Perhimpunan agung Umno ke-56 selesai sudah. Ia pasti menjadi kenangan abadi buat Datuk Seri Rafidah Aziz bukan sebagai penyeri perhimpunan tetapi menjadi punching bag para perwakilan.

Ini adalah perhimpunan yang paling getir bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu. Ketika dicabar oleh Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman dalam dua pemilihan pucuk pimpinan yang lalupun, beliau tidak diuji seteruk kali ini.

Bagaimanapun, syabas kepada Rafidah kerana mampu melalui proses perhimpunan dengan baik walaupun pada awalnya terpaksa melelehkan air mata. Beliau berjaya memberikan penjelasan baik mengenai isu AP dalam ucapan penggulungannya walaupun sering diganggu oleh para perwakilan Umno yang emosional.

Isu "Ratu AP" ini hanya sebahagian daripada episod perhimpunan kali ini. Ada perkara yang lebih penting sebenarnya telah dirumuskan oleh persidangan orang Melayu itu.

Perkara itu ialah keputusan untuk menghidupkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1971 itu akan diberi nafas segar dan baju baru.

DEB akan menggunakan nama lain Agenda Nasional Baru (ANB). Tujuan utamanya ialah untuk memacu pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) berharap dengan adanya ANB dan tercapai segala matlamatnya, orang Melayu akan dimuliakan. Jelas sekali dalam perhimpunan kali ini orang Melayu berada dalam keadaan desperate untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain menjelang tahun 2020.

Melayu Glokal

Umno mahu apabila status negara maju dicapai, orang Melayu turut mencapai status sebagai bangsa yang maju. Bukan sahaja maju dari segi politik tetapi turut menguasai ekonomi dan bidang professional negara. Melayu Glokal, dalam istilah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun masa yang ada cuma tinggal 14 tahun lagi. Tahun 2020 sudah berada di sebalik selekoh tetapi pencapaian orang Melayu dalam ekonomi, terutamanya pegangan ekuiti masih rendah. Dapatkah tempoh yang singkat itu dimanfaat sepenuhnya untuk meletakkan pegangan ekuiti orang Melayu sehingga sekurang-kurangnya 30 peratus?

Sedangkan 30 tahun sepanjang DEB, orang Melayu masih ketinggalan, inikan pula hanya diberi tempoh 14 tahun. Oleh sebab itulah, maka ANB diperlukan bagi menjayakan langkah-langkah drastik dan tegas untuk memajukan orang Melayu.

Najib, dalam ucapan penggulungannya, telah menyatakan bahawa jalan pintas tidak boleh digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Menurutnya jalan potong dengan menggunakan lif tidak sesuai kerana walaupun cepat tetapi tidak ramai boleh menumpangnya.

Menggunakan tangga lagi tidak sesuai, kerana terlalu lambat. Maka beliau mencadangkan orang Melayu naik escalator dalam tempoh 14 tahun ini. Beliau juga berjanji untuk mengorbankan "lembu suci" yang berpenyakit dalam proses memajukan orang Melayu itu.

Perhimpunan Umno kali ini bukan sahaja mengakui bahawa sebahagian daripada strategi DEB tidak berkesan, malah menganggap beberapa langkah Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 pemerintahannya, turut menjadi punca kegagalan dasar tersebut.

Banyak "lembu suci" dilahirkan pada era Tun Daim Zainuddin dan Dr Mahathir. Beberapa orang profesional muda "dipelihara", kononnya untuk memacu kemajuan orang Melayu dalam sektor korporat.

'Lembu suci'

Mereka disuap dengan pelbagai keistimewaan walaupun tidak mempunyai "rekod prestasi". Dalam mengangkat "lembu-lembu suci" itu, DEB telah dikesampingkan. Bagaimanapun "lembu-lembu suci" itu akhirnya berpenyakit, pening dan muntah. Kegawatan ekonomi tahun 1998 menghanyutkan mereka dari arena korporat negara. Orang Melayu juga yang terlopong!

Kini ANB pula mahu dicuba, mungkin ia akan berpatah balik kepada strategi awal DEB memacu ekonomi orang Melayu menerusi agensi kerajaan. Tetapi kali ini, ia kemungkinan besar penglibatan kerajaan secara tidak langsung, akan dibuat menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kita akan menyaksikan Khazanah Nasional, Petronas, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan pelbagai GLC lagi menjadi payung kemajuan ekonomi orang Melayu di dalam dan luar negara.

Agenda dalam ANB pastinya lebih besar dari DEB. Strateginya bukan sekadar serampang dua mata, tentunya lebih luas kerana ia mahu melahirkan Melayu Glokal.

Perjuangan Umno memartabatkan orang Melayu belum selesai. Tun Mahathir sudah tua untuk meneruskannya, maka baton dihulurkan kepada Pak Lah. Melaksanakan wawasan ini dalam tempoh 14 tahun adalah satu cabaran besar. Pak Lah dan regunya Najib perlu mempunyai keazaman politik yang kuat.

Mereka bukan sahaja perlu memastikan orang Melayu menguasai ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus, malah mengubah sikap mereka supaya tidak lagi berminda subsidi dan bertongkat!

Orang Melayu perlu diajar supaya berasa malu untuk meminta-minta, berhasad dengki dan beretorik. Baki 14 tahun yang masih ada, adalah masa untuk berkerja keras!

Tiada gunakan negara diiktiraf sebagai negara maju kalau penduduk majoritinya mundur, miskin dan terus meminta-minta. Pastikan juga ANB memajukan semua orang Melayu, bukannya hanya kroni kepada mereka yang berada dalam lingkaran kuasa.

Kegagalan DEB yang diselaputi amalan korupsi, kronisme dan nepotisme patut dijadikan iktibar dalam penyediaan asas yang kukuh bagi ANB.