Perjuangan hak budaya dan bahasa ibunda jejaskan perpaduan kaum?
Menurut perspektif hak asasi manusia/hak kaum seperti yang dijelaskan sebelum ini, rasanya, selain kaum Melayu, kaum Cina, India dan kaum minoriti lain juga berhak menikmati atau mempertahankan bahasa, sekolah bahasa ibunda dan budaya mereka, jika ianya merupakan hasrat kaum-kaum berkenaan.
Jika mereka memperjuangkan hak bahasa pendidikan dan budaya mereka yang sewajarnya umpamanya dikekal dan dikembangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); dikekalkan dan dikembangkan 60 Sekolah Menengah Swasta Cina (SMSC) sedia ada, atau membenarkan penubuhan Universiti Merdeka dan sebagainya maka adakah mereka harus dikritik sebagai memperjuangkan "autonomi budaya" yang akan menjejaskan perpaduan nasional?
SJKC dan SJKT adalah aliran sekolah rendah yang merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita. SMSC juga tidak banyak berbeza daripada Sekolah Menengah Kebangsaan dari segi kurikulum hanya bahasa pengantar utamanya yang berlainan.
Menurut perspektif hak asasi manusia/hak kaum seperti yang dijelaskan sebelum ini, rasanya, selain kaum Melayu, kaum Cina, India dan kaum minoriti lain juga berhak menikmati atau mempertahankan bahasa, sekolah bahasa ibunda dan budaya mereka, jika ianya merupakan hasrat kaum-kaum berkenaan.
Jika mereka memperjuangkan hak bahasa pendidikan dan budaya mereka yang sewajarnya umpamanya dikekal dan dikembangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); dikekalkan dan dikembangkan 60 Sekolah Menengah Swasta Cina (SMSC) sedia ada, atau membenarkan penubuhan Universiti Merdeka dan sebagainya maka adakah mereka harus dikritik sebagai memperjuangkan "autonomi budaya" yang akan menjejaskan perpaduan nasional?
SJKC dan SJKT adalah aliran sekolah rendah yang merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita. SMSC juga tidak banyak berbeza daripada Sekolah Menengah Kebangsaan dari segi kurikulum hanya bahasa pengantar utamanya yang berlainan.
Jika kewujudan ratusan kolej dan universiti swasta yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris, tidak menjadi masalah, maka kenapa beberapa buah kolej dan universiti yang bahasa pengantarnya bahasa Cina atau bahasa yang lain, harus dipertikaikan? Dan kenapa pula ianya boleh dikaitkan dengan "autonomi budaya" yang kononnya akan menjejaskan perpaduan nasional?
Jika kita terima dasar kesamarataan kaum dan menolak sebarang unsur paksaan dalam menangani hubungan kaum, dan mengakui hak bahasa bagi semua komuniti seperti yang diiktiraf oleh dokumen-dokumen berkaitan, maka secara logiknya, kita harus menerima kewujudan aliran sekolah yang berlainan dari segi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kita.
Dengan lain perkataan, perspektif sosialis berasaskan analisis kelas, sepatutnya tidak bercanggah dengan perjuangan kaum-kaum tertindas untuk mempertahankan hak kaum yang sah dan munasabah, termasuk hak bahasa, atau tuntutan hak asasi manusia, seperti yang diakuri komuniti dunia. Jika bukan demikian halnya, bagaimanakah kita dapat mendakwa bahawa perspektif sosialis lebih unggul dan progresif daripada perspektif borjuis yang lain?
Mungkin ada kawan yang akan mengemukakan hujah "tuntutan nasional (kaum) harus tunduk kepada kepentingan perjuangan kelas". Tetapi, di manakah letaknya kontradiksi sistem "vernakular" dengan kepentingan perjuangan kelas? Di mana pula buktinya bahawa pelajar lepasan sistem "vernakular" akan menyisihkan dirinya daripada perjuangan kelas, atau pelajar lepasan sekolah kebangsaan lebih bersimpati dengan perjuangan kelas?
Sejarah perjuangan kaum pekerja
Bukankah sejarah perjuangan kaum pekerja negara kita telah membuktikan bahawa ramai sekali mereka yang berpendidikan sekolah "vernakular" telah menceburkan diri mereka dalam perjuangan kelas, malah telah memberi sumbangan dan membuat pengorbanan besar dalam perjuangan kelas yang berkaitan?
Mungkin ada pula kawan yang akan mengatakan, kita sokong kebebasan dan hak samarata bahasa, tetapi tidak menyokong sistem pendidikan diambilalih oleh mereka, tidak menyokong sekolah diasingkan mengikut bangsa. Kenyataan ini juga boleh dipertikaikan dalam hubungan realiti negara kita sekarang.
Jika kita menyokong kebebasan dan hak samarata bahasa, tidakkah bermakna semua bahasa bebas dan berhak untuk digunakan sebagai bahasa pengantar sekolah? Jika kerajaan melaksanakan sistem pendidikan yang hanya membenarkan bahasa kebangsaan/Melayu sebagai bahasa pengantar, adakah ia merupakan amalan "kebebasan dan hak samarata bahasa"?
Jika 60 Sekolah Menengah Cina, terpaksa terus diselenggarakan oleh Dong Jiao Zong sebagai sekolah swasta, kerana disingkirkan daripada sistem pendidikan nasional akibat keengganan menukar bahasa pengantarnya daripada bahasa Cina kepada bahasa kebangsaan, menurut Akta Pelajaran 1961 kita juga tidak boleh menyokong?
Jika di sekolah "vernakular", umpamanya SJKT, hanya pelajar keturunan India saja yang sudi belajar di sana sungguhpun ia tidak menegah pelajar kaum lain belajar di situ maka kita juga tidak boleh menyokong kewujudannya?
Kami percaya, perspektif sosialis yang berasaskan analisis kelas sepatutnya tidak bercanggah dengan perspektif hak kaum yang wajar dan munasabah atau perspektif hak asasi manusia. Yang berlainan hanya perjuangan sosialis tidak terhad dalam perjuangan mempertahankan kepentingan kaum yang wajar dan munasabah, atau hak asasi manusia saja, ia bertujuan untuk membebaskan manusia daripada segala bentuk tindasan dan pemerasan tentu sekali termasuk tindasan kaum dan perampasan hak asasi manusia!
Hingga kini, gerakan kiri masih belum mencapai kesepakatan terhadap bahasa/sekolah/pendidikan "vernakular". Mengikut tinjauan kami, latarbelakang pendidikan dan keturunan, mungkin mempengaruhi sikap mereka terhadap sistem "vernakular".
Sistem 'vernakular'
Yang berpendidikan Inggeris biasanya tidak begitu menghargai kewujudan sistem "vernakular". Mereka lebih menekankan kepentingan wujudnya suatu sistem pendidikan yang dapat menampung anak-anak pelbagai kaum, dan secara sedar atau tidak sedar, lebih mengagungkan bahasa Inggeris.
Mereka mungkin boleh menerima sistem pendidikan ala Singapura atau langkah-langkah baru yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) seperti Sekolah Wawasan, pengajaran matapelajaran metamatik dan sains dalam bahasa Inggeris, dan bahasa Cina dan Tamil diajar di Sekolah Kebangsaan (SK) untuk memperkasakan sekolah jenis itu sebagai pilihan utama rakyat, dan akhirnya menghapuskan aliran SJKC dan SJKT.
Setengah orang Melayu mungkin pula terpengaruh oleh nasionalisme Melayu yang mengutamakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara kita, dan menganggap kewujudan SJKC dan SJKT sebagai rintangan perpaduan nasional, sungguhpun mereka tidak mengutarakan pendapat ini secara terbuka.
Mereka selalu ragu-ragu dalam menyokong perjuangan mempertahankan kewujudan dan perkembangan SJKC dan SJKT, sekolah menengah swasta Cina, penubuhan Universiti Nanyang, Universiti Merdeka, Kolej Era dan sebagainya.
Yang selalunya berada dalam dilema ialah petugas-petugas Cina dan India yang berlatarbelakangkan pendidikan bahasa ibunda dan hidup dan bergerak di kalangan akar umbi. Mereka selalu menghadapi pelbagai "analisis kelas" yang cuba menjauhi mereka daripada perjuangan menuntut hak bahasa/sekolah/pendidikan kaum yang sah dan munasabah.
Jika mereka tegas menyokong tuntutan kaum Cina dan India, umpamanya, agar bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa rasmi, penubuhan Universiti Merdeka, maka mereka akan dituduh sebagai bersentimen perkauman dan merosakkan perpaduan gerakan kiri pelbagai kaum. Justeru itu, sistem "vernakular" sebenarnya tidak pernah mendapat sokongan penuh dan padu daripada gerakan kiri.
Manifesto pilihanraya
Pada hujung tahun 1950-an dan awal 1960-an, terutamanya dalam Manifesto pilihanraya 1959 dan 1964, Front Sosialis yang merupakan gabungan Parti Buruh dan Parti Rakyat, lebih mengutamakan bahasa kebangsaan/Melayu dijadikan bahasa rasmi yang tunggal dan bahasa untuk menyatukan massa serta pelaksanaan suatu sistem pendidikan bersama yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, sungguhpun mereka juga menjamin perkembangan bahasa Cina, Tamil dan Inggeris sebagai bahasa pengantar mengikut ketetapan artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Pada tahun 1967, dasar bahasa Parti Buruh mengalami perubahan. Parti itu secara tegas menentang Bil Bahasa (Language Bill) dan kedudukan "supremacy" bahasa Inggeris, dan bertekad untuk memperjuangkan bahasa Cina dan bahasa Tamil dijadikan "bahasa rasmi" negara kita.
Pendirian baru Parti Buruh ini tidak dapat disetujui oleh Parti Rakyat, malah dijadikan salah satu alasan bagi parti itu menarik diri daripada Front Sosialis. Pada masa yang sama, Barisan Sosialis Singapura pula mengambil pendirian yang lebih radikal bahawa semua bahasa adalah sama taraf dan rasmi, dan berpendapat konsep bahasa kebangsaan harus dihapuskan.
Jika ada sesuatu bahasa yang perlu dijadikan "lingua franca" atau bahasa bersama (common language), ia juga tidak boleh dianggap sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi. Selepas itu, soal sistem "vernakular" menjadi masalah yang belum diselesaikan bagi gerakan kiri, dan sering dieksplotasi oleh politikus perkauman untuk kepentingan peribadi dan politik perkauman mereka, dan kian hari kian menjadi isu yang kontroversi dan sensitif.
Perlu dipuji usaha yang diambil oleh Parti Sosialis Malaysia dalam menghadapi masalah yang belum diselesaikan ini. Mungkin sudah tibalah masanya gerakan kiri membuat penyelidikan mendalam dan rumusan yang kemaskini selepas perbincangan dan debatan secukupnya tentang sistem "vernakular" kita, berasaskan prinsip kesamarataan kaum dari perspektif hak bahasa kaum, hak asasi manusia dan juga analisis kelas yang seimbang, dan bersesuaian dengan ciri majmuk masyarakat kita dan hasrat pelbagai kaum yang terbabit.
Kesimpulan
Berasaskan perbincangan dan analisis di atas, mungkin rumusan-rumusan awal berikut boleh disimpulkan buat sementara ini, seperti berikut:
Bahasa Melayu hendaklah terus disokong sebagai Bahasa Kebangsaan dalam hubungan ianya merupakan lingua franca atau bahasa perantara rakyat pelbagai kaum negara kita.
Namun ini tidak bermakna bahasa/sekolah/pendidikan kaum lain boleh didiskriminasi sebagai bahasa dan sistem "vernakular" yang tidak rasmi, tidak formal, malah dianggap sebagai punca ketidakpaduan nasional.
Berasaskan prinsip kesama-rataan/kesama-tarafan/kesama-darjatan kaum dari perspektif hak bahasa kaum, hak asasi manusia dan juga analisis kelas yang seimbang dan bersesuaian dengan ciri majmuk masyarakat kita dan hasrat pelbagai kaum yang terbabit, maka gerakan kiri sewajarnya mengambil pendirian yang lebih tegas dan proaktif untuk menyokong bahasa/sekolah/pendidikan bahasa ibunda kaum-kaum yang terbabit tanpa ragu-ragu lagi.
Rumusan-rumusan awal ini tentu memerlukan perbincangan selanjutnya untuk diubahsuai dan diperkemaskan memandangkan bahasa dan sistem "vernakular" memang masih merupakan suatu masalah yang belum diselesaikan secara memuaskan.

