Bulan Januari tahun 2005 masih belum ditutup. Ertinya kita masih berada di awal tahun. Sekali lagi, di awal tahun ini, saya ingin mengulangi perkara-perkara yang telah saya timbulkan pada awal tahun lepas. Saya ingin menjadi seorang insan yang paling degil kerana tidak putus-putus menimbulkan perkara-perkara yang sama.

Kedegilan saya ini untuk membuktikan bahawa manusia Melayu tidak pernah lupa, malah manusia dari bangsa apa pun tidak akan melupakan perkara-perkara yang telah melintasi hidup mereka. Mereka yang terlupa mungkin kerana daya fikir telah lemah atau telah nyanyuk. Atau pura-pura lupa, seperti terlupa hendak membayar duit tambang bas yang dipinjam dari kawan. Apa yang saya tulis ini samalah juga seperti meminta hutang. Cuma, saya ingin memiliki perangai Along untuk terus menimbulkan dan mengorek hutang-hutang yang masih belum selesai.

Lihat, jenayah Suharto pada 1965 terus dibongkar di Indonesia. Satu persatu rakyat Indonesia mula memahami apa yang sebenarnya telah berlaku. Buku demi buku keluar untuk menerangkan duduk perkara. Rakyat Indonesia tidak akan melupakan apa yang terjadi pada tahun 1965. Lihat juga bagaimana jenayah Nazi semasa perang dunia kedua terus di selidiki. Para penjenayah Nazi ini terus diburu. Lihat juga bagaimana China Merah terus menimbulkan kes-kes jenayah soldadu fasis Jepun di Nanking pada 1938. Semua ini membuktikan bahawa yang cuba melupakan itu hanya mereka yang bersalah. Yang terus mengingati itu adalah mereka yang telah di dianiaya.

Siapa cuba membunuh Sharifah Aini

Para peminat Kak Pak pasti masih teringat berita yang menggemparkan negara dua tahun dahulu. Media secara meluas telah melaporkan bahawa ada orang telah cuba membunuh Kak Pah. Percubaan membunuh ini berlaku di hadapan Seri Pentas, gedung ibu pejabat dan studio TV3. Diberitakan, seorang lelaki dengan menaiki motosikal telah cuba membunuh Sharifah Aini dengan menyuntikkan sesuatu ke dalam badan Kak Pah.

Penyanyi kesayangan generasi old tai ini telah membuat laporan polis. Mengikut jurucakap polis, pihak polis juga telah menerima dan melihat rakaman dari CCTV TV3 sebagai mengesahkan kes ini pernah berlaku. Pihak polis telah menjalankan siasatan, malah pihak polis telah berjanji akan mengeluarkan kenyataan mengenai kes ini.

Saya adalah salah seorang peminat Kak Pah. Dari zaman dia langsing dan bergetah dahulu, sehingga dia tembam seperti potongan tenor opera Itali Pavarotti. Kami peminat setia akan terus meminati penyanyi ini. Mana boleh kami melupakan lagu klasik Oh Fatimah yang dinyanyikan oleh Kak Pah sehinggakan lagu ini memulakan genre pop yeah, yeah di Malaysia. Rakyat Malaysia, termasuk saya sendiri, masih menunggu kenyataan dari pihak polis tentang kes ini. Siapa dia yang cuba membunuh Sharifah Aini? Mana laporan polis itu?

Siapa bakar dewan Tunku Canselor

Kes pembakaran Dewan Tungku Canselor (DTC) pada tahun 2001 dahulu telah memeranjatkan Malaysia. Dewan Tungku Canselor, lambang gah Universiti Malaya itu, telah dibakar sehari sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Universiti Malaya. Azlina Othman, Ketua Puteri United Malay National Organisation yang berpakaian seperti Mat Rempit, telah meluru masuk dan mengganggu sidang akhbar Naib Canselor. Secara kasar, dia menuduh ada unsur-unsur sabotaj. Ini kerana pada ketika itu, kebencian orang Melayu terhadap Mahathir telah tidak dapat dibendung lagi.

Membakar DTC adalah sebagai tanda protes mereka menurut logik Azlina. Pihak Universiti Malaya dan Tenaga Nasional telah menjalankan penyiasatan. Sebelum pihak-pihak berwajib ini mengeluarkan hasil siasatan mereka, seorang yang bernama M Kayveas membuat kenyataan di media dan menyatakan beliau memiliki bukti-bukti sahih tentang perbuatan sabotaj ini.

Mungkin ada orang yang berpendapat bahawa tidak guna menghabiskan dakwat menimbulkan hal ini. Saya terus diingatkan oleh kawan-kawan untuk merujuk kembali ilmu peninggalan datuk nenek moyang kita. Datuk nenek moyang kita telah pernah memberi tunjuk ajar jika bertemu dengan Kayveas dan ular ketuk kepala ular dahulu. Betul ke pepatah ini, atau saya yang silap tulis?

Walau apa pun, rakyat Malaysia masih lagi menunggu bahan-bahan bukti tentang kebakaran DTC yang diakui ada dalam simpanan Kayveas.

Pelan induk Acheh

Saya ingin menimbulkan seorang lagi yang perangainya seakan-akan sama dengan Keyvas, Lelaki ini bernama Samy Vellu. Pada pertengahan tahun lalu dia menyatakan kepada umum melalui media bahawa satu pelan induk untuk Acheh akan disiapkan. Pelan induk ini bertujuan membangunkan kembali Banda Acheh yang telah dimusnahkan oleh bencana tsunami 2004.

Kenyataan gah dari Sami Vellu ini muncul dalam minggu yang sama sesudah Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin pulang daripada melawat Banda Acheh. Tsunami telah melanggar Acheh satu tahun yang lalu. Kini masih ramai lagi rakyat Acheh yang masih tinggal dalam khemah sementara.

Lalu, saya ingin bertanya apa jadinya dengan Pelan Induk Pembangunan Acheh ini? Tidak mungkin pelan ini sedang digunakan untuk kawasan Kuala Muda atau Langkawi yang telah sama menerima tamparan malapetaka tsunami. Ini kerana di Kuala Muda, nampaknya masih ramai lagi nelayan kita yang masih tinggal dalam rumah panjang. Di mana pelan induk ini sekarang?

Al-Quran dikoyak dan dikencing

Saya ini bukanlah insan yang warak tetapi saya akan menghormati kitab suci al-Quran. Dalam masa yang sama, saya juga menghormati kitab Injil, Taurat, Zabur dan kitab agama lain. Semua agama Hindu, Taoist atau Budda memiliki kitab suci sebagai rujukan penganutnya. Hanya orang sasau sahaja yang tidak memiliki fikrah untuk menghormati kitab-kitab suci agama yang lain.

Apa yang memanjatkan saya ialah berita yang saya baca pada tahun 2001 dahulu yang melaporkan bagaimana kitab al-Quran telah di koyak-koyakkan di sebuah surau di Kedah. Dan pada akhir tahun ini, saya terbaca lagi bahawa al-Quran ini telah dikancingkan pula. Tidak cukup dengan kencing, saya juga terbaca dari akhbar Melayu bagaimana al-Quran ini digunakan sebagai penggalas untuk bersengama.

Orang Melayu/Islam dan seluruh warga Malaysia ingin tahu siapa yang melakukan ini? Bila? Di mana? Kenapa? Apa rujukan yang menghasilkan laporan ini? Anak siapa yang telah melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab ini?

Saya amat sedar bahawa wartawan di Malaysia ini cukup hebat. Mereka semua terdidik dalam pembelajaran ilmu media bergenre Universiti Sintok. Ertinya, para wartawan Malaysia ini bukan kecik anak. Mereka bukan calang-calang orangnya, justeru saya amat yakin laporan mereka adalah setaraf dengan media antarabangsa seperti News of The World dari London atau New York Post dari Amerika.

Dari apa yang saya dengar, ramai pemberita dan wartawan dari akhbar Kosmo dan Harian Metro, telah dilamar dengan gaji yang berlipat ganda dari akhbar Bacaria akhbar khusus untuk para cendekiawan tempatan. Jadi dalam kes al-Quran ini, rakyat Malaysia sedang menunggu laporan dan berita susulan. Orang ramai sedang ternanti-nanti pembuktian kesahihan berita-berita garapan pemberita dan wartawan terbilang kita, cemerlang dan gemilang ini.

Anwar Ibrahim

Hu ha hu ha mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim ini semakin membosankan. Ini ditambah pula dengan berterusan surah-surah tidak sahih tentang Anwar yang akan sertai parti lamanya. Saya memahami kenapa perkara ini muncul, tetapi pada saya, yang lebih penting ialah rakyat ingin mengajukan beberapa soalan mengenai kes Anwar Ibrahim ini. Soalan ini tidak sangkut paut dengan hubungan Anwar dengan kabal Zionis neocon Paul Wolfowich.

Rakyat ingin bertanya pada tahun 1999 dahulu, timbul berita gempar tentang 3 bilion ringgit yang diberitakan telah diambil oleh Anwar melalui kerja orang dalam seorang kenalan beliau di Bank Negara. Ini jumlah wang yang banyak. Tiga bilion ringgit kalau beli garam dan ditaburkan di jalan raya, bermula dari Ceruk Tok Kun, mungkin taburan ini boleh sampai hingga ke Universiti John Hopskin di Amerika.

Kalau duit sebanyak ini diperuntukkan kepada suami Datin Seri Rosmah Mansor, mungkin Malaysia dapat membeli 18 buah lagi pesawat jet pejuang dari Rusia. Mungkin juga kita dapat menambah jumlah angkasawan kita untuk naik ke bulan dengan menumpang kapal angkasa Komrad Putin. Atau dana yang sebanyak ini, jika diberikan kepada Datuk Seri Annuar Musa, pasti PAS dalam dikalahkan di Kelantan.

Apa terjadi dengan orang yang dituduh bersubahat dengan Anwar ini? Di mana duit ini berada? Di sini rakyat tertunggu-tunggu. Saya ingin benar hendak melihat orang-orang jahat ini disebat punggungnya dan dihukum kerana mencuri duit.

Tilam Anwar Ibrahim

Orang ramai pasti masih teringat kepada tilam yang setiap hari diusung ke hulu ke hilir semasa Anwar dibicarakan di mahkamah pada tahun 1998/99 dahulu. Diberitakan oleh media bahawa di atas tilam inilah ...ehem.....ehem.. sering berlaku di antara Anwar dengan kekasihnya yang bernama...oops saya terlupa.

Soalannya, adakah tilam ini masih disimpan di rumah pasung sebagai bahan bukti kerana mana tahu satu ketika nanti, apabila politik negara berubah dan Azizan telah menjadi Ketua Menteri Melaka, mungkin beliau ingin membersihkan namanya, justeru tilam ini diperlukan lagi.

Jika ianya bukan lagi satu bahan bukti, maka saya mencadangkan agar tilam ini diambil oleh jabatan warisan negara untuk disimpan dalam muzium negara. Ini adalah satu artifak moden yang lebih moden dari lukisan Botero. Malah saya cadangkan agar syarikat penerbangan MAS membeli tilam ini untuk diletakkan di bilik pengarahnya. Justeru, saya bersama-sama warga negara yang bertanggungjawab, ingin terus menanyakan di mana tilam ini sekarang ?

Sebuah buku dan sebuah filem

Bilakah agaknya pencinta filem Melayu akan dapat menonton filem bersejarah Pasir Salak. Set filem ini telah pernah kita lihat di media. Kostum untuk pelakon-pelakon utama filem juga beritakan telah siap. Pengarah Pasir Salak, Jins Shamsuddin sendiri telah pergi ke Indonesia untuk membuat tempahan senjata untuk filem ini. Malah, pengarahnya telah pergi ke London untuk membuat penyelidikan. Semuanya telah dilaporkan empat tahun dahulu di akhbar.

Warga Malaysia, terutama orang Perak telah melonjak-lonjak sebagai bukti mereka bersikap nasionalis lagi patriotik. Mereka bukan sahaja ingin memartabatkan filem Melayu tetapi mereka ternanti-nanti filem Pasir Salak kerana sebahagian dari dana untuk menempah set, baju dan senjata datangnya dari kerajaan Perak.

Mereka juga amat takut kerana pelakon Brad Pitt yang telah lamar oleh Senator kita ini untuk menjadi J.W.W Birch jika terlambat mungkin menjadi gemuk. Jika Bradd Pitt gemuk, maka terpaksa membuat kostum yang baru. Bayangkan hari ini bijih timah telah habis di Perak. Dari mana kerajaan Perak hendak mencari dana untuk terus menyalurkan modal kepada nasionalis filem kita ini.

Siapa yang tidak mengenal Ungku Aziz. Dia sering ditemubual oleh media cetak dan eletronik. Mengikut laporan media yang bukan Washington Post atau Guardian tetapi media Melayu, Profesor Diraja kita ini telah membaca 70,000 buah buku. Jika sebanyak ini buku yang telah dibaca oleh Tuan Profesor kita ini, maka seluruh rakyat Malaysia sedang ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu buku pertama magnum opus dari profesor kita ini. Kalau pun buku ini tidak dapat melebihi 150 muka surat, maka rasa saya 15 muka surat pun telah mencukupi. Ini memandangkan ratusan jam telah digunakan oleh profesor kita ini untuk membebel di radio.

Permintaan rakyat

Apa yang telah saya tuliskan di sini datang dari hati sanubari saya. Saya melakukan ini bukan kerana saya gatal tangan tetapi saya menulis ini dengan penuh rasa insaf dan kesedaran nasional. Saya juga menyedari soalan-soalan memang selalu ditimbulkan oleh rakyat yang semakin sehari semakin dilihat bertanggungjawab.

Rasa saya kesedaran untuk bertanggungjawab ini muncul setelah rakyat membaca, memahami dan menerima slogan jangan bekerja untuk anak menantu saya tetapi bekerjalah dengan saya. Saya memang ingin menyumbang tenaga dan bekerja agar negara kita bukan hanya dapat menumpang roket orang untuk ke bulan, tetapi hendaknya satu hari nantidapatlah kita membuat roket sendiri. Atau setidak-tidaknya kita berjaya membeli roket komunis Rusia dan kita namakan Jalur Temberang.

Bayangkan, jika Malaysia ada memiliki roket sendiri pastilah para usahawan dan angkasawan negara kita dapat memungut tol-tol dari orang-orang lain yang ingin naik ke bulan.