Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Saya telah menerangkan dengan jelas bahawa perjuangan Palestin ini adalah perjuangan antikolonial. Tujuan asas perjuangan rakyat Palestin ialah menuntut kembali bumi dan tanah air mereka yang telah dijajah oleh Zionis Israel semenjak 1948.

Isreal pada awalnya bermula sebagai projek Anglo-Zionis. Ini ketika kuasa imperial dunia dimiliki oleh Great Britain. Kaum Zionis dan kaum pemodal Yahudi telah melobi kuasa imperial British untuk bekerjasama menjajah bumi Arab dan bumi Palestin. Deklarasi Belfour 1917 ada tanda rasmi permulaan kerjasama ini.

Di akhir Perang Dunia Kedua. projek Israel telah diambil alih oleh Amerika. Kuasa baru ini telah menggantikan Britain yang telah muflis parah teruk hasil pukulan Perang Dunia Kedua.

Ekonomi, kepentingan ekonomi dan kekayaan tanah jajahan adalah juragan kaum pemodal. Jangan sesekali dilupakan hukum ini dalam apa sahaja analisis kita. Jika hukum asas ini dilupakan maka analisis dan bacaan politik kita akan herot dan pencong - salah dan terbarai.

Di belakang projek penubuhan Isreal ini ialah bumi Arab dan puluhan juta warga Arab yang terhampar luas untuk dijajah. Ini fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Hanya ada kumpulan pak lebai dan kaki putar yang suka mengeluar labun yang bercanggah dengan fakta sejarah ini. Mereka amat suka memesongkan perjuangan antipenjajah rakyat Palestin kepada agenda agama.

Memesongkan perjuangan antikolonial Palestin ini ke garis agama adalah juga agenda dan taktik kaum Zionis. Dengan suasana dunia yang antikeganasan dan anti-Islam, kaum Zionis amat-amat gembira jika perjuangan Palestin dapat dikalihkan untuk menjadi perjuangan agama.

Kuasa imperial dan kaum Zionis telah melihat bagaimana hampir di seluruh kota besar dalam dunia. anak muda dan kaum pelajar, turun ke jalan raya untuk menyokong perjuangan antikolonial rakyat Vietnam pada tahun 60-an. Dari London, Paris, Washington DC, Melbourne, Peking, Sydney, Tokyo, Berlin, Moscow dan Rom kita lihat demo anti-Amerika yang tidak henti-henti.

Hakikatnya, kuasa imperial Amerika berjaya dikalahkan dengan bantuan dan tekanan bersama rakyat dunia. Ini terjadi kerana garis, taktik dan strategi rakyat Vietnam ialah antikolonial, bukan menegakkan Negara Buddha walaupun hampir kesemua warga Vietnam beragama Buddha.

Berdasarkan fakta sejarah, ramai para sami dan kuil telah memainkan peranan yang amat penting dalam perjuangan antikolonial menentang Perancis dan kemudian menentang imperialis Amerika.

Amat jelas tak perlu bersuluh, jika perjuangan Palestin terus didorong untuk menjadi perjuangan agama - dalam cuaca dan suasana anti Islam hari ini - maka rakyat dunia tidak akan menyokong perjuangan adil rakyat Palestin seperti mereka menyokong rakyat Vietnam. Cita-cita dan niat kaum Zionis termakbul.

Dalam masa yang sama memang betul Baitulmuqaddis/Jurusalem ialah kota suci. Ia bukan hanya kota suci untuk umat Islam sahaja. Kota ini juga adalah kota suci dan bersejarah untuk penganut agama Yahudi dan Kristian.

Sesiapa yang terus berlabun dan mendorong perjuangan Palestin ini sebagai agenda agama Islam wajib sedar. Wilayah yang dituntut oleh rakyat Palestin bukan hanya kota Baitulmuqaddis. Ada beratus ribu hektar tanah-tanah subur milik warga Palestin yang telah dirampas oleh Zionis Isreal semenjak tahun 1948 hingga ke petang kelmarin. Ada berpuluh ratus kota kecil dan besar yang telah dijajah oleh Zionis Israel. Baitulmuqaddis hanyalah salah satu darinya.

Palestin lebih dari Baitulmuqaddis

Kenapakah susah untuk memahami fakta perjuangan antikolonial rakyat Palestin ini. Saya katakan dengan jelas bahawa Palestin lebih dari Baitulmuqaddis. Palestin ini lebih daripada Masjid Al-Aqsa.

Baitulmuqaddis dan Al-Aqsa hanya manifestasi untuk kita bekerja dan mengolah dan menyusun gerakan ampuh untuk menewaskan Zionis-Isreal.

Bermula dengan terdirinya Israel pada tahun 1948, seramai 711,000 warga Palestin pelbagai wilayah dihalau atau melarikan diri. Tanah dan kampung halaman mereka dirampas oleh Zionis-Israel. Seramai 100,000 warga Palestin menjadi pelarian ke Lubnan pada tahun 1948.

Ketika pecah Perang 1967, seramai 280,000 hingga 325,000 orang dari pelbagai wilayah Palestin menjadi orang pelarian. Mereka mencari perlindungan di negara Arab. Saya ambil data ini dari laporan Agensi Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA).

Hakikatnya orang pelarian Palestin bukan semuanya dari Baitulmuqaddis. Bukan semua mereka bekerja sebagai imam, bilal atau tok siak. Dan bukan semuanya warga Palestin beragama Islam. Seperti warga dunia yang lain, mereka juga berniaga, bertani dan memburuh.

Apakah masih ada lagi yang belum faham kenapa saya berkata perjuangan Palestin bukan perjuangan agama tapi perjuangan antikolonial?

Untuk mereka yang kurang jelas biar saya mudahkan pemahaman ini dengan melihat sejarah Tanah Melayu sendiri. Mari kita lihat betapa rapatnya sejarah Bumi Melayu dengan Palestin dan Bumi Arab.

Tanah Melayu telah dijajah resmi oleh British sesudah Perjanjian Pangkor 1874 ditanda tangani. Sebelum ini pada tahun 1824 Alam Melayu telah dipisahkan dengan Perjanjian Inggeris-Belanda. Hasilnya lahirlah Indonesia. Hakikatnya kuasa kolonial Inggeris dan Belanda memecahkan alam Melayu Nusantra.

Tidak cukup dengan ini dengan Perjanjian Anglo-Thai 1906, wilayah utara Tanah Melayu dipecahkan lagi oleh British. Empat wilayah menjadi milik Siam.

Selat Melaka, sungai tempat hilir mudik Bani Melayu kini menjadi sungai milik antarabangsa.

Terbukti jelas pemecahan alam Melayu Nusantara ini tidak ada sangkut paut dengan agama Islam walau pun Bani Melayu beragama Islam.

Semua ini dilakukan untuk memecah dan memusnahkan empayar Melayu yang berpusat di Melaka dan di Majapahit.

Apa yang telah berlaku adalah agenda kolonial. Apa yang berlaku ialah hukum dan syarat perkembangan sistem ekonomi kapitalis.

Zaman kolonial ialah zaman menakluk tanah jajahan, menjarah hasil bumi dan meluaskan pasaran. Dari sinilah munculnya kuasa imperialis - Sepanyol, Portugis, Belanda, Perancis, Jerman, Inggeris dan Amerika. Imperialisme ialah tahap akhir sistem kapitalis.

Taktik kaum penjajah

Pecah dan perintah ini adalah taktik kaum penjajah. Ia dilakukan untuk memastikan kuasa penjajah terurus rapi. Kuasa kolonial mengelak bergaduh sesama sendiri. Paling penting untuk memastikan perjalanan dana untung dari Batavia dan Singapura masuk ke London dan Amsterdam tidak diganggu gugat.

Sila lihat bagaimana agenda dan perjanjian yang sama dilakukan oleh British ke atas alam Arab dan Palestin. Pada 21 Disember 1915, Bumi Arab dipecah melalui Perjanjian Sykes-Picot. Tetiba dunia Arab menjadi milik British, milik Perancis dan milik Amerika. Semua ini dilakukan untuk meruntuhkan empayar Uthmaniah.

Minyak ditemui 1938 di Dhahran, Saudi Arabia dan juga di Burgan, Kuwait. Sebelum ini minyak telah ditemui di Parsi pada 1908. Wilayah ‘berminyak' ini menjadi amat penting. Dari sini muncul sejarah bahan bakar petroleum yang menjadi kuasa penjana sistem ekonomi kapitalis yang kita rasai hari ini.

Pengalaman Perang Dunia Kedua telah menjadi bukti negara yang tidak memiliki bahan bakar petroleum pasti akan kalah. Mana negara yang berniat untuk menjadi kuasa imperial dunia wajib memiliki bahan bakar petroleum. Ini disedari oleh Britain dan Amerika.

Justeru satu rancangan baru diwujudkan untuk memastikan wilayah Timur Tengah yang kaya dengan telaga minyak ini tidak akan jatuh ke tangan musuh. Musuh pada ketika itu dan hingga ke hari ini masih lagi Rusia.

Sesudah Perang Dunia kedua, gerakan nasionalisme menuntut merdeka bermula. Indonesia, Tanah Melayu, Burma, India, China, dari Asia dan Afrika, kaum nasionalis mula bangun menggerakkan semangat merdeka melawan penjajah.

Inggeris telah menjadi kuasa imperial kedua. Kini kuasa utama dunia ialah Amerika yang juga memiliki bom Atom yang telah berjaya diledakkan di Nagasaki dan Hiroshima.

Dua kuasa imperial ini bersekongkol untuk terus memerintah dunia. Kini mereka dikenali sebagai kuasa imperialis Anglo-Amerika. Kepentingan pemodal Inggeris dan Amerika kait berkait. Kelas elit Inggeris dan Amerika memiliki kepentingan bersama.

Dalam Perang Dunia Kedua, ekonomi Inggeris telah jatuh muflis. Tetapi ‘tukang rancang perang’ kaum Zionis dan kaum pemodal telah merangkul keuntungan yang amat sangat. Perang adalah peluang perniagaan untuk kaum pemodal. Dalam suasana inilah pemimpin Zionis muncul dan menuntut janji yang telah dibuat dalam Deklarasi Balfour 1917.

Perang Dunia Kedua memperlihatkan bagaimana kaum Yahudi yang tidak memiliki negeri telah menerima pukulan maut Hitler. Yahudi yang menguasai ekonomi Jerman telah dijadikan besi berani untuk mempersatukan nasionalisme Jerman. Yahudi menjadi musuh Jerman.

Akhirnya, sesudah Perang Dunia Kedua, warga dunia bersimpati dengan kaum Yahudi yang telah dibantai oleh Hitler. Justeru banyak negara dan kerajaan bersetuju satu wilayah penempatan Yahudi wajib ditemui. Yahudi perlu memiliki negeri sendiri.

Cari punya cari. Pilih punya pilih akhirnya Palestin akan dijadikan wilayah penempatan Yahudi pada tahun 1948.

Bukan projek agama

Babak-babak ini jelas menunjukkan bahawa projek Isreal ini adalah projek merampas bumi dan tanah Arab Palestin. Ini projek kolonial. Ini bukan projek agama. Warga Palestin, penduduk asal, telah dipaksa menerima kemasukan satu bangsa yang tidak sama bahasa, tidak sama budaya dan tidak sama adat resam.

Untuk memastikan kaum baru ini ada tempat tinggal, kaum asal telah diganasi, dibom, perigi mereka diracun, mereka dibunuh dan akhirnya dihalau dari tanah tumpah darah mereka.

Di belakang Projek Isreal ini sebenarnya ialah kepentingan militer kuasa imperial Anglo-Amerika. Strategi mewujudkan Israel ini adalah strategi berjangka panjang untuk memastikan bumi Arab akan terus menjadi tanah jajahan dan bernaung dibawa payung kuasa Anglo-Amerika.

Hakikatnya Isreal adalah ‘settler state’ - negara pendatang. Contoh negara pendatang ialah Australia, Kanada, Amerika, Afrika Selatan dan Zimbabwe. Orang-orang luar yang memiliki budaya yang amat asing dibawa masuk untuk dijadikan warga negara dan bertelagah dengan penduduk asal. Pernah dengar ayat ini?

Hakikatnya Isreal ialah strategi untuk mewujudkan pangkalan tentera yang dilihat syumul dan sopan untuk kuasa imperial Anglo Amerika.

Apa kaitan sejarah Palestin ini dengan Tanah Melayu dan alam Nusantara?

Awas jangan lupa bagaimana Inggeris membawa kaum Cina masuk ke Tanah Melayu sehingga berjaya mendirikan Singapura. Singapura itu apa? Apakah ia ‘settler state'? Atau betulkah Singapura ini sebenarnya Israel untuk bumi Melayu. Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS