Terjemahan Suriani Abdullah adalah antara pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang kurang dikenali ramai. Bagaimanapun, pada suatu ketika, kecantikannya, daya tarikannya, kepetahannya berpidato serta semangat dan dedikasi terhadap perjuangannya, telah mendapat perhatian banyak pihak, termasuk musuh ideologi dan politiknya.

Menurut Victor Purcell, penasihat hal-ehwal China kepada Pentadbiran Tentera British ( (BMA) yang memerintah Semenanjung Malaya dan Singapura sebaik sahaja tamat Perang Pasifik, Suriani mempunyai "daya tarikan seksual" dan "seorang yang menawan dan suka berjenaka".

Dalam laporan sulitnya pada tahun 1945, Purcel menulis tentang pemerhatiannya ke atas Suriani.

"Dia memiliki bentuk badan yang agak menarik di bawah pakaian birunya yang serbah-serbih, tetapi pen yang terlekat di dadanya menjadi satu peringatan bahawa dia berpegang kuat pada perjuangannya. Bahagian yang paling menarik ialah matanya. Satu ketika ianya kelihatan leper/mendatar, perang dan membosankan, tetapi pada saat yang lain, ia memancarkan kelipan sinar fanatik yang membara...

"Saya banyak mendengar mengenai kepetahannya berpidato dan tingkah lakunya di mesyuarat pada Oktober 1945 sewaktu belaku kekecohan beras di mana dia berdiri di atas platform di padang dan berpidato berapi-rapi kepada kumpulan 3,000 serta nyanyian lagu-lagu revolusi oleh kumpulan koir yang dilatihnya selama lebih satu jam sebelum ketibaan Brigadier Willan supaya apabila dia datang, orang ramai tidak berminat lagi untuk mendengar penjelasannya.

"Dia duduk di depan saya, saya dapat melihat kerdipan matanya yang penuh semangat revolusi yang membara, tetapi yang menghairankan dia kelihatan "pendiam" ketika disoal." (dipetik daripada buku tulisan Cheah Boon Kheng bertajuk The Masked Comrades - A Study of the Communist United Front in Malaya, 1945-1948, Singapore, Times Book, 1979, ms 49-50)

Ketika itu, Suriani baru berusia 21 tahun. Dia baru sahaja dibebaskan dari bilik seksaan polis rahsia Jepun di Ipoh di mana dia ditahan pada 28 Januari 1945 dan diseksa selama enam bulan, selepas dia dikhianati dan ditangkap kerana menganggotai pasukan bawah tanah yang bersekutu dengan Regimen ke-5 Tentera Anti-Jepun Malaya (MPAJA) yang berpangkalan di Lembah Kinta.

Bandar Ipoh dikuasai tentera Jepun selepas beberapa kali dibom beberapa hari sebelumnya. Apabila pengumuman dibuat bahawa tentera Jepun telah menyerah kalah tanpa syarat pada 15 Ogos 1945, maka Ipoh dibebaskan oleh Regimen Ke-5 MPAJA, kumpulan rakyat yang menyokongnya, serta anggota operasi khas Pihak Bersekutu.

Berdasarkan catatan Purcel pada bulan Oktober 1945, ia jelas menunjukkan bahawa semangat Suriani tidak pernah luntur walaupun telah dikurang dan diseksa selama enam bulan.

Seorang tua di Ipoh, Lai Ying, yang saya temui awal tahun ini, menceritakan, Suriani dan Sybil Kartigasu adalah "dua wanita yang paling dihormati dan diminati generasi kami di Lembah Kinta kerana mereka membuktikan bahawa wanita bukan sahaja cantik, tetapi juga berani" dan "mereka merupakan pelindung dan penyelamatkan kami".

Sybil Kartigasu adalah seorang surirumah serani beragama Kristian yang membekalkan secara rahsia ubat-ubatan kepada di MPAJA di Papan, dan seperti juga Suriani, dia turut ditangkap dan diseksa oleh Kempeitai polis rahsia Jepun.

Bagaimanapun, Sybil Kartigasu telah dihantar ke Britain untuk menjalani rawatan intensif bagi kecederaan yang dialaminya ketika diseksa Kompeitai. Suriani pula terus kembali menyambung perjuangannya dengan semangat dan dedikasi baru, ketika fasa baru sejarah Malaysia bermula.

Kartigasu bagaimanapun, menghembuskan nafas terakhirnya pada 4 Jun 1949 akibat kecederaan yang dialaminya itu. Mayatnya dibawa pulang dan disemadikan di tanah perkuburan Gereja St St Michael Church bagi memenuhi permintaan terakhirnya yang mahu dikebumikan sebagai seorang rakyat Malaya.

Apabila ditanya mengenai Kartigasu, Suriani berkata dia tidak mengenalinya ketika itu, tetapi membaca mengenainya selepas perang berakhir.

Seksaan yang tidak sia-sia

Selepas itu, Suriani bukan sahaja dilantik sebagai wakil PKM di Perak yang diterima sebagai rakan seperjuangan British dan kejayaannya sewaktu Perang Pasifik, tetapi juga dipinjamkan oleh parti itu untuk bekerja sebagai pegawai kerajaan dengan BMA di Perak.

Beberapa tahun selepas perang tamat, Suriani dianugerahkan tanpa kehadirannya Pingat 'Resistance Heroine' di sebuah persidangan antarabangsa yang diadakan di Beijing.

"Pada suatu hari, saya telah dijemput secara rasmi untuk menaiki helikopter tentara British, mengelilingi ruang udara Ipoh dan menabur bunya ke arah orang ramai yang meraikan saat pembebasan tersebut.

"Dari helikopter tersebut, saya nampak beratus-ratus orang berkumpul di sana sini di jalan sambil menyanyi dan mengibar bendera itulah saat di mana saya merasakan bahawa seksaan yang saya alami adalah tidak sia-sia," katanya ketika ditemui di kediamannya di selatan Thailand.

"Ketika di Ipohlah, buat pertama kalinya saya bertemu dengan rakan seperjuangan seperti Abdullah CD, Rashid Maidin (foto) dan R G Balan yang juga merupakan anggota komunis bawah tanah yang berkerja untuk MPAJA menentang pendudukan Jepun di tempat-tempat lain di Perak," katanya.

Abdullah CD, yang kemudiannya dilantik sebagai pengersui PKM, telah mengahwini Suriani pada tahun 1955.

Suriani juga bertemu dan berkawan dengan Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman dan nasionalis muda Melayu yang progresif di Ipoh dari akhir tahun 1945 hingga pertengahan 1948. Dr Burhanuddin al-Helmy (1911-1969) kemudiannya menjadi Presiden PAS manakala Ahmad Boestaman (1920-1983) menubuhkan PRM.

Semua itu merupakan hari-hari yang amat menggembirakan di Ipoh, tetapi ianya tidak lama. Sejurus selepas itu, Suriani, sepertimana rakan-rakan perjuangannya yang lain, kemudiannya dianggap"penjahat" dan "CT" (pengganas komunis) oleh media perdana penjajah dan selepas Malaya merdeka (kemudiannya dikenali sebagai Malaysia).

Suriani @ Eng Ming Ching yang dilahirkan di Setiawan dalam bulan Januari 1924 dan merupakan anak perempuan tunggal dalam sebuah keluarga Cina seramai lima orang. Setiawan, juga merupakan tempat asal Chin Peng. Dia lulus Sekolah Tinggi Cina Nan Hwa di Setiawan dan meneruskan pelajarannya ke Darjah 7 di sebuah sekolah Inggeris di Ipoh.

Pada tahun 1940, dia diterima sebagai anggota bawah tanah PKM. Seperti juga Chin Peng, Suriani adalah seorang radikal akibat daripada dasar diskriminasi kaum oleh penjajah Malaya dan peningkatan sentimen anti-Jepun di kalangan masyarakat Cina di Malaya, apabila negara itu menceroboh China terutama sejak "Peristiwa Manchuria" pada tahun 1931 dan Pembunuhan beramai-ramai di Nanjin (1937-1938).

Sebagai seorang pelajar, Suriani turut menyertai bantahan dan pergerakan menentang pencerobohan Jepun ke atas China. Dan pembabitan sepenuhnya dalam parti komunis itu dibantu oleh antaranya Tu Lung Shan yang mempunyai empat nama, Du Lung San@ Li Fuk@ Lai Fuk@ Lai Lai Fuk kader komunis yang mahir dalam tiga bahasa, yang berjaya mempengaruhi Suriani sewaktu belajar di Sekolah Tinggi Nan Hwa.

Tu, yang dianggapkan oleh Chin Peng sebagai "mentornya' dalam bukunya, telah ditangkap oleh pihak Jepun dan dibunuh dengan dipenggal kepalanya pada tahun 1943 ketika berusia 21 tahun.

Tentangan keluarga

Bagaimana pula dengan keluarganya? Apakah mereka tidak tahu mengenai aktiviti politiknya Suriani dan parti yang disertainya?

"Ibu bapa saya tidak bersetuju dengan pembabitan saya dalam politik, tetapi saya telah lari dari rumah. Kemudian, abang saya berjaya menemui saya dan membawa saya balik. Selepas mengadakan 'rundingan', barulah saya dibenar meneruskan pelajaran dan bebas bergerak. Sudah tentunya saya meneruskan aktiviti bawah tanah saya. Lung San lah yang membantu saya hidup bebas daripada keluarga saya. Kerana itulah dia begitu istimewa dalam hidup saya," kata Suriani.

Menurutnya lagi, selepas diterima menjadi ahli, dia ditugaskan oleh pihak parti untuk menganjur dan menubuhkan kesatuan pekerja wanita di pelbagai tempat seperti di Tanjong Tualang, Kampar dan Pusing. Pada 1941, sebelum Jepun menyerang Malaya, berlaku satu mogok oleh pekerja wanita di Kampar.

Malah, kata Suriani, sebelum pencerobohan Jepun, dia hampir-hampir ditangkap oleh pihak British kerana menganjurkan mogok tersebut dan juga kerana menjadi seorang ahli komunis. Menurutnya, dia sempat meloloskan dari daripada ditangkap kerana dia dilindungi oleh para pekerja terbabit.

Bagaimanapun, pada 18 Disember 18, 1941, PKM mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa British di Singapura untuk mengadakan kerjasama ketenteraan bagi menghalang kemaraan Jepun ke selatan semenanjung. Beratus-ratus ahli komunis di dalam penjara, telah dibebaskan untuk menyertai Dalforce untuk mempertahankan Singapura manakala 165 lagi telah dihantar menjalani latihan singkat dalam peperangan gerila di Sekolah Latihan Khas 101 (STS101) yang ditubuh dan ditadbirkan oleh Misi Operasi Khas Eksekutif Oriental.

"Selepas itu, pihak parti di Perak mengambil keputusan untuk menghantar saya bertugas adi Singapura. Walaupun pula mulanya saya agak keberatan, tetapi saya terima juga tugasan itu. Pada hari saya sepatutnya menaiki keretapi ke Singapura pada jam 1 petang, pihak Jepun mula mengebom Ipoh pada jam 11 pagi. Dari stesen keretapi Ipoh, saya mengambil keputusan untuk menukar rancangan itu dan balik semula ke kawasan perkampungan di Perak," cerita Suriani.

"Tempat pertama yang saya tujui selepas pengeboman Ipoh ialah Chenor. Ramai rakan perjuangan wanita saya dan mereka yang bersimpati, telah berhimpun di sana. Chin Peng juga sudah berada di sana dan kami tinggal di Chemor selama kira-kira dua bulan. Kebanyakan wanita muda terpaksa memotong pendek rambut mereka dan berpakaian seperti orang lelaki bagi mengelak menjadi mangsa keganasan seks tentera Jepun.

"Selepas itu, saya dipindahkan semula ke Ipoh untuk bekerja sebagai ahli jawatankuasa parti itu di bandar Ipoh. Tidak lama selepas itu, saya dinaikkan pangkat menjadi setiausaha jawatankuasa tersebut. Malangnya, ada pengkhianat yang memberitahu pihak Jepun mengenai kami. Nama saya di atas sekali dalam senarai orang yang dikehendaki. Ramai yang kena tankap.

"Saya sempat melarikan diri dan menyertai Regimen ke-5 MPAJA di hutan Chenor dan menjadi wakil sementara parti di unit bersenjata itu."

Berkulit putih, berhati merah

Sewaktu pendudukan Jepun, MPAJA mempunyai lapan regimen (Irs) meliputi Selangor (IR pertama), Negeri Sembilan (IR ke-2), Johor Utara and Melaka (IR ke-3), wilayah Tengah dan Johor Selatan(IR ke-4), wilayah Tengah dan Utara Malaya(IR ke-5), Pahang Utara (IR ke-6), Pahang Timur and Terengganu (IR ke-7) dan Kedah (IR ke-8).

Kemudiannya, Suriani dipindahkan ke Sungai Siput, Pusing, Batu Gajah, Tanjong Tualang dan tempat-tempat lain untuk bekerja bersama ahli dan penyokong wanita parti itu di dalam pergerakan bawah tanah. Katanya, dia selalu berada di bawah perintah Chin Peng dan semangatnya tinggi dan partinya serta gerakan penentangan bersenjata mendapat sambutan rakyat, termasuk di sesetengah perkampungan Melayu di Tanjong Tualang dan Batu Gajah.

"Malah ahli perniagaan juga, secara rahsia, turut menyokong kami. Pada zahirnya mereka berpura-pura baik denan Jepun, tetapi sebenarnya mereka membekalkan kami dengan maklumat, wang dan makanan seperti gula, garam, ikan, daging dan beras. Kami selalu berlindung di kuarters pekerja milik pelombong. Kami memanggil mereka orang 'berkulit putih, berhati merah'.

"Beberapa pemborong makanan laut juga turut membantu dengan membekalkan kami dengan ikan setiap minggu supaya kami sentiasa sihat. Kami sebenarnya mempunyai lebih makanan daripada yang diperlukan," katanya.

Walaupun Suriani sering berjaya beberapa kali melepaskan diri daripada ditangkap oleh pihak Jepun, tetapi nasibnya tidak sentiasa baik. Pada 28 Januari 1945, kira-kira enam bulan sebelum pihak Jepun menyerah diri, dia berjaya ditangkap di Tanjong Tualang.

Esok: Diseksa oleh Kempetai