Hentikan polemik AP...
Dia diberi pelbagai gelaran. Ada yang enak dan manis didengar dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati dan telinga. Kerana keperkasaannya menjalankan tugas dan mengharungi arus politik, dia digelar " Iron Lady". Akibat kerap tidak ke Dewan Rakyat, dia dipanggil "Ratu Parlimen".
Dia diberi pelbagai gelaran. Ada yang enak dan manis didengar dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati dan telinga. Kerana keperkasaannya menjalankan tugas dan mengharungi arus politik, dia digelar " Iron Lady". Akibat kerap tidak ke Dewan Rakyat, dia dipanggil "Ratu Parlimen".
Itulah Datuk Seri Rafidah Aziz, menteri wanita kita yang penuh warna-warni sejarah politiknya. Kini beliau adalah menteri paling lama berada dalam kabinet lebih 20 tahun dan telah berkhidmat di bawah empat perdana menteri satu rekod yang mengkagumkan!
Rafidah bukan baru dalam sepak terajang politik. Beliau telah melalui pelbagai cabaran, termasuk ditewaskan oleh Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dalam perebutan jawatan Ketua Wanita Umno beberapa tahun lalu dan kemudian memenangi semula jawatan tersebut.
Kedudukan politiknya juga pernah tergugat pada pertengahan tahun 1990-an apabila dia dikaitkan dengan skandal pemberian saham kepada menantunya. Terima kasih kepada "mentornya",Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyelamatkannya dari pendakwaan ketika itu.
Kini sekali lagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berhadapan dengan cabaran politik yang getir. Isu permit import (AP) kereta benar-benar menguji keperkasaan "wanita besi" ini.
Kontroversi AP
Menariknya, kali ini kerjaya politik beliau digugat oleh "mentornya"a sendiri. Mampukah Rafidah bertahan kali ini? Siapa akan menyelamatkannya?
Setakat ini, kontroversi AP masih menyelubungi masa depan politiknya. Sudah timbul spekulasi kemungkinan beliau digugurkan atau diturunkan pangkat ke kementerian kurang penting atau menjadi menteri tidak berpotfolio.
Penjelasan Rafidah di media, perhimpunan agung Umno atau di Parlimen tidak memuaskan hati para pengkritiknya. Malah, Dr Mahathir sendiri tidak puas hati dan menuduh Rafidah berbohong.
Ketika ini juga, tiada siapa menunjukkan simpati kepadanya, para penyokong dan kawan-kawan menjauhkan diri. Malah ada yang secara terang-terang menikamnya dari depan. Sekarang baru Rafidah tahu, kawan tertawa senang dicari, bila menangis tiada yang sudi.
Namun pada pendapat penulis, Rafidah tidak perlu terlalu gusar. Isu AP yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri itu lebih bersifat peribadi. Ia menjadi besar kerana diperkatakan oleh Dr Mahathir.
Ia muncul hanya selepas Wira Dunai Ketiga itu bersara dari kerajaan dan politik. Jadi, kita tidak tahu apa agenda sebenar bekas presiden Umno itu. Sepatutnya beliau bercakap mengenainya semasa masih di dalam kerajaan. Teguran atau krtikan terhadap dasar AP ini sepatutnya dibuat beberapa tahun lalu. Mustahil beliau tidak tahu menahu mengenai AP selama 22 tahun berkuasa.
Apakah Dr Mahathir selama menjadi perdana menteri begitu mudah ditipu atau dipermainkan oleh Rafidah?
Oleh kerana itu bukan sahaja Rafidah, malah semua pemimpin dan rakyat perlu menutup "buku AP" ini. Rafidah perlu meneruskan banyak tugasnya yang terganggu oleh isu yang tiada kesudahannya ini. Banyak kerja dan isu lain yang perlu dibuat dan dibincangkan oleh rakyat dan para pemimpin negara, terutama ahli-ahli Parlimen.
Jangan biarkan fokus kita menyimpang daripada isu atau masalah sebenar yang sedang dihadapi sekarang. Isu kenaikan harga minyak mentah, inflasi dan korupsi yang berleluasa lebih penting daripada masalah AP Dr Mahathir ini.
Semalam, Dr Mahathir sendiri mengakui isu ini sudah meleret-leret; " Boringlah......", kata beliau.
Isu orang kaya
Rakyat tidak perlu terikut-ikut dalam isu "orang kaya" ini. Import Ferari, Porsche, Jagua, Honda, BMW, Kia dan ribuan kereta mewah lagi tidak menyentuh secara langsung isi dompet kita. Ini ibarat cerita gajah bertarung dengan gajah, sang semut tidak perlu mati ditengah-tengahnya. Semut perlu melindungi dirinya dan berkerja keras macam biasa.
Ingat, kalau harga gula, beras, ikan, daging, teh tarik dan bahan api naik, kita pengguna yang berpendapat rendahlah yang akan terjejas teruk. Tauke-tauke Proton, Produa, Kia, BMW dan Porsche tidak terjejas hidup mereka. Tangki minyak mereka tetap "penuh".
Oleh itu, mari kita lupakan isu AP ini. Jangan buang masa, tenaga dan buah fikiran kerananya. Tak berbaloi! Lebih baik rakyat berbincang mengenai cara-cara menyekat kenaikan harga barang.
Perjalanan kita masih jauh, sedangkan Dr Mahathir sudah sampai ke noktahnya manakala Rafidah hampir sampai penghujungnya. Oleh itu, walauapapun akhirnya episod AP ini, mereka berdua tidak akan rugi apa-apa! Jadi biarkan sahaja Ratu Parlimen dan Wira Dunia Ketiga dengan sandiwara mereka itu.
Pepatah Melayu ada mengatakan, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Jangan terkejut kalau "mentor" dan "protage" ini berbaik-baik semula pada Hari Raya Aidil Fitri nanti.

