Suhu politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir sudah memuncak walaupun hari penamaan calonnya masih jauh. Suasana sambutan Aidilfitri bertukar wajah menjadi pesta demokrasi yang membuatkan penduduk Pasir Mas tersenyum meleret.

Mengapa tidak, pekan Pasir Mas yang dulunya sunyi kini hiruk-pikuk, rezeki melimpah ruah bagi penduduknya. Bukan sahaja "duit raya" datang mencurah, malah rumah-rumah kosong yang dulunya terbiar, kini menjadi "hotel" bagi para petugas parti yang datang dari luar.

"Habis ditempah" itulah kini keadaannya, malah anda akan kecwa jika mahu menempah bilik di Kota Bharu sekarang.

Pilihanraya kecil N12 DUN Kelantan ini menjadi tumpuan seluruh negara. Sesiapa sahaja yang meminati politik memperkatakannya. Ada yang melihatnya sebagai pertarungan hidup mati bagi PAS dan Umno.

Pengkalan Pasir dikatakan akan menjadi penentu masa depan kerajaan PAS Kelantan. Jika kalah, kedudukannya yang sudah sedia genting, akan menjadi bertambah genting. Kerajaan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan menjadi semakin tidak stabil, makin goncang dan tergugat untuk tumbang bila-bila masa sahaja.

Kerana itu, tekanan terhadap beliau supaya membubarkan DUN jika kalah di Pengkalan Pasir, semakin meningkat. Semua pemimpin Umno, termasuk presidennya mendesak supaya kerajaan negeri dibubarkan, dengan alasan telah kehilangan mandat rakyat.

Namun bagi para pemimpin PAS, soal membubarkan DUN tidak timbul sama sekali. Bagi mereka walaupun dengan majoriti satu kerusi, saki-baki kuasa yang masih ada mesti diteruskan.

Petua Dr Mahathir

Bagi mereka, Kelantan yang dianggap sebagai bentang terakhir politik Melayu Islam di Malaysia mesti dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Mereka belajar dari petua politik bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menegaskan akan terus menjadi presiden Umno walauapun menang dengan satu undi ketika dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987.

PAS sebaliknya mencabar Umno mengosongkan 21 kerusi DUN yang dikuasainya di Kelantan jika parti Melayu terbesar itu benar-benar yakin rakyat negeri itu memihak kepada mereka. Dalam soal pembubaran DUN ini yang nampak beria-ia sangat ialah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa. Beliaulah yang mula-mula membangkitkannya, sebaik sahaja "kempen tidak rasmi" dimulakan di Pengkalan Pasir selepas sambutan hari raya puasa lalu.

Isu bubar DUN ini mengatasi isu-isu lain. Umno seolah-olah lupa untuk bercakap tentang isu pembangunan, Islam Hadhari dan hak Melayu. Mengapa? Adakah isu-isu pembangunan dan Islam hadhari sudah tidak laku di Pasir Mas?

Apabila ditanya kepada para pemerhati politik soalan itu, mereka dengan selamba menjawabnya; "Sebenarnya ada orang berangan-angan nak MB Kelantan yang baru..."

Hujah mereka, kalau kerajaan PAS dibubarkan, pilihanraya negeri terpaksa diadakan dan ini akan membuka peluang kepada tokoh-tokoh Umno Kelantan untuk jadi Menteri Besar seandainya mereka mendapat majoriti kerusi DUN.

Menurut mereka lagi, desakan supaya PAS membubarkan DUN kalau tewas pada 6 Disember nanti lebih merupakan agenda peribadi seseorang.

"Ada orang tak sabar-sabar nak menggantikan Nik Aziz. Sebab itulah dia tak putus-putus bercakap soal ini," ujar seorang bekas ahli Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimana laluan untuk mengambilaih tempat "Tuan Guru" itu bukan mudah. Umno Kelantan menghadapi pelbagai halangan, bukan sahaja dari PAS, malah dari bekas orang kuat Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan pertelingkahan dalaman Umno Kelantan.

Pengkalan Pasir ada kubu kuat PAS. Walaupun calonnya hanya menang dengan majoriti 56 undi dalam pilihanraya umum lalu, namun kawasan itu masih kubu kuat parti Islam itu. Dan barisan pimpinan PAS masih yakin dapat mempertahankan kerusi tersebut, mungkin dengan majoriti lebih besar. Menurut seorang pemimpin kanan parti itu, senario kali ini berbeza.

Dulu calon mereka, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Jaffar turun ke gelanggang sebagai "orang luar". Beliau bukan anak jati Pengkalan Pasir, tetapi mampu menewaskan calon BN, Hanapi Mamat yang merupakan orang kuat Umno Pasir Mas.

Menurut pemimpin itu lagi, wakil rakyat PAS sebelum Allahyarham Wan Abdul Aziz tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang baik kerana sering sakit, namun rakyat masih memilih PAS bagi DUN berkenaan dalam pilihanraya umum lalu.

"Selepas menang Wan Abdul Aziz telah mengubah imej wakil rakyat PAS di situ. Beliau telah berkerja dengan baik hingga ke akhir hayatnya. Oleh itu kita yakin dengan memilih calon yang sesuai, pastinya anak jati Pengkalan Pasir yang dikenali ramai di kawasan itu, peluang untung menang adalah cerah," jelasnya.

Kacau daun

Dan, katanya, sekali lagi faktor Ibrahim Ali akan memecah undi penyokong Umno.

"Siapa tak kenal Tok Berahim di Pasir Mas. Beliau mempunyai penyokong setia dari kalangan ahli-ahli Umno dan ramai saudara mara di sini . Kalau betul-betul dia bertanding, yang akan rugi ialah Umno," tambahnya.

Menurutnya lagi, pengumuman Ibrahim untuk bertanding sebagai calon bebas telah membuat Umno "panas punggung".

"Itu sebabnya Annuar Musa mahu mencalonkan Johan Che Pa sebagai calon di Pengkalan Pasir sebab Johan adalah anak didik Tok Brahim sebelum ini. Annuar mahu undi penyokong setia Tok Brahim pergi kepada Johan," katanya.

Johan adalah Ketua Pemuda Umno Pasir Mas semasa Ibrahim menjadi ketuia bahagian tersebut. Kini beliau menjadi Naib Ketua bahagian berkenaan.

Ibrahim dikatakan tidak mungkin mengubah pendirian untuk bertanding walaupun telah dipujuk oleh para pemimpin Umno supaya jangan "kacau daun".

Setelah disingkir dari Umno, beliau dikatakan mahu menjadikan gelanggang Pengkalan Pasir sebagai medan balas dendam. Kemenangan dalam pilihanraya kecil itu bukan sasaran beliau, sebaliknya agenda besarnya ialah memastikan Umno kalah.

Dalam pertemuannya dengan media minggu lalu, Ibrahim melahirkan keyakinannya untuk meraih sekurang-kurangnya 2,000 undi dalam pilihanraya kecil tersebut.

Menurut veteran Umno itu lagi, untuk mencerahkan peluang untuk menang, Umno perlu pastikan Ibrahim ditolak pencalonannya pada hari penamaan calon nanti. Satu lagi faktor yang menguatkan keyakinan PAS untuk menang di Pengkalan Pasir ialah pertelingkahan dalaman Umno Kelantan.

Naik tocang

Khabarnya, Umno bahagian Pasir Mas sudah berpecah tiga terdiri dari penyokong Annuar, kumpulan Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang merupakan ketua bahagian itu sekarang dan saki-baki penyokong setia Ibrahim.

Setiap kumpulan mempunyai calon mereka sendiri untuk diketengahkan. Annuar mahukan Johan, para penyokong Abdul Rahim mahu ketua Umno bahagian itu sendiri bertanding manakala penyokong setia Ibrahim menungggu masa untuk "cah keting".

Dalam pada itu, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dikatakan mempunyai calon pilihannya sendiri, seorang kakitangan awam yang berlatarbelakang agama.

Dilema pemilihan calon menghantui Umno. Tersilap pilih, buruk padahnya.

Seorang ahli jawatankuasa Umno Pasir Mas pula berkata, pemilihan calon satu masalah besar sebab ahli-ahli Umno masih berpuak-puak. Menurutnya, jika calon Umno kalah lagi kali ini, ia bukan kerana PAS kuat tetapi kerana hasad dengki dan khianat sama sendiri.

Beliau yang merupakan penyokong Abdul Rahim, juga sempat mencelah: "Pengkalan Pasir adalah pertarungan hidup mati bagi Annuar Musa, bukan bagi Umno."

Oleh itu katanya, Umno tidak boleh dibiarkan menang di Pengkalan Pasir sebab jika PAS kalah Annuar Musa akan naik tocang....