti-Jepun Malaya pimpinan PKM sewaktu pendudukan Jepun dan mewujudkan bekerjasama rapat secara rahsia dengan penduduk Melayu di Perak.

Abu Samah, 79 bekas pengasas penubuhan Umno dan pemimpin pemuda juga mempunyai sejarah hidup yang menarik mengenai politik dan hal-ehwal ketenteraan, tetapi agak berat mulut, dan hanya tersenyum.

Bagaimanapun, apabila dikemukakan soalan, Abu Samah ( foto )lantas menceritakan dengan terperinci mengenai jalan yang berlumpur serta berliku, dan waktu ketika penduduk bandar-bandar di sepanjang Pantai Timur menjadi panik apabila anggota sukarelawan yang dibantu oleh tentera British, terpaksa berundur selepas gagal membendung serangan Jepun di Kota Bharu, Kelantan.

Walaupun tidak ramai di kalangan generasi muda di Malaysia, Singapura dan di dunia ini mengingati sumbangan dan pengorbanan mereka pada masa itu, tetapi mereka bangga dengan pengorbanan murni mereka ketika itu, dalam menentang sistem pemerintahan diktator dalam Perang Pasifik serta perjuangan untuk mencapai kemerdekaan negara selepas perang tersebut.

Sambungannya esok mengenai kisah hidup Suriani