Minggu ini saya telah berpindah dari kawasan Brickfields. Ini kerana tuan empunya rumah ingin menjualkan rumahnya. Saya wajib meninggalkan bilik yang telah saya diami hampir sembilan tahun - tolak dua tahun semasa saya 'bercuti' di Kamunting. Mengikut umur kucing - saya telah tua tinggal di kawasan ini. Saya mengenali seluruh lorong dan jalan pintas di wilayah ini. Saya mengenali warung tersorok dan kedai khusus yang ada menjual rokok kretek 'ori' yang menjadi teman saya.

Arwah ibu saya pernah berkata, jika berpindah lebih dari tujuh kali kita akan jadi papa. Ini diktum dari zaman pertanian - di era peneroka membuka tanah dan mendirikan kampung. Ibu saya dihalalkan berkata demikian kerana ayahnya dan ayah mertuanya adalah pemula dan pembuka kampung di zaman sebelum kedatangan British. Malah dua kampung di Negeri Sembilan telah diberi nama oleh kedua-dua arwah datuk saya.

Saya telah berpindah bukan sahaja lebih dari tujuhkali, malah telah berpindah-randah lebih dari tujuh buah negara. Memang betul falsafah ibu saya itu - saya bukan sahaja papa, tetapi telah lebih dari tujuh kali jatuh papa kedana. Tetapi papa yang saya alami ini penuh dengan keenakan dan kegembiraan perjalanan hidup.

Semasa saya membesar di Jelebu, saya selalu 'curious' tentang bagimana agaknya cara hidup orang Cina yang tinggal di pekan Kuala Klawang. Kawan-kawan Cina yang bersekolah bersama saya semuanya tinggal di bandar. Saya berulang-alik dari kampung ke sekolah dengan bas atau naik basikal. Kawan-kawan Cina yang sedarjah, semunya berjalan kaki ke sekolah. Saya selalu berangan-angan, satu hari nanti saya juga ingin hidup di kota.

Cita-cita saya ini terbantut apabila saya dihantar belajar ke Kuala Kangsar. Apabila memasuki universiti, saya menginap di Kolej Kelima dalam kampus. Ertinya angan-angan saya terus tinggal angan-angan. Bila saya 'lari' ke Melbourne Australia, saya tinggaldi Lee Street - terletak betul-betul di akhir Lygon Street. Ketika itu Lygon Street masih belum dinobatkansebagai jalan yang paling ' trendy' di Melbourne. Lee Street masih dilihat sebagai kawasan luar kota. Sekali

lagi, saya gagal lagi untuk menginap dalam perut kota.

Hanya apabila saya singgah di Baghdad, barulah saya berpeluang menginap dalam perut kota. Awalnya saya tinggal di Al-Rasheed Steeet - jalan tertua di Baghdad. Kemudian berpindah ke Lebuh Abu Nawas. Tetapi, saya tidak akan mengakui yang saya telah menjadi wargakota Baghdad. Ini kerana saya tidak memiliki bilik sendiri, dapur sendiri atau tong sampah sendiri - saya menginap dalam hotel. Saya rasa, tinggal dalam hotel, amat jauh bezanya dari tinggal dalam bilik sendiri.

Angan-angan tinggal di kota

Di Pakistan pula, saya tinggal di 52B Hak Bahu Plaza.Flat. Ini juga terletak di pinggir kota berhampiran Universiti Karachi. Saya memilih kawasan ini kerana ianya berhampiran kampus universiti - ramai anak pelajar dari luar Pakistan yang menjadi sahabat dan taulan saya tinggal di sekitar kawasan ini. Malah saya berkongsi flat dengan seorang pelajar jurubina dari Afrika Selatan. Kawasan ini juga mendekatkan saya kepada perpustakaan yang boleh saya gunakan saban hari. Ini juga bermakna saya masih belum berjaya untuk tinggal dalam perut kota.

Angan-angan untuk tinggal dalam perut kota ini telah menjadi satu 'romance' untuk saya. Berahi ini bertambah apabila saya terbaca tentang Hemingway, The Lost Generation, Picasso dan puluhan seniman yang berjaya dan ratusan yang gagal - kesemuanya telah menduga hidup mereka dalam kota Paris sebelum perang dunia ke dua. Pigalle, kawasan miskin, telah membudayakan kreativiti para seniman ini. Hari ini Piggale telah bertukar wajah menjadi wilayah paling 'chic' dan 'trendy' dalam kota Paris. Pelukis, seniman, penulis, pembuat filem yang baru ingin berkarya, tidak mungkin lagi berkeupayaan untuk menyewa bilik di wilayah ini.

Apabila sampai ke Belgium, saya tinggal diWavre - 25 km dari Brussels. Inilah kali pertama saya merasa tinggal dalam perut kota. Lima pintu dari rumah sewa saya ialah Gereja Katholik kuno. Di hadapan gereja ini terhampar medan pasar - town square. Mengikut sejarah Wavre, di medan ini, ratusan tahun dahulu, para petani melambakkan hasil pertanian mereka untuk jualan. 'Patron' saya ialah seorang doktor yang menggunakan bahagian depan bangunan untuk klinik dan bilik rawatan. Suaminya, Monsieur Philip, pemilik kedai menjual alatan pertanian, membuka sebuah kedai tidak berapa jauh dari klinik isterinya. Mereka tinggal di bahagian belakang klinik dan saya tinggal di tingkat dua.

Tetapi, di Wavre saya masih belum berani mengakui yang saya tinggal dan menikmati budaya perut kota. Ini kerana Wavre bukan Brussels tetapi sebuah kota kecil. Saya tidak memiliki banyak pilihan walaupun hati saya ingin ke Brussels, tetapi pekan Wavre adalah pekan yang paling dekat dengan sekolah dan universiti tempat saya belajar.

Di Wavre, saya menjadi anak murid bahasa Perancis kepada Andre Imbrecht. Andre atau nama penanya William Cliff adalah seorang penyair dan seniman dari generasi Mei 68 Paris. Andre menghasilkan belasan buku puisi. Lelaki 'kool' kenalan Allen Ginsburg ini, menyewa sebuah flat kecil di tingkat lima di tengah-tengah kota Brussels. Andre pernah bersurah tentang bagaimana puluhan tahun dahulu, penyair Beaudelair juga pernah berkelana dan berkarya di Brussels.

Andre mempropagandakan tentang bagaimana enaknya tinggal dalam perut kota Brussels. Dia hanya perlu menapak beberapa minit untuk menemui apa sahaja yangdiperlukan. Kedai buku, panggung wayang, teater, kafe, restoran atau perpustakaan, semua terpusat dalam kota. Kota, menurut Andre, adalah lubuk kreativiti. Kota membebaskan diri kita dari rangka-rangka sosial yang menyesakkan nafas. Untuk kedamaian atau ingin menghidu udara bersih Adre, pulang ke kampung pada hujung minggu.

Tumpuan pelajar dunia

Bila berpindah ke London, saya masih lagi bermimpi untuk tinggal di Soho, di Covent Garden atau di Russels Square - bahagian barat pusat kota London. Cita-cita ini tidak pernah tercapai. Saya hanya sempat belajar di Raiding House Street yang terletak betul-betul dalam pusat kota London. Hari ini, kerana permintaan pasaran harta dalam kota dan tekanan ekonomi, sekolah filem saya itu telah diberitakan terpaksa berpindah ke kampus baru. Di Soho pula, saya hanya sempat bekerja sebagai pelayan dan berpeluang tidur sekali sekala di Old Compton Street di bilik yang disewa oleh tuan empunya restoran sebagai tempat rehat para pekerja.

Wilayah Zon Satu kota London adalah kawasan yang sewanya terlalu mahal untuk seorang pelayan. Di Zon Satu ini terdapat puluhan panggung bangsawan, panggung wayang, kafe, pub, restoran dari pelbagai negara, kedai buku, galeri seni dan museum. Kawasan ini dipagari pula oleh belasan kolej dan universiti bertaraf dunia yang menjadi tumpuan ribuan pelajar dari seluruh pelusuk dunia.

Kawasan akhir sebelum saya pulang ke Malaysia ialah Coldharbour Lane di Brixton - kawasan kulit hitam. Jalan ini, menurut media, adalah jalan yang paling 'berbahaya' di Eropah. Saya tidak percaya dengan apa yang diberitakan oleh media. Tetapi jika Coldhabour Lane 'berbahaya' maka saya merasa begitu bangga sekali kerana telah pernah meneroka dan tinggal di jalan ini. Dari pengalaman - saya tidak pernah diganggu, dipau atau cuba dirogol. Saya tinggal di hujung jalan, di tingkat terakhir dalam bangunan flat tujuh tingkat. Dari tingkap bilik, saya boleh ternampak bangunan parlimen dan sebahagian dari lanskap kota London.

Di pangkal jalan - dua kilometer dari flat saya - ialah tempat kelahiran dan rumah pusaka bekas PerdanaMenteri John Major - ertinya kawasan ini memiliki sejarah. Jangan kita lupa tentang Van Goh yang cintanya telah ditolak oleh seorang gadis di Brixton. Kegagalan percintaan ini telah membawa Van Goh ke Aryle di selatan Perancis untuk melahirkan lukisan-lukisan yang menjadi tamadun dunia hari ini.

Hari ini, seperti Lygon Steet yang telah saya tinggalkan di Melbourne, Brixton juga menjadi satu tempat yang paling dicari-cari setiap pendatang muda ke London. Brixton menjadi 'chic', 'trendy' dan 'very fashionable' dengan kafe, restoran, kelab malam, panggung wayang, gedung music, pasar lambak dan pasar karat di hujung minggu. Semua anak muda dari serata pelusuk dunia yang memiliki sensibiliti untuk merayakan kehidupan, akan ingin sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke Brixton. Atau jika berpeluang untuk menetap beberapa bulan di Brixton.

Apabila meninggalkan London dan pulang ke Kuala Lumpur, saya masih lagi menyimpan cita-cita untuk berbudaya dalam perut kota. Sayangnya, cita-cita saya ini terpelencong kerana semasa pulang dahulu, saya tidak memiliki modal untuk menyewa sendirian. Saya menumpang. Untungnya, tempat saya tinggal itu tidak pula jauh dari Bangsar Utama, kawasan warung-warung tempat saya merewang.

Kawasan lampu merah

Apabila tuan rumah menyatakan hasrat untuk menjualkan rumahnya, maka rasa saya, telah sampai masanya untuk saya merealisasikan berahi dan mimpi lama itu. Saya beberapa kali ke Lorong Haji Taib sambil memerhati setiap bangunan tetapi tidak kelihatan tanda-tanda rumah atau flat yang ingin disewakan. Saya meligari kawasan Kampung Attap untuk mencari rumah kedai lama yang mungkin boleh diduduki. Ini juga gagal. Saya mencari di Jalan Alor. Tidak saya temui apa yang saya mimpikan. Chow Kit, Jalan Masjid India atau Kampung Baru memang dalam perut Kuala Lumpur, tetapi saya tidak begitu selesa dengan kawasan klise Melayu.

Akhirnya saya bertemu dengan apa yang selama ini saya mimpikan. Sebuah flat kedai lama dalam perut kota. Kawasan ini pastilah telah dibangunakan oleh Yap Ah Loy dan Sultan Samad kerana ianya tidak berapa jauh dari Jalan Petaling. Saya masih teringat pada tahun 60-an dan 70-an dahulu, masih banyak tanah di sekitar kawasan ini yang belum diteroka. Ada banyak kampung setinggan. Tanah yang lainnya milik kerajaan. Malah tidak jauh dari blok kedai ini masih banyak rumah banglo zaman kolonial yang terjaga indah.

Di belakang blok saya, terdiri kawasan kedai perniagaan yang moden. Kawasan ini didirikan pada awal 70-an. Sebahagian kedai lama zaman Yap Ah Loy dahulu, telah diruntuhkan dan didirikan bangunan baru. Saya rasa blok flat saya ini telah didirikan pada zaman 60-an. Ini melalui pemerhatian bentuk dan keluasan bilik yang cukup lumayan. Bilik air dengan tab mandinya yang berlantaikan batu marmar jenis lama, cukup luas dan boleh gunakan untuk membuat set filem 'Terlampau'.

Bagi saya, kawasan ini begitu romantik. Beberapa minit perjalanan ialah tanah perkuburan. Ini bermakna kawasan ini untuk sementara waktu akan terselamat dari serangan jentolak. Tidak mungkin tanah perkuburan kolonial ini akan dimusnahkan. Bagi saya, kawasan perkuburan juga adalah tempat paling sesuai untuk berkontemplasi dan bersunyi. Saya pula boleh menapak

dengan selesa ke dalam perut kota, walaupun saya memiliki pilihan untuk menaiki sistem monorel atau keretapi ringan.

Kawasan ini menjadi 'cool' dan 'romantik' kerana dikenal sebagai kawasan lampu merah ala Pigalle dan Soho. Di hadapan blok kedai flat baru saya, ada beberapa blok flat yang dilagendakan sebagai tempat tinggal para pelacur Kuala Lumpur. Sama ada membeli-belah daging, hidup ini berterusan dalam bangunan tidak dapat saya pastikan. Saya belum berkesempatan untuk menerokanya. Apa yang sahih, dari balkoni, saya boleh melihat amoi-amoi genit keluar-masuk entah hendak ke mana dengan teksi yang sentiasa menunggu di luar pagar.

Saya tinggal di tingkat tiga. Di bawah flat saya ialah sebuah restoran Cina. Di sebelahnya ada pula sebuah restoran Melayu.Tidak jauh dari restoran ini, ada beberapa warung nasi campur untuk makan tengah hari. Blok rumah kedai saya terletak di antara bangunan flat lampu merah dengan deretan kedai moden. Di hujung bangunan depan yang menghadap ke jalan besar, saya ternampak sebuah kafe yang dipagari dinding berkaca hitam. Mungkin ini sebuah kafe eksklusif yang tidak ingin diketahui siapa pelanggannya. Sebaris dengan kafe ini - betul-betul di belakang bilik saya, ada sebuah kolej swasta.

Saya sedar, Kuala Lumpur bukan Paris, Brussels atau London. Kota kita ini tidak diselirati oleh panggung bangsawan, pangung wayang, gedung teater, muzium atau galeri seni. Wacana dan gedung ilmu masih belum atau mungkin juga tidak akan menjadi budaya kota kita. Apa yang ingin saya alami dalam perut Kuala Lumpur ialah untuk merealisasikan berahi yang terpendam dari zaman saya kanak-kanak dahulu lagi.

Mana tahu, seperti Van Goh, satu hari nanti saya akan jatuh cinta dengan seorang amoi dari bangunan di hadapan bilik saya. Cinta saya akan ditolak. Saya akan berpindah ke Port Dickson. Kerana terlalu kecewa, saya akan memotong satu cuping telinga saya sebelum saya membunuh diri. Bezanya Van Goh, Hemingway, Beaudelair, William Cliff semuanya meninggalkan karya-karya agung untuk tamadun dunia. Saya hanya berkeupayaan meninggalkan beberapa ekor anak kucing.