Paling Popular
Terkini

Tetiba Saudi Arabia menubuhkan SPRSA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Saudi Arabia. Bila saya membaca berita ini maka saya ketawa terbahak-bahak hingga jatuh dari kerusi.

Ini lawak bukan untuk dekad ini. Ini lawak untuk alam semesta - semenjak Kun Fa Ya Kun. Ini lawak bukan sebarang lawak. Ini lawak Big Bang. Tidak ada lawak yang paling lawak melainkan lawak Saudi.

Saudi Arabia ini terkenal sebagai pusat kelentong dan putar alam. Tapi kali ini putarnya cukup ligat. Bila Saudi mula melawan rasuah ini sama seperti Jho Low mula mengakui dia adalah punca krisis 1MDB.

Bila Saudi mengumumkan penubuhan badan pencegah rasuah ini sama seperti Rosmah mengumumkan bahawa dia akan memulangkan kembali cincin berlian kepada parlimen.

Bila Saudi mula melawan rasuah ini samalah seperti Najib mula mengakui bahawa dia sebenarnya telah mengkelepet duit 1MDB. Kelentong Saudi Arabia ini telah memeranjatkan dunia. Sama hebatnya seperti kelentong Si Najib di Malaysia.

Betul ramai yang tidak percaya bahawa Saudi sedang menjalankan kempen anti rasuah. Ramai menggelengkan kepala bila terbaca berita Putera Mahkota Muhammad Bin Salman (MBS) bercakap menentang rasuah.

Kempen Putera MBS ini sama seperti kempen Rosmah kepada Mak Cik Felda agar jangan berbelanja boros.

Justeru - saya ditanya apa sebenarnya sedang berlaku di Saudi Arabia? Apakah latar dan makna babak-babak drama yang sedang berjalan di Saudi Arabia?

Memang betul saya akan ketawa apabila saya mendengar nama Saudi Arabia. Sebut sahaja nama Arab Saudi saya akan ketawa. Dalam kita ketawa ini saya sarankan kita semua wajib berwaspada.

Apa yang sedang berlaku di Saudi Arabia sekarang memberi implikasi yang besar kepada kita semua. Kita semua yang saya maksudkan bukanlah kita semua warga Malaysia yang beragama Islam.

Implikasi kepada Islam dan bukan Islam 

Apa yang berlaku di Saudi akhir-akhir ini membawa implikasi terhadap yang Islam, yang bukan Islam dan juga yang tidak percaya pada agama.

Hal yang berlaku sekarang ini lebih daripada Islam. Islam itu hanya bunga rampai yang menghiasi Saudi. Ada perkara yang lebih besar daripada Islam yang sedang berlaku di Saudi.

Betul saya ketawa. Saya mengetawakan ucapan Putera MBS yang mahu menentang rasuah. Tetapi saya tidak akan ketawa terhadap babak-babak di belakang lawak Putera Raja Saudi ini.

Di belakang lawak Putera MBS ada bahaya yang sedang menunggu kita semua. Kita semua ini saya maksudkan ialah - kita semua warga dunia ini.

Ertinya apa yang berlaku di Saudi sekarang ini sedang membawa implikasi bahaya kepada umat manusia.

Untuk memahami semua ini kita wajib melihat apa itu Saudi Arabia. Sistem feudal Saudi Arabia ini sama seperti sistem Kesultanan Perak. Ada giliran siapa yang wajib menjadi Raja.

Ini kerana Ibnu Saud memiliki banyak bini justeru banyak anak. Anak-anak Saud ini diberi kuasa mengepalai kementerian dan semua lembaga daulah.

Jika ada yang akan bertanya - bila kali akhir ada pilihanraya di Saudi Arabia? Maka saya akan menjawab dengan bertanya bila kali akhir Jho Low naik umrah.

Saudi Arabia ialah negara feudal despot (pemerintah mutlak). Raja Saudi dan kaum kerabatnya ialah parlimen, mahkamah dan polis. Hukum hakam bukan muncul dari hasil perbincangan di parlimen tetapi dari mulut Raja.

Semenjak terdirinya negara Saudi Arabia dalam tahun 1932, sistem pertukaran raja dan para menteri kabinet berjalan lancar. Ini kerana semuanya diperlicinkan oleh dinar minyak.

Nikmat hasil minyak, semua dapat fulus

Setiap kaum kerabat dan suku sakat Ibnu Saud mendapat nikmat hasil duit minyak. Justeru semua dilihat stabil. Kestabilan ini berlaku kerana harga minyak mahal. Semua mendapat fulus.

Tetiba Amerika menukar dasar - mengurangkan import minyak. Amerika menjalankan ‘fracking’. Ia teknik baru untuk mendapatkan minyak dari pasir shale dan gas yang tersimpan di dalam perut bumi.

Amerika berjaya menjadi pengeluar minyak. Tetiba harga bahan bakar minyak sedunia jatuh merundum. Kita di Malaysia merasakan sama.

Di Saudi kesannya lebih hebat kerana negara ini tidak ada bahan lain untuk dijual. Justeru suasana politik Saudi jadi kelam kabut. Bajet negara dan juga bajet kaum keluarga Raja semakin merosot.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah Saudi ada cukai rokok. Kini telah ada. Bajet negara dipotong. Subsidi ditarik balik. Bila subsidi dipotong ramai yang merasa tekanan hidup. Rakyat mula gelisah.

Pada 21 Jun 2017 Putera Mahkota Muhammad bin Nayef al-Saud telah dilucutkan gelaran Putera Mahkota oleh Raja Salman (gambar, atas).

Muhammad bin Nayef ialah cucu Ibu Saud. Ini generasi ketiga dan anak buah kepada Raja Salman. Gelaran Putera Mahkota telah diambil alih oleh Muhammad bin Salman - anak Raja Salman sendiri.

Tetiba Muhammad bin Salman, berusia 32 tahun, telah diangkat menjadi Putera Mahkota. Satu dunia memberi perhatian kerana sistem peralihan kuasa telah berubah. Kongsi kuasa antara cucu cicit Saud telah dipesongkan oleh Raja Salman.

Si Muhammad ini juga telah diangkat oleh ayahandanya untuk menjadi Menteri Pertahanan. Langkah pertama Putera MBS ini melancarkan perang di Yaman.

Dengan harga minyak yang makin rendah. Dengan dana negara yang makin susut. Dengan perang di Yaman yang berterusan - untuk kita yang rasional pasti kita menilai kembali dasar-dasar yang dibuat.

Ini tidak terjadi kepada Putera MBS. Si Muhammad ini mula membuat huru hara pula di Qatar.

Tetiba Putera MBS menuduh Qatar sebagai sarang pengganas IS. Tetiba Qatar dituduh sebagai negara yang mendanai IS.

Dunia ketawa bila membaca kenyataan ini kerana satu dunia tahu IS ini dipersenjatai oleh Amerika. IS mendapat dana dari Saudi dan bantuan dari Turki. Qatar dan Negara-negara Teluk sama-sama mengeluar duit untuk membantu IS.

Ini bukan rahsia. Fakta ini dibincangkan dalam Kongres Amerika dan di Parlimen Inggeris. Ini bukan lagi rahsia.

IS menetas dalam reban Saudi Arabia. IS menetas dalam kelambu CIA. IS ialah alat untuk digunakan dalam strategi menjatuhkan kerajaan Bashar al-Assad di Syria.


Tetiba IS menerima kekalahan. Satu demi satu kota tawanan IS jatuh kembali ke tangan kerajaan Iraq dan Syria. Wilayah IS semakin mengecil. Khalifah IS lari lintang-pukang. Kerajaan Bashar di Damascus masih kukuh.

Tidak cukup dengan berita kekalahan IS - tetiba soldadu Saudi di Yaman juga sedang mengalami kekalahan. Berbakul-bakul mayat soldadu Saudi mula dibawa pulang.

Perang Yaman yang telah masuk ke tahun kedua telah memusnahkan negara Arab yang paling miskin dalam dunia. Lebih 10,000 warga Yaman gugur.

Tetiba negara Arab termiskin telah berjaya mengalahkan Saudi Arabia yang memiliki bala tentera dan soldadu yang terbesar di Timur Tengah sesudah Israel. Bala tentera Saudi gagal membuat pertukaran kerajaan di Sana’a seperti yang dirancang oleh Putera MBS.

Si Muhammad ini dilihat angkuh, gopoh gapah dan tidak sabar. Keadaan dan kelakuan bakal Raja Saudi ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan kaum kerabat yang lain.

Kedudukan Putera MBS belum terjamin

Hakikatnya kedudukan Si Muhammad ini sebagai bakal Raja Saudi Arabia masih belum stabil. Masih belum terjamin.

Tindakan ayahandanya mengetepikan sepupunya Putera Nayeef pasti membawa kemarahan dan dendam dari suku sakat yang lain.

Hakikatnya Putera MBS ini sedang terdesak. Sama seperti Najib terdesak dan terkepong. Si Muhammad ini juga mencari sokongan daripada Presiden Trump.

Najib dalam usaha untuk mengkelentong rakyat Malaysia daripada terus menyebut tentang saman DOJ terhadap 1MDB telah bergambar dengan Trump. Najib berkelentong yang dia main golf dengan Trump.

Putera MBS lebih hebat lagi. Bukan hanya kelentong main golf. Presiden Trump bersama anak, bini dan menantu telah datang melawat Saudi Arabia. Tamu kehormat dari Rumah Puteh ini telah menginap di Ritz Carlton Riyadh.


Jalinan hubungan Putera MBS dengan Trump, terutama dengan Jared Kushner amat intim. Menantu Trump si Jared Kushner yang berumur 36 tahun ini adalah seorang ahli perniagaan. Kerjanya ialah mencari peluang untuk jadi kaya setaraf dengan bapak mertuanya. Maka pastilah si Jared ini boleh 'kautim' dengan si Muhammad.

Dilaporkan oleh media Amerika bahawa Jared ini telah datang tiga kali secara senyap-senyap ke Saudi Arabia. Siapa ditemui Jared tidak pula diumumkan. Tetapi yang pasti Jared bukan datang ke Saudi untuk membuat umrah.

Tetiba satu Persidangan Teknologi Wasasan 2030 diadakan di Ritz Carlton Riyadh. Para gedebe dari Silicion Valley dan dari Wall Street telah dijemput.

Anak-anak Raja dan kaum kerabat Ibnu Saud telah dijemput sama untuk merayakan dasar ekonomi baru yang akan diumumkan oleh Putera MBS.

Dilaporkan Putera MBS sedang merancang untuk mendirikan sebuah bandar berteknologi canggih yang bernilai AS$500 bilion.

Pada sidang kemuncak Persidangan 2030 ini muncul Sophia - seorang Minah Cun yang sebenarnya robot. Sophia (gambar, atas) telah dianugerahkan kerakyatan Saudi Arabia. Bila ini berlaku semua jemputan dalam dewan gembira bertepuk tangan.

Tetiba sebuah peluru berpandu dikatakan dari Yaman telah menyerang lapangan terbang Riyadh. Tetiba Perdana Menteri Lebanon Saad Hariri telah dipanggil ke Riyadh. Tetiba PM Hariri muncul dalam kaca televisyen Saudi yang dia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Lebanon.

Tetiba dunia gempar. Tangkapan anti rasuah Putera Mahkota Muhammad Salman bermula. Sebelas orang putera raja, empat orang menteri kabinet dan berpuluh anak-anak raja dan setiausaha kerajaan ditangkap.

Tetiba semua jet peribadi dilarang meninggalkan Saudi. Tetiba Putera Mansour bin Mukrin bersama 7 orang pegawai dalam helikopter telah ditembak jatuh di sempadan Yaman. Dilaporkan anak raja ini cuba melarikan diri.

Tetiba berita muncul tentang bank akaun mereka yang ditahan ini telah dibekukan. Jumlah duit dalam akaun ini dikatakan berjumlah AS$800 bilion.

Haji Hadi dakwa Saudi subahat dengan Israel

Tetiba dunia diberitahu bahawa para tahanan kini sedang ditahan dalam hotel Ritz Carlton di Riyadh.

Kempen SPRM Putera Mahkota telah bermula. Perang di Yaman diteruskan. Qatar terus dihuru-harakan.

Tetiba Si Muhammad ini mengeluarkan senarai para ulama yang menjadi kepala pengganas. Tetiba Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia - Internatiopnal Union of Muslim Scholars - dituduh sebagai sarang pengganas. Haji Hadi Awang dari Terengganu menganggotai kesatuan ini.

Tetiba Haji Hadi menyerang Saudi. Tetiba Haji Hadi menuduh Saudi bersubahat dengan Israel. Tetiba saya berhenti di sini. Tunggu minggu hadapan.

Lihat Komen
ADS