Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa hari lagi Donald Trump akan mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika. Pada Jumaat 20 Januari 2017, Peguam Negara Amerika akan menjalankan upacara angkat sumpah. Donald Trump akan ditabalkan sebagai presiden Amerika ke-45.

Ini majlis angkat sumpah untuk presiden Amerika. Ia dilakukan dengan adat istiadat dan budaya Amerika yang bukan feudal, tetapi penuh tradisi turun temurun yang lahir dari 200 tahun budaya kapitalis Amerika.

Di hari pertabalan ini, Amerika sebagai kuasa imperialis terulung, terkuat dalam dunia ini akan memperlihatkan kepada dunia majlis angkat sumpah yang gilang gemilang. Media gergasi seluruh dunia akan membuat liputan khas. Syarikat TV dari semua negara akan berpusu-pusu untuk mendapatkan imej pertabalan ini.

Siapa yang dijemput, siapa yang datang ke pertabalan Donald Trump adalah mereka yang memiliki nama – mereka yang ada nama. Bukan untuk Mat dan Dol. Bukan untuk Minah dan Joyah dari Pantai Dalam.

Jemputan yang dijemput datang akan memperlihatkan garis politik masing-masing. Sosok-sosok yang ada nama tapi tidak dijemput juga adalah kerana garis politik. Seniman, pelakon Hollywood, bintang rock, siapa yang datang akan membawa garis politik. Malah yang dijemput tapi memulaukan majlis ini juga dengan sebab garis politiknya. Pertabalan Donald Trump sebagai Presiden Amerika ke-45 adalah pertabalan garis politik.

Belum pernah berlaku dalam sejarah Amerika bakal presiden sebelum mengangkat sumpah telah diserang. Serangan berlaku tanpa henti-henti. Semenjak mengalahkan Hillary, Trump telah diganggu gugat. Trump telah serang oleh semua media arus perdana Amerika. Trump diperlekeh. Keupayaan politik Trump bukan ditanya, malah dituduh sebagai sifar.

Untuk memahami apa yang sedang berlaku di Amerika pada ketika ini maka saya wajib menerangkan untuk kesekian kalinya tentang makna politik, makna kuasa dan tujuan politik. Ini asas penting bukan hanya untuk memahami politik di Amerika malah untuk memahami politik mana negara pun.

Merebut kerusi politik ialah merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut ekonomi. Merebut ekonomi ialah memiliki dan menguasai punca-punca pengeluaran ekonomi. Dengan memiliki punca-punca ekonomi seseorang akan menjadi kuat. Bila ekonomi kuat maka boleh melebar luas pengaruh. Dengan pengaruh yang luas berkemungkinan mendapat kuasa politik.

Hakikatnya politik dan ekonomi mustahil dapat dipisah. Semua gerak kerja manusia dalam alam ini bertujuan untuk merebut ekonomi. Agama dan budaya atau bahasa hanyalah alat senjata untuk merebut ekonomi. Alat-alat ini diguna untuk mengolah persetujuan atau pun digunakan untuk mengumpul sokongan untuk mendapat kuasa.

Hillary Clinton sebagai calon presiden Amerika telah mendapat sokongan kaum pemodal multinasional. Hillary adalah 'Puteri Lindungan' Wall Street. Wall Street adalah sarang dan pusat kaum kapitalis terbesar dalam dunia.

Hillary disokong kerana sebelum menjadi calon Hillary telah dilantik sebagai setiausaha negara yang ke-67 dalam kabinet Obama. Sebagai setiausaha negara, Hillary telah membuktikan kebolehan dirinya untuk mengembangkan dan mempertahankan kepentingan kaum pemodal.

Contoh terbaik ialah Hillary bertanggungjawab membunuh Muammar Gaddafi dan menghancurkan Libya. Bila ditanya tentang Libya, Hillary menjawab: “I came, I saw and he died.” (Saya datang, saya tengok dan dia mati.)

Kemudian Hillary ketawa terbahak-bahak. Dia yang mati itu ialah Muammar Gaddafi.

Tuan empunya kilang senjata – kompleks perindustrian ketenteraan – dan syarikat gergasi cukup senang dengan Hillary. Sama seperti Obama, Hillary telah membuktikan yang dia bersedia untuk menjadi budak suruhan yang amat baik lagi setia kepada kepentingan kaum pemodal internasional.

Barack Obama telah dapat menerus dan melancar tiga perang besar - Iraq, Afghanistan dan Syria. Ini kejayaan Obama.

Manakala Hillary jika menjadi presiden akan bersedia untuk melancarkan perang di mana sahaja yang diminta oleh tuan empunya kilang senjata. Malah Hillary telah berkata bahawa dia akan terus meluaskan perang di Syria dan membuat tekanan yang lebih hebat terhadap Rusia.

Sebagai Puteri Lindungan Wall Street, Si Hillary akan memastikan segala kepentingan syarikat gergasi dan kepentingan korporat tidak akan diganggu oleh Dewan Senat mahu pun di Dewan Kongres.

Kenyataan dan garis politik yang diajukan oleh Hillary cukup merdu. Malah Hillary mengkritik Obama kerana tidak berani bertegas dalam kes perang Syria. Suara merdu Hillary ini sedang menaikkan nafsu syahwat tuan pembuat senjata - kompleks perindustrian ketenteraan.

Bagaimana dengan Donald Trump?

Trump adalah mimpi Amerika yang menjadi realiti. Trump bukan dari elit politik, tetapi sosok usahawan Amerika yang berjaya. Dia pernah rebah bankrap - bangun kembali untuk meneruskan perniagaan hingga menjadi kaya raya - billionaire. Ini mimpi Amerika. Mimpi setiap imigran yang datang ke Amerika untuk menjadi kaya.

Pandangan politik Trump adalah kanan. Ini tidak dinafikan. Trump tidak menyamar seperti Obama. Obama mengajukan pandangan liberal, dengan retorik liberal tetapi membunuh dan mengebom lebih banyak negara berbanding dengan dua Bush yang berfahaman kanan.

Trump juga tidak pernah menjawat apa-apa jawatan politik. Tidak ada pengalaman politik. Yang Trump tahu ialah putar belit perniagaan. Menjadi kaya raya adalah The Americam Dream, mimpi Amerika. Donald Trump adalah contoh terbaik mimpi ini.

Sila pergi ke YouTube yang lihat isi kempen Trump. Ketika berkempen Trump menggunakan bahasa yang difahami oleh rakyat bawahan. Bahasanya kasar bukan dari percakapan kelas elit Boston. Justeru, kaum buruh, kaum pekerja, penganggur, pekerja sementara amat senang dengan ucapan Trump.

Betul Trump mencarut. Betul cakap Trump kasar. Betul Trump tidak suka pendatang haram. Betul Trump tidak suka kepada warga yang bukan warga Amerika. Trump memiliki sikap perkauman kulit putih. Trump juga amat suka perempuan cun lagi bergetah.

Sebenarnya sikap ini bukan hanya dimiliki oleh Trump atau oleh warga Amerika sahaja, di Malaysia atau di negara mana pun sikap ini wujud. Sikap ini amat luas. Mendahulukan diri sendiri, kaum keluarga sendiri atau bangsa sendiri bukan satu yang pelik dan memeranjatkan. Sikap ini wujud di mana-mana dalam dunia ini.

Perbezaan Trump dengan yang lain ialah Trump tidak menyamar. Apa yang dia cakap itulah yang dia maksudkan.

Obama pun mencarut. Bill Clinton pun mencarut. Malah Bill Clinton seorang liberal amat pandai menyamar. Bill Clinton apabila ditekan terus mengaku bahawa dia pernah menghidu ganja. Hanya menghidu tidak menghisap.

Minah cun Monica Lewinsky - seorang intern - mengakui yang dia pernah menghisap konek Clinton atas sofa di pejabat presiden. Bill Clinton menafikan yang dia pernah dihisap. Bill pura-pura tidak tahu. Ini bezanya Bill Clinton yang yang membawa imej elit politik liberal tetapi berbohong.

Obama ketika berkempen berjanji akan menamatkan perang di Afghanistan dan Iraq. Bila menjadi presiden, Obama bukan hanya meneruskan perang malah memulakan perang Syria.

Trump mahu menutup Amerika dari pendatang haram. Trump mahu mendirikan tembok untuk menghalang pendatang haram masuk dari Mexico. Trump mahu semua kilang milik Amerika kembali beroperasi di Amerika, bukan di China atau Vietnam. Trump akan mengenakan cukai kepada syarikat Amerika yang membawa masuk barangan yang dibuat oleh kilang Amerika di luar negara.

Hakikatnya Donald Trump mahu rakyat Amerika didahulukan. Slogan kempen Trump ialah Make America Great Again - jadikan Amerika gagah perkasa sekali lagi. Slogan ini menusuk hati rakyat Amerika. Slogan ini meyakinkan rakyat Amerika bahawa ekonomi Amerika merosot kerana salah pentadbiran dari politik liberal yang dibawa oleh Parti Democrat.

Trump tidak mahu kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Ini adalah intipati kempen Donald Trump.

Kepada warga Amerika yang hilang pekerjaan, yang bekerja separuh masa, yang hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan, slogan dan kempen Donald Trump cukup meyakinkan. Justeru Trump menang.

Malah Trump mempersoalkan kenapa NATO – perjanjian ketenteraan Amerika dengan Eropah yang menelan berbilion dolar – wajib diteruskan oleh Amerika. Trump terus mempersoalkan kenapa Amerika perlu campur tangan dan melancarkan banyak perang walhal dalam negara semua dalam keperitan.

Paling jelas sebagai seorang bilionaire, sebagai seorang ahli perniagaan, Trump tidak dapat melihat logik kenapa Rusia terus dianggap musuh. Adalah masuk akal dan logik mengikut pandangan Trump jika Rusia menjadi rakan niaga.

Malah negara China yang suka putar belit nilai Yuan pula dilihat oleh Trump sebagai musuh. Tanpa segan silu Trump telah berbual selama 10 minit dengan perdana menteri Taiwan. Malah China yang kini sedang membina bala tentera di Laut China Selatan telah kena ‘herdik’ oleh Trump.

Kenyataan Trump tentang Rusia adalah ibu kepada semua ibu yang menyatukan semua kumpulan yang tidak suka kepada Donald Trump.

Gerombolan elit politik, elit ekonomi, elit risikan dan intel, para liberal kiri, para intelektual kurang akal, CIA, NSA, FBI dan para seniman liberal Hollywood, mereka semua ini sedang merancang untuk memastikan Donald Trump tidak menjadi presiden Amerika yang ke-45.

Pada Jumaat ini – di majlis angkat sumpah - kaum liberal telah mengatur demo untuk memastikan Trump akan terus berhadapan dengan masalah. Jika boleh, seperti Richard Nixon, pada 9 Ogos 1974 telah disingkir keluar dari Rumah Putih.

Elit politik, elit ekonomi, CIA, NSA, dan FBI kini sedang merancang untuk menjatuhkan presiden Donald Trump. Tetiba keluar kesah skandal seks Trump dalam hotel di Moscow ketika bersama menyaksikan pesta ratu dunia.

Apa dia skandal ini? Tunggu minggu hadapan. 

Lihat Komen
ADS