Sebagai "orang yang perlu diperhatikan", Naib Presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, setelah "dilupakan" selama 15 bulan, telah menjadi tumpuan media semula kerana membuat keputusan untuk mencabar Datuk Seri Ong Ka Ting bagi jawatan Presiden dalam pemilihan parti pada 20 Ogos depan.

Bila ditanya tentang rancangannya jika beliau kalah, beliau mengelak jawapan terus dengan dalih selepas mengambil keputusan untuk bertanding, beliau tidak pernah memikirkan soal kalah.

Beliau memang tidak perlu memikirkan sangat tentang soal menang-kalah, kerana jika tidak bertanding dan enggan pula bersara, beliau akan terus dipinggirkan seperti sekarang malah dikorbankan demi kepentingan "darah baru" puak Ka Ting.

Tampil ke depan untuk bertanding dengan Ka Ting, Jui Meng sekurang-kurangnya telah menunjukkan keberaniannya untuk menawarkan diri di sisi Ka Ting untuk diputuskan oleh para perwakilan gerangan siapakah yang lebih layak menyandang jawatan Presiden MCA.

Rasional juga jika beliau menganggap dirinya lebih layak menyandang jawatan Presiden berbanding dengan Ka Ting, kerana tidak dapat dinafikan bahawa pada pemilihan parti tahun 1999, empat Naib Presiden yang terpilih mengikut undi yang diperolehi ialah Dr Fong Chan Onn (2,113 undi), Chua Jui Meng (2,098 undi), Ong Ka Ting (2,043 undi) dan Chan Kong Choy (1,650 undi).

Ini bermakna Dr Fong Chan Onn (Team A) dan Chua Jui Meng (Team B) mendapat sokongan lebih besar daripada perwakilan berbanding dengan sokongan yang diterima oleh Ong Ka Ting (Team A) dan Chan Kong Choy (Team B).

Namun, melalui pengantaraan Dr Mahathir Mohamad, Team A yang diketuai oleh Dr Ling Liong Sik dan Team B yang diketuai oleh Lim Ah Lek telah mencapai kompromi, dan Ling dan Lim kedua-duanya bersetuju untuk berundur serentak pada 23 Mei 2003, dan jawatan Presiden diserahkan kepada Ka Ting, anak didik Ling, dan jawatan Timbalan Presiden pula diserahkan kepada Kong Choy, anak didik Lim.

Dengan demikian, hak perwakilan untuk memilih kepimpinan parti yang terjamin oleh Perlembagaan parti telah dikorbankan oleh Ling dan Lim di bawah tekanan Perdana Menteri, dan Ka Ting dan Kong Choy pun dilantik sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MCA tanpa bertanding.

Legitimasi dipertikai

Dalam hubungan ini, legitimasi Ka Ting sebagai Presiden MCA dan Kong Choy sebagai Timbalan Presiden padahal boleh dipertikaikan, kerana jika pemilihan yang bebas dan adil diadakan pada Mesyuarat Agung Tergempar tahun 2003 seperti hasrat ahli akar umbi, jelas sekali bukan mudah Ka Ting dan Kong Choy dapat mengatasi pemimpin-pemimpin veteran termasuk Chan Onn, Jui Meng dan juga Setiausaha Agung Dr Ting Chew Peh.

Lebih pahit ditelan ialah selepas pilihanraya tahun 2004, sungguhpun MCA diagihkan lebih jawatan kerajaan, iaitu 4 Menteri, 8 Timbalan Menteri dan 4 Setiausaha Parlimen, berbanding dengan 4 Menteri, 7 Timbalan Menteri dan 2 Setiausaha Parlimen sebelum ini, Jui Meng dan Chew Peh sebaliknya digugurkan jawatan menteri masing-masing, dan kini mereka dan Chan Onn malah dikategorikan sebagai pemimpin yang layak bersara.

Jika Dr Lim Keng Yaik, S Samy Vellu dan Abdullah Ahmad Badawi masih terus memimpin Gerakan, MIC dan UMNO, tentu tidak bagitu munasabah bagi sesiapa untuk memaksa Chan Onn, Jui Meng atau Chew Peh untuk bersara jika mereka belum bersedia untuk berbuat demikian.

Apatah lagi Jui Meng masih percaya dirinya belum mencapai kemuncak kerjaya politiknya dari segi menjalankan tugas, daya pemikiran dan sumbangan seterusnya .

Malah jawatan presiden parti dijadikan sasaran untuk membolehkan beliau membawa perubahan dan transformasi parti, budayanya, arahtujunya dan menyediakan wawasan baru bagi abad ini.

Beliau juga menekankan bahawa perubahan dan transformasi parti, bukan ditentukan oleh unsur umur saja, tetapi berasaskan buah fikiran, kemampuan untuk memimpin, dinamisme dan karisme.

Hujah tersebut seolah-olah tersirat selain daripada umur yang lebih muda, Ka Ting padahal tidak dapat berbanding dengan beliau dari segi kekayaan buah fikiran, kemampuan memimpin, dinamisme dan karisme.

Majoriti senyap

Jika Dr Ting Chew Peh juga akan mengambil keputusan untuk mencabar legitimasi Kong Choy sebagai Timbalan Presiden MCA seperti yang dilapurkan, dan memberi peluang kepada para perwakilan untuk membuat pilihan secara bebas dan adil, rasanya lebih manfaat kepada amalan demokrasi di dalam MCA.

Ia seolah-olah telah kembali kepada keadaan tahun 2003, masa itu ahli akar umbi menjangka jawatan presiden dan timbalan presiden akan diisi melalui pemilihan para perwakilan di mesyuarat agung tergempar parti itu.

Keadaan sekarang tentu lebih menguntungkan pasukan Ka Ting Kong Choy, terutamanya Ka Ting , kerana sebagai Presiden MCA, beliau telah menggunakan kuasanya untuk membersihkan elemen-elemen yang menjadi rintangan kerjaya politiknya, dan diganti dengan "darah baru" daripada kumpulannya.

Jui Meng menaruh harapan kepada "majoriti senyap", dan " zhen yi gan " (kewajaran akhlak) dan " gong zhen " (keadilan) dari para perwakilan yang tidak puas hati dengan pimpinan Ka Ting Kong Choy.

Beliau telah menyebut tentang perubahan dan transformasi parti, untuk membuktikan ianya bukan hanya retorik politik untuk memancing sokongan, beliau perlu mengemukakan falsafah dan dasar-dasar politiknya dan program-program pelbagai bidang yang akan dilaksanakan jika beliau terpilih sebagai Presiden MCA.

Jika beliau berusaha untuk membawa perubahan dan transformasi kepada politik perkauman, kronisme, nepotisme dan rasuah MCA dan BN, keadaan nyah-politik ( depoliticize ) MCA dan kedudukan terpinggirnya seperti melukut (MCA) di tepi gantang (UMNO) , dan menjadikan MCA sebagai sebuah parti yang dapat dihormati oleh komuniti Cina dan rakyat pelbagai bangsa, maka beliau telah memberi sumbangan besar kepada MCA, walaupun akhirnya beliau gagal memenangi jawatan Presiden!

Namun dari rekod politik Jui Meng dahulu, tiada petanda bahawa beliau mampu membawa perubahan atau transformasi kepada MCA seperti yang diharapkan. Oleh itu, Jui Meng atau Ka Ting bakal menjadi Presiden MCA, mungkin tidak begitu penting bagi perkembangan politik negara kita.