Paling Popular
Terkini

ULASAN I Penerbangan dengan pesawat A380 Emirates Airlines yang boleh dikatakan penuh, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai memberikan garapan pertama mengenai tanah air sendiri.

Sambil menanti untuk memasuki pesawat, saya berbual dengan sesiapa sahaja yang ramah untuk bertegur sapa.

Ada sekumpulan warga Malaysia, juruteknik Emirates Airlines yang balik untuk bertemu keluarga kerana mereka di Dubai berseorangan. Ada yang balik setiap minggu kerana mampu dengan harga tiket staf yang murah.

Perbualan tentunya mengenai kos sara hidup di UAE dan Malaysia selain mengenai politik semasa. Anak-anak muda ini terpaksa berhijrah untuk mencari rezeki, pendapatan yang lebih baik dalam menanggung kehidupan.

Sekumpulan lagi anak-anak muda Malaysia yang transit dari sebuah negara Afrika. Mereka pekerja kapal untuk petroleum yang menghantar peralatan sekiranya ada keperluan.

Ada beberapa keluarga yang juga transit dari Eropah sebagai acara tahunan setiap ada peluang.

Sewaktu berbual itu ada seoang anak kecil berkulit putih, berusia 3 tahun mendatangi dan kami segera bermain. Datang ayahnya dan kami berkenalan.

Pierre, seorang warga ekspatriat Perancis yang bekerja di Klang dan anaknya itu kelahiran Malaysia.

Saya bertanya kepada Pierre, bagaimana kehidupannya di Malaysia?

Dia berkata OK sahaja dan gembira walau ada masalah seperti jenayah yang semakin meningkat. Kos juga meningkat berbanding empat tahun lalu semasa dia mula datang bekerja.

Anak muda Arab Saudi

Sewaktu beratur ke dalam pesawat, sekumpulan anak muda dari Arab Saudi menegur. Kami segera berbual. Salah seorang dari mereka berkata, itu kali ke sembilan dia bercuti di Malaysia.

Katanya, dia suka bercuti di Malaysia semenjak dihantar latihan di Trengganu lebih sedekad lalu. Dari situ, majikan Saudi itu juga mengambil ramai warga Malaysia bekerja di Jubail. Dalam 500 orang setakat ini.

Kami bertukar nombor telefon kerana dia menjemput saya untuk ke Jubail selain berminat dengan beberapa produk Malaysia yang popular di UAE. Kebetulan, produk-produk itu di bawah rakan kongsi.

Sempat berjenaka, kalau-kalau dia juga mempunyai isteri dari Malaysia kerana terlalu kerap 'bercuti'. Saya juga berkenalan dengan dua ahli perniagaan Somalia yang pertama kali datang ke Malaysia.

Mereka sudah menjadi warga British dan mahu melebarkan bisnes di Malaysia dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Pertanyaan tak berjawab

Banyak sekali pertanyaan yang saya tidak mampu menjawab kerana saya tidak bermastautin di negara sendiri. Tidak mahu memberi maklumat yang kurang tepat.

Memang tidak tahu mengenai iklim bisnes di Malaysia secara terperinci selain dari apa yang dibaca di meda sosial dan maklumat kawan-kawan secara perbualan santai.

Saya meninjau dalam pesawat dan mendapati hampir 90 peratus adalah pelancong atau orang asing. Tidak ramai Arab. Secara rambang, saya mendapati kebanyakan adalah orang kulit putih yang transit untuk ke pelbagai destinasi lain dan bukan Kuala Lumpur sebagai destinasi.

Dengan jumlah penumpang yang ramai, tidak tahu kenapa MAS boleh rugi dan memberhentikan penerbangan ke Dubai. Hanya code sharing dengan Emirates Airlines.

Saya tidak tahu mengapa pesawat Emirates itu terpaksa berpusing jauh dari Sepang dan terbang merentas bandaraya Kuala Lumpur.

Pertama kali juga saya dapat melihat bangunan kembar Petronas dari udara dengan jelas kerana pesawat terbang rendah mengelilinginya untuk masa yang lama.

Menatap Kuala Lumpur dari udara di tengah malam memberi inspirasi, seakan terdengar lagu Alleycats di dekad 80-an.

Begitulah negara waktu itu, era yang membawa banyak perubahan fizikal dengan semangat Malaysia Boleh. Meriah dengan perkembangan dalam pelbagai bidang termasuk seni yang merangkai kepelbagaian bangsa.

Inilah tanah tumpah darahku

Sememangnya, setiap kali pulang ke tanahair, hati terasa teruja. Inilah tanah tumpah darah. Tiada gantinya. Kerana itu, dengan keadaan yang berlaku di bawah pentadbiran kleptokrat, perasaan patriotik untuk mengubah landskap politik terus bersemangat.

Tiada cara lain selain bertindak untuk mengubah pemerintahan.

Khabarnya jumlah pelancong ke Malaysia terus meningkat, terutama yang tiba melalui KLIA dan KLIA 2. Saya belum menjejak kaki di KLIA 2, khabarnya lebih besar dan canggih dari KLIA.

Hanya satu laluan tren KLIA yang beroperasi. Sesuatu yang semakin normal. Menanti bagasi juga agak lama berbanding di Dubai. Mungkin KLIA yang dibina era Tun Mahathir Mohamad patut ditutup sahaja, memadam legasi beliau dan hanya menggunakan KLIA2 yang dibina di era Bapa Pengangkutan Awam, Najib Razak.

Berbual bersama pemandu Grabcar

Sebaik melangkah masuk di KLIA, sudah terasa suasana muram kerana banyak outlet yang sudah ditutup, tidak dibuka 24 jam. Tidak pasti jumlah penerbangan di KLIA setiap hari, tetapi yang pasti tidak sesibuk lapangan terbang Dubai sama sekali.

Dengan menggunakan khidmat Grabcar, saya berbual dengan pemandu yang secara sopan bercerita keadaan semasa yang semakin sukar.

Sebab itu dia terpaksa memandu Grabcar untuk menambah pendapatan selepas waktu kerja. Pilihan yang mengurangkan masa dengan keluarga.

Tujuan utama untuk ke Kuala Lumpur ialah majlis tandatangan perjanjian dengan sebuah syarikat yang mengeluarkan produk penggalak tanaman buatan Malaysia.

Sememangnya banyak produk Malaysia, inovasi rakyat tempatan yang bertaraf dunia dan mesti diberi sokongan.

Salah satu masalah besar majoriti syarikat kecil dan sederhana ialah bajet pemasaran. Tanpa pemasaran yang baik dan efektif, produk yang baik sekalipun sukar untuk bersaing.

Majlis dihadiri menteri lewat

Majlis perjanjian yang disaksikan oleh Menteri Industri dan perdagangan Antarabangsa itu lewat lebih sejam kerana kesibukan menteri. Terasa kebodohan dalam menanti kerana tidak dapat berbuat apa-apa.

Mungkin perkara sebegini adalah biasa dan lumrah di Malaysia kerana bukan mudah untuk mendapatkan masa menteri yang sibuk.

Majlis juga dibuat untuk tujuan promosi dan publisiti. Kerana itu, kehadiran seorang menteri adalah penting untuk pengeluar produk, sebuah syarikat bumiputera yang mahu mencapai pasaran global melalui produk nanotektoloji dari kajian saintis tempatan itu.

Bukanlah kali pertama saya menghadiri majlis yang diserikan oleh menteri di Malaysia, memang selalu majlis lewat kerana tetamu VVIP kesibukan.

Sesuatu yang jarang berlaku di UAE. Mungkin kerana menteri-menteri UAE jarang menjadi saksi perjanjian antara syarikat juga merasmikan majlis.

Itu bukan budaya seperti budaya politik di Malaysia yang kekadang menghabiskan masa, wang dan tenaga tanpa ada impak berfaedah hanya kerana mahukan menteri hadir.

Kita terlalu mendewakan politikus yang menyebabkan mereka terasa bertaraf lebih tinggi dari rakyat yang mengundi mereka, terutama yang bergelar YB dan menjadi menteri. Seakan juga tanpa menteri dan politikus, dunia boleh mundur dan terhenti dari kemajuan.

Terserempak dengan Arul Kanda

Selain bertemu keluarga, tentunya bertemu kawan-kawan menjadi tradisi setiap kali pulang ke tanahair. Sempat singgah di sebuah kafe Gwaku, kepunyaan kawan, Mohd Norzi bin Ibrahim di Q Sentral. Santai bersama kawan-kawan yang dikenali sewaktu menuntut di New Zealand untuk bertanya kabar di luar media sosial.

Kali ini juga, saya bertemu kawan-kawan baharu yang memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu. Pelbagai golongan masyarakat menambahkan ilmu pengetahuan selain kembara dan pembacaan.

Antaranya terserempak dengan Arul Kanda Kandasamy, yang pernah bekerja di UAE dan kini terkenal sebagai CEO 1MDB.

Sempat singgah di ladang jagung di Pontian, Johor di bawah parlimen Datuk Ahmad Maslan, juga kawan lama sewaktu menuntut di New Zealand.

Buah, sayur organik

Ladang kepunyaan seorang pengusaha yang mengekspot jagung ke timur tengah di bawah syarikatnya.

Di ladang untuk penyelidikan itu, saya belajar dari Saudara Raymond mengenai pelbagai ujian di mana syarikat jagung itu membuat ujian untuk 50 spesis jagung setiap tahun.

Semuanya untuk memastikan produk jagung yang berkualiti dalam bersaing dengan produk negara lain secara global.

Ujian termasuk penggalak dan penyubur tanah organik yang saya bekalkan dari Norway dan hasilnya pokok jagung lebih besar, segar dan cantik selain menyihatkan tanah dan mengurangkan penggunaan air.

Ujian yang sama dilakukan di UAE untuk rumput dan pokok buahan dengan hasil yang sama.

Kerajaan UAE menyasarkan tahun 2025 sebagai matlamat di mana semua buahan dan sayuran mestilah organik sepenuhnya.

Kerana itu, pelbagai inisiatif sedang dilakukan untuk persiapan kearah itu, termasuk mendapatkan baja organik yang sesuai dan efektif.

Sekuriti makanan negara

Tidak pasti di Malaysia sama ada sekuriti makanan menjadi agenda di bawah TN50 mahupun wasatiyyah. Apalagi dengan pengakuan kegagalan 1MD dengan bilion ringgit yang diseleweng dan patutnya boleh digunakan untuk sekuriti makanan negara.

Bertemu dengan Saudara Raymond juga memberikan keyakinan terhadap perasaan patriotik dikalangan orang biasa.

Iltizam beliau di bawah agenda majikan untuk memastikan produk organik yang sihat, bersih dari pencemaran dan GMO untuk makanan rakyat Malaysia.

Syarikat itu sama memajak dan memberi kontrak tanah-tanah untuk penanaman jagung. Membekalkan benih dan membeli kembali untuk jualan di merata negara dunia.

Produk berasaskan herba

Seorang lagi kenalan, yang bermula dari mengikuti beliau melalui Facebook, Dr. Suri Roowi, seorang saintis/penyelidik MARDI yang terkenal dengan kejayaan meneroka potensi dan khasiat pelbagai jenis tanaman dan herba.

Pertemuan itu memberikan saya pengetahuan baharu mengenai dunia produk herba tanahair terutama pemasalahan komersil yang membabitkan kesihatan awam.

Dr. Suri Roowi cukup arif dan banyak berkongsi pengetahuan yang boleh menjadi panduan kepada mereka yang mudah terpedaya dengan iklan dan testimoni pelbagai produk herba dipasaran.

Saya teruja yang Dr Suri Roowi juga mempunyai wawasan dalam menyumbang ke arah produk herba dari buahan dan tumbuhan tempatan melalui penyelidikan dan ujian kilinikal. Bukan sekadar testimomi dan iklan oleh usahawan selebriti.

Turut dapat bertemu anak saudara yang pernah mendapat stroke, Muhamad Idzwan dan isterinya, Raudzah Arippin. Mereka turut dikenali ramai melalui buku 'Maaf, Suami Puan Kritikal'.

Pengalaman mereka berdua cukup bagus untuk panduan kita terutama pasangan yang menghadapi musibah yang sama.

Secara umumnya, sekiranya kita mengenali hati budi sesama kita rakyat Malaysia, di kalangan orang biasa yang mahukan dunia lebih baik, di luar landskap kepartian, suku kaum dan agama, kita dapat melihat masa depan negara yang lebih baik.

Politkus yang menjadi dewata

Masalah besar adalah para politikus yang mahu memecah belah rakyat untuk kesinambungan kuasa.

Kebencian dan anti pada kaum tertentu disemarakkan setiap menjelang pilihanraya. Seakan negara kita masih di bawah era tanpa Internet, di mana pembohongan dan penipuan sejarah, melalui media perdana boleh terus mempengaruhi rakyat yang berfikir dengan minda terbuka.

Sedangkan majoriti rakyat, walau apa pun bangsa mahukan keperluan asas yang cukup. Mahukan kehidupan yang stabil, aman, pendapatan mencukupi, mempunyai makanan, kediaman, pendidikan dan hiburan untuk keluarga.

Mereka mencintai negara dan hampir semua yang saya temui, 99 peratus mahukan perubahan di peringkat pemerintahan.

Cukuplah dengan politikus yang sudah lama menjadi dewata.

Para politikus yang berkuasa, terutama yang dikatakan kleptokrat boleh sahaja melakukan apa sahaja, termasuk penipuan melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Mereka tentu yakin boleh menang untuk terus menutup segala rompakan dan penyelewengan yang tidak boleh lagi ditutup dengan retorik politik monolog.

Teringat lagu Paul Young

Kesedaran mengenai hak rakyat memberi harapan lebih besar untuk sejarah baharu negara yang dicintai.

Sepanjang bertemu para sahabat, lama atau baharu, teringat lagu dekad 80han, Paul Young, 'Love of the Common People'.

Antara liriknya "Where you can live in, The love of the common people, Smile from the heart, Of a family man".

Sesungguhnya, rakyat biasa yang terus menjadi mangsa para politikus yang bertaraf pengkhianat mencintai negara, keluarga dan dalam sistem demokrasi, boleh membuat pilihan untuk menukar kerajaan tanpa ugutan dan paksaan.

Lupakan kebencian yang diapikan, prasangka, ancaman, momokan, sejarah dendam dan segala bogeyman yang menjadi permainan politik.

Sebagai rakyat negara merdeka, kuasa sebagai pengundi sistem demokrasi bukan sekadar setiap pilihan raya dan jangan takut untuk membuat perubahan demi masa depan anak-anak!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS