Minggu lalu satu ledakan berita telah menggemparkan. Jangan silap faham. Berita yang saya maksudkan ini bukan berita percubaan menyingkirkan Isa Samad dari jawatan naib presiden parti United Malay National Organisation. Percubaan menyingkirkan Isa Samad ini adalah satu perkara yang remeh untuk diberi perhatian serius. Kisah dan berita-berita rasuah politik wang ini telah selalu didengar dan berjela-jela dibincangkan hingga naik ke suhu membosankan.

Tindakan-tindakan politik dan dasar kerajaan yang telah diambil oleh Presiden Umno, sama seperti 'permainan sanggama' yang agak lama tetapi tidak pernah sampai ke pancutan akhir. Kes Isa Samad ini wajib dilihat sama seperti kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Rais Yatim tentang 18 orang yang akan ditahan untuk disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah. Hingga ke hari ini, satu habuk pun tidak ada tindakan yang diambil. Kerana itu, saya hanya meletakkan percubaan untuk menyingkirkan Isa Samad ini ke nota kaki berita politik Malaysia.

Berita yang paling menggemparkan dunia yang saya maksudkan ialah berita kenaikan harga minyak 60 dollar satu tong. Berita harga minyak naik ini berkait pula dengan percubaan China National Oil Operating Company (Cnooc) membeli dan mengambil alih syarikat minyak Unocal of California. Mungkin pengamal media di Malaysia terlalu lalut dengan Isa Samad, lalu tidak membuat berita Cnooc ini atau gagal memahami signifikan berita ini dan maknanya implikasinya ke atas politik dunia.

Percubaan Cnooc ini bukanlah langkah ekonomi yang pertama yang telah dilakukan oleh China. Syarikat IBM Pc dan Hoover telah dibeli untuk dimasukkan ke dalam jaringan kepentingan ekonomi China. Percubaan Cnooc untuk mengambil alih Unocol ini menjadi begitu penting dan menjadi induk berita ekonomi di media dunia. Ini terjadi semasa harga minyak terus melonjak dan minyak kini menjadi bahan bakar yang paling strategik.

Perang dunia pertama, kedua, perang Teluk dan peperangan yang sedang berjalan di Iraq sekarang, semuanya kerana perebutan minyak. Bahan bakar petroleum adalah penjana utama tamadun moden kita hari ini. Kalau tamadun Hwang Ho, Nile, Ganges, Indus, Mesepotamia adalah tamadun yang dijana oleh gandum atau beras dari daerah-daerah sungai yang subur tamadun kita hari ini adalah tamadun petroleum.

Sistem ekonomi kapitalis hari ini yang berlandaskan demokrasi, hanya muncul kerana adanya tenaga yang dimunculkan oleh bahan bakar. Lihat kembali bagaimana kemunculan revolusi industri 200 tahun dahulu. James Watt telah menemui keupayaan kuasa wap yang dibakar oleh arang batu untuk menggerakkan jentera. Ini satu penemuan yang membuka satu tamadun. Dan tidak lama sesudah penemuan kuasa wap itu, maka berlaku Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika. Jana kuasa wap dari bahan bakar arang batu, telah juga membuka tamadun baru.

Bahan bakar gantian

Sistem demokrasi di Athens empat ribu tahun dahulu juga memerlukan 'bahan bakar'. Tanpa tenaga lebihan dari bahan bakar ini, tidak mungkin Socrates, Plato atau Aristotle dapat duduk selesa untuk memikirkan konsep dan falsafah. Jika Plato atau Socrates perlu turun ke ladang zaiton atau ke ladang anggur, pasti ahli-ahli pemikir ini letih dan akal mereka hanya digunakan untuk bercucuk tanam mencari makan. Bahan bakar yang wujud di Athens bukan arang batu atau minyak tetapi ialah tenaga hamba abdi. Lebihan tenaga hamba abdi inilah yang dianggap bahan bakar untuk tamadun Greek.

Revolusi industri yang dijana oleh arang batu kini beralih kepada petroleum. Bahan bakar ini telah ditemui di Amerika Syarikat pada 1859. Dua tahun kemudian pecah perang saudara di Amerika dan berakhirnya sistem hamba abdi. Tenaga abdi yang selama ini menjadi asas ekonomi Amerika kini telah diambil alih oleh bahan bakar petrolium. Tanpa penemuan petroleum sebagai bahan bakar gantian untuk tenaga hamba abdi, tidak mungkin kuasa imperial Amerika dapat muncul.

Tanpa petroleum bentuk dan ciri-ciri tamadun dunia yang kita nikmati hari ini tidak mungkin wujud. Bahan bakar petroleum ini adalah tenaga kerja yang melakukan kerja-kerja yang seharusnya dilakukan olih tulang empat kerat kita. Keselesaan hidup moden dan konsep demokrasi yang kita gunapakai hari ini berasaskan petroleum. Tanpa petroleum, tidak mungkin sistem kapitalis hari ini wujud, bercambah dan berakar umbi untuk menjadi satu kuasa global.

Hari ini, bahan bakar minyak telah semakin mengering dan berkurangan. Ada sebahagian daripada kita yang tidak mahu menerima hakikat ini. Ada pula di antara warga dunia yang ingin terus berdolak-dalik dan berusaha untuk menyembunyikan hakikat bahawa minyak semakin kurang dari diketahui umum. Bagi saya, kehabisan minyak ini bukan sahaja semakin jelas tetapi ianya adalah satu kenyataan yang wajib sama-sama kita hadapi.

Percubaan Cnooc untuk membeli Unocol of California hanyalah satu bukti di mana negara Cina sedang membuat perancangan berjangka panjang di dalam usaha strategik untuk mengawal bahan bakar petroleum. Unocol bukanlah sebuah syarikat gergasi seperti Exxon. Ianya sebuah syarikat minyak pertengahan. Pada awalnya Unocol telah dilamar oleh Syarikat minyak Cheveron dengan harga 16.5 bilion dollar. Kemudian harga ini telah ditingkatkan oleh Cnooc kepada 18.5 bilion dollar.

Di dalam sistem jual-beli kapitalis, pastilah tuan empunya syarikat akan bersenang hati untuk menjualkan kepada si pembeli yang menawarkan harga yang paling tinggi. Tetapi di dalam kes bahan bakar petroleum, sistem jual-beli kapitalis tidak berlaku. Keinginan Cnooc untuk memiliki Unocol akan membuka krisis hubungan dagang antara China dan Amerika.

Penggunaan semakin meningkat

Awal tahun ini China telah dapat membeli syarikat minyak Alberta dari Canada. Pembelian minyak Alberta ini telah membuka mata dunia dan melihat nafsu berahi China terhadap petroleum. Ekonomi China yang sedang mengembang antara 8 hingga 11 peratus setahun, memerlukan pengaliran bahan bakar yang berterusan. Dalam masa yang sama, ekonomi negara membangun, seperti India, yang tidak memiliki telaga minyak, turut sama berkembang.

Mengikut data Agensi Tenaga Antarabangsa, permintaan terhadap bahan bakar petroleum telah naik mendadak semenjak tahun 1976. Pada tahun lalu, China menggunakan satu pertiga daripada jumlah minyak dunia. Ini dijangka akan terus berkembang sebayak 17 peratus. Dalam masa 15 tahun lagi, ianya akan naik dua kali ganda untuk mencapai lebih daripada 10 juta tong sehari. Jumlah ini hampir setengah daripada permintaan minyak Amerika Syarikat hari ini.

Permintaan minyak dari India juga akan bertambah 30 peratus dalam masa lima tahun akan datang. Jika permintaan minyak di seluruh dunia terus meningkat 2 peratus setahun, bermakna dunia memerlukan 160 juta tong setahun pada tahun 2035. Jumlah ini adalah dua kali ganda daripda apa yang kita gunakan hari ini.

Apakah dunia memiliki minyak sebanyak yang diharapkan? Dari kajian para geologis, pengeluaran minyak semakin susut. Nafsu berahi terhadap semua permintaan ini tidak mungkin dapat dipenuhi. Harga minyak di seluruh dunia akan terus naik. Kita lihat nanti apa yang akan terjadi dalam kes Cnooc-Unocol. Besar kemungkinan China tidak akan dibenarkan oleh Rumah Putihmembeli syarikat ini. Kemungkinan kes ini akan melarat menjadi satu krisis dagang adalah besar. Ini kerana Amerika sedang mengimpot banyak bahan buatan dan makanan dari China.

China juga memiliki simpanan dollar yang terbesar dalam dunia. Apakah Amerika bertenaga untuk menghalang China daripada memiliki syarikat minyak Uncol ini? Perbincangan, seminar dan debat tentang puncak datar pengeluaran minyak ini semakin sering dilakukan. Pada satu ketika, tidak berapa lama dahulu, isu minyak susut ini hanya dibincangkan di kalangan ahli Green Party, para pencinta alam dan para hippie. Hari ini isu minyak susut ini telah masuk ke dalam gelanggang arus perdana. Beberapa ahli kongres Amerika telah mula menimbulkan hal ini. Presiden Bush sendiri telah menerima laporan tentang puncak datar aliran minyak. Laporan berita mengenai kesusutan pengeluaran minyak, telah mula ditimbulkan oleh media arus perdana.

Pada pertengahan bulan April yang lalu, satu kumpulan ahli perniagaan yang cukup konservatif dari Switzerland, telah menjemput Colin Campbell seorang pakar kajibumi minyak dari England untuk memberikan pandangan tentang puncak datar aliran minyak. Colin Campbell telah menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Oil Depletion Analysis Center di London. Dia adalah seorang pakar yang pernah menjadi ketua kajibumi untuk syarikat minyak Amoco, timbalan presiden syarikat minyak Fina, pernah bekerja untuk BP, Texaco, Shell, CheveronTecaxo dan Exxon di beberapa buah negara. Ertinya si Mamat ini bukan kecik anak.

Mengikut Colin Campbell pengeluaran minyak apabila digali, minyak akan memancut keluar telah semakin habis. Mungkin cara minyak keluar sedemikian akan habis pada tahun hadapan. Semua ini berdasarkan kajian yang dibuatnya melalui data sejarah, data yang ditemui hari ini, data tentang minyak yang masih tersimpan di perut bumi, data minyak keluar dari syarikat minyak dan data kerajaan negara pengeluar minyak.

Baki simpanan minyak

Mengikut data Collin Campbell, 994 bilion tong telah diambil. Masih ada 764 bilion tong yang tersimpan dalam perut bumi. Juga ada kemungkinan 142 bilion tong yang masih tersimpan dalam perut bumi yang 'mungkin ditemui' satu ketika nanti. Jika semua data ini sahih, maka jelas menurut pakar kajibumi ini, puncak datar pengaliran minyak mentah telah mula menurun pada tahun hadapan 2006.

Jika data Collin Campbell ini sahih, maka bermakna pengeluaran minyak akan susut 2-3 peratus setahun. Jika ini berlaku, maka semua harga barangan akan meningkat tahun depan. Harga perjalanan, harga pertanian dan semua barangan yang bersangkutan dengan plastik, akan naik harganya.

Selama 150 tahun semenjak minyak digunapakai, syarikat minyak telah terus berjaya menemui telaga baru. Hari ini, dunia mengeluarkan 83 juta tong minyak sehari. Masih ada telaga baru di Azerbaijan, Angola, Algeria dan di Teluk Mexico. Tetapi kita wajib berwaspada kerana data yang dikeluarkan oleh syarikat minyak tidak pernah tepat. Angka jumlah penemuan minyak mentah dan minyak yang masih tersimpan di perut bumi selalu ditinggikan. Mengembungkan statistik dan data bertujuan untuk memastikan saham syarikat-syarikat ini terus dapat memikat hati para pelabur.

Data dan statistik yang paling tidak boleh dipercayai datangnya dari negara-negara anggota Opec. Mereka sengaja mengembungkan jumlah minyak dalam perut bumi mereka agar negara itu akan mendapat kuota yang lebih besar semasa pembahagian hak menjual minyak. Hari ini, berita meledak sekali lagi tentang kenaikan harga minyak petrol. Tidak lama lagi, pemberian subsidi terhadap minyak diesel akan ditarik balik. Bagi saya, apa yang berlaku bukan sesuatu yang memeranjatkan. Ketika saya menulis ini harga minyak telah melintasi 60 dolar se tong.

Pasaran minyak dunia telah mula heboh tentang kemungkinan harga minyak akan naik mendadak ke tahap 100 dollar satu tong atau mungkin lebih daripada itu. Semua ini bukan sesuatu yang mustahil. Sebelum tahun ini berakhir, besar kemungkinan harga minyak akan dinaikkan lagi. Kenaikan harga minyak ini berlaku kerana permintaan terus meningkat dan dalam masa yang sama pengeluaran semakin susut.

Kerajaan kita tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada mendemokrasikan negara ini. Hanya melalui proses pendemokrasian dan memberi suara bebas kepada warga, barulah kita berkemungkinan bersedia untuk berhadapan dengan krisis ekonomi yang akan melanda dunia dan tamadun yang kita miliki hari ini. Pendemokrasian yang saya maksudkan ialah ketelusan tentang data dan jumlah minyak yang masih tersimpan dalam perut bumi kita.

Pembaziran hasil minyak

Mengikut laporan kajian geologis minyak luar negara minyak mentah di Malaysia akan kering dalam masa lima tahun lagi ataupun lebih cepat dari tarikh ini. Rakyat juga wajib difahamkam tentang dana dan harta cari gali yang dimiliki oleh syarikat minyak nasional kita.

Pembaziran hasil minyak seperti membeli kapal selam, kereta kebal atau kapal terbang adalah contoh penerusan dasar pembaziran seperti yang pernah dilakukan oleh pentabiran Mahathir Mohamad. Semua ini wajib dihentikan serta-merta. Mahathir yang tidak diyakini rakyat, wajib dilucutkan daripada menjadi penasihat syarikat minyak nasional. Ia untuk mengembalikan keyakinan orang ramai bahawa kekurangan minyak yang berlaku hari ini adalah benar dan bukan kerana duit minyak itu sedang digunakan untuk menyelamatkan harta kroni-kroni Mahathir.

Besar kemungkinan krisis ekonomi yang akan datang hasil dari kekurangan minyak ini akan membawa kita ke zaman meleset. Mungkin tidak ramai dari kita yang teringat atau mengalami zaman meleset tahun 1929. Tetapi masih ramai yang teringat dan mengalami sengsara zaman Jepun. Kemelesetan dan kesengsaraan yang akan dibawa oleh kekeringan minyak, akan menjadikan zaman Jepun seperti jamuan makan malam anjuran Isa Samad di PWTC tahun lalu.

Mengolah persetujuan rakyat apabila harga minyak dinaikkan dengan memberi bandingan bahawa minyak di negara ini masih murah berbanding harga di Sweden, Thailand, Singapura atau Jepun, bukanlah satu perbuatan yang cerdik. Kos dan harga barangan makanan di Thailand adalah dua kali lebih rendah daripada negara ini.

Gaji seorang buruh di Sweden boleh menjangkau 200 ringgit sehari. Selain gaji yang mahal, Singapura dan Jepun memiliki sistem pengangkutan awam yang tersusun dengan daya bayar yang disanggupi.

Hentikan lambakan berita dan alasan tentang kenapa harga minyak terus naik. Orang ramai memerlukan berita yang sahih, kepelbagaian pandangan tentang bahan bakar petroleum agar warga dapat menggunakan fikrah secara rasional. Songel-songel dan berita-berita memperbodohkan orang ramai ini samalah seperti kerajaan meminta-minta agar rakyat meledak marah kerana harga minyak naik.