Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Pengalaman yang pahit sekalipun, bakal menjadi manis apabila diimbas pada masa depan. Namun, nostalgia yang diimbas sempena kemerdekaan ke-60 kali ini, ada kalanya mengundang keluhan. Sama ada ia satu kehilangan, mahupun ia sesuatu yang tidak kesampaian.

Adegan Piala Thomas 1992 diulang-tayang, terlipat sebagai kenangan paling indah buat generasi yang sempat menyaksikan secara langsung detik-saat bersejarah ini. Slogan “Malaysia, Boleh!” bergema, bukan sahaja untuk menyuntik keyakinan dalam gelanggang bahawa Malaysia mampu merampas Piala Thomas, tetapi juga menanam tekad di luar gelanggang bahawa rakyat Malaysia boleh disatukan tanpa mengira kaum dan agama.

Dua puluh lima tahun telah berlalu. Kita menyambut kemerdekaan ke-60, tiga tahun sebelum 2020. Persoalannya, apakah laungan “Malaysia Boleh” lebih lantang dari aksinya?

Sukan penyatu Malaysia

Sesungguhnya, sukan menyatukan Malaysia. Sama ada pemain yang berhempas-pulas dalam gelanggang, mahupun penyokong yang bersorak hingga serak suaranya di luar gelanggang. Tiada yang mempertikaikan kesungguhan Lee Chong Wei, si anak keturunan Cina yang mencurahkan keringat untuk merangkul pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia. Kita berkongsi degupan jantung dan denyutan nadi yang sama di gerai mamak. Kita menitiskan air mata yang gembira apabila Lin Dan ditewaskan, kita mengeluh dengan nada kecewa apabila Chen Long daripada China meraih kemenangan di perlawanan akhir.

Hakikatnya, kita semua satu Malaysia. Malah, telah menjadi satu keistimewaan untuk pasukan atlet Malaysia yang diwarnai pelbagai ton kulit. Pasukan bola sepak negara misalnya, bola dihantar Melayu dan ditanduk ke dalam jaringan oleh India, sementara ketua jurulatihnya Cina. Menang atau kalah, kita julang dan tanggung bersama.

Banyak lagi kisah yang terharu di luar gelanggang. Pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi tidak lupa bagaimana dirinya pernah dihadiahkan sepasang kasut oleh seorang uncle Cina, Chuah Heng Oon. Chuah biasa berjoging di tempat latihan Mohamad Ridzuan sebelum terpilih sebagai atlet negara. Di situ mereka berkenalan, bersembang dan bergurau.

Pada suatu hari, Chuah dimaklumkan jurulatih Mohamad Ridzuan bahawa anak buahnya tidak mampu membeli kasut baru setelah kasut lamanya tidak boleh digunakan. Pemandu lori ini dengan murah hati menaja sepasang kasut sukan yang berharga kira-kira RM200 kepadanya. Tujuh tahun kemudian, susuk tubuh Mohamad Ridzuan muncul di skrin komputer sebagai juara dalam acara pecut 100 meter T36 (cerebral palsy), Paralimpik Rio.

Chuah sendiri terlupa akan kasut yang dihadiahkan itu, sehingga diungkitkan sendiri oleh Mohamad Ridzuan di depan media. Niatnya untuk menyempurnakan impian seorang atlet kelainan upaya. Chuah tidak mempersoalkan warna kulit mahupun anutan agama Mohamad Ridzuan. Pemandu lori ini cuma mahu melihat anak Malaysia berjaya.

Walhal inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Sudah tentu kita tahu hubungan Misbun Sidek dengan Lee Chong Wei yang bagaikan bapa dengan anak. Malah hampir kesemua di kalangan kita mempunyai guru yang berlainan kaum sepanjang zaman sekolah kita. Apakah mereka mendidik untuk menggagalkan kita, semata-mata kita berbeza kaum dan agama?

Kau bukan bumiputera?

Enam puluh tahun kita hidup bersama. Bumi yang mempertemukan beberapa warisan tamadun besar dunia, India, Islam, dan China, mewarisi sistem demokrasi berparlimen daripada penjajah British. Maka masyarakat yang berbilang kaum, agama, budaya, dan bahasa ini, bergelut dalam pergolakan, perbalahan, permusuhan, persahabatan dan persaudaraan. Sementara kita menikmati keindahan yang terjelma daripada kepelbagaian yang diraihkan, terpaksa juga kita berdepan dengan perselisihan yang tercetus lantaran perbezaan yang terpampang di depan mata.

Bukan mudah untuk kita sampai ke sini. Kita tercari-cari sepanjang proses pembentukan identiti rakyat Malaysia. Kita khuatir seandainya kita tidak berkongsi sesuatu yang dimiliki bersama, maka masyarakat kita akan berpecah-belah. Ada yang menyimpan hasrat murni untuk membina identiti bangsa, ada yang membawa motif politik untuk memperkukuhkan kuasa. Apabila ada yang menekan dengan kuasa, sudah tentu ada yang menentang dengan massa. Kesudahannya mungkin tidak sempurna dari kaca mata masing-masing, tetapi inilah Malaysia yang istimewa di mata dunia.

Apa tidaknya? Cuba kita lihat perjuangan rakyat menuntut hak dan demokrasi di serata dunia dalam tempoh sedekad kebelakangan. Kita terharu dengan Kebangkitan Arab di tengah-tengah jurang kaya miskin yang melebar. Kita kagum dengan Gerakan Payung di Hong Kong yang menuntut pilihan raya, sehingga lebih dua bulan mereka berhimpun di jalan raya. Namun Malaysia juga menampakkan keistimewaan tersendiri dalam gelombang perjuangan menuntut demokrasi. Kita mungkin tidak berani sebagaimana rakyat di Timur Tengah, kita mungkin tidak bertahan lama sebagaimana penduduk Hong Kong yang occupy jalan rayanya. Tetapi apabila peserta BERSIH4 bukan Muslim mencurah air untuk dibasuhkan kaki dan tangan Muslim sebelum solat Jumaat, adegan ini membuatkan Malaysia tersergam megah.

Cuma, sungguhpun adegannya boleh menitiskan air mata kita, isu kaum dan agama tetap menjadi kontroversi utama yang menghantui bumi ini untuk lebih daripada setengah abad, terutamanya dalam bab politik. Ada cubaan membentuk Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020, tetapi berakhir dengan Cina dituduh sebagai pelampau dan komunis. Semakin slogan 1Malaysia dilaungkan, semakin pula dipertikaikan “Apa lagi Cina mahu?”.

Justeru itu, ia menjadi cukup ironi apabila rakyat Malaysia seia sekata sehati sejiwa ketika perlawanan menentang pasukan negara asing, tetapi setelah tirai perlawanan dilabuhkan, kita kembali ke realiti hidup harian yang mengasing-asingkan kita sebagai bumiputera dan bukan bumiputera. Kita tidak berteriak “kau ni bukan bumiputera” terhadap Lee Chong Wei mahupun N Thanabalan apabila mereka melonjakkan Malaysia di pentas dunia, tetapi kita buat tidak tahu dan enggan mengusik apabila struktur politik dan sistem negara direka untuk berat sebelah.

Apakah tidak pernah terlintas dalam minda kita – bagaimana perasaan seseorang atlet non-bumiputera yang berjuang habis-habisan di gelanggang, disegani pesaing dari negara asing, diiktiraf prestasinya di persada dunia, tetapi akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya bukan bumiputera di tanah air sendiri?

Muhasabah

Tidak mudah untuk muhasabah dalam isu seberat ini, apabila kaum Melayu-Muslim-Bumiputera diasak kiri kanan bahawa mereka dikepung dan diserang saban hari, kononnya oleh bukan Melayu-bukan Muslim-bukan Bumiputera. Jikalau kuota dihapuskan, maka Melayu akan hidup merempat, bumi dipijak milik orang. Padahal serangan psiko sebeginilah yang menghakis keyakinan dan kemanusiaan kaum Melayu-Muslim-Bumiputera sendiri tanpa disedari. Lama-kelamaan, kita seolah-olah sanggup hidup dalam kegelapan, asalkan anak kecil tidak bermain api.

Penampilan pembikin filem terkenal, Afdlin Shauki untuk membantah segregasi filem dalam Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) 2016, telah mencetuskan bunga api dalam kegelapan sekian lama. Afdlin Shauki memboikot FFM lantaran pengasingan filem kepada kategori bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia.

“Bilalah anak Malaysia tak kira bangsa akan betul-betul dihargai karya-karya seni mereka sebagai karya Malaysia,” demikianlah persoalan yang diluahkan Afdlin Shauki, dan sememangnya tidak terjawab oleh sesebuah masyarakat yang enggan bersikap jujur terhadap dirinya.

Seniman telah mengorak langkah, tetapi politikus yang diamanahkan untuk memimpin, sentiasa ketinggalan, sama ada pemerintah mahupun pembangkang. Hakikatnya, kita tidak perlu lulus mata pelajaran biologi untuk memahami teori bahawa DNA kaum sebenarnya tidak wujud. Kita tidak perlu memetik ayat kitab untuk bersetuju bahawa manusia sepatutnya hidup bersaudara. Sudah menjadi pengetahuan am bahawa kanak-kanak tidak dilahirkan semula jadi untuk bersikap rasis dan mengamalkan diskriminasi, tetapi diajar untuk membezakan gelas Muslim atau non-Muslim, kalau bukan warna kulit. Namun kita sanggup membuta dan membisu, agar sesuatu yang tidak masuk akal, dijadikan lumrah.

Apakah masyarakat ini tidak bersedia dari segi politiknya? Saya kurang pasti. Pergolakan politik berkali-kali mengajar rakyat Malaysia bahawa kuasa menindas tanpa mengira kaum. Mereka yang turun ke jalan raya pada zaman Reformasi sudah tentu telah dicelikkan, bahawa meriam air berkimia dan gas pemedih mata tidak mengenal kaum dan agama. Pertentangannya adalah antara kepentingan penguasa dengan suara rakyat, antara yang berkuasa dengan yang tidak berkuasa.

Malah bekas penguasa yang menyertai pembangkang tidak terkecuali daripada diaibkan dengan retorik perkauman, apabila didedahkan keturunan nenek moyangnya dari India. Maka berduyun-duyun politikus pembangkang tampil membela bekas bapa rasis yang kini menelan karmanya. Persoalannya, apakah salah menjadi seorang pewaris yang berketurunan India di Malaysia? Bukankah kesalahan yang paling besar adalah struktur politik dan sistem negara yang bertunjangkan diskriminasi kaum dan agama?

Enam puluh tahun kita merdeka, tetapi apakah yang membuatkan kita megah pada saat-saat ini? Apakah pula yang membuatkan kita gagal? Bumi yang dipijak ini bertuah untuk semua insan, tetapi kita pula yang sibuk berpijak-pijak satu sama lain, sehingga terlupa untuk menjunjung langitnya. Malaysia boleh menjadi teladan antarabangsa, tetapi kita menjadi jenaka dunia sebaliknya. Fahaman perkauman dan agama sempit menambat langkah kita untuk terus mara. Masyarakat kita menjadi serba tidak kena apabila kekayaan diborosi, dan kejahatan sempat membolos diri.

Mungkin tiba masanya kita berhenti sejenak untuk bermegah dengan prestasi atlet negara, sebaliknya tepuk dada dan bertanyakan diri, apakah kita memadai untuk berkongsi kebanggaan ini? Dan selanjutnya, apakah yang telah kita lakukan untuk menjadikan diri kita megah sebagai rakyat Malaysia?

Hanya apabila persoalan ini dijawab dengan pelaksanaan, moga-moga kita tidak mengeluh ketika mengimbas nostalgia pada masa depan. Cabaran yang sengit biasanya disusuli pengalaman pahit, namun ia menjanjikan kemanisan apabila diimbas pada masa depan.

Lihat Komen
ADS