"Saya sunyi...sunyilah..." Itu komen pertama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) selepas malam pertama pemergian isterinya ke rahmatullah. Kata-kata Perdana Menteri itu cukup menusuk kalbu. Mengambarkan betapa besarnya erti allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di sisinya.

Selama 40 tahun hidup bersama. Itu adalah satu tempoh yang panjang. Setelah jatuh bangun, susah senang dan berkasih sayang, pastinya kehilangan isteri tercinta itu amat dirasai oleh Pak Lah.

Mereka yang mengunjungi Seri Perdana pada hari pengkebumian itu dapat menyaksikan betapa sebak dan sedihnya Pak Lah. Namun di dalam keharuan itu beliau tetap tabah dan reda.

Endon menjadi sumber inspirasi dan kekuatanya beliau selama ini. Kasih sayang yang padu antara mereka berdua bukan rahsia lagi. Seluruh negara menyaksikan bagaimana saling mengasihi dan memahami antara Pak Lah dan allahyarham.

Wanita pertama

Namun Tuhan lebih mengetahui dan menyayangi Endon. Setelah lebih dua tahun menderita kanser payu dara, beliau diambil pergi buat selama-lamanya. Pak Lah, anak-anak dan seluruh rakyat reda dengan pemergian wanita pertama itu.

Sepanjang sejarah Malaysia, inilah kali pertama seorang wanita pertama meninggal dunia ketika suaminya masih dalam "pejabat". Oleh itu, kesan kehilangan Endon amat dirasai oleh para pemimpin dan rakyat.

Golongan yang rapat dengan allahyarham seperti persatuan kanser dan organisasi-organisasi kemanusiaan dan hak asasi manusia, telah kehilangan seorang penaung yang amat komited dengan nasib mereka.

Hanya mereka yang senasib dengan pengidap kanser memahami bagaimana deritanya serangan penyakit itu, bagaimana sakitnya apabila menjalani rawatan " chemo..." . Oleh itu, pemergian Endon tiada galang gantinya bagi para pengidap kanser negara ini. Siapa sahaja yang menerajui persatuan tersebut selepas ini tidak mungkin boleh mengatasi komitmen yang telah ditunjukkan oleh allahyarham.

Janji Pak Lah untuk meneruskan apa yang telah dirintis dan dilaksanakan oleh allahyarham isterinya mungkin melegakan para pengidap kanser. Alangkah baiknya jika rawatan dan ubat-ubat kanser yang mahal itu, dapat ditawarkan dengan harga yang lebih murah secepat mungkin.

Kos rawatan

Tidak semua orang mampu terbang ke UK, US atau Australia setiap tiga atau enam bulan untuk mendapatkan rawatan kanser. Malah, untuk pergi menjalani rawatan "chemo..." di hospital tempatan pun, sebahagian besar pengidap penyakit itu tidak mampu. Bukan sahaja kaedah rawatan itu terlalu menyakitkan, malah kosnya juga agak tinggi.

Endon senonim dengan persatuan kanser. Banyak pihak yakin beliau memberi perhatian kepada penyakit itu bukan kerana dirinya mengidap wabak tersebut, tetapi kerana sifat semula jadinya yang pengasih dan penyayang serta mengambil berat nasib golongan yang kurang bernasib baik.

Apabila dikesan mengidap penyakit itu pada tahun 2002, beliau sepatutnya lebih mementingkan dirinya, berehat dan berubat, namun Endon tidak mengalah. Beliau tetap tabah dan berani tampil ke depan sama ada menemani Pak Lah atau menghadiri aktivitinya sendiri.

Setiap kali muncul di khalayak ramai, riak wajah dan tubuhnya tidak menunjukan tanda-tanda sakit. Endon sentiasa ceria dan bersemangat. Sesiapa yang tidak tahu latarbelakangnya, pasti menyangka beliau sihat walafiat

Pada usia 65 tahun, dua tahun selepas menjadi wanita pertama, Endon meninggalkan kita dengan bakti yang bukan sedikit. Jasa beliau bukan sahaja pada pesakit kanser, malah menjalar dalam bidang perniagaan.

Kalau bukan kerana Endon, industri batik negara tidak mungkin rancak semula. Setelah sekian lama lesu dan dilupakan, kain dan fesyen batik pulih semula apabila beliau menaungi industri tersebut.

Batik kembali mendapat tempat dalam dunia fesyen tempatan. Minat orang ramai terhadap corak dan fesyen batik kembali subur setelah sekian lama ia dianggap sebagai pakaian "orang kampung" atau ketinggalan zaman.

Jika tidak kerana allahyarham, tidak mungkin kakitangan kerajaan akan memakai semula batik pada hari Sabtu atau majlis-majlis rasmi.

Begitu juga dengan songket. Tidak mungkin senitangan Melayu ini kembali mendapat perhatian ramai andainya Endon tidak mewar-warkannya. Songket akan kekal sebagai pakaian tradisi di atas pelamin sahaja dan tidak dijadikan fesyen jika tidak diketengahkan oleh Endon.

Wanita berwawasan

Selepas ini apabila disebut kanser, batik dan songket, tiada siapa boleh mengelak daripada mengenang jasa beliau. Allahyarham telah menggunakan kapasiti dan pengaruhnya sebagai wanita pertama untuk kebaikan dan kebajikan.

Endon dilahirkan pada 24 Disember 1940. Beliau mendapat pendidikan pertama di St. Mary Secondary Girl's School, Kuala Lumpur. Selepas tamat persekolahan, berkhidmat dengan kerajaan sehingga bersara pada tahun 1976.

Latarbelakang pendidikan dan pengalamannya dalam sektor awam menjadikan allahyarham wanita pertama yang mempunyai agenda dan wawasan, bukan sekadar penyeri majlis atau pelengkap kempen politik suaminya.

Namun Allah lebih menyayangi Endon. Setinggi mana Pak Lah, anak-anak, cucu-cucu dan rakyat menyayanginya, kasih Allah padanya lebih besar. Pemergian beliau di bulan Ramadhan ini penuh hikmah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.....

Bagaimana pula dengan kita yang masih bernafas? Adakah esok, lusa, minggu depan, bulan depan atau tahun depan giliran kita? Mungkinkah ini Ramadhan yang terakhir? Tentunya ada pengajaran dan hikmah dari setiap kematian itu.

Dendangan melodi lagu allahyarham P. Ramlee " Di mana kan ku cari ganti..." dicorong radio pada hari kematian Endon, amat menusuk kalbu.