Paling Popular
Terkini

Saya percaya kepada politik jalan raya. Saya adalah sosok penganjur dan pengamal politik jalan raya. Saya juga adalah penghasut politik jalan raya. Sebenarnya saya bukan hanya menghasut semata-mata, saya juga kerap memberi kuliah, menulis untuk memberi pencerahan kepada umum tentang apa itu politik jalan raya.

Politik jalan raya ini memiliki konsep, teori dan pratiknya. Tanpa memahami konsep dan teori maka segala pratik politik jalan raya akan gagal atau menemui jalan buntu.

Untuk memahami konsep dan teori politik jalan raya kita wajib melihat kembali sejarah berpolitik. Sejauh mana pun kita ke belakang melihat sejarah tamadun bangsa-bangsa, kita akan melihat bahawa politik jalan raya memainkan peranan induk.

Politik jalan raya telah berjaya menjatuhkan rejim-rejim feudal yang zalim. Ia telah berjaya menjatuhkan kerajaan yang antikebebasan. Menjatuhkan rejim diktator tentera. Menjatuhkan pemimpin korup - sama ada presiden atau perdana menteri.

Kalau kita membaca sejarah Revolusi Perancis (1789-1799) kita akan dapat melihat bagaimana warga kota Paris - kaum tani miskin - telah turun ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan Raja Louis ke 14. Raja Louis dipenggal kepalanya pada 21 Januari 1792. Pada bulan September tahun itu negara Perancis menjadi republik dengan asas kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan untuk anak semua bangsa.

Revolusi Perancis adalah permulaan garis politik jalan raya dalam era moden.

Pengalaman dan garis politik Revolusi Perancis ini membawa pengaruh ke seluruh umat manusia. Kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan yang menjadi nadi jatung Revolusi Perancis hingga ke hari ini masih hidup dan diperjuangkan.

Seratus tahun kemudian pada bulan Oktober 1917 sejarah menyaksikan bagaimana Lenin dan Trotsky telah mengatur dan menyusun kaum tani, kaum buruh dan soldadu yang dibuang kerja bergerak berdemo di jalan raya dikota Moscow. Akhirnya para penunjuk perasaan merempuh ke Istana Czar Nicholas.

Sejarah telah merakamkan Republik Sosialis Rusia lahir hasil dari politik jalan raya. Pengaruh, taktik dan strategi politik jalan raya Revolusi Bolshevik bawah pimpinan Lenin dan Trotsky hingga ke hari ini masih relevan. Taktik dan strategi Revolusi Bolshevik tanpa berhenti-henti masih bertempur melawan kuasa imperialis Amerika.

Kita ke hadapan 60 tahun, melihat kembali bagaimana Shah Muhammad Reza Pahlevi – raja segala raja-raja – telah dijatuhkan melalui politik jalan raya.

Pada ketika Shah dijatuhkan pada 1979, Iran sedang melimpah ruah dengan kekayaan minyak petrol. Kroni dan kaum kapitalis antarabangsa sedang berkenduri kendara merembat kekayaan minyak Iran. Dalam masa yang sama warga Iran papa kedana.

Maka pada tahun 1977, warga Iran mula resah gelisah. Mereka mula turun ke jalan raya kerana tekanan hidup. Mereka mula berani membantah politik Shah yang zalim. Warga Iran menuntut keadilan. Warga Iran mula melawan politik rasuah dan politik kroni yang dijalankan oleh Shah.

Savak - SB Shah - berada di mana-mana. Di ceramah politik, di kuliah agama, dalam masjid, dalam kampus, di jamuan hi tea, dalam dewan kuliah, dalam dewan forum - agen-agen Savak tanpa uniform akan hadir. Savak merakam. Savak mengambil gambar. Savak menjadi mata-mata Shah. Tugas Savak ialah mengertak dan menakut-nakutkan rakyat.

Savak juga menyamar sebagai diplomat atau pegawai hal ehwal pelajar di luar negara. Di London, di Amerika, di Jerman, di Pakistan – agen-agen Savak amat aktif. Di mana sahaja ada pelajar Iran Savak ada mengintip.

Di dalam negara Shah terus menangkap musuh politik. Ketua polis negara Iran sering mengumumkan tangkapan demi tangkapan. Ada atas kesalahan samseng. Ada tanggapan atas nama militan Islam. Ada tangkapan kerana ajaran sesat. Ada tangkapan kerana menganut fahaman Marxist. Ada tangkapan atas nama menghina raja.

Untuk menghalalkan kezaliman ini, Shah menggunakan akta, hukum hakam yang diluluskan oleh ahli majlis di Parlimen.

Setiap penindasan pasti ada perlawanan. Ini hukum politik yang tidak akan beralih-alih. Seperti air – H20, 1 hidrogen dan 2 oksigen – hukum penindasan pun sama. Jika ditindas maka akan ada perlawanan.

Akhirnya rakyat Iran bangun melawan. Mula-mula hanya berpuluh-puluh anak muda yang berani turun sekitar jalan raya di kampus. Mereka digasak. Ini diikuti oleh ratusan anak muda. Mereka juga diganasi. Ini menjemput ke ribuan turun ke jalan raya. Para penunjuk perasaan anti-Shah terus diganasi. Keganasan Shah menjemput ratusan ribu turun ke jalan raya. Kali ini bukan hanya di Tehran malah di setiap bandar dan pekan di Iran.

Rakyat Iran bersatu dengan hanya satu tuntutan: Shah berhenti jadi Raja. Dengan satu slogan: Marga Shah! Marga Amerika! Mati Shah! Mati Amerika!

Politik jalan raya di Iran ini diperkuatkan pula dengan mogok kaum buruh. Dalam bandar-bandar besar peniaga mengadakan hartal. Kedai dan bazar ditutup.

Akhirnya pada 6 Januari 1979, Shah dan isterinya lari meninggalkan Iran. Ayatollah Khomeini pulang dari Paris. Berjuta-juta warga Iran menyambut kepulangan Ayatollah Khomeini dari Paris setelah 16 tahun dihalau oleh Shah. Revolusi jalan raya Iran berjaya menumbangkan kaum feudal.

Kemudian, mari kita lihat pengalaman jiran tetangga kita Filipina. Lebih dari 20 tahun Ferdinand Marcos dan suaminya – opps – isterinya Imelda Marcos telah membajak politik Filipina. Pada tahun 1982 Marcos dan Imelda menang lagi dalam pilihan raya. Marcos menang kerana SPR Filipina tidak bersih. SPR Filipina digaji oleh Marcos. Tugas SPR Filipina hanya untuk memastikan Marcos terus menjadi presiden.

Justeru warga Filipina tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya. Mereka turun ke jalan raya. Pada awalnya membantah SPR dan keputusan pilihan raya. Pada tahun 1983 berlaku pembunuhan Banigno Aquino - musuh politik Marcos. Ini menjadikan kemarahan warga Filipina berganda-ganda. Berjuta warga Filipina turun ke jalan raya. Marcos dan Imelda dihalau keluar. Dua penyamun ini melarikan diri pada 25 Februari 1986.

Tidak jauh dari Dataran Merdeka Kuala Lumpur ialah kota Jakarta. Di Jakarta, Presiden Muhamad Haji Suharto telah dinaikkan takhta melalui rampasan kuasa yang didalangi oleh CIA pada tahun 1965. Selama lebih dari 30 tahun Jeneral Suharto telah menjarah Indonesia. Suharto bersama suaminya – opps – maaf, isterinya Ibu Tien telah merompak dan menyamun segala harta kekayaan Indonesia.

Awalnya hanya anak muda mahasiswa sahaja yang berani turun ke jalan ke jalan raya. Mereka diganasi. Anak muda mahasiswa ini keluar lagi. Mereka terus diganasi. Setiap kali diganasi jumlah anak muda yang keluar semakin ramai.

Bila krisis ekonomi Asia meledak pada tahun 1998 anak-anak muda mahasiswa telah bersedia untuk melanggar Suharto. Bentrokan berlaku. Keganasan soldadu upahan Suharto terus menerus berlaku. Ada yang diculik hilang. Ada yang masuk penjara. Ada yang ditemui mati. Ini tidak meredakan gerakan anak muda mahasiwa dari turun ke jalan raya. Malah segala tindakan ini menjadikan suasana politik Indonesia hangat.

Politik jalan raya semakin mengampuh di Indonesia. Kali ini tunjuk perasaan bukan hanya di Jakarta malah dari Aceh hingga ke Bali warga Indonesia telah turun ke jalan raya menuntut Suharto letak jawatan. Elit politik dan elit ekonomi Indonesia retak. Mereka bergaduh sesama sendiri.

Akhirnya Presiden Suharto meletakkan jawatan pada 21 Mei dan Habibie mengambil alih.

Di Indonesia selama ini pilihan raya jalankan oleh SPR Indonesia dengan satu tujuan - memastikan Suharto terus berkuasa. Apabila Suharto berjaya ditendang keluar maka slogan anak muda Indonesia beralih dari “Jatuhkan Suharto” ke pilihan raya JURDIL (jujur dan adil). SPR Indonesia diubah. Hasilnya hingga ke hari ini demokrasi sedang mengampuh di Indonesia.

Pada Januari 2011 kita melihat politik jalan raya berlaku di Tunisia. Presiden Zainal Abidin Ben Ali dan suaminya – opps maaf – isterinya Leila Ben Ali telah menjarah dan merompak harta kekayaan negara Tunis selama 23 tahun - semenjak tahun 1987.

Dua ekor penyamun ini terutama Leila Ben Ali yang memaksa rakyat memanggil dirinya First Lady of Tunisia telah menjadi objek kebencian warga Tunisia.

Pada bulan 17 Disember 2010 kereta sorong anak muda penjual sayur Muhamad Bouazizi dirampas polis. Anak muda ini membantah dengan membakar dirinya. Tindakan Bouazizi ini menjadi pencetus politik jalan raya di Tunisia.

Selama satu bulan rakyat Tunisia berpolitik di jalan raya. Akhirnya pada 14 Januairi 2011, Zainal Abidin lari ke Saudi Arabia. Suaminya – opps – isterinya Leila Ben Ali telah merompak satu tan setengah jongkong emas dari Bank Negara Tunisia dan membawa lari ke Arab Saudi.

Apa yang saya tulis di atas adalah babak babak sejarah politik jalan raya. Kita wajib memahami apa itu politik jalan raya. Wajib saya utarakan bahawa politik jalan raya ini memiliki hukum dan syarat sosial sebelum ianya berjaya.

Hukum dan syarat sosial ini terikat kuat dengan hukum-hukum dan syarat politik setempat. Apa yang berlaku di Paris 200 tahun dahulu tidak mungkin berlaku hari ini. Memenggal kepala raja yang zalim bukan lagi amalan moden.

Dalam masa yang sama ada hukum dan syarat yang tidak berubah-ubah dari zaman Revolusi Perancis ke Revolusi Bolshevik ke Revolusi Iran. Hukum dan syarat sosial dan politik ini wajib kita semua fahami sebelum ke BERSIH 5.

Ketika saya menulis ini aktivis demokrasi dan aktivis BERSIH sedang menggelodak ke seluruh negara untuk menghasut dan menjemput warga di Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk turun ke Dataran Merdeka pada 19 November.

Menggelodak dan menghasut rakyat turun ke BERSIH 5 bukan satu kerja yang senang. Ia satu kerja yang amat susah. Kerana ia bukan kerja senang kerana ia kerja susah maka ia kita dilakukan.

Berjaya atau tidak satu juta ke Dataran Merdeka bergantung pada hukum dan syarat politik dan sosial hari ini. Apakah hukum dan syarat itu? Tunggu minggu depan. 

Lihat Komen
ADS