Fenomena Mawi nampaknya belum reda! Kini dia bukan sekadar menjadi bualan anak-anak muda, peminat seni tanahair dan para cendiakawan, malah menjadi polemik di kalangan orang politik. Nama Mawi bukan sekadar masuk ke Parlimen tetapi kini menjadi isu perbalahan di kalangan para pemimpin PAS.

Gara-gara aura Mawi, Dewan Ulama PAS berbeza pendapat dengan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan kepimpinan PAS Kelantan. Menteri Besar Kelantan itu sependapat dengan prinsip juara AF3 itu: " Worldworld jugakakhirat jangan tinggal"

Nik Aziz melihat Mawi sebagai penyanyi yang baik dan bersih akhlak. Boleh dijadikan idola bagi anak-anak muda. Mawi dan muziknya boleh dijadikan alternatif kepada muzik dan konsert yang bertentangan dengan Islam. Lantas Nik Aziz bertegas mahu mengundang Mawi mengadakan konsert di Kota Bharu pada 30 September ini.

Keputusan Menteri Besar kelantan itu mendapat sokongan padu Dewan Pemuda PAS. Dewan Muslimat PAS juga sependapat dengan Nik Aziz. Mawi juga tidak keberatan ke Kota Bharu kerana dia tahu tujuan Nik Aziz murni, mahu mengajak muda muda ke jalan yang diradhi Allah, keluar dari gejala sosial seperti dadah.

Namun hasrat Nik Aziz dan Mawi itu nampaknya bukan sahaja ditentang oleh Pemuda Umno, malah oleh Dewan Ulama PAS. Pemuda Umno menempelak usaha Nik Aziz itu kerana berpendapat PAS melanggar prinsipnya yang selama ini mengharamkan muzik dan seni. Memang Menteri Besar Kelantan berpegang teguh dengan prinsip itu selama ini. Beliau tidak membenarkan sebarang konsert nyanyian diadakan di negeri itu selama pemerintahannya.

Bukan sahaja konsert rock, pop atau dangdut diharamkan, malah makyung juga dilarang. Mujurlah Dikir Barat tidak melibatkan penyertaan wanita, jia tidak sudah lama diharamkan juga oleh Nik Aziz. Namun kini Mursyidul Am PAS itu sudah banyak berubah. Beliau tidak jumud dan totok lagi. Sikapnya semakin terbuka selepas PAS tewas di Terengganu dan hampir kecundang di Kelantan dalam pilihanraya umum lalu.

Keputusan kerajaan Kelantan

Nik Aziz kini tidak lagi melarang wanita pergi berkerja. Malah dalam PAS, wanita sudah dibenarkan menjadi calon wakil rakyat dan bertanding jawatan naib presiden. Beliau berubah kerana dia sedar PAS perlu berubah jika mahu terus bernafas dalam politik Malaysia.

Namun golongan ulama sempit atau golongan tua, masih ada untuk menentang segala perubahan itu. Contohnya, dalam kes Mawi ini, Ketua Dewan Ulama, Ustaz Harun Taib membantah keputusan Nik Aziz itu. Harun menganggap Mawi bukanya penghibur Islam sebenar kerana dia adalah produk sebuah program realiti TV yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Memandangkan Nik Aziz membuat keputusan menjemput Mawi tanpa merujuk dahulu kepada Dewan Ulama, Harun berpendapat keputusan Nik Aziz tiada kena mengena dengan PAS. Tegasnya, ia hanya keputusan kerajaan negeri Kelantan. Harun memang telah membuat rumusan yang tepat. Nik Aziz atau Husam Musa sendiri tidak pernah menyatakan keputusan itu keputusan PAS.

Oleh itu, tidak perlulah lagi Dewan Ulama PAS membantah keputusan Nik Aziz itu. Biarkanlah majlis pelancaran Kota Bharu sebagai bandaraya Islam itu diserikan oleh Mawi. Mawi bukannya akan menyanyi di muktamar atau majlis ceramah PAS. Dia bakal menghiburkan penduduk Kota Bharu atau Kelantan yang pelbagai pegangan politik, agama dan kaum keturunannya.

Para pemimpin PAS tidak perlu bertelagah kerana Mawi. Kalau perpaduan PAS tergugat oleh isu ini, ia adalah suatu yang amat memalukan. Isu ini sepatutnya diselesaikan dengan baik dan mudah. Jika isu kecil seperti ini tidak dapat ditangani dengan baik, pastinya akan timbul keraguan terhadap kemampuan PAS menghadapi isu yang lebih besar lagi.

Rakyat Malaysia sedang memerhatikan sejauhmana kesan isu Mawi terhadap parti ini. Jalan tengah yang bagaimanakah akan diambil oleh kepimpinan PAS? Selain itu Umno juga , tidak perlu mempolitikkan isu Mawi ini. Tidak perlu campurtangan dalam urusan rumahtangga PAS. Begitu juga diharapkan, isu ini tidak akan menjejaskan karier nyanyian Mawi yang baru bertunas.

Jangan gam Mawi

Dia hanya seorang penyanyi, bukan milik mana-mana parti politik. Menyanyi adalah periuk nasinya, oleh itu, dia bebas menyanyi di mana sahaja, sama ada Kelantan, Johor, Kedah, Sabah atau Terengganu, selagi ada orang mahu mendengarnya. Jangan pula apabila penyanyi kelahiran Felda Taib Andak itu menyanyi di Kota Bharu nanti, ada pihak yang mengecopnya pro-PAS.

Kita juga tidak mahu ada yang memandang serong pada Mawi hingga diboikot atau digam daripada muncul di TV atau corong-corong radio, semata-mata kerana dia memenuhi undangan Nik Aziz. Perlu diingat, jika Mawi muncul di Kota Bahru pada malam 30 September ini, bukan kerana dia menyokong atau berkempen untuk PAS dia hanya muncul sebagai penghibur!

Dalam menangani isu Mawi dan Nik Aziz ini, diharapkan semua pihak berfikiran terbuka. Bukan sahaja Nik Aziz, Harun atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malah pemimpin Umno dan para pembuat dasar di stesen-stesen penyiaran, khusus RTM, perlu berfikiran liberal.

Pemerhati politik, ahli-ahli dan pemimpin Umno serta pak menteri dan para editor di akhbar-akhbar tempatan tidak perlu emosi dan berfikiran sempit menangani isu ini. Kita perlu melihat keterbukaan Nik Aziz dan keberanian Mawi menyanyi di Kota Bahru itu secara positif. Ia satu perkembangan yang baik kerana pada PAS kini, seni nyanyian nampaknya masih mempunyai garis-garis bersih dan murninya.

Tentunya pintu akan terbuka luas untuk penyanyi lain, terutamanya kumpulan nasyid untuk mengadakan konsert di Kelantan selepas ini, asalkan ia mengikut garispanduan yang ditetapkan oleh Nik Aziz. Isu Mawi ini bukan sahaja sedang menguji prinsip dan perpaduan pemimpin PAS, malah menguji kematangan peminat dan pemimpin Umno. Syabas kepada Mawi dan "world"nya yang telah berjaya membawa PAS berpijak di bumi nyata!