BERSIH 2.0 akan mengadakan himpunan mega BERSIH 5 di Kuala Lumpur pada Sabtu, 19 November. Anak semua bangsa, para penyokong BERSIH, kaum kerabat BERSIH di dalam dan luar negara dan semua pejuang demokrasi dari seluruh Malaysia akan turun sekali lagi ke jalan raya.
Penyokong BERSIH akan berhimpun di Kuala Lumpur. Kami akan berhimpun di Dataran Merdeka.
Justeru, sah lagi sahih bahawa politik jalan raya kini telah menjadi budaya politik Malaysia. Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri telah berkali-kali berkata bahawa tunjuk perasaan atau berdemo bukan budaya kita.
Dr Mahathir salah tafsir. Malah sejarah United Malays National Organisation juga berkait rapat dengan politik jalan raya.
Justeru ketika BERSIH 4 berdemo pada Ogos 2015 Dr Mahathir telah mengubah pandangan. Dia telah turun dua kali untuk menyertai demo BERSIH di Dataran Merdeka.
Hakikatnya Dr Mahathir telah mendapat pencerahan politik dan menerima garis jalan raya sebagai ruang politik yang tepat. Dr Mahathir telah menerima hakikat bahawa jalan raya adalah garis politik untuk menyuarakan bantahan. Dr Mahathir kini sedar bahawa politik jalan raya memungkinkan berlakunya perubahan politik.
Pada ketika ini suasana politik Malaysia sedang bergelora. Department of Justice America (DOJ) - Jabatan Keadilan Amerika - telah mengeluarkan kenyataan tentang keterlibatan Malaysian Officer One i.e Najib dalam kes rompakan duit 1MDB.
Campur tangan Amerika berlaku kerana duit rompakan 1MDB ini telah dibawa masuk ke Amerika sebagai modal pelaburan. Dari segi undang-undang Amerika membawa masuk duit curi dan melaborkan duit itu di Amerika adalah satu jenayah besar.
Ketika tulisan ini digarap telah melaporkan tentang Jho Low, Jasmine Loo, Shahrol Halmi dan anak kandung Rosmah Mansor Riza Aziz akan didakwa tidak lama lagi di mahkamah Amerika.
Pada bulan September lalu media telah melaporkan mereka akan didakwa dengan saman sivil. Semua telah berubah. Kali ini bukan lagi kes saman sivil.Kali ini empat warga Malaysia ini akan didakwa atas kesalahan jenayah mencuri dan mendobi duit di Amerika.
Justeru di saat akhir tahun 2016 - politik Malaysia akan terus hangat. Hangat ini dihangatkan lagi oleh rancangan demo mega BERSIH 5.
Keadaan bertambah seronok. Seronok lagi menyeronokkan. Debar lagi mendebarkan jantung. Anak semua bangsa sedang menunggu kes jenayah 1MDB dibuka. Rakyat Malaysia sedang menunggu untuk membaca apa akan terjadi bila kes rompakan 1MDB ini dibuka di Los Angeles Amerika.
Untuk sama membakar suasana politik. Untuk memukul gendang agar balaci dan para pemakan dedak dari gerombolan United Malays National Organisation turun menari maka BERSIH 5 dengan suci hati telah mengajukan 6 tuntutan:
1- Pilihan raya bersih
2- Hapuskan rasuah
3- Kukuhkan demokrasi
4- Mansuhkan undang-undang zalim
5- Hak membantah
6- Memperkasa hak Sabah/Sarawak
Tuntutan ini adalah meneruskan perjuangan induk BERSIH yang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Dari 2007 hingga ke hari ini tujuan gabungan NGO BERSIH masih lagi menuntut pilihan raya adil dan bersih.
Najib berundur
Sama seperti BERSIH 4 dan BERSIH 5 dalam kempen menggelodak seluruh negara akan juga mencanang heboh tuntutan Najib berundur dan letak jawatan.
BERSIH 5 menuntut Najib berundur serta merta. Sebuah kerajaan peralihan didirikan. Dalam masa 18 bulan tugas utama kerajaan peralihan ini ialah menyediakan satu pilihan raya yang bersih dan adil.
Dalam PRU yang bersih ini - siapa yang akan memimpin tampuk kerajaan terpulang kepada undi anak semua bangsa warga Malaysia. Parti mana atau Barisan atau Pakatan mana yang akan meneraju kerajaan bukan BERSIH yang menentukan.
Penentu dalam pilihan raya yang adil dan bersih hanyalah para pengundi yang selama ini terus ditipu. BERSIH hanya memastikan satu pilihan raya bersih dan adil dijalankan agar rakyat tidak akan ditipu lagi.
Pasti ada yang akan mempersoalkan bukankah BERSIH 2.0 sebuah gabungan NGO yang teras perjuangan hanya kepada pilihan raya? Mengapa hari ini BERSIH menuntut Najib letak jawatan?
Tuntutan Najib wajib letak jawatan memiliki asas yang amat kukuh. BERSIH 4 mengajukan tuntutan ini tahun lepas. Asas tuntutan ini ialah kemasukan duit sebanyak 2.6 bilion ringgit ke dalam akaun pribadi Najib.
Sesudah berita 2.6 bilion ringgit tersebar luas Najib telah mengumumkan bahawa duit itu bukan untuk kegunaan dirinya atau pun untuk Rosmah bershopping. Najib juga mengakui bahawa duit sebanyak 2.6 bilion ringgit ini adalah derma dari seorang Tok Arab.
Mengikut Najib - duit 2.6 bilion ringgit ini telah masuk ke akaun pribadinya di AmBank untuk digunakan dalam kempen politik PRU13.
Mengikut surah Najib - Tok Arab yang baik hati ini telah mendermakan duit ini kerana Tok Arab ini amat berpuas hati melihat Najib telah berjaya menjalankan Islam mengikut mazhab Sunni.
Fakta Tok Arab menderma duit untuk membantu Najib dan gerombolan United Malays National Organisation dalam kempen PRU13 telah menaikkan kemarahan orang ramai. Dari sinilah mulanya BERSIH masuk campur menuntut Najib letak jawatan.
Duit 2.6 bilion ringgit telah digunakan untuk membeli undi. Untuk BERSIH ini adalah rasuah politik.
Fakta duit Tok Arab beli undi telah disahkan oleh kenyataan media YB Shahril Samad dari Johor Bahru. YB Shahril telah menyatakan bahawa dia menerima 1 juta ringgit dari Najib sebagai duit belanja kempen PRU13 di Johor Baru. YB Ahmad Maslan juga telah mengakui bahawa dia menerima 2 juta rinngit dari Najib untuk tujuan berkempen.
Kenyataan dua YB ini walau pun bertujuan membodek untuk menyelamatkan Najib tetapi dalam masa yang sama mengesah lagi 'mengafdalkan' PRU13 yang dimenangi oleh Najib dengan cara tipu helah wang ringgit.
Rakyat telah ditipu
Mari kita lihat kembali apa yang telah berlaku dalam PRU13. Dalam PRU13 - Pakatan Rakyat telah mendapat 52 peratus undi popular. Manakala gerombolan Ketuanan Melayu hanya mendapat 47 peratus undi rakyat. Di mana mana negara dalam dunia ini dengan majoriti 52 peratus undi seharusnya Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan.
Ini tidak akan berlaku di Malaysia kerana SPR telah menyusun sempadan kawasan pilihan raya untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus menang. Kerja dan tugas SPR pada ketika ini ialah memastikan Najib terus memerintah.
Justeru rakyat naik marah. Mereka sedar mereka telah ditipu dalam PRU13. Kemarahan ini telah diterjemahkan oleh anak semua bangsa dengan tindakan 500,000 rakyat turun ke jalan raya.
Pada ketika ini BERSIH 5 yang merancang himpunan mega 19 November untuk menyambung kembali kemarahan BERSIH 4. Justeru BERSIH 5 telah merancang untuk menggelodak kampung, pekan dan bandar.
Pada Sabtu 1 Oktober lalu obor BERSIH 5 telah dilancarkan di Kota Bahru, di Kangar, di Lumut, di Johor Bharu, di Kucing dan di Kota Kinabalu.
Obor ini akan masuk dari pekan ke pekan dari kampung ke kampung. Warga, penyokong dan kaum kerabat BERSIH akan menyebarkan risalah, akan memberi penerangan, memberi pencerahan tentang BERSIH 5. Di tempat dan kawasan yang strategik BERISH akan mengadakan ceramah untuk menghasut anak semua bangsa turun ke jalan raya pada 19 November nanti.
Obor BERSIH 5 ini hanyalah simbol untuk diperlihatkan kepada umum. Di belakang simbol ini adalah satu perjuangan yang maha hebat. Perjuangan yang dimaksudkan ini ialah perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia dari Najib dan Rosmah.
Dua sosok ini telah membawa malapetaka yang amat sangat kepada bumi tanah Melayu. Malaysia sedang dilihat menuju ke nagara gagal. Ini belum ditambah dengan kegagalan ekonomi, kegagalan pentabiran dan bahana GST.
Mengikut kata Dr Mahathir - gaji seorang Perdana Menteri bukan berjuta-juta ringgit. Manakala Rosmah hanya anak Cikgu sekolah Melayu bukan anak towkay atau jutawan besar. Justeru bagaimana Najib dan Rosmah boleh membuat kenduri anak kahwin dengan belanja berjuta-juta ringgit.
Maka mengikut tafsiran Mahathir pastilah Najib ini mencuri duit negara. Untuk Mahathir amat jelas - tidak ada dolak dalik - Najib adalah seorang pencuri. Mahathir telah menerangkan pekara ini beberapa kali dalam ceramahnya. Kali terakhir Mahathir telah menghebohkan Najib sebagai pencuri di hadapan warga Malaysia di Kota London.
Semua ini menjadikan peranan BERSIH 2.0 pada ketika ini amat penting. Pada tahap sejarah Malaysia, pada ketika ini , BERSIH sedang menggalang satu perserikatan Barisan Bersatu/ United Front yang maha luas.
Penggalangan Barisan Bersatu ini dimunculkan dalam usaha menggelodak kampung dan bandar untuk memberi pencerahan tentang BERSIH 5. BERSIH akan menjalin kerja sama dengan semua parti politik, dengan semua kumpulan, dengan semua NGO, dengan semua organisasi rasmi atau tidak rasmi.
Yang penting badan dan kumpulan ini bersetuju untuk bersama menerima tuntutan BERSIH 5.
Tugas menghasut
Projek Konvoi BERSIH 5 bertujuan memberi pengiklanan seluas mungkin kepada rakyat Malaysia di kampung dan pekan. BERSIH 5 akan menggelodak wilayah dan kawasan yang selama ini BERSIH tidak pernah sampai.
Tugas BERSIH dan para penyokong BERSIH ialah menghasut dan memberi pencerahan. Menggelodak dan memberi pencerahan tentang apa yang sedang berlaku ke atas negara kita ini bukan satu kerja yang enteng.Memberi pencerahan kepada semua warga dari anak semua bangsa bukan satu kerja yang senang.
Maka kita menggelodak, kita menghasut ke seluruh negara kerana ia satu kerja yang susah.
Kita lakukan semua ini dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia. Kita satukan tenaga untuk kelahiran Malaysia Baru. Saperti seorang ibu yang mengandung - kelahiran anak yang baru ini pasti ada rintangan. Tapi anak itu akan tetap lahir.
BERSIH 5 juga sama seperti ibu yang mengandung. Himpunan mega 19 November akan berjalan dan Malaysia Baru akan lahir.
