Pendirian M'sia berhubung keganasan perlu diperjelaskan
Pada 1 Oktober 2005, keindahan malam di pulau Bali bertukar wajah apabila digegarkan dengan tiga letupan bom yang meragut 26 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang. Ini adalah insiden letupan bom kali yang kedua di Bali semenjak insiden pengeboman pada Oktober 2002 yang meragut 202 nyawa.
Pada 1 Oktober 2005, keindahan malam di pulau Bali bertukar wajah apabila digegarkan dengan tiga letupan bom yang meragut 26 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang. Ini adalah insiden letupan bom kali yang kedua di Bali semenjak insiden pengeboman pada Oktober 2002 yang meragut 202 nyawa.
Seperti biasa, letupan bom kali ini turut dikaitkan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan rangkaian al-Qaeda di Asia Tenggara. Bukan sahaja insiden serangan bom di Bali, JI juga dipertanggungjawabkan ke atas beberapa siri pengeboman lain di Indonesia.
Letupan bom kali ini, sekali lagi menaikkan nama dua pengganas yang didakwa menjadi perancang kepada serangan bom tersebut Dr Azahari Hussein dan Nordin Mohd Top. Kedua-duanya adalah rakyat Malaysia yang kini bersembunyi Indonesia.
Apa yang menggeramkan kerajaan Indonesia ialah, beberapa siri serangan bom kebelakangan ini adalah angkara dua pengganas dari Malaysia itu. Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan dilema apabila berlaku serangan bom di bumi Indonesia. Masalah utama yang dihadapi Malaysia ialah ramai pihak terutamanya Indonesia, akan menuding jari ke arah Malaysia kerana dua suspek utama serangan bom ialah rakyatnya.
Pendirian Malaysia berhubung insiden serangan bom biasanya ialah menafikan segala tuduhan terhadapnya. Dengan lain perkataan, Malaysia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang insiden serangan pengganas, walaupun si pelakunya adalah rakyat Malaysia.
Raison d'etre di sebalik tindakan Malaysia ini ialah Malaysia khuatir disalahfahamkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai negara yang bersimpati terhadap tindakan pengganas, kerana ia boleh mengundang pemulauan masyarakat antarabangsa.
Puak pemisah
Apatah lagi, Barat kini sedang hebat melancarkan usaha memerangi keganasan global. Malaysia juga cuba mengelak daripada terjerumus dalam masalah di Indonesia. Ini kerana Malaysia terlibat dalam banyak isu keselamatan serantau yang membabitkan puak pemisah Islam, seperti di selatan Thailand, di Aceh dan di selatan Filipina.
Isu keganasan di Indonesia boleh membaharui ketegangan hubungan dengan Jakarta dan menimbulkan masalah dengan banyak pihak. Lagipun, dalam konteks Asean, campurtangan dalam hal ehwal domestik negara jiran adalah dilarang.
Di sebalik kenyataan menentang keganasan, Malaysia sebenarnya juga tidak mahu disifatkan sebagai sebuah negara Islam yang tidak bertanggungjawab. Ini terbukti apabila Malaysia bertekad untuk menjadi teladan kepada negara Islam dunia. Bagaimanapun, usaha Malaysia memerangi keganasan meletakkannya dalam dilema, kerana pengganas sering mendakwa perjuangan mereka adalah untuk menegakkan syiar Islam.
Lantaran itu, Malaysia berasa serba-salah ketika menentang keganasan. Keadaan inilah yang telah memberi ruang kepada dua pejuang Islam JI dari Malaysia untuk bertukar menjadi pengganas.
Sistem keselamatan baik
Malaysia bernasib baik kerana mewarisi sistem keselamatan dalam negara yang baik daripada British contohnya, kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA. Selain itu, pengalaman empat dekad menentang perjuangan komunis dalam Perang Dingin juga merupakan pengalaman berguna, yang boleh digunakan untuk menentang pengganas.
Oleh itu, pengganas tetap sukar bertapak di Malaysia kerana adanya sistem keselamatan dan keupayaan pertahanan untuk menangkis sebarang aktiviti subversif. Malaysia juga mempunyai keunikan sebagai sebuah negara yang rakyatnya pelbagai kaum.
Apa yang lebih penting ialah rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman dan harmoni, walaupun berbeza keturunan dan kepercayaan. Suasana sebegini amat penting kerana secara tidak langsung, ia tidak menggalakkan lahirnya organisasi pengganas yang sering menggunakan keagamaan dan kelemahan struktur sosial sebagai alasan dan intipati bagi perjuangan mereka.
Lagipun, umat Islam Malaysia mendapat perlindungan daripada perlembagaan negara serta menikmati keistimewaan sosial dan ekonomi berbanding kaum lain sehingga menyebabkan perjuangan pengganas tidak mendapat perhatian.
Bagaimanapun, tidak bererti tragedi pengeboman yang menimpa Indonesia, tidak boleh berlaku di sini. Siapa pernah menduga Britain yang merupakan sebuah negara yang masyhur dan harmoni di Eropah, boleh menjadi sasaran serangan? Jangan kita mudah alpa bahawa dua pengganas terkemuka di rantau Asia Tenggara pada masa sekarang adalah rakyat Malaysia.
Berdasarkan tragedi serangan bom ke atas London, siapa pula berani mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh menjadi sasaran keganasan sedangkan jirannya, Indonesia terus mengalami serangan bom bertali arus?
Jangan kita mudah lupa bahawa dua pakar bom terkemuka di rantau Asia Tenggara sekarang adalah rakyat Malaysia. Malaysia tidak menjadi sasaran pengganas pada masa sekarang adalah satu kebetulan. Oleh itu, kerajaan Malaysia tidak harus berpendapat bahawa keganasan tidak akan sampai ke sini.
Walaupun Malaysia mempunyai rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan, serta dapat hidup dalam suasana harmoni, tetapi jika tiada usaha bersungguh-sungguh diambil untuk mengekalkan suasana tersebut, kemungkinan pengganas akan mengambil peluang ini untuk mencapai motif mereka.
Pengganas tidak semestinya menggunakan keagamaan untuk mendapat sokongan. Mereka akan menggunakan kerapuhan dalam struktur sosial negara untuk melakukan keganasan. Oleh yang demikian, tindakan positif untuk mengelaknya daripada berlaku, harus dilakukan secara berterusan.
Selama ini, Malaysia 'tidak mempunyai pendirian yang jelas' berhubung keganasan yang berlaku di luar lingkungan sempadannya. Reaksi spontan Malaysia apabila berlaku insiden serangan bom di negara lain, ialah memberi kenyataan mengecam, serta melahirkan rasa simpati terhadap mangsanya.
Kewujudan ISA
Malaysia juga sering mengambil kesempatan dari insiden serangan pengganas untuk menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih lagi relevan di negara ini, terutama untuk menentang keganasan.
Insiden serangan bom ke atas Bali untuk kali kedua ini harus menjadi pengajaran kepada Malaysia. Kerajaan Malaysia harus menunjukkan pendirian tegasnya berhubung keganasan kerana ancaman keganasan telah menghampiri kita dan ia boleh melemahkan negara.
Keganasan harus diterima secara universal sebagai satu 'kejahatan' kerana ia mengancam kehidupan manusia. Pengganas tetap pengganas dan hanya akan berhenti mengganas apabila dihapuskan menerusi tindakan tegas.
Walaupun tindakan tegas bukan cara terbaik untuk menghapuskan keganasan, namun ia tetap merupakan cara terbaik bagi Malaysia menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa tentang komitmennya untuk memerangi keganasan secara habis-habisan.
Sesebuah negara itu masih boleh terus hidup jika menjadi sasaran pengganas, tetapi ia tidak mungkin boleh hidup sekiranya dituduh sebagai negara sarang pengganas.
Penulis adalah graduan dari sebuah universiti tempatan dan kini aktif dalam menjalankan penyelidikan dan penulisan tentang isu-isu politik dan keselamatan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.