Peristiwa jerebu yang melanda negara kita kebelakangan ini jelas menunjukkan kerajaan Malaysia alah terhadap kerajaan Indonesia. Mentaliti seperti ini, jika terus dibiarkan bersemai dalam masyarakat Malaysia, pasti akan menghasilkan generasi baru yang bukan sahaja mudah 'alah' malah 'takut' kepada Indonesia.

Harus diingat bahawa sifat kerajaan Malaysia sekarang yang alah kepada Indonesia adalah warisan daripada pemimpin terdahulu yang dengan mudah membiarkan pengaruh negara gergasi seperti Indonesia, meresap ke negara kita dan kemudiannya membayangi kehidupan kita.

Sejarah telah menjadi saksi bahawa beberapa rentetan perisitiwa dan faktor-faktor tertentu telah menghasilkan fenomena 'Malaysia alah kepada Indonesia'.

Di dalam buku teks sejarah dan kenegaraan Malaysia, Indonesia disifatkan sebagai negara jiran yang baik. Bagi sesiapa yang pernah melalui pahit maung pada peringkat awal penubuhan Malaysia, pasti mempunyai pandangan yang berbeza.

Indonesia telah melancarkan konfrontasi selama empat tahun terhadap Malaysia (1963-66) suatu tempoh yang hampir menyamai pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua.

Walaupun konfrontasi bukan peperangan besar, namun ia tetap satu tindakan agresif sesebuah negara ke atas negara yang berdaulat. Terdapat juga pasukan keselamatan kita yang terkorban, namun nama mereka yang gugur mempertahankan kedaulatan negara ketika konfrontasi itu, tidak sehebat nama mereka yang terkorban akibat tindakan komunis.

Apabila Presiden Sukarno digulingkan, Malaysia menyambut baik cadangan pemulihan dua-hala dengan Indonesia. Lantas, segala sengketa lama jarang diungkit sehinggakan buku teks sejarah pun jarang menyentuh peristiwa konfrontasi.

Bermula dari konfrontasi tersebut, Malaysia terus mengalami trauma sehingga sekarang. Ini kerana pemimpin negara kita sebelum ini, secara tidak langsung, telah memupuk sikap agar kita bertolak ansur dan mengalah kepada Indonesia.

Peristiwa konfrontasi

Kesilapan pemimpin negara kita pada ketika itu, dalam menyelesaikan peristiwa konfrontasi, ialah tidak memaksa Indonesia memohon maaf dan membuat pembetulan dasarnya terhadap Malaysia atau membayar gantirugi.

Oleh sebab itulah, rakyat Indonesia, terutamanya generasi sekarang, tidak pernah berasa bersalah terhadap Malaysia sehingga sewenang-wenangnya melafazkan perkataan 'Ganyang Malaysia 2' atau 'Konfrontasi 2'.

Jika kita berjaya menekan Indonesia sejak awal lagi, pasti republik itu akan lebih menghormati Malaysia sekarang. Contoh terbaik ialah negara Jerman yang dipaksa memohon maaf atas tindakan kejamnya dalam Perang Dunia Kedua, akhirnya menjadikan negara itu 'jinak' hingga sekarang.

Jika ditinjau dari pelbagai sudut, kebimbangan Malaysia terhadap Indonesia tidak semestinya berpunca daripada peristiwa konfrontasi sahaja. Sebaliknya S-A-I-Z Indonesia yang terlalu besar, amat membimbangkan Malaysia. Indonesia merupakan ' heavyweight politik ' yang bukan sahaja besar dari segi keluasan wilayahnya, malah mempunyai penduduk terbesar di Asia Tenggara.

Bila sesebuah negara itu besar, sudah pasti bentuk ancaman tradisional, iaitu ancaman ketenteraan juga kuat. Ramai penganalisa berpendapat, Malaysia sehingga sekarang (sejak konfrontasi), masih belum bersiap sedia untuk menghadapi ancaman baru dari Indonesia.

Malahan, ada pihak beranggapan, Malaysia sebenarnya, tidak tahu langsung begaimana hendak berdepan dengan Indonesia andaikata satu lagi konflik ketenteraan yang tidak dapat dielakkan, berlaku. Jika peperangan tercetus di antara Malaysia dan Indonesia, pelarian Malaysia hanya boleh menghala ke utara sahaja, kerana arah lain terutamanya selatan, adalah dalam lingkungan wilayah Indonesia.

Gejala 'alah kepada Indonesia' ini juga berpunca daripada kelemahan psikologi rakyat Malaysia dan faktor persamaan budaya. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, sikap mudah mengalah atau terlalu bertolak ansur, adalah antara faktor yang mendorong kepada lemahnya psikologi kita ketika berdepan dengan Indonesia.

Kita sentiasa menilai Indonesia secara kuantitatif. Misalnya, kerana Indonesia bersaiz besar, maka kita menjadi lemah untuk menghadapinya. Indonesia sebenarnya tidak angkuh, tetapi kita yang secara sukarela mengakui diri kita sebagai 'adik' sehingga tidak semena-mena Indonesia mendapati dirinya mempunyai status sebagai 'seorang abang'.

Bangsa serumpun

Dari aspek kebudayaan pula, kita sering menganggap Indonesia dan Malaysia berkongsi kebudayaan, termasuk sejarah, adat dan kepercayaan. Ini mendorong kepada penggunaan istilah 'serumpun' terutamanya oleh rakyat Indonesia yang bermastautin di Malaysia untuk berbaik-baik dengan rakyat Malaysia.

Namun apabila timbulnya masalah yang serius dengan Indonesia (tanahair mereka), mereka tidak lagi memandang kita sebagai 'serumpun', malah seperti 'rumpun buluh' yang menyemak di halaman rumah mereka yang harus ditebang.

Kerajaan Malaysia seharusnya lebih peka dan sedar bahawa konsep negara atau intipati hubungan antarabangsa, tidak hanya berkisar kepada perkongsian budaya atau sejarah dengan negara tertentu.

Perkongsian kebudayaan dengan negara lain tidak semestinya membawa keserasian kerana negara kita tetap berbeza dengan negara lain, di samping aspirasi serta visi kita juga berlainan. Pendek kata, walaupun paras rupa dan warna kulit kita serupa, namun Malaysia tetap Malaysia dan tidak boleh disamakan dengan negara Indonesia. Tidak ada negara lain yang boleh mengambilalih peranan Malaysia sesuka hati.

Malaysia 'alah kepada Indonesia', telah lama menjadi satu kenyataan. Sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia bersikap positif dan keluar daripada belenggu kebimbangan terhadap Indonesia. Beban sejarah yang kita tanggung selama ini, harus dilepaskan segera bagi membolehkan kita mengorak langkah lebih cepat untuk mara berjuang mempertahankan kepentingan kita.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita mempunyai hak untuk menentukan arah tuju sendiri. Terus hidup dalam bayangan orang lain, hanya akan menyebabkan kita menjadi lemah. Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia harus menjadikan kejadian jerebu sebagai konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia.

Episod satu: Pengajaran daripada jerebu

Episod dua: Kerajaan lantang tangani isu dengan S'pura


LIEW NT adalah penganalisis bebas politik tempatan dan antarabangsa, berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial dengan mengkhusus dalam bidang Politik dan Pemerintahan dari Universiti Malaysia Sarawak pada 2002. Meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dan mendapat ijazah Sarjana dalam jurusan Hubungan Antarabangsa (Kajian Dasar dan Analisis Keselamatan) pada 2004. Kini bergiat dalam penulisan dan beberapa penyelidikan.