Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SATIRA

Yang dikasihi Datin Seri Melania,

Jemputan suami Datin Sri, Datuk Seri Donald Trump untuk politikus terulung kami mengunjungi Rumah Putih sesungguhnya rahmat buat kami daripada parti Melayu-Islam terbesar di planet, terutama pergerakan wanita dan puteri yang kalimat "we love PM' menjadi ratib harian.

Apalagi, tentunya isteri politikus terulung kami itu akan mengekori sebagai tetamu negara. Kami sudah tidak sabar untuk melihat gandingan dua datin seri yang bakal menjadi ikonik dengan kejelitaan, dan gaya unggul yang tiada tandingan.

Lebih berbesar hati kami dengan keikhlasan puan seri sekeluarga yang mungkin menjemput keseluruhan ahli keluarga politikus terulung kami. Jet mewah yang kami sebagai rakyat telah disediakan untuk mereka seperti biasa.

Kalau beruntung, kami pun mahu mengekori beramai-ramai. Bukan senang untuk masuk ke Rumah Putih.

Malah kalau mahu digunakan semua jet mewah peribadi yang ada di negara kami pun, kami sanggup menanggung kosnya kerana bukan mudah untuk melihat dua datin seri glamour paling meletup di dunia bertemu dalam suasana media dunia yang tidak habis menfitnah kedua politikus ulung dunia itu.

Untuk pengetahuan Datin Seri Melania, banyak jasa datin seri isteri politikus terulung kami semenjak kami bertuah menerima kelahiran beliau di dunia.

Jasa, pengorbanan, wawasan dan dedikasi Puan Seri politikus ulung kami melebihi ekspektasi kami yang sentiasa menyokong dengan kasih sayang.

'Tabayun'

Beliau bukan sahaja telah menabung sejak kecil, malah telah melabur secara wasatiyyah sehingga reda kami membayar GST dan kenaikan kos kehidupan yang terlampau.

Lebih lebih lagi gaya Datin Seri isteri politikus terulung kami dengan kemewahan setanding, kalau tidak melebihi kemewahan dengan Datin Seri Melania sebagai isteri bilionair.

Politikus terulung kami juga pernah memiliki wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi, jumlah yang menjadikan kami bangga sebagai rakyat.

Kerana itu, lihat sahaja koleksi pakaian, jam tangan, perhiasan emas, cincin permata berlian. Boleh sahaja Datin Seri Melania bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai kemewahan hidup dan tip membeli-belah di merata dunia.

Datin Seri isteri politikus terulung kami dengan NGO, 1PERMATA memang bekerja keras walau tanpa gaji, elaun, rehat, makan minum dan cuti untuk membesarkan, mengembangkan dan menglobalisasikan pusat tadika 1PERMATA.

Diharapkan Datin Seri Melania sudi membantu agar budak-budak berbakat pusat tadika 1PERMATA boleh masuk ke universiti-universiti terkemuka Amerika tanpa peperiksaan seperti Harvad, MIT, Berkeley, UCLA, apalagi kalau boleh menyertai America's Got Talent, American Idol, The Voice.

Anak lelaki Datin Seri isteri politikus terulung kami itu juga sedang hebat sebagai produser ulung di Hollywood dengan filem lucah. Boleh sahaja Puan Seri Melania 'bertabayun' untuk pembikinan filem seumpama.

Berseronoklah berkaraoke

Datin Seri isteri politikus terulung kami juga mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian. Berseronoklah Datin Seri Melania berkaraoke.

Paling utama, harap Datin Seri Melania dapat memujuk suami Datin Seri, Datuk Seri Donald Trump memarahi dan memecat pihak Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) yang telah memfitnah keluarga politikus terulung kami sekeluarga.

Sama ada membuat RCI atau tangkap sahaja semua dari DOJ yang tidak habis-habis memfitnah dengan konspirasi Yahudi, pembangkang dan pendatang haram untuk menjatuhkan politikus terulung yang dipilih minoriti rakyat secara demokrasi dan sah.

Tidak lupa, diharapkan Datin Seri Melania akan sudi mencuba makanan tradisi kami selain buahan tempatan kami. Sempena bulan haji, kami telah membekalkan nasi lemak, lemang, ketupat untuk dibawa ke Rumah Putih.

Kami juga menghadiahkan sebakul dua durian Musang King sebagai cenderahati ikhlas rakyat marhaen sekalian dan tidak lupa herba tongkat ali dan kacip fatimah untuk jalinan kasih sayang lebih mesra antara Puan Seri Melania dan suami.

Semoga lawatan mesra Datin Seri isteri politikus terulung kami, bukan sahaja kami boleh masuk Amerika bila-bila masa tanpa perlu memohon visa seperti dijanjikan Obama yang tak guna itu, malah lebih banyak penerbangan terus dari Amerika ke negara kami yang sedang dipenuhi pelancong negara musuh Amerika.

Kami doakan, berserta ya hanana dan solat hajat beramai-ramai yang lawatan datin seri isteri politikus ulung kami berhasil dengan kejayaan untuk PRU nanti.

Takbir!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Karya satira ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS