Biarkan Liu bersama Chin Peng...
Orang yang paling gembira menyambut kemerdekaan negara tahun ini ialah Ronnie Liu. Dia menjadi buah mulut ahli sejarah, tokoh akademik dan pemimpin Umno gara-gara sanjungannya terhadap Chin Peng.
Riuh rendah satu negara. Dada-dada akhbar penuh dengan kemarahan terhadap Setiausaha Biro Antarabangsa DAP itu. Ada yang membuat laporan polis terhadap Liu. Ada yang menuduhnya memutarbelitkan fakta sejarah. Dan tidak kurang juga yang menganggapnya penyokong Chin Peng.
Tidak semena-mena, Liu menjadi terkenal dan DAP mendapat publisiti murahan. Sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh Liu dan DAP, publisiti!
Orang yang paling gembira menyambut kemerdekaan negara tahun ini ialah Ronnie Liu. Dia menjadi buah mulut ahli sejarah, tokoh akademik dan pemimpin Umno gara-gara sanjungannya terhadap Chin Peng.
Riuh rendah satu negara. Dada-dada akhbar penuh dengan kemarahan terhadap Setiausaha Biro Antarabangsa DAP itu. Ada yang membuat laporan polis terhadap Liu. Ada yang menuduhnya memutarbelitkan fakta sejarah. Dan tidak kurang juga yang menganggapnya penyokong Chin Peng.
Tidak semena-mena, Liu menjadi terkenal dan DAP mendapat publisiti murahan. Sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh Liu dan DAP, publisiti!
Semua orang tahu, bukannya mudah bagi parti pembangkang untuk mendapat publisiti atau liputan meluas di media massa Malaysia. Hanya dengan mencetuskan isu kontroversi, mereka boleh mendapat ruang di dada akhbar. Itupun dari sudut negatif!
Liu dan DAP amat memahami hakikat itu. Lantas artikel kontroversi yang menaikkan nama pemimpin Parti Komunis Malaya dan memperlekehkan peranan Tunku Abdul Rahman itu, ditulis dan disiarkan di lamanweb DAP.
Sebenarnya, pergerakan Pemuda Umno tersilap besar dan bertindak kurang bijak apabila menghebohkan penyiaran artikel Liu itu. Jika sayap kanan Umno itu tidak memberi apa-apa reaksi terhadap artikel "nakal" tersebut, 99 peratus rakyat Malaysia tidak tahu mengenainya.
Lamanweb DAP
Penulis yakin, hanya beberapa kerat rakyat negara ini sahaja yang melayari lamanweb DAP. Malah, diyakini sebahagian besar pemimpin dan penyokong parti pimpinan Lim Kit Siang itu sendiri, tidak mempunyai masa untuk membuka lamanweb tersebut.
Namun, setelah isu Chin Peng dan Liu itu digembar-gemburkan, maka lamanweb berkenaan menjadi popular. Jumlah aksesnya meningkat berkali ganda. Nampaknya, Pemuda Umno telah membantu mempopularkan lamanweb DAP itu.
Itulah kesilapan besar Pemuda Umno, terjerumus dalam strategi dan perangkap Liu. Di sini jelas sekali kelicikan tokoh muda DAP itu apabila Pemuda Umno melatah macam orang nyanyuk. Liu memang bijak. Dia "menjolok" dengan satu hujah yang amat sensitif. Tidak cukup dengan itu, dia cuba pula "memancing" Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya berdebat dengannya mengenai Chin Peng.
Mujurlah Khairy tidak termakan umpan Liu itu. Namun, isu itu tidak berhenti di situ sahaja kerana semakin ramai orang politik mahu "tumpang semangkuk" untuk menghentam Liu dan DAP. Cuma Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz bertindak bijak menangani isu ini, apabila beliau meminta orang ramai dan pemimpin negara tidak melayan kerenah Liu dan DAP itu.
Menurutnya, berdebat mengenai Chin Peng tidak membawaapa-apa kebaikan. Sebaliknya, ia akan memberi kredibiliti kepada Liu. Memang tidak wajar bagi Pemuda Umno dan tokoh-tokoh sejarah, terlibat dengan pendirian atau pendapat peribadi Liu itu. Ini kerana telah tertulis dalam sejarah siapa sebenarnya pejuang kemerdekaan negara.
Kita telah lama mengenali Ibrahim Yaakob, Ahmad Bustamam, Pak Sako, Datuk Onn, Tuanku Abdul Rahman dan ramai lagi. Nama Chin Peng tidak pernah tersenarai. Telah terpahat di minda kita pemimpin bahawa parti komunis itu adalah petualang negara.
Generasi tua kita tidak pernah lupa pada keganasan komunis sebaik sahaja Jepun menyerah kalah, walaupunsebahagian besar anak-anak muda hari ini, tidak lagi mempedulikan sejarah tersebut. Fakta itu tidak mungkin terpadam dengan satu tulisan kontroversi dari Liu.
Tulisan 'nakal'
Biarkan tokoh DAP itu dengan hujah dan pendiriannya untuk menyenaraikan Chin Peng sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan. Ia tidak akan menjadi kudis kepada sejarah dan pembangunan negara. Kalau Pemuda Umno membiarkan isu ini berkarat begitu sahaja di lamanweb DAP, maka tiada siapa akan bercakap mengenai peranan Chin Peng dalam memerdekakan Malaya.
Rakyat Malaysia sudah matang, sudah tahu menilai yang mana baik dan buruk. Bijak menerima maklumat dan tidak mudah dipengaruhi oleh tulisan-tulisan "nakal", walaupun mereka seronok membacanya. Oleh itu, sewajarnyalah isu Liu dan Chin Peng itu ditamatkan segera. Tidak perlu lagi diulas atau dipanjangkan ke balai polis atau mahkamah.
Siasatan terhadap Liu di bawah Akta Hasutan 1948 juga tidak perlu kerana kita tahu kontroversi adalah pendekatan parti pembangkang. Lebih segera isu ini hilang dari dada akhbar, maka lebih cepat ia hilang dari minda dan bibir rakyat.
Namun, walauapapun tanggapan umum terhadap Liu, saya tetap memberikan sekalung bunga kepada beliau kerana berjaya menggemparkan negara dengan satu isu kecil. Rakan sekolah saya dari Raub, Pahang ini memang licik. Sejak tahun 1999, namanya begitu menonjol dalam DAP. Dia tidak pernah kering ilham untuk meraih publisiti murah.
Biarkan Liu dengan labu-labunya. Kita tidak perlu melenting atau melatah semata-mata kerana "kenakalannya". Jangan jadi bodoh dan emosi melayan isu-isu remeh-temeh dan tidak relevan!
Sejarah memang penting untuk dijadikan pengajaran dan teladan, tetapi ini bukan zaman untuk beretorik dan bernostalgia.

