Peluang ketiga untuk Rafidah?
Orang Melayu ada pepatah lama berbunyi kemarau setahun hilang dek hujan sehari. Sekarang ada pepatah baru, jerebu seminggu hilang dek tiupan angin utara.
Ertinya segala jasa baik seseorang selama hidupnya hilang dek satu kesilapan atau kesalahan
Begitulah nasib yang menimpa Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Semata-mata kerana isu permit import kereta (AP), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu hilang kredibilitinya.
Orang Melayu ada pepatah lama berbunyi kemarau setahun hilang dek hujan sehari. Sekarang ada pepatah baru, jerebu seminggu hilang dek tiupan angin utara.
Ertinya segala jasa baik seseorang selama hidupnya hilang dek satu kesilapan atau kesalahan
Begitulah nasib yang menimpa Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Semata-mata kerana isu permit import kereta (AP), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu hilang kredibilitinya.
Beliau yang merupakan menteri paling lama berkhidmat sekarang ini dilihat sebagai bebanan besar bagi kerajaan, sedangkan satu ketika dulu beliau dipuja dan dipuji.
Rafidah pernah dianggap sebagai menteri wanita paling bijak pernah ada di negara ini. Malah kewibawaaannya di peringkat antarabangsa terserlah.
Beliau satu-satunya pemimpin di rantau ini yang berani bangun mencabar bekas tokoh White House, Madeline Albright dalam persidangan di ibunegara apabila wanita besi Amerika itu memperlekehkan Malaysia.
Sebelum ini Rafidah juga sentiasa dikenang kerana kebijaksanaannya mempromosi Malaysia di luar negara.
Pelbagai lagi sumbangan dan keistimewaan telah dilakukan dan dimiliki oleh Rafidah.
Terpaksa digugurkan
Kini segala jasa dan khidmatnya seolah-olah terpadam oleh kegagalannya menangani isu AP yang dicetuskan oleh bekas ' mentor ' nya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rafidah yang sentiasa dibela dan 'diselamatkan' oleh Mahathir sebelum ini kini seperti menjadi seteru kepada bekas perdana menteri itu.
Kalangan pemerhati politik kini melihat pintu keluar bagi Rafidah sudah terbuka luas.
Menurut mereka setelah kredibilitinya dicabar oleh beberapa orang menteri kanan dalam mesyuarat mingguan kabinet minggu lalu, usia Rafidah dalam kabinet sudah boleh dihitung dengan jari.
Para pemerhati berkenaan yakin, jika Rafidah tidak berundur secara sukarela, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sendiri terpaksa menggugurkannya.
Rafidah kini dianggap sebagai pihak yang bersalah dalam isu AP ini. Tekanan terhadap kerajaan bagi menjelaskan setelus-telusnya soal pemberian AP kepada segelintir peniaga bumiputera amat besar.
Pak Lah telah memberi banyak masa dan peluang kepada Rafidah untuk menjelaskan kontroversi itu.
Namun semua penjelasannya kepada Mahathir, perhimpunan agung Umno dan kabinet nampaknya gagal memuaskan hati semua pihak.
Tamparan besar
Tamparan paling besar bagi Rafidah ialah apabila mesyuarat kabinet memutuskan meletakkan penggubalan Dasar Automotif Negara dan pengeluaran AP di bawah satu jawatankuasa kabinet yang diketuai oleh perdana menteri .
Langkah drastik kerajaan itu seperti satu undi tidak percaya kepada Rafidah. Ia seolah-olah menunjukkan MITI gagal menguruskan pengeluaran AP dengan baik atau telah menyalahgunakannya.
Malah Rafidah bukan sahaja dilihat gagal menangani isu AP malah dicop telah mencabar arahan kabinet apabila membuat komen mengenai isu itu sedangkan dia telah dilarang bercakap mengenainya.
Minggu lalu ketika merasmikan satu majlis, beliau mencadangkan pengeluaran AP bagi kenderaan dihapuskan.
Menurutnya, langkah itu wajar bagi membolehkan semua orang yang berkemampuan mendapat hak mengimport kereta.
Tindakan Rafidah membuat cadangan tersebut sedangkan perkara itu tidak lagi terletak di bawah MITI dianggap oleh para pemerhati sebagai satu kesalahan dan perbuatan tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Kelab Backbenchers di Parlimen, Datuk Shahrir Samad berkata, sebagai seorang menteri kanan, Rafidah sepatutnya tidak bercakap mengenai perkara yang di luar potfolionya.
Ketua Wanita Umno itu dilihat sebagai tidak menghormati Pak Lah kerana melanggar larangan tersebut.
Shahrir mahu Rafidah meletakkan jawatan jika menteri itu merasakan dia tidak boleh lagi berkerja dengan Pak Lah.
Rafidah yang selama ini begitu tenang dan bijak menangani isu-isu berkaitan kementeriannya, kali ini seolah-olah telah kehilangan kata-kata.
Sebaliknya beliau melatah, memarahi pihak media dan menuduh akhbar-akhbar tertentu mempunyai agenda tersembunyi dalam melaporkan isu AP.
Beliau beberapa kali cuba mengelak bertemu media hingga terpaksa 'lari' ikut pintu belakang.
Malah ada majlis yang dihadirinya melarang media membuat liputan. Beliau seperti dikejar bayang-bayang sendiri
Rafidah menjadikan media 'kambing hitam' nya sedangkan selama ini, media massalah yang memberi liputan meluas tentang kegiatan politik, pentadbiran dan promosinya.
Rafidah tewas kali ini. Ada ketikanya beliau menjadi terlalu emosional.
Nampaknya isu AP jauh lebih berat daripada isu pemberian saham kepada menantunya beberapa tahun lalu.
Rafidah berjaya melepasi ujian isu saham itu kerana pada ketika itu beliau adalah menteri kesayangan Mahathir.
Mahathir berdiri teguh di belakangnya sedangkan kali ini Pak Lah membiarkan Rafidah terkontang kanting sendirian menangani kontroversi ini.
Peluang ketiga?
Nyawa politik Rafidah kini terletak ditangan Pak Lah. Jika Pak Lah merasakan beliau menjadi liabiliti bagi kerajaan dan Umno, kemungkinan besar Rafidah akan digugurkan.
Jika Pak Lah berfikir sebaliknya, mungkin Rafidah akan selamat.
Sebenarnya apa yang dilalui Rafidah ini amat menyedihkan. Jika negara kehilangan seorang menteri yang berkalibar semata-mata kerana satu kesilapan, ia amat merugikan.
Patutkah Rafidah diberikan peluang ketiga (Mahathir pernah memberi beliau peluang kedua) kali ini?
Mungkinkah beliau sekadar dihukum pindah ke kementerian lain dalam rombakan kabinet yang akan dibuat tidak lama lagi.
Namun sebahagian besar pemerhati politik merasakan sudah tiba masanya Rafidah melangkah pintu keluar.
Memetik kata-kata Shahrir, "kami menunggu-nunggu Rafidah menyertai Backbenchers ."

