Rafidah, sasaran utama perhimpunan Umno?
Perhimpunan Umno kali ini adalah yang pertama bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) selaku presiden parti yang dimenanginya tanpa bertanding tahun lalu. Tiada yang mendebarkan kerana pemilihan pucuk pimpinan telah berlangsung pada 2004.
Namun, perhimpunan kali ini tetap istimewa dan mendebarkan. Kerana apa? Sebab banyak isu-isu panas sedia menanti untuk dibangkitkan oleh para perwakilan. Isu politik, pendidikan, ekonomi dan agama, semuanya sangat menarik.
Pastinya kita akan mendengar pelbagai pendapat, kritikan dan nasihat yang bernas, selain di selang-seli oleh pantun seloka dan jenaka. Isu politik pastinya membabitkan perbahasan mengenai soal rasuah politik. Nasib yang menimpa Tan Sri Mohd Isa Samad dan Datuk Osu Sukam dijangka menguasai pentas. Kedua-dua individu ini tidak akan dihentam, tetapi isu yang mengelilingi mereka akan memanaskan telinga.
Pak Lah pastinya akan menghantar isyarat jelas kepada semua pihak yang terbabit dalam politik wang pihak pemberi dan penerima supaya menghentikan terus perbuatan tersebut.
Diyakini, ramai pengamal politik wang masih bebas dan terlepas daripada tindakan, terutamanya para penerima rasuah itu. Sewajarnya mereka turut dihukum, kerana selagi ada yang sanggup menerima atau menjual undi, selagi itu pemberi rasuah atau pembeli undi akan wujud.
Oleh itu, perhimpunan kali ini akan menegaskan sekali lagi keseriusan Pak Lah untuk membersihkan Umno dari gejala tersebut.

Isu pendidikan
Isu pendidikan dijangka paling hangat, membabitkan soal kegagalan ramai pelajar cemerlang Melayu ke institusi pengajian tinggi (IPT). Selain itu, soal pembiayaan ke IPT juga akan dibangkitkan.
Selain Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara serta PTPTN dijangka menjadi sasaran para perwakilan. Ini adalah isu yang sangat penting dan penulis secara peribadi merasakan ia perlu diberi keutamaan melebihi isu-isu lain.
Soal ekonomi pula dijangka berkisar di sekitar soal pemberian permit import (AP) kereta. Tindakan kerajaan mendedahkan senarai penerima AP semalam akan memanaskan dewan Merdeka.
Isu yang ditonjolkan oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal memanaskan punggung Datuk Seri Rafidah Aziz. Ketua Pergerakan Wanita Umno itu tidak boleh mengelakkan diri lagi, bersedialah dengan baju besi atau penyumbat telinga kerana berdasarkan senarai penerima AP itu, para perwakilan dijangka menembak segala peluru kepada beliau.
Rafidah tidak boleh mengharapkan Pak Lah melindunginya sebagaimana Dr Mahathir membela Tan Sri Tengku Mahaleel. Pak Lah sejak awal-awal lagi sudah lepas tangan kerana masalah AP ini berpunca daripada Dr Mahathir dan Rafidah sendiri.
Perhimpunan kali ini akan meninggal kenangan paling berharga pada Rafidah. Musuh atau saingan politik beliau dijangka menggunakan kesempatan ini untuk menjatuhkannya. Tidak mengejutkan kalau ada perwakilan meminta beliau meletakkan jawatan.
Kritikan pedas
Belumpun perhimpunan bermula, semalam, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin telah menggesa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu meminta maaf pada Dr Mahathir!
Kritikan yang bakal dilemparkan kepada Rafidah mungkin lebih keras daripada apa yang mungkin dihadapi oleh Isa atau Osu. Oleh itu, bersedialah untuk menangkis pelbagai kritikan pedas kali ini!
Isu agama pula tidak akan lari dari konsep Islam Hadhari. Pak Lah akan menggunakan perhimpunan ini untuk mendapatkan penerimaan dan pengesahan ahli Umno terhadap konsep yang ditajanya itu.
Perbahasan isu agama ini dijangka hambar. Kita sudah boleh meneka nada suara para perwakilan semua akan mengangguk menerimanya sebulat suara. Ahli Umno tidak akan berani menentang apa yang keluar dari mulut presidennya!
Isu ini mungkin hangat kalau ada perwakilan membangkit soal ajaran sesat Ayah Pin, terutamanya tentang kelembapan pihak berkuasa bertindak terhadap kumpulan itu.
Namun begitu pada pendapat penulis, isu pendidikan perlu diberikan lebih tumpuan daripada isu-isu lain. Isu ini sangat kritikal kerana ia berkait rapat dengan masa depan orang Melayu.
Keciciran pelajar
Para perwakilan harus berani meminta kerajaan menangani segera soal keciciran ribuan pelajar bumiputera ke IPT. Mereka tercicir bukan kerana tidak cukup merit, tetapi akibat kekurangan tempat di pusat pengajian dan kekurangan pembiayaan.
Satu resolusi atau kaedah terbaik perlu dirumus di perhimpunan ini bagi membela nasib anak-anak Melayu yang cemerlang tetapi masih gagal ke IPT.
Ketidakkeberkesanan PTPTN perlu diatasi segera. Begitu juga dengan soal keculasan membayar balik pinjaman Mara perlu ditangani secara tegas bagi memastikan RM200 juta hutang pendidikan dapat dikutip balik.
Mungkin ada ramai di antara para perwakilan Umno ini adalah golongan yang enggan membayar balik pinjaman pendidikannya walaupun telah berjaya sebagai ahli perniagaan, tokoh korporat, ahli professional atau pegawai kanan kerajaan.
Ataupun mungkin anak atau adik beradik mereka tergolong dalam kategori peminjam tidak bertanggungjawab ini. Oleh itu, pentas perhimpunan boleh digunakan untuk menyedarkan atau memberi amaran mereka untuk melunaskan hutang masing-masing.
Selain itu, soal penggangguran di kalangan siswazah bumiputera yang semakin ketara kebelakangan ini perlu juga perlu diberi perhatian serius.
Kita sedar, perhimpunan agung Umno tidak boleh melakukan keajaiban bagi menyelesaikan masalah-masalah itu sekelip mata. Namun sebagai medan membentuk dasar negara, segala kebimbangan, kekecewaan atau syor boleh disuarakan secara terbuka, rasional dan bertanggungjawab.
Gunakanlah perhimpunan sekali setahun ini sebaik mungkin, bukannya sekadar beretorik. Para perwakilan Umno harus sedar mereka mempunyai tanggungjawab besar. Maka bersidanglah secara bijaksana!