Paling Popular
Terkini
story images
story images

Setiap kali isu perbandaran dan pengurusan kota ditampilkan dalam wacana awam, aspek yang paling mendapat perhatian adalah pembangunan ekonomi masyarakat kota tersebut, yang tumpuan diberikan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan bandar. Aspek kedua yang diberi perhatian ialah bentuk fizikal bandar, struktur reruang bandar, dan daya huni.

Komponen yang dilupakan dalam perbandaran ialah, sayangnya, manusia itu sendiri.

Pada tahun 2016 Agenda Perbandaran Baru (New Urban Agenda) telah diterima pakai oleh Program Penempatan Manusia PBB yang menyediakan visi baru untuk kota raya dan majlis bandaran di seluruh dunia untuk 20 tahun mendatang.

Setahun kemudian, dalam memenuhi Agenda Perbandaran Baru tersebut, Program Pembangunan PBB (UNDP) menerusi satu Pelan Strategik 2018-2021melihat polisi dan program untuk empat tahun. Perbandaran baru yang diatur UNDP ini, antara lain mengambil kira empat penyelesaian utama iaitu:

“Penyelesaian Utama 1”– Menghindari kemiskinan bandar, yang mengambil kira beberapa penyelesaian yang melibatkan peningkatan taraf kehidupan bandar dan dosa, meneguhkan kesetaraan gender, membina keselamatan sosial dan membekalkan khidmat asas;

“Penyelesaian Utama 2” – Meneguhkan secara berkesan dan inklusif tadbir urus yang cekap terutama di peringkat perbandaran dan tahap sub-nasional;

“Penyelesaian Utama 3" – Meningkatkan pencegahan dan pemulihan di peringkat kebangsaan terhadap masyarakat agar ia teguh, khusus untuk mengelakkan krisis, dan lekas kembali kepada kestabilan dan pembangunan yang stabil sebaik sahaja krisis terjadi;

"Penyelesaian Utama 4" – Pembaikan sumber tenaga yang mana akan membantu penghindaran pencemaran udara, khusus di kawasan kota.

Untuk mencapai Agenda Perbandaran Baru di atas, pengisian, pendidikan dan asuhan sihat untuk manusia harus dikembalikan sebagai komponen utama.

Saya berpandangan “Penyelesaian Utama 1” dan “Penyelesaian Utama 3” boleh dicapai dengan dua strategi iaitu;

Pertama, pemberdayaan sosial kapital.

Pendekatan sosial kapital ini adalah satu penawar yang berkesan, meskipun ia bakal mengambil masa yang agak panjang. Gagasan sosial kapital dikemukakan oleh Pierre Bourdieu dalam ‘Reproduction in Education, Culture and Society dan James’ (1970) dan Coleman dalam makalahnya, ‘Social capital in the creation of human capital’ (1988).

Kedua-duanya menekankan ikatan sosial dan perkongsian norma demi membaiki dan mempertahankan kestabilan dan kemakmuran masyarakat. Kemudiannya Robert Putnam dalam buku beliau ‘Bowling Alone: The Collapse and Revival Of American Community’ (2000) mengembangkan gagasan sosial kapital ini dengan menjelaskan yang ‘sosial kapital’ boleh berkesan jika diaplikasikan dalam masyarakat dan untuk memberi kesan maksimum, ia memerlukan apa yang dinamai sebagai ‘structural phenomenon’. ‘Structural phenomenon’ ini diterjemahkan secara real sebagai rangkaian sosial. Ia termasuklah kesetiakawanan; ‘camaraderie between friends or colleagues’.

Dialog dan forum bermakna

Selain ‘structural phenomenon’ kumpulan masyarakat yang prihatin dalam sesuatu isu mendesak membajai pula ‘cultural phenomenon’ yang norma-norma sosial yang memudahkan kerjasama, ‘collaborative cooperation’ dipupuk.

Pendekatan sosial Robert Putnam mengemukakan apa yang beliau namakan ‘horizontal network within the civic society’ yang aktif menyebarkan produk-produk baik seperti dialog dan forum bermakna.

Penubuhan kumpulan kebajikan di perbandaran seperti kelab agama di masjid dan kuil (sebagai contoh) yang saling bekerjasama dapat melakukan satu ‘active engagement’ demi menyusun strategi secara komunal untuk menjambatani anggota masyarakat pelbagai etnik, agama dan latar belakang. Contoh lain dari kelab agama, adalah kelab sukan, kelas vokasional suri rumah dan aktiviti kanak-kanak serta remaja.

Aktivisme ini dengan sendirinya akan membawa kepada ‘social capital’; yang terbentuk masyarakat arif dan terasuh dengan moral, toleransi, kemakmuran ekonomi, kebajikan dan konflik terkawal. Ini adalah supaya setiap ahli masyarakat dan masyarakat amnya menjadi lebih baik, sihat, makmur dan lebih bijak secara kolektif. Kerjasama kelab dengan keanggotaan yang biasanya oleh orang muda) bukanlah sesuatu yang asing dan aneh, atau tidak boleh dilakukan. Ia malah berlaku di kota-kota besar di Jerman, Switzerland, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Di Singapura, komuniti perbandaran ini didorong oleh sukarelawan yang akan membantu projek kementerian atau agensi kerajaan dalam melibatkan kanak-kanak dan remaja dari kelompok perbandaran tertentu.

Kedua, pendidikan hak asasi manusia menerusi ejen sosial kapital.

Seperti ditekankan Robert Putnam sosial kapital adalah jaringan sosial seperti kumpulan setiakawan yang bekerjasama untuk satu-satu sasaran perlu diberdayakan. Jaringan anggota minoriti (dalam hal ini minoriti boleh sahaja ditafsirkan kecil dari segi etnik, agama dan jurang ekonomi) dengan kumpulan yang lebih dominan perlu disimpul kembali supaya tiada bahagian yang terputus dan menyulitkan pembangunan negara.

Dalam konteks perbandaran, jaringan ini bakal memboleh dan menggerakkan masyarakat sivil yang berkongsi idea dan aktiviti yang sihat secara strategik. Ini sangat signifikan untuk membantu komuniti mencapai maksud tertentu, dalam hal ini kesedaran hak asasi manusia dan lebih ulung lagi ialah pembangunan negara tercinta dapat dipugar.

Menurut Putnam, tujuan ini dapat dicapai menerusi pembangunan ‘private goods and public goods’, dalam konteks ini bengkel-bengkel sivil hak asasi manusia untuk kelompok minor akan membantu pemahaman terhadap hak asasi manusia.

Model sosial kapital Putnam yang menekankan jaringan sosial antara masyarakat sivil dan kumpulan sasaran akan dimudahkan dengan aplikasi Rabat Plan of Action yang telah tersedia. Model Rabat Plan of Action menggariskan lapan kaedah atau pendekatan untuk diterapkan, namun begitu lima pendekatan dapat dilaksanakan dengan mudah dan segera:

a. Membanyakkan ‘engagement’ dengan kumpulan minor supaya dapat menghindar ‘negative stereotypes’ dan diskriminasi terhadap individu atau komuniti berasaskan agama dan fahaman.

b. Mempromosi budaya dan kefahaman berasas ‘intercultural’ dan ‘gender sensitivity’ supaya keharmonian dalam masyarakat dapat dipulihara.

c. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu menjadi promoter dan guru melatih nilai-nilai hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat urban khusus golongan remaja.

d. Rabat Plan of Action menetapkan keperluan bekerjasama dengan badan hak asasi manusia dan badan-badan bukan kerajaan.

e. Keperluan menyebarkan kekuatan pluralisme dan keberagaman etnik, agama dan fahaman kepada media, khususnya ‘new media’ yang dapat mempromosi nilai universal dan ‘non-discrimination’ ketika meladeni kumpulan sasaran.

Ejen demokrasi

Kedua-dua strategi ini dapat dilakukan dengan kerjasama masyarakat sivil dan bantuan agensi kerajaan seperti SUHAKAM, selain pelbagai kementerian sedia ada.

Dua strategi ini akan membantu pengisian Agenda Perbandaran Baru khusus untuk mencapai “Penyelesaian Utama 1” dan “Penyelesaian Utama 3” yang digariskan oleh UNDP dalam Pelan Strategik 2018-2021.

Masyarakat kota yang berdaya saing menerusi pendekatan sosial kapital dan sedar hak asasi manusia adalah masyarakat yang akan terlibat sama dengan pembangunan bandar dan mudah diberi asuhan mengenai cabaran perbandaran moden. Masyarakat yang telah berdaya dari segi sosial kapital dan faham hak asasi manusia juga akan menjadi ejen demokrasi. Hanya dengan lingkungan demokrasi yang sihat dan stabil sahaja kita akan dapat pula mencapai pembanterasan kemiskinan bandar yang diidam-idamkan oleh semua datuk bandar dan penghuni kota. Ini juga akan sangat membantu kerajaan Pakatan Harapan dalam merealisasikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Saya yakin menteri KPKT, YB Zuraida Kamaruddin akan dapat melakukannya.

Poin-poin yang saya sebutkan di atas juga wajar diambil berat dalam merangka Dasar Komuniti Negara kelak.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS