Orang Asli & 'bloked'
Pada 27 Mac 2010, tatkala pelancaran novel Bahlut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur aku memberitahu tugas kesenimananku yang berusaha membangkitkan kesedaran pembaca mengenai nasib Orang Asli, dan pembalakan haram yang menyusahkan kehidupan mereka.
Ketika itu aku belum mengenal Siti Kasim. Sisi politik yang menggigit novel remajaku ini ialah apabila aku tampilkan perjuangan peribadi Bahlut untuk menyelamatkan maruah suku kaumnya apabila sebuah syarikat pembalakan menodai dan meratah secara rakus hutan dara sekitar kampung asalnya. Gaya hidup masyarakat kaum Semai telah banyak diperkosa sehingga sumber makanan menjadi sukar. Malah syarikat pembalakan haram yang melakukan aktiviti di kampung asal Bahlut telah meracun sumber air penduduk.
Ketika pelancaran novel itu aku membawakan dua perenggan dari tulisan Saudara SM Mohamed Idris, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang disiarkan oleh akhbar Harakah 19-21 Mac 2010:
“Orang Asli yang merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini, terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim perladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana. Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan. Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka. Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi.”
Apa yang dinukilkan oleh saudara SM Mohamed Idris itu bukanlah sesuatu yang baharu. Bukan suku kaum Semai sahaja ditimpa kesengsaraan di atas. Ketika menulis novel Bahlut aku membaca satu laporan Narifumi Maeda Tachimoto bertajuk The Orang Hulu, (terbitan Center For Orang Asli Concerns tahun 2001) yang menulis mengenai persepsi orang Hulu terhadap orang Melayu:
“Differences in the way of life and habitation, as well as economic exploitation, make the Orang Asli sakai, dependents or retainers, of the Malay. So the Orang Asli are still called Orang Sakai by Malays, though officially the neutral term Orang Asli has been used since World War II. Previously, the attitude developed that the sakai are neither Malay nor Muslim. Thus it has become convenient for the Malay to exploit them, treating the inhabitants of the interior as non-Malays.”
Tulisan Tachimoto ini bagaikan menyuruh-nyuruh aku untuk mengarang novel Bahlut kerana aku tidak mahu lagi orang Melayu dituduh tidak melakukan apa-apa pun buat Orang Asli. Sudah masanya tanggapan mengejek ini diakhiri dengan kerja amal berupa pembelaan. Alhamdulillah ada orang seperti Siti Kasim yang rambutnya kuning membela Orang Asli. Dialah yang paling Islam berbanding pendakwah yang mengumpatnya di masjid. Sesat-sesat aku pun, aku karangkan sebuah novel mengenai nasib Orang Asli. Tentu kaum musyrikin yang mensyirikkan Allah kerana memuja balak, mengkultus tuan guru mereka dan menggilai keuntungan dunia akan tertawa. Tentu mereka bergelak ria dengan kenyataan di atas.
Novel ke-19 aku yang berjudul Bahlut merupakan satu ‘pembelaan kecil’ buat masyarakat Orang Asli supaya perjuangan, penderitaan kesusahan, dan pahit getir mereka didengari oleh masyarakat terbanyak. Aku berharap dengan upaya kecil ini aku telah menjalankan satu bahagian dari misi keagamaan para nabi dan kumpulan wali yang hidup mereka memperjuangkan nasib orang mustadhafin, kumpulan marhaen, golongan murbawan, para abdi dan manusia terpinggir seperti Orang Asli ini.
Untuk tujuan itu, aku menampilkan protagonis bernama Bahlut dalam novel tersebut, yang nama dan semangatnya diambil dari mitos atau legenda perwira kaum Semai bernama Bahlut. Dalam mitos tersebut, Bahlut berjaya mengusir hantu jembalang yang mengganggu kaumnya. Bahlut adalah sebuah nama dari mitos kaum Semai. Mitos sejauh kaki Gunung Paku Panggang. Mitos tersebut menyatakan terdapat seorang penjahat dalam kalangan suku kaum Semai yang bernama Yek. Penjahat ini dikatakan memiliki kuasa ajaib iaitu kuasa untuk menjadikan apa sahaja, batu. Pada satu hari Yek telah membelah muka seekor naga yang ditemuinya di kaki gunung lalu menyumpahnya juga menjadi batu. Oleh kerana menyedari kuasa sakti tersebut Yek telah menggunakan kemahiran atau kelebihan itu sewenang-wenang. Apabila bertemu gajah misalnya, disumpah pula gajah tersebut menjadi batu, apabila bertemu monyet pun dibuat begitu juga. Yek menjadi gila menyumpah apa sahaja kepada batu. Mujur ada seorang penyelamat bernama Bahlut. Penyelamat itu menebang banyak pokok buluh, dan batang-batang pokok. Buluh itu ditebang dengan pucuknya sekali dan ada yang dikerat dua. Pokok-pokok buluh itu disambung-sambung antara hujung sampai jadi tujuh kaki. Bahlut mengikat buluh berpucuk itu ke badannya. Yek terserempak dengan Bahlut dan menjadi takut kerana menyangkakan Bahlut lebih besar berbanding dirinya, lalu ia melarikan diri jauh. Tidak berani mengacau masyarakat Orang Asli lagi.
Hari ini, hantu jembalang tersebut terlalu banyak. Kapitalis pembalak, politikus korup, pemimpin bohong, agamawan syirik bertukar Abu Lahab yang lahap untung dan ketidakpedulian kita; semua itu adalah sejenis hantu jembalang yang mesti, mereka Orang Asli, atasi.
Justeru Bahlut, adalah penyataan kecilku sebagai seorang seniman untuk membawa masalah yang rumit dan begitu lapuk ini ke mata orang awam.
Dalam Bahlut, terdapat watak-watak wanita yang kuat seperti Kabut dan Embun. Watak-watak ini aku terjemahkan dari kerimasan dan kelemasan wanita kaum Semai terhadap perubahan dan pembangunan di sekeliling mereka. Pembangunan yang dipantakkan itu malangnya tidak membawa kebaikan tetapi menjadi nahas buat mereka.
Aku berterima kasih kepada laporan Colin Nicholas, Tijah Yok Chopil dan Tiah Sabak menerusi rekod yang sungguh impresif berjudul Orang Asli Women and the Forest, terbitan Center For Orang Asli Concerns, pada tahun 2003. Laporan ini menjelaskan betapa cara hidup Orang Asli telah dinodai dengan rakus sekali ekoran pembalakan, skim pertanian dan perladangan yang saya kira amat berat sebelah. Maka tidak hairanlah Tijah Yok Chopil yang merupakan penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak memimpin beribu Orang Asli ke Putrajaya pada 17 Mac 2010 untuk menyerahkan memorandum supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli diwartakan sebagai Rizab Orang Asli. Selain itu Orang Asli turut menuntut pindaan Akta Orang Asli (Akta 134).
Apa yang berubah sejak 2010?
Tiada.
Hari ini kita membaca tentang bloked dan usaha Siti Kasim. Sementara novel Bahlut ini tenggelam oleh pengharaman buku-bukuku yang lain.
Aku berharap Bahlut akan kembali ‘menempik’ dan ketegasan watak Bahlut dalam novel ini akan menjadi tenaga yang positif buat masyarakat Orang Asli dan kita sendiri, yang aku kira, prihatin tentang isu yang melibatkan mereka. Memang dalam novel ini, Bahlut diberi perhatian khas oleh perdana menteri dan isterinya. Aku berharap dengan memuatkan plot tersebut, ada orang yang berkuasa akan lebih menyedari bahawa mereka tidak melakukan apa pun untuk menolong kumpulan manusia kecil yang sudah lama tertindas ini. Ketahuilah, Allah, Rasul-Nya dan para wali suci akan bertanya kelak kepada kalian di akhirat. Ini kerana kumpulan yang kecil dan marginal inilah yang akan menjadi dominan dan penguasa di mahkamah keadilan Allah kelak.
Bahlut boleh dibaca sebagai sebuah novel politik tentunya. Lye Tuck Po yang menulis Changing Pathways, terbitan Stategic Information Research Development, pada tahun 2005 mengenai kedudukan suku kaum Batek yang kian pupus lantaran ketagihan pembalakan dan pembangunan menulis bahawa;
“When Batek individuals travel outside the forest, sometimes to give cultural performances for the tourist trade, they do not come back fueled with ideas of how the outside world is waiting to embrace their political participation. Rather, their impressions are cultural and ethnological.”
Adalah menjadi tugas kita untuk membuka kecelikan politik buat orang natif. Adalah menjadi peranan kita untuk membawa masalah mereka sebagai isu politik yang sentral. Bahlut adalah satu penyataan dan keazaman politik untuk ikut serta membetulkan keadaan yang menimpa Orang Asli di era 1Malaysia, era di mana tiada kumpulan serasa ditinggalkan, era yang telah diwar-warkan dengan begitu hebohnya. Bahlut adalah novel tentang Satu Malaysia. Lama sebelum slogan politik itu bergema, aku telah mencipta semangat itu di sini, di ruang Bahlut ini. Iaitu sepanjang Bahlut disirikan di majalah Tunas Cipta pertengahan tahun 2000-an sehingga tahun 2008. Dalam Satu Malaysia, gagasan itu menekankan jangan ada sesiapa yang berasa tertinggal. Benarkah kita tidak akan meninggalkan kaum minoriti? Sedangkan minoriti ada banyak bentuk, iaitu kaum, agama, malahan jalur mazhab.
Tragedi dan musibah menimpa Bahlut menguatkan dirinya. Menjadi penawar dan pesan amanat untuk bangsa. Kalau ada karya sastera yang ingin diangkat tentang bagaimana membela nasib orang kecil, Bahlut insya-Allah, yang agak bermakna.
Bahlut adalah simbol manusia yang melawan. Simbol manusia seperti Hussein, seperti ibunya Fatimah Zahra, seperti bapanya Saidina Ali yang harus menentang kemunafikan, seperti kekandanya Hasan yang dimuslihati, seperti nendanya, baginda junjungan Nabi Muhammad SAW yang kerjanya adalah membangunkan umat dan mempertahankan kumpulan kecil, marginal, tersudut, mustadhafin, miskin, dan letih ini. Aku telah menulis beberapa buah buku cerita, ada yang padat falsafah dan ada yang terbumbung oleh pekatnya kreativiti. Bahlut, adalah sebuah novel yang aku banggakan kerana ia, adalah tangan kecilku untuk membesarkan misi kenabian. Penyair besar Pakistan, Mohammad Iqbal Lahori pernah mencatat:
‘Di Kaabah yang tinggi dan kisahnya
Beritakan limpahan darah di atas batu
Pelajarannya dimulai daripada Ismail
Dan darah al Husain akhir pelajaran.’
Orang Asli adalah tugas kenabian kita yang perlu dipanjangkan. Siti Kasim dan kerja bloked melawan pembalak adalah kerja wali. Para ulama yang terbenam bontotnya di masjid mengutuk Siti adalah kaum musyrikin yang berpihak bersama pembalak dan kapitalis.
Duhai Islamis, kenalilah korban dan Ismail kalian. Tafsirilah kerja Hussein cucu Nabi, melawan korupsi.

