Paling Popular
Terkini

Ketika ditanya suatu masa dulu, adakah perniagaan dalam talian akan menjadi sesuatu yang lumrah di Malaya ini, kami seperti biasa - yakni bodoh dan terburu-buru - menjawab bahawa ianya mustahil.

Tentu saja kegopohan dan kebodohan kami itu kemudian ternyata benar.

Hari ini perniagaan dalam talian menjadi sumber pendapatan kepada banyak orang dan ia tentu sekali banyak diterajui oleh generasi muda hari ini.

Betul, mereka ialah generasi yang materialistik, yang hidup sangat tertumpu kepada pemilikan barang, tetapi kita tidak pula boleh menyalahkan mereka kerana ini adalah zaman mereka.

Cara mereka mengendali hidup berbeza dengan kita.

Generasi hari ini ialah generasi yang berfikir untuk melakukan sendiri apa yang mereka rasakan betul tanpa menunggu dibantu sesiapa.

Mereka mulakan perniagaan dengan modal sendiri dan tidak menunggu serta menadah tangan untuk memulakan apa sahaja.

Jika mereka terasa mahu naik gunung, mereka akan naik. Mahu berbasikal ke seluruh alam, mereka lakukan begitulah.

Musik dirasakan terbaik

Mereka juga berpakat sesama sendiri untuk memberi makan orang susah. Mereka sediakan buku percuma untuk siapa pun yang sudi membaca, dan mereka juga adakan acara seni mengikut kemampuan masing-masing.

Generasi muda itu juga saling sokong menyokong. Lihat saja betapa pengeluaran buku tempat semakin rancak. Filim-filim (yang bagus) mendapat sambutan serta musik juga berkembang hingga keluar negara.

Kami sendiri sehingga hari ini masih duduk dalam kelompok yang mengagungkan buku, filim serta musik yang datangnya dari luar.

Namun untuk berlaku adil, musik dari era kami tentu saja musik yang paling baik pernah dihasilkan oleh manusia.

Di tempat kami ada Sarikat Indie Timor yang cergas mengadakan tayangan filim percuma. Mereka juga mengadakan pementasan teater dan puisi, dan segala macam acara tanpa meminta bantuan kerajaan.

Pun begitu, perlu ditegaskan di sini, Sarikat Indie Timor sudi menerima bantuan daripada mana-mana pihak dengan syarat mereka tidak perlu menyatakan sokongan atau mempromosi sesebuah partai politik, misalnya.

Mereka sudah muak dengan janji manis politikus dan mereka juga mual dengan pengulangan sistem pentadbiran yang mengutamakan kroni.

Mereka benci digelar barua partai. Mereka mahu keluar dari sistem ini dan caranya ialah dengan melakukannya sendiri.

Dan begitulah cara berfikir generasi muda hari ini.

Mereka telah melihat kebodohan "old guards" yakni kita ini yang saban hari memperlihatan kedangkalan dalam menyatakan sokongan kepada mana-mana partai politik, dan mereka bertekad tidak mahu jadi seperti kita.

Anak muda sangat vokal

Perlu juga ditegaskan di sini bahawa merekalah yang memainkan peranan besar untuk menukar kerajaan baru-baru ini.

Mungkin kita berasakan yang mereka telah melakukan kesilapan, yakni memilih untuk menukar kerajaan, tetapi generasi ini adalah generasi tidak peduli.

Mereka ialah kumpulan yang bebas dan jika nanti mereka merasakan yang apa yang dilakukan hari ini sesuatu yang tidak adil, maka jangan hairan pada pemilihan kerajaan akan datang mereka memilih kumpulan yang lain pula.

Sedang kita pula berasa tertekan tanpa ada asas yang kukuh.

Ini sesuatu yang amat bagus namun ia bukan sesuatu yang dimahukan oleh golongan seperti kita, iaitu si tua yang masih mahu hidup dalam kegemilangan masa lalu.

Juga kita yang masih sibuk dengan Rindu Bayangan.

Anak muda hari ini juga sangat vokal. Mereka menyatakan pendapat dengan tegas tanpa ada peduli.

Mereka bercakap - atau sebenarnya menjerit - untuk menyampaikan hasrat dan tidak segan memaki-hamun jika pendapat mereka ditentang.

Mungkin cara generasi muda itu salah tetapi untuk kita menafikan hak mereka menyuarakan pendapat adalah sesuatu yang sukar.

Sebabnya, mereka disokong oleh kumpulan yang sama pemikirannya. Lalu apa yang perlu kita lakukan ialah menyorok kegopohan dan kebodohan kita daripada mereka.

Apa juga kesalahan generasi hari ini adalah balasan daripada dosa-dosa yang kita lakukan dulu.

Mereka anak cerdik yang diamanahkan kepada kita. Lalu jika mereka ini kita anggap bodoh, maka salahkan diri kita sendiri kerana guru mereka ialah kita.

Kitalah yang mengajar mereka untuk mencintai kebendaan, mengajar mereka untuk memberi tumpuan kepada kesenangan hidup.

Memang orang politik begitu

Cuma kita perlu mengucapkan tahniah - atau mungkin takziah, bergantung sama ada kita ini bengap atau tidak - kepada diri sendiri kerana entah di mana silapnya - atau betulnya - kita ini maka generasi muda sekarang kelihatan tidak mementingkan perkauman.

Mereka dilihat tidak berkenan apabila isu perkauman diungkit bahkan mereka amat benci akan perkara ini.

Kemudian apabila kerajaan mengumumkan mahu menamatkan BR1M, kita pun sibuk marah-marah, padahal jika kita jujur, kita akan dapati bahawa ahli politik memang begitu kerjanya: berjanji dan mengecewakan orang.

Sedangkan budak-budak hari ini gelak kerana jumlah BR1M yang dijanjikan itu sama harganya dengan sebatang gincu mereka seminggu.

Mereka boleh mendapat wang sebanyak itu dengan hanya berjualan tudung kepala dalam talian dalam masa satu hari.

Kita dalam peralihan generasi dan kita perlu terima hakikat ini.

Budak-budak baru ini juga - mengikut satu kajian - menerima dengan terbuka sekiranya pemimpin tertinggi negara dipilih daripada bangsa selain Melayu.

Ini mungkin mendatangkan kemarahan kepada kaum tua dan menganggap ia suatu perderhakaan paling atas. justeru tidak boleh dimaafkan.

Kami yang berani menulis mengenai perkara ini juga mungkin dilihat sebagai pembelot kepada bangsa, tetapi siapakah yang boleh menafikan perkara ini?

Lambat laun ianya pasti berlaku dan kita berharap apabila hal itu terjadi, semua kita sudah bersedia menghadapinya.

Kita tidak boleh selamanya tinggal dalam suasana yang selesa, yang memihak kepada hanya satu golongan sedang kita berbangga menjadi seorang Muslim yang mencintai agama.

Tidak ada bahagian dalam agama kita yang mengajar untuk mengutamakan sesuatu bangsa di atas bangsa yang lain. Dan kita yang tua ini tentu lebih faham akan perkara ini.


Baca 'Sumpahan' pada Melayu Islam


Hakikat ini memang menyakitkan namun seperti yang kami katakan generasi hari ini ialah generasi yang tidak lagi mahu mengikut telunjuk dan pemikiran orang dulu-dulu. Kerana kepada mereka, kita ini adalah kuno.

Alahhh, seperti juga kita dulu apabila melihat bapa-bapa kita yang kita rasa kolot dan terbelengu oleh masa lalu.

Apa yang kami tuliskan ini bukanlah bermakna kami ini penyokong saranan menjadikan semua orang sebagai bangsa Malaysia.

Semua bangsa perlu mempertahankan kebudayaan sendiri, tetapi kami berasakan semua bangsa di negara ini berhak untuk mendapat apa yang sepatutnya mereka terima setelah berikrar untuk taat setia.

Dalam perkara yang lain, seorang teman pelukis berbangsa Cina berasa kagum apabila seorang lagi rakan pelukis - juga berbangsa Cina - begitu fasih berbahasa Melayu.

Namun beliau memujuk diri sendiri dengan menyatakan kepada kami: "Tak payah fasih pun tak apa maa, janji kita semua faham. Kita rakyat malaysia maaa..."

Kemudian kami pun bersetuju dengan beliau.

Kami sudah malas menulis fasal bahasa kebangsaan sebenarnya, cuma apabila rakan kami itu berkata demikian, sekurang-kurangnya hati kami berasa besar.

Hal itu kerana beliau tidak menafikan pentingnya bahasa kebangsaan dikuasai oleh semua orang yang mengaku sebagai rakyat Malaysia.

Tulisan kali ini dihiasi oleh gambar-gambar sekitar pameran Yang Lain-lain oleh pelukis Donald Abraham.

Pameran solo beliau sedang berlangsung di galeri Suma Orientalis di Petaling Jaya. Semua dijemput menyaksikan pameran berkenaan.


ABDULLAHJONES ialah rakyat Malaya yang percaya bahawa hidup ini cuma sementara, dan yakin akhirat adalah abadan abada. Kesakitan dan kesenangan di sini cuma sementara manakala kepedihan dan keselesaan di negeri abadi sana adalah selamanya yabedabedu.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS