Minggu lalu kita menyaksikan debat Agenda Nasional Baru (ANB) antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) dan Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng di TV3. Syabas kepada stesen televisyen swasta itu kerana bertindak bijak dan berani serta relevan. Memang itu yang patut diutarakan oleh media massa bagi menghapuskan sebarang kekalutan atau kekeliruan berhubung isu ANB dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu.

Untuk apa berdebat nengenai isu belia, dadah atau perpaduan ketika rakyat gelisah memikirkan soal semangat DEB dan kenaikan harga minyak. Berbalik kepada debat antara dua Khairy dan Chua, topik yang perkatakan memang amat menarik sekali. Namun bagi penulis, ada perkara lain yang lebih besar, iaitu personaliti yang terlibat dalam perbahasan tersebut.

Topik yang dibicarakan tidak perlu dikupas lagi. Rakyat Malaysia telah tahu DEB akan dipakaikan baju baru dan Chua bersama beberapa pemimpin Cina lain berpendapat DEB tidak diperlukan lagi ketika ini.

Isu ini sebenarnya tidak perlu diperbahaskan lagi. Para pemimpin MCA atau Gerakan yang menentangnya, hanya membuang masa dan tenaga mereka sahaja. ANB akan menjadi dasar kerajaan dan semua pihak sama ada suka atau tidak, perlu akur menerimanya.

Sebenarnya perdebatan dalam program "The Exchange" TV3 itu menjadi tumpuan kerana personaliti yang terlibat di dalamnya. Sudah lama rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, mahu melihat ketokohan Khairy yang juga menantu Perdana Menteri itu.

Sejak beliau diangkat menjadi Naib Ketua Pemuda Umno pada tahun lalu, orang Melayu mahu melihat sejauhmana hebatnya anak muda berkelulusan Oxford Universiti ini. Ahli-ahli Umno mahu menilai kebijaksanaan dan kemampuan minda serta komunikasi Khairy yang digembar-gemburkan sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

Berjaya tonjol diri

Maka, pada minggu lalu segala kemampuan dan ketokohan Khairy diuji. Ramai pemerhati berpendapat beliau berjaya melalui ujian tersebut dengan baik. Khairy bertutur dengan lancar dan tenang dalam bahasa Inggeris. Hujah-hujahnya juga relevan dan bernas. Beliau menunjukkan ketegasan dan kesungguhan memperjuangkan semangat DEB dalam ANB.

Setiap soalan dari pengerusi debat dan hujah-hujah Chua dijawab dan dipatahkan dengan baik. Walaupun tiada siapa yang menang atau kalah dalam perebatan tersebut, namun Khairy berjaya menonjolkan dirinya.

Program di TV3 itu telah menjadi platform terbaik bagi Khairy untuk mengenengahkan bakat dan ketokohannya sebagai pemimpin pelapis kepada seluruh rakyat Malaysia. Kemampuan menantu Pak Lah ini menjelaskan ANB tanpa menyinggung perasaan kaum atau parti lain, telah menjawab segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya selama ini.

Anak muda yang berasal dari Rembau, Negri Sembilan ini membuktikan dia mempunyai kemampuan sendiri untuk naik dalam saf kepimpinan Umno, bukannya bergantung pada bapa mertuanya sahaja.

Selepas Perhimpunan Agung Umno tempoh hari, ada kata-kata nakal yang mencemuh Khairy. Mereka mengatakan Naib Ketua Pemuda Umno itu telah melancarkan agenda 2007 menerusi ANB. Khairy dikatakan mahu mengambilalih jawatan Ketua Pemuda Umno daripada Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn pada tahun berkenaan.

Beliau dikatakan merangka cadangan ANB untuk dijadikan modal bagi mencapai cita-cita tingginya. Kalau ANB dapat dilaksanakan dengan berkesan, secara langsung nama Khairy tidak boleh dipisahkan daripada gagasan tersebut.

Bantu kempen Chua

Sebagaimana Allahyarham Tun Abdul Razak dikembarkan dengan DEB dan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Wawasan 2020nya, Khairy mahu ANB merintis laluannya ke puncak kuasa.

Pemerhati politik berpendapat, di sebalik kemurnian matlamat ANB itu, ada agenda politik peribadi Khairy yang sangat besar. Benarkah ada udang di sebalik batu?

Bagi Chua pula, pentas perbahasan itu menjadi saluran terbaik baginya berkempen untuk jawatan Presiden MCA. Bekas menteri kesihatan itu tidak melepaskan peluang untuk mengenengahkan agendanya jika terpilih dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi. Sebelum inipun Chua dituduh menggunakan isu DEB bagi kepentingan peribadinya menjadikan isu ini senjata untuk meraih undi bagi kerusi Presiden MCA!

Calon Presiden MCA ini bolah dikira sebagai bernasib baik kerana sebelum ini tiada mana-mana calon yang bertanding untuk sebarang jawatan dalam mana-mana parti dapat muncul berkempen di TV.

Datuk Seri Ong Ka Ting yang mempertahankan jawatannya, pasti tercabar dan iri hati dengan kesempatan yang diperolehi oleh Chua itu. Namun, sejauhmana ia dapat membantu menaikkan populariti beliau, sukar dijangka kerana para perwakilan MCA juga sama seperti para perwakilan Umno mereka juga amat 'sukar dibaca'.

Sehingga rencana ini ditulis, sebahagian besar pemerhati politik MCA berpendapat peluang Chua masih tipis. Menurut mereka pengaruh Ong masih kukuh. Chua memerlukan lebih daripada program "The Exchange" untuk menggugat kedudukan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.

Namun begitu, penulis tetap berpendapat bahawa sedikit sebanyak, kedua-dua pendebat dalam program di TV3 itu telah memperoleh "political mileage" daripada rancangan tersebut. Khairy dan Chua membuktikan keberanian mereka untuk bercakap mengenai satu isu yang amat sensitif satu isu yang boleh meruntuhkan cita-cita politik mereka jika tersasul atau terkasar bahasa.

Khairy tidak menang dan Chua tidak kalah dalam perdebatan tersebut. Kedua-duanya bijak mencuri peluang dan kesempatan yang terbentang di depan mata!