Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri mendakwa, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 dalam separuh pertama tahun 2005, ekonomi negara telah pulih daripada krisis kewangan yang melanda sejak tahun 1997.

Beliau tidak mahu mengakui, sebenarnya prospek ekonomi negara tahun depan dan selanjutnya adalah buruk. Statistik itu tidak dipersoalkan tetapi adakah ia menggambar keadaan hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sebenarnya.

Jika kita mendengar rintihan peniaga kecil dan sederhana, bahkan sesetengah korporat besar (khusus yang terlibat dengan pembangunan perumahan), kita akan mengetahui bahawa senario sebenarnya adalah sebaliknya ramai sedang dalam kesulitan.

Pendapatan peniaga kecil dan sederhana masih jauh kurang daripada yang mereka perolehi sebelum krisis kewangan dulu. Jika mencapai 70 peratus daripada pendapatan sebelum 1997, pun sudah memadai. Beberapa syarikat atau industri besar sudah terpaksa gulung tikar atau 'masih hidup segan mati tidak mahu'.

Golongan berpendapatan rendah, khususnya pekerja dan petani, semakin berat dibebani harga barang yang semakin meningkat. Seperti yang kita ketahui Indeks Harga Pengguna atau CPI sudah melebihi paras tiga peratus.

Tanyalah suri rumah yang berbelanja setiap hari. Cubalah menteri lawati pasar-pasar secara mengejut. Beliau akan ketahui, harga barangan keperluan harian sudah melambung tinggi sebagai reaksi kepada kenaikan harga minyak.

Belanjawan 2006 banyak menumpukan perhatian kepada syarikat dan korporat besar dan banyak langkah dicadangkan untuk melindungi kepentingan mereka. Sebaliknya, nasib peniaga atau pengusaha sederhana, kurang disentuh; nasib peniaga-peniaga kecil tidak dibela sama sekali.

Pemberian bonus

Banyak pihak merasa lega dengan tindakan memberikan bonus sebulan setengah dan sebulan kepada kakitangan kerajaan berpendapatan di bawah dan di atas RM1,000 sebulan. Langkah itu amat baik tetapi mengapa kerajaan tidak memikirkan langkah yang lebih baik lagi.

Sepatutnya bonus yang lebih besar diberikan sebagaimana yang dituntut oleh Cuepacs. Begitu juga, sepatutnya kakitangan sudah bersara diberikan bonus lebih daripada RM200 atau diselaraskan supaya separas dengan bonus mereka yang masih berkhidmat. Terdapat lebih tiga juta pesara di negara ini. Ada yang masih mempunyai tanggungan, terutama pelajaran anak-anak. Mengapakah kita kurang prihatin kepada mereka?

Namun pemberian bonus ini masih tidak mengubah nasib kakitangan awam, kerana gaji masih rendah sedangkan harga barangan keperluan harian sangat mahal. Sebenarnya langkah memberi bonus sekali sekala, tidak memberi kesan jangka panjang yang berfaedah kepada penerimanya. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut Hari Raya, Krismas, Tahun Baru serta Tahun Baru Cina dan harga barang akan melambung. Kuasa membeli dari wang bonus itu akan meleset.

Langkah yang lebih baik ialah untuk mengadakan sistem "flexi-wages", iaitu menaikkan gaji yang disesuaikan dengan kenaikan harga barang atau CPI. Mampukah kerajaan melaksanakan skim sebegini dalam keadaan kantungnya yang semakin kempis?

Nasib pekerja swasta

Bagaimana pula dengan nasib pekerja swasta? Mereka boleh dikatakan tidak mendapat apa-apa daripada bajet kali ini. Diakui memang tidak praktikal kerajaan memberi bonus kepada pekerja swasta, buruh ladang dan petani di kampung. Tetapi ini tidak bererti kita harus terus melupakan mereka.

Sebenarnya, ramai di antara mereka yang hidup dalam kesempitan; semakin sempit dengan kenaikan harga barang. Tetapi mengapakah kerajaan tidak memikirkan cara-cara lain untuk membela nasib mereka?

Sudah bertahun-tahun kesatuan pekerja serta badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sebahagian rakyat, menuntut diadakan gaji minima untuk pekerja. Mengapakah tuntutan ini tidak pernah dipertimbangkan?

Gaji pekerja ladang masih rendah, ada yang di bawah paras kemiskinan, tetapi kenaikan gaji jarang sekali berlaku. Kalau naik pun dengan kadar paling kecil.

Kemiskinan desa

Mengenai peneroka dan pekebun kecil pula, pendapatan mereka tidak tetap. Misalnya, harga getah dan kelapa sawit mengikut harga pasaran dunia. Bagi penanam padi pula, pendapatan mereka adalah yang terendah sekali, berbanding dengan pekerja di sektor lain. Kemiskinan masih meluas di kalangan mereka.

Kadar kemiskinan desa dikatakan sudah turun kepada lebih kurang 10 peratus. Ini tidak memberikan gambaran yang realistik. Garis kemiskinan sepatutnya tidak lagi dikaitkan dengan apa yang ditetapkan pada tahun 70-an dulu. Berdasarkan harga barang dan taraf hidup sekarang, sepatutnya garis kemiskinan baru harus diletakkan pada paras RM800 hingga RM1,000.

Sehubungan itu, kerajaan disyorkan membuat kajian semula untuk menetapkan garis kemiskinan yang baru. Mungkin kerajaaan keberatan melakukan ini, kerana jika garis kemiskinan dinaikkan lebih tinggi, bererti jumlah mereka yang akan jatuh di bawah garis itu akan lebih ramai dan peratusnya lebih tinggi daripada yang lalu.

Dalam belanjawan 2006, kita dapati Kerajaan turut menumpukan perhatian pada pertanian. Memang wajar sektor ini difokuskan kerana kemiskinan paling meluas dalam sektor ini. Berdasarkan jumlah keluarga miskin yang ada sekarang, kita dapati 70 peratus daripada mereka adalah orang Melayu, yang bekerja sebagai petani.

Mana wang petronas?

Jikalau pegawai kerajaan boleh diberi bonus, mengapakan petani miskin tidak boleh diberi subsidi dan lebih banyak pinjaman murah, terutama bagi penanam padi. Selama ini, golongan yang paling banyak mendapat subisdi dan pinjaman ialah korporat-korporat besar.

Subsidi berbilion-bilion diberi kepada beberapa syarikat dan korporat besar yang bermasalah bagi menyelamatkan mereka daripada lingkup. Lupakah kita dengan berbilion wang Petronas yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat perkapalan MISC? Ini hanya satu contoh sahaja daripada banyak operasi menyelamatkan syarikat yang telah dilakukan sebelum ini.

Rakyat mahu bertanya di mana wang Petronas yang begitu banyak. Laporan penuh kedudukan kewangan Petronas, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1974, perlu dikemukakan kepada Parlimen. Kita tahu, mengikut undang-undang negara, Petronas terletak di bawah Perdana Menteri dan segala laporan dikemukakan hanya kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun Parlimen adalah badan perlembagaan negara yang tertinggi di negara ini. Oleh itu, sekurang-kurangnya Parlimen berhak mengetahui bagaimana kekayaan negara ini dibelanjakan.

Berapa banyakkah kekayaan negara daripada hasil minyak itu digunakan untuk petani miskin? Diharapkan Penasihat Petronas akan cuba menasihatkan Petronas tentang hal ini. Diharapkan Petronas akan berfikir sedikit tentang cara-cara hendak menggunakan wangnya bagi keuntungan dan kebajikan petani dan golongan miskin.

Pembangunan pertanian

Perkembangan pertanian terkini tidak harus lagi mengikut kaedah dan skala tradisional. Kita memerlukan kaedah pertanian yang moden, yang disuntik dengan lebih banyak modal, teknologi serta kepakaran. Kita mesti merintis projek pertanian berskala besar, dalam kawasan lebih luas dan menggunakan modal serta teknologi yang sesuai. Cara baru yang lebih efisien dan produktif mesti difikirkan.

Kerajaan dan agensinya perlu berrsedia untuk berubah. Peranan pemerintah untuk menganjur dan memberi modal permulaan adalah sangat penting. Reformasi pertanian perlu dilakukan dengan disokong kuat oleh pihak berkuasa.

Selain memerlukan asas pengeluaran berskala besar, aspek lain yang lebih mendesak ialah menyediakan saluran atau organisasi pasaran yang lebih baik bagi para petani. Kita tidak mahu pada setiap musim buah-buahan, banyak durian dan rambutan tidak boleh dipasarkan dengan harga yang baik.

Kaedah pemasaran baru perlu dicari dan diuji bagi memastikan hasil pertanian yang bertambah banyak dapat dipasarkan di dalam dan luar negara. Perlu ditekankan di sini bahawa negara kini membelanjakan RM15 bilion setiap tahun untuk mengimport barangan makanan, seperti beras, gandum, daging, susu, mentega, bahkan sayuran dan buah-buahan.

Bekalan makanan mencukupi

Tidak dinafikan kadangkala lebih mudah dan murah bagi kita mengimport sesetengah barangan makanan itu. Tetapi yang membimbangkan ialah negara masih mengimport dengan banyaknya makanan utama kita, iaitu beras. Dari segi keselamatan ini adalah berbahaya.

Adalah lebih selamat kalau kadar pengeluaran beras lebih tinggi di dalam negeri ini. Dari segi strategiknya, negara perlu mempunyai bekalan makanan yang cukup untuk memenuhi keperluan rakyatnya dalam keadaan stabil dan juga tidak stabil.

Fikirkanlah kesulitan yang mungkin timbul sekiranya konflik berlaku di peringkat wilayah atau dunia, dan kita tidak mempunyai cukup makanan utama. Pengalaman zaman Jepun dulu tidak harus dilupakan. Cukuplah sekali memakan ubi kayu.

Dalam bajet 2006 peruntukan bagi pembangunan luar bandar begitu kecil, iaitu RM5.7 bilion saja. Daripada jumlah itu, cuma RM2.7 bilion adalah untuk projek-projek pertanian. Sepatutnya peruntukan lebih besar diperuntukkan bagi pembangunan pertanian dengan disokong oleh pemantauan yang lebih ketat.

Jumlah itu hampir sama banyaknya dengan peruntukan bagi membuat jalan di Sabah dan Sarawak. Mengapa tiada perbelanjaan yang lebih besar untuk projek-projek pembangunan pertanian di sana, pada hal kadar kemiskinan di Sabah dan Sarawak adalah antara yang tertinggi di negara kita.

Semangat DEB

Soal menghidupkan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga banyak diperkatakan sekarang. Secara keseluruhan pelaksanaan selama 30 tahun lalu gagal mencapai sasarannya. Tidak dinafikan ada faedah yang diperolehi rakyat, terutama Bumiputera dalam beberapa bidang seperti pendidikan. Namun secara perbandingan, keuntungan lebih besar dibolot oleh segelintir kumpulan tertentu.

Ura-ura menghidupkan DEB itu wajar ditolak kerana dalam suasana negara yang sudah banyak berubah dari segi ekonomi, politik dan sosial sekarang ini, kita memerlukan pendekatan pembangunan yang baru. Pendekatan ini mesti mengutamakan kepentingan rakyat jelata dari semua kaum, bukan segelintir elit. Kita harus menunjukkan keperihatinan terhadap nasib rakyat miskin.

Oleh itu, dari segi belanjawan, perlulah rakyat dari lapisan rendah dan menengah diberi tumpuan. Peruntukan lebih besar perlu untuk mereka bagi memperbaiki punca pendapatan serta mewujudkan lebih banyak kemudahan sosial yang murah dan mudah, tetapi bermutu.

Kita bukan mahu menafikan hak dan keperluan golongan kaya, cuma menuntut sebuah belanjawan negara yang bijaksana dan saksama.


Penulis adalah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)